Tuk Janggut Pahlawan Kelantan- Abdul Latip Talib

Membaca naskah sejarah seolah-olah membuatkan kita sedang menyelongkar segerobok peristiwa untuk mencari sebuah kehilangan. Jika kita menjumpainya maka kita sendiri akan rasa cukup berpuas hati dan andai kita tidak menjumpainya, setidak-tidaknya kita telah berusaha untuk mencari. Dan pasti, kita akan terus mencari!

Buku ini saya rasakan bergerak lambat pada pemulaannya bagaikan kapal layar yang hendak mula berlayar yang masih tercari-cari arah mata angin, namun bila kita tiba di tengahnya angin perjuangan dan ombak penentangan yang diceritakan di dalam buku ini akan membuatkan kita berkobar-kobar bergerak laju pada setiap helaian demi helaian.

Kisah perjuangan Tuk Janggut, adalah secebis realiti kepada kesinambungan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini. Darah-darah pejuang yang tumpah menjadikan bumi yang kita pijak ini subur dan makmur. Nama sebenarnya Mat Hassan, anak kepada Panglima Munas merupakan seorang Panglima Istana Raja Jeram. Ketika dewasa, Tuk Janggut telah dihantar ke Mekah untuk menuntut ilmu dan kembali semula ke Kelantan ketika usianya 60 tahun.

Novel ini menceritakan perjuangan Tuk Janggut dalam bahasa yang mudah, namun masih mampu membuakkan perasaan kita untuk merasai getir-getir penentangan Tuk Janggut terhadap British. Kita akan merasai jijik kotornya cara British sewaktu mereka cuba menjajah tanah melayu. Licik dan penuh tipu muslihat.

Kita akan dapat menyelami rasa bahlul tolol dan sakit hatinya melihat pemikiran dangkal pembesar-pembesar istana yang bersekongkol menyokong British demi mengekalkan kuasa. Begitu mudah mempercayai kata-kata orang luar yang cuba menjajah negeri sendiri.

Kita juga akan turut serta menjerit-jerit dalam di dalam hati kerana bisa merasakan penindasaan yang ditanggung rakyat akibat dibebani cukai sewaktu British memerintah. Kita akan terdampar mengeluh kesal dan sesal apabila Melayu kita dikambing hitamkan oleh British. Antara penduduk kampung yang memberontak terpaksa bertelagah dengan pasukan keselamatan yang dibentuk British kononnya, juga terdiri dikalangan orang Melayu kita.

Namun begitu, keghairahan yang tidak pernah pudar ialah semangat juang Tuk Janggut dan kuncu-kuncunya yang memang menyalakan semangat patriotisme. Kehebatannya sebagai seorang tua yang tangkas dalam segala peri, ketokohan serta keilmuwannya.

Tetapi kita terpaksa menerima hakikat, penghujung kematian Tuk Janggut adalah tragedi yang sangat menyayat hati. Dalam hati, kita merakam Tuk Janggut sebagai seorang pembela, tetapi sejarah British menokhtahkan beliau sebagai seorang penderhaka!

Tahu la!

“Kedegang!!” bahagian belakang kenderaan pengangkat itu berlaga dengan palang penghadang ketika pemandunya cuba menggerakkan kenderaan itu ke depan, menyebabkan palang penghadang yang panjang itu bengkok. Kesannya jelas ketara. Nan Cina menepuk dahinya. Si pemandu forklift itu memandang palang penghadang yang sudahpun bengkok tanpa sedikit perasaan kesal.

“Angkat tinggi sikitlah” arah Nan Cina. “Tau!” jawab si pemdandu itu.
“Janganlah tinggi sangat” Nan Cina tegur. Si pemandu jawab “Tahu!” .
“Bawah sikitlah”
“Tahu!”
Tegur Nan Cina lagi, “Depan lagi la..jauh lagi tu”
“Tahu!”
“Janganlah depan sangat”
“Tahu!”
“Ok, perlahan-perlahan”
“Tahu!”
“Tak masuk lagi ni”
“Tahu!”. Blade forklift bergesel dengan jalanan tar.
“Yang kau tolak gear reverse tu kenapa?”
“Tahula!”
“Kau ni tahu bawa ke tidak?” Nan Cina semakin marah.
“Tahu!”

“Kedegang!!!!”..
Wall plug palang penghadang pun tercabut. Nan Cina geram meggeleng-gelengkan kepalanya.

Lasykar Pelagi- Andrea Hirata

Kenangan adalah sihir yang paling mujarab untuk mengukir senyuman di bibir kita. Tidak kira ia pahit seperti pekatnya hempedu ataupun cair yang selalu mengalir semanis gula, ia akan melekat terus melekat dan terakam dalam kotak memori lalu kita akan mengendongnya meniti jambatan usia, bagaikan daunan Devil’s Ivy yang menitip di sepanjang batang pohon Ketapang, melilit-lilitnya sampai ke atas. Begitulah kenangan.

Andrea Hirata menggarap Lasykar Pelangi dengan pengalaman mahal semasa usia ciliknya. Memori-memori indahnya di Sekolah Muhammadiyah yang tua, miskin dan terpencil menemukannya dengan pelangi persahabatan lalu membentuk chronicle Lasykar Pelangi yang pelbagai karakter di bawah rimbunan pohon filicium. Penulis sendiri ialah Ikal bersama teman-temannya Lintang yang supergenius, Mahar yang berjiwa artistik bersama pengikut setianya A Kiong, Samson yang bertubuh besar tetapi pendek akal, Sahara yang berjilbab satu-satunya puteri dan penyeri , Trapani yang selalu bagaikan belangkas bersama ibunya, Harun yang asik dengan cerita kucingnya yang berbelang tiga di kaki, Syahadan yang selalu terpinggir dan Kucai ketua kelas yang tidak pernah terlepas jawatannya dari darjah satu sampai ke kelas menengah.

Soldadu-soldadu kecil ini akan bertenggek di dahan filicium selepas hujan ataupun gerimis untuk melihat keajaiban pelangi yang berlapis tujuh warnanya sebagaimana berlapis semangat dan cita-cita mereka. Kadang kala kisahnya saya rasakan meleret-leret, diselang selikan pula dengan cerita latarnya Pulau Belitong, tentang PN Timah, Tuk Bayan Tula serta pelbagai lagi sub-topik menjadikan bacaan ini bergerak lambat, kadang kala menarik dan kadang kala kurang pula keghairahannya tetapi membuak-buakkan perasaan untuk mengetahui penghujungnya.

Ternyata, buku ini subur dengan metafora. Bagaimanakah hendak mengatakan dengan jujur kita dapat menghayati kata-katanya yang subur pada setiap butir askarany?. Di satu ketika, metafora yang berlebihan ini bertukar memuputkan angin-angin bosan dan jemu, sampaikan bisa tertidur dengan buku yang terkangkang menutupi muka membawa ke alam mimpi Lasykar Pelangi di puncak Gunung Selumar, menguak air paya Sungai Buta lalu berjumpa Bodenga dengan buaya gergasinya! Namun bila terbingkas bangun kita akan membacanya semula. Kecanduan seperti apakah ini?

Buah Sawit

Tengah hari itu, awan mendung memayungi dari sinar panas matahari. Seolah-olah hujan akan turun membasahi dengan sebasah-basahnya. Tetapi cuma gerimis yang tuhan hantarkan. Cukup untuk meredupkan dan memberi hawa segar kepada insan-insan yang kehilangan tenaga kerana pekerjaannya.

Kalam sedang berehat-rehat di atas sofa panjang yang diletakkan di ruang menunggu pejabat. Melepaskan kelelahannya di ruang masa rehat tengah hari.

“Kalam, jom makan!” Suara Zambri entah muncul dari mana mengajaknya ke kantin.

Sekonyong-konyong dua orang pemuda itu menempuh gerimis nipis yang jatuh dari langit, menuju ke tempat di mana tembolok mereka bakal diisi.

Kedua-dua orang pemuda itu mempunyai selera yang hampir sama. Mereka lebih tergiurkan mee rebus yang telah dibalut dengan plastik jernih demi menjaga kebersihannya berbanding nasi kawah dan lauk-pauk yang hampir serupa dihidangkan setiap hari. Ia bagaikan Lisa Surihani yang melambai-lambai dengan senyuman yang paling ikhlas disamping mengenakan pakaian putih yang paling bersih.

Kalam dan Zambri memilih untuk duduk di meja berhampiran sinki basuh tangan, sementelah melihat sekumpulan gadis berpangkat eksekutif duduk tidak jauh dari meja yang mereka pilih itu. Mata Kalam tidak lepas-lepas melirik pada seorang gadis cina yang mengenakan baju kurung melayu. Dalam fikiran Kalam, dia mencipta angan-angan palsunya sendiri. Kalam…Kalam.

Tidak lama kemudian, Nan Cina datang berkongsi meja dengan mereka sambil menatang sepinggan nasi goreng pataya yang juga dibalut dengan plastik jernih demi menjaga kebersihannya. Mereka senyap, tiada sepatah kata yang terbit dari bibir mereka. Masing-masing begitu menikmati juadah tengah hari mereka sehingga suapan yang terakhir.

“Kau pernah makan buah sawit?” meja makan yang tadinya khali diterjah soalan yang tidak disangka-sangka dari Zambri.

Nan Cina membisu. Jemarinya bergerak mengambil tisu putih yang terlipat petak segi empat itu, kemudian dikibaskannya. Bagaikan ia sedang mengibaskan ‘Singature Napkin’ yang diperbuat dari kain kapas berkualiti tinggi yang kebiasaannya disediakan di restoren-restoren serba mewah. Dengan gaya maskulin, tisu itu dituamkan dengan hemah dan perlahan-lahan di sekitar kawasan mulutnya.

“Boleh makan ke buah sawit tu? Bukan buah sawit tu keras? Nak dimasak buat lauk apa?” Kalam memulangkan soalan. Dalam hatinya berawas jika Zambri sekadar mahu melawak atau berniat mengenakannya.

“Bolehlah Kalam” Nan cina menyampuk, mengesahkan cerita Zambri sambil tangannya masih mengelap.

Zambri menyambung, “Buah sawit tu, kita rendamkan dalam air. Tidak usah banyak letakkan airnya. Bila sudah menggelegak kita letakkan gula. Rasanya manis, cuma perlu menyonyot-nyonyot dan menghisap sabutnya. Sedap”.

Kalam meneguk air oren percuma yang masih berbaki di dalam gelas plastik.

Nan Cina menambah, “Kalau nak lebih sedap, letak buah kelapa”.

“Burrrrr..” .

Pemikiran Hamka

Kata A. Samad Said, “Kehidupan hanya bererti jika kita sendiri yang mencurahkan luhur makna ke dalamnya.”

Pemikiran Hamka suntingan Prof. Dr Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa ini mengenangkan kita tentang kehilangan seorang tokoh di alam Melayu. Bagi saya, seorang tokoh yang benar-benar tokoh tiada taranya ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

Naskah ini membincangkan perihal abuya Hamka dari segenap sudut, haruman tinta dalam karya-karyanya, api semangat dalam perjuangannya, rimbun mekar idealogi dan theologi yang tegak bertunjang dalam dirinya dan yang paling hebat sumbangan gergasinya pada alam Melayu untuk kita amnya bangsa Melayu, khususnya negara Indonesia itu sendiri dan khasnya warga muslimin.

Hari ini, pena yang bertintakan penulisannya menjadi banyak sumber rujukan utama terutamanya karangan besar beliau, Tafsir Al-Azhar. Apatah lagi nusantara sememangnya kurang dengan karya-karya tafsir yang ditulis oleh ulama-ulama tempatan. Tafsir Al-Azhar ditulis sewaktu beliau dipenjarakan selama 2 tahun lebih. Istimewanya,  tafsir Hamka telah disempurnakan oleh beliau sendiri, tidak seperti penulis-penulis ternama yang hasil kerja mereka disempurnakan oleh pengikut-pengikut yang setia.

Tentang penerbitan Tafsir Al-Azhar, pada asalnya ditulis dalam 30 jilis dan menyamai bilangan juzuk di dalam Al-Quran. Di dalam satu penerbitan di Singapura yang dicetak dalam 10 jilid edisi padat dengan rumusan lebih daripada 8000 muka surat dan setiap jilid mempunyai lebih daripada 600 muka surat merupakan hasil penulisan terbesar dalam bidang tafsir setakat ini.

Tafsir ini digaris dari banyak sumber namun begitu, sumber dari Imam Al-Ghazali dilihat lebih akrab dengan Hamka. Selain itu, Hamka juga turut menyelitkan keadaan semasa dan menjadikannya sebagai contoh di dalam tafsirnya. Sekaligus beliau berpegang kepada prinsip bahawa “Al-Quran itu adalah sesuai untuk sepanjang zaman”.

Di dalam naskah ini juga turut diselitkan beberapa pandangan dan kajian tentang novel-novel beliau yang mahsyur seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick, Terusir, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lindungan Kaabah selain pemikiran-pemikiran lain yang terkandung dalam beberapa cerpen yang pernah dihasilkan sepanjang hayatnya. Jelas, karya-karya yang malar hijau ini subur dengan tema cinta, nasib seorang musafir di perantauan, persoalan harta kekayaan benda-jiwa adalah menjadi peringatan dan renungan buat kita. Mengutip kesimpulannya, sebagai mana tulisan di bawah ini:

Nyatalah, Hamka memang tokoh istimewa yang bersifat multi-dimensi, saterawan-sejarawan, ilmuwan-budayawan dan ulama-pemikir yang terkenal sebagai singa podium dan pahlawan pena.Memang Hamka seorang Indonesia, tetapi lebih daripada itu dia adalah seorang Muslim dan seorang Melayu yang sepanjang hayatnya berjuang demi memartabatkan umat yang serumpun seagama dan serantau sebudaya. (Mengangkat Tamadun Umat dan Tamadun Melayu, 166)

Tuan Direktur- Hamka

Kehidupan ini terasa sangatlah istimewa andai selalu dicurah dengan pesan dan peringatan, biarpun cuma sepatah kata yang kita sendiri tahu nilainya lebih dari emas dan permata . Sebenarnya, nasihat itu sendiri ialah intan dan berlian bagi orang-orang yang terpicing mata melihat kilauannya. Jika kita dinasihati, tandanya kita ini masih diingati, prihatin mereka tidak membiarkan kita memilih salah simpang dalam meneroka lorong-lorong kehidupan atau tersesat tanpa haluan dan tuju. Kerana nasihat-nasihat yang berguna dapat kelak kita pakai buat penunjuk arah di jalan yang bersimpang siur.

Ya, naskah ini begitu membujuk nurani manusiawi untuk insaf dan tunduk melihat keghairahan insani dalam kerakusannya melombong keduniaan. Pak Jazuli, tuan direktur muda yang ego membusung dada kerana berlambak hartanya, mahsyur kenalannya, dan perusahaannya yang maju ke depan begitu mula melupakan daratan yang satu ketika dia pernah menempuhnya, setelah dia dapat memegang tongkat kuasawan dalam kalungan mahsyur bergelar niagawan. Dia lupakan sepuluh tahun lepas dia telah datang ke Kota surabaya ini dengan tangan yang kosong tetapi membawa hatinya yang keras. Dalam hati itu disematkan semangat waja untuk berjaya lalu tuhan permudahkan jalan untuknya menawan gunung kejayaan yang selalu diidam-idamkan.

Di puncak emas itu, Pak Jazuli memandang kerdil orang-orang di bawahnya. Dia hanya boleh ditegur dengan kata puji dan sanjung yang bukan datang dari keikhlasan hati, tapi kerana rupiah dalam dompetnya. Nasihat dan ingatan yang luhur dan jujur sudah tidak masuk ke dalam pendengarannya apatah lagi untuk berlabuh dalam sukmanya. Perlahan-lahan perhubungannya dengan kenalan-kenalan yang tulus menasihatinya mulai renggang, mudur dan terputus seperti Haji Nawawi, sahabat perantaunya yang sedesa.

Margono dan Haji Samin, dua orang yang selalu meneteskan air liur tatkala melihat kekayaan Tuan Direktur, berlakon bagaikan anjing yang kononnya garang tetapi bacul. Anjing itu hanya akan menyalak-nyalak untuk meminta tulang, setelah diberi ia akan menyalak meminta lagi dan lagi. Namun bila datang kesusahan, ia akan segera cabut.

Selain itu, Pak Jazuli yang kononnya tokoh korporat moden mencemuh peniaga-peniaga yang suka meramal nasib untung rugi bisnesnya dengan kepercayaan-kepercayaan khurafat tetapi dalam masa yang sama tuan direktur itu sekali ikut terjebak ke lorongan tahyul kerana menanam yakin pada pesan-pesan Kadri, penolongnya yang konon berdamping dengan orang ghaib yang selalu menasihati Pak Jazuli demi matahari masa depannya.

Bila mana seorang hartawan itu mula menimbang dengan dacing untung atau rugi ikut jarum emosinya, nescaya terlesaplah pula timbangannya yang boleh mengadilkan sebab musabab untung atau rugi itu. Maka, keputusan seperti itu memberatkan dacing untuk duduk tidak seimbang dan tersenget sebelah dipenuhi batu-batu kenagkuhan dan kezaliman. Tanpa belas, Pak Jazuli menghalau Fauzi, seorang anak muda yang pernah dirayunya suatu tika dahulu untuk membangunkan bersama perusahaannya.

Fauzi tidak mudah keletah setelah dia dihalau dari kantor Pak Jazuli, cuma dia sedikt sebal dengan sikap tinggi diri bekas majikannya. Peristiwa yang seberkas susahnya itu, rupanya mengandungi setelaga hikmah. Fauzi mula mengakrabkan dirinya bersama Pak Yasin. Seorang tua yang penuh pengalaman, teguh pohon keimanannya, rimbun kecerdikannya, dan lebat pula buah pendapatnya yang selalu ranum dan lazat. setiap kata-katanya adalah hikmat dan semangat. Setiap tegurannya adalah saranan yang sarat petunjuk dan ingatan.

Tuan Direktur ialah sebuah naskah yang ringan tetapi berat dengan pesan. Iktibarnya lemak-lemak santan yang menyusupi segenap deria jiwa. Setiap faedah dan amaran dari cerita atau katanya halus melekat di ruang sanubari mengajak kita mensempadani atau menaledani. Ingatkan pesan panjang ini, yang menikam kelobaan kita untuk mencari dan terus mencari sampai tidak tahu berhenti.

“Wang itu barang bundar, ertinya boleh bergulung, sebab ingatlah bahawa ia bukan kepentingan yang pertama. Saya takut Fauzi, kalau hanya sekiranya wang yang engkau cari, anak! Padahal beberapa perkara yang lebih mahal daripada wang engkau lupakan. Engkau lupakan budi pahal di atasnyalah tertegak kemanusiaanmu; engkau lupakan agama padahal dengan itulah engkau berbahtera ke akhirat; engkau lupakan temanmu, padahal dalam hidup ini engkau tak , sanggup tegak sendiri. Sehingga itu engkau hargakan harta lebih dari harganya, ibarat barang serupiah engkau beli seringgit.”