Sebelas Patriot- Andrea Hirata

Sekali lagi penulis ini muncul, dengan novel terbarunya Sebelas Patriot. Kita boleh gambarkan di dalam novel ini, imaginasi Andrea terbentuk melalui potret-potret ayahnya di padang bola sepak. Seolah-olah Andrea sedang duduk ditepi padang bola, di bawah pohon dengan sebatang pen dan sebuah buku catatan. Dengan cermat Andrea memerhatikan bapanya bermain bola melawan belanda bersama dua saudaranya. Bola sepak yang menjadikan bapanya tempang, meminati kelab Real Madrid dan pemain kegemarannya ialah Luis Figo. Tetapi kelab PSSI masih lagi pertama di hati dua beranak ini.

Andrea jika bercerita melalui penulisan, dia sangat pandai, pandai bergaya, pandai berbahasa dan bijak bergambar dengan kata-kata. Adakah Andera juga seperti ayahnya? Yang selalu menjawab soalah Ikal dengan sebuah senyuman kemudian sepi. Yang selalu membuatkan Ikal menjawab soalan dengan jawapannya sendiri tatkala dibonceng basikal ayahnya? Kita tidak pernah tahu itu.

Tetapi Sebelas Patriot adalah novel yang sangat manis. Novel ini ialah tribute Andrea kepada ayahnya. Andrea tahu semangat juang ayahnya, impian ayahnya, harapan ayahnya dan dia ingin menyelit dicelah-celah ketaksampaian segala cita-cita ayahnya. Jikalau Andrea menjadi pemain bola, lalu siapakah akan menulis novel ini? Tidakkah selepas membaca novel ini, kita ingin tahu pula kisah ibunya? Tidakkah?