Dipertemukan Syurga!

Pengalaman berkelana selama sepuluh hari ke Busan, Korea, satu harinya saya dipertemukan ‘syurga’. Di kesibukan kotarayanya yang ke-dua besar selepas Soul, rupanya tercepit di celah-celah bangunan satu lembah yang begitu menakjubkan. Memukau, menggiurkan malah mengaromakan bauan berahi. Jujur, pada pandangan orang lain mungkin pertemuan seperti itu hanyalah pertemuan biasa-biasa, basa-basi dan tiada apa yang istimewanya, tetapi tidak bagi saya! Ataupun orang yang mempunyai sepinggan  ‘selera’ yang sama dengan saya.

Saya menelusuri syurga/lembah itu, setapak-demi-setapak, selangkah-demi-selangkah. ‘Syurga yang indah itu’ ataupun ‘lembah yang menawan itu’ adalah sederet bangunan usang dipinggir kota. Biarpun ia terletak bersebelahan dengan jalan besar yang bingit dengan bunyi deruman motokar, saya rasakan di situ adalah lapangan yang paling senyap sekali. Tidak terganggu walau sekelumit pun oleh bunyi ngauman hasil teknologi yang sedang menjalar. Deretannya tidaklah terlalu panjang dan jauh, sampai kita harus melangkah hingga kepenatan. Tetapi jika kita sedang berjalan di dalam syurga adakah kita akan berasa letih? Tentulah tidak, biarpun  ia sejauh saujana mata yang memandang, keindahan dan kecantikan syurga itu akan menewaskan rasa penat dan lelah. Orang yang tidak reti menikmati keindahannya sahaja yang akan keputusan nafas dan mati di situ.

Di dalam ruang kecil setiap bagunan itu, tersimpan kahzanah-khazanah  ‘syurga’ yang cantik dan menawan. Ia berwangikan kasturi, wardah dan kadang-kadang terhidu oleh saya bauan lavender yang enak. Begitu memikat. khazanah-khazanahnya berkilau seperti permata yang disimbah cahaya, kadang-kadang seperti emas yang bergemerlapan, kadang-kadang seperti intan berlian yang bersinar dan kadang-kadang ia seperti mutiara yang bercahaya di dalam gelap. Bidadara dan bidadarinya pula sibuk tersenyum di sisi pintu gerbang ‘syurga’ mereka. Bagaikan menjemput kedatangan saya dan mempersilakan saya untuk bersinggahan sebentar ke dalam ‘mahligai’ mereka yang sekecil bangsal tapi saya melihatnya seluas taman.

Inilah pertemuan yang tidak dirancang, tetapi paling menakjubkan. Sebelum ini saya pernah terbaca sebuah entri tentang ‘syurga’ itu di sini dan sini, dan sekarang barulah saya mengerti, malah saya telahpun merasai! Dan ini sebenarnya hanyalah sebahagian taman dari ‘syurga’ itu.

Rahsia Masakan Nenda

Saya akui, sebagai seorang jejaka, lelaki ataupun teruna, saya tidak begitu akrab dengan suasana dapur. Menghulurkan tangan dan sekerat tenaga untuk usaha dan kerja-kerja di dapur amat boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Melainkan kerja-kerja yang besar seperti untuk kenduri kendara, maka sewajibnya saya akan menyinsing lengan untuk perkara itu. Tidak untuk urusan kecil-kecilan seperti sarapan pagi, makan tengah hari ataupun malam.

Bukan atas alasan ego atau berat tulang, tetapi merasakan adik-adik saya yang sunti itu perlu lebih cekap dalam urusan di dapur tanpa dibantu oleh tenaga abangnya melainkan kerja-kerja  berat untuk mengalihkan barang atau memikul tong gas yang sudah kehabisan untuk diganti.

Tetapi, baru-baru ini, saya dirayu oleh sang Nenda untuk membantunya menguruskan sedikit kerja di dapur sedangkan dara sunti yang sedang duduk bersimpuh melingkari ruangan tamu itu begitulah ramainya. Saya juga yang dipilihnya.

Kata Nenda, mahu memasak rendang ayam. Ya, selain terkenal dengan masakan lemak cili api, masyarakat negeri sembilan dari tanah salinan Minangkabau ini juga cukup terkenal dengan masakan rendang dan lemangnya.

Lalu saya ditugaskan untuk membasuh ayam, 15 ekor kesemuanya yang telah dikerat potong  selazim saiznya.

Ketika disuruh menaburkan tepung dan kunyit untuk menghapuskan bau hanyir yang melekat pada daging ayam, Nenda berpesan “Baca-lah dulu selawat tiga kali”. Saya tersenyum dan sekadar patuh di dalam hati.

Di akhir bilasan, Nenda berpesan yang sama “Siramkan sambil selawat tiga kali”.

Ketika kuali sudah pun panas dan rempah ingin dimasukkan, lagi sekali pesan Nenda yang sama “Tuang sambil bacakan selawat”, katanya. Selebihnya, tanpa disuruh, saya membacakan selawat sepanjang masa menyediakan rendang itu. Ketika mengacau kuahnya, ketika menambah sabut dan kayu api, ketika meniupkan bara mahupun ketika menggesek-gesek kuah yang telah kering dipinggir belanga besar itu.

Lalu hari itu, sebenarnya sejarah telah tercipta untuk saya. Saya telah diwariskan oleh Nenda tentang resipi istimewa dalam masakannya. Barulah saya tahu mengapa masakan Nenda begitu lazat selama ini. Malah masakannya begitu dirindui, membentuk peribadi dan akhlak. Setiap tindakan dan patah katanya begitu dihormati anak dan cucu. Yang pernah merasai hasil air tangannya. Tidak tersangka sekali.

Rombongan Meminang

Hujung minggu yang lepas menitipkan pengalaman pertama saya menghantar rombongan meminang bagi pihak sepupu lelaki. Anak bujang Mak Teh yang sulong.Bakal tunangnya itu orang Pendang, Kedah.

Sebanyak empat buah kereta dari pihak kami mengiringi rombongan itu dari Tapah ke Pendang. Perjalanan bermula apabila kami memasuki pekan Pendang, selepas berlegar-legar dari jalan pekan Pendang, kami menyusur masuk jalan ke sebuah taman.Selepas empat lima kali belok kiri dan kanan, kami menempuh pula jalan ke sebuah kampung.

Yalah, bakal tunangnya orang Pendang, Kedah. Jalan kampungnya sedikit berliku-liku. Lebar jalannya hanya muat untuk dilalui oleh sebuah kereta sahaja. Di hati, saya berdoa untuk tidak berselisih dengan mana-mana kenderaan selain motosikal. Kereta pun bergerak dengan dengan kelajuan yang paling perlahan. Begitu-lah saya berhati-hati.

Agaknya setelah sekian lama perjalanan kami mengharungi jalan kampung itu tidak juga sampai-sampai. Atuk pun bersuara.”Hisshh, camno la si Ari buleh jumpo budak ni?”

Rumah Terbuka

Syawal masih lagi ada menyambut kita tulus, dan jemputan ke rumah masih terbuka lebar. Mengajak kita berkunjung dan ziarah mengenal saudara. Atau menjemput sahabat handai ke teratak buruk kita. Yang mana saja. Yang mana selesa.

Lebaran memang bulan penuh hikmah, padat dalamnya berisi ukhwah. Rumah terbuka selalu menjadi juara dalam acaranya. Selalu menawan hati yang menerima jemputan untuk berkunjungan.

“Datanglah malam ini, bawa orang rumah sekali” begitu ajak seorang teman, ayahnya orang berniaga, kepada kami sekumpulan. Antara yang bujang dan suami orang.

Malamnya kami berkunjung ke rumah semi-D dua tingkat yang berkelap-kelap dengan lampu berwarna-warna. Tetamu kunjung tiba tidak putus-putus.

Wajah tuan rumah begitu girang menyambut tetamu yang datang. Makanan terhidang lazat di hujung sudut di atas meja panjang. Sate padang yang baru diangkat dari jaring panggangan, nasi himpit yang kenyal kental bersiram kuah lodeh pekat, dan pelbagai lagi juadah-juadah berat yang mampu membuka nafsu biarpun perut sudah sendat.

Keriuhan dan kerancakan bermula. Tuan rumah tidak cukup tangan melayan kerenah kerenah sang tamu.

Cerita tuan rumah, di sana sini, lantai ini sudah ditambak batuan marmar-baru saja, di hujung tanah sana sudah naik satu wakaf berkayu cengal, nanti mahu bina anjung dari depan rumah bawa ke wakaf, jadi tahun depan kawasan rumah terbuka boleh jemput lebih ramai orang. Kawasannya jadi lebih luas sambil jarinya menunjuk ke dalam gelap, jauh tak nampak pagar atau tembok. Dijaja-jaja cerita yang sama pada setiap manusia yang ada.

Kami mendengar, mendoakan semoga InsyaAllah.

Tidak mahu saya menduga yang bukan-bukan. Tidak mahu saya meneka sangsi di hati.

Tetapi pesan untuk diri saya. Hari ini ramai orang membuka pintu rumahnya atas nama ziarah, sebenarnya sedang menunjuk harta dikumpulnya dengan bermegah-megah.

Minggu ini, pujian bertimpa mencurah-curah, rumah kamu besar indah, langsir lawa, tv nipis hebat, cornis tergantung agung -kata semata-mata. Membuat tuan rumah jadi bangga. Yang memuji niatnya tersirat di hati. Tak nampak mana kulit, mana isi.

Dalam tak sedar kita jadi pesaing antara kawan-kawan. Kelulusan kita sama, jawatan kita satu kerusi, gaji pun tak banyak beza.Tapi kehidupan siapa lagi mewah bertanda bahagia?

Api cemburu menyala dari bara tidak senang melihat kegembiraan orang lain. Apalagi bila dicanang-canang.

Syawal masih lagi ada menyambut kita tulus, ziarah kita untuk menyimpul ukhwah bukan membanding harta untuk bermegah.