Teater Tiga Wajah

Dalam pentas sastera, teater ialah satu jendela lain yang memaparkan sisi kehidupan insan seni untuk terus bernyawa melaluinya. Menonton teater ibarat kita menonton pentas kehidupan dari sudut seni. Seni ialah sesuatu yang abstrak walaupun mempunyai tema tetapi tidak tertonjol sebagai subjektif dan objektif pula tidak wujud dalam ruang seni itu sendiri. Teater Tiga Wajah, yang dipentaskan di JOTIC, sempena meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan selama 2 hari dan berakhir hari ini sewajarnya dimanfaatkan oleh golongan yang mencintai seni dengan wajar dan waras.

Lakonan tunggal seniwati Fauziah Nawi dalam Tiga Wajah sememangnya mengagumkan. Tiga Wajah menceritakan monolog kaum hawa dalam menyelusuri plot dan tema yang berbeza. Keluhan demi keluhan dalam cerita Tukang Sapu, Hutang dan Pukul menyedarkan kita betapa keinsanan dan dunia perlukan jalan ketuhanan untuk bergabung secara linear hingga ke tahap infiniti.

Cerita Tukang Sapu memaparkan sisi seorang wanita separuh umur yang berkerja sebagai tukang sapu dengan angan-angan tingginya. Dia juga menjadi penasihat kepada Yanti yang wujud secara khayalan, dihimpit masalah cinta. Cinta yang membelenggu dengan ikatan kasih sayang, telah menjerut dirinya sampai berdosa lalu membunuh diri bersama penyapu. Dunia tukang sapu menceritakan seribu macam sapu, manusia sendiri kadang-kadang menjadi penyapunya. Ada manusia yang menyapu kekayaan dengan titik peluh manusia lain, ada manusia yang menyapu kebahagian dengan merampas kebahagiaan orang lain, ada manusia yang menyapu kebebasan insan lain dengan kuasanya, ada manusia yang menyapu kuasa dengan jalan liciknya. Itulah sebanarnya ‘Penyapu’.

Di sisi cerita Hutang, kelihatan lebih akedemia. Persolan hutang menyedarkan kita yang sebenarnya ia telah timbul sejak azali. Gaya Fauziah Nawi bermonolog di dalam cerita hutang, seperti cermin yang menyindir diri kita sendiri. Manusia sememangnya terikat dengan hutang, zahir dan batin. Hidup tanpa hutang pada hari ini adalah mustahil kerana ia seperti kita akan hidup tanpa oksigen. Membina kehidupan sewajibnya perlu berhutang. Lihatlah keadaan semasa kita, para garduasi yang melepasi tembok insitusi dengan sehelai skrol sarjana, sudah punya hutang untuk dituntas sebelum mendapatkan kerjaya. Lebih dahsyat, manusia yang sudah terjelupuk dalam dunia hutang tegar, ibarat menutup sebelah hidungnya untuk bernafas.

Dan cerita Pukul, ialah sebuah kisah dari perspektif seorang banduan. Manusia yang teraniaya kerana selalu dipukul memberontak dengan memukul kembali. Ia ialah gambaran had dan keterbatasan insan yang bernama manusia. Manusia bukan maksum untuk bersabar sepanjang hidup. Pukul jika dibedah lebih dalam, bukan hanya tertaluk pada fizikal, tetapi perasaan dan jiwa, ego dan kekaguman pada diri sendiri. Jika perasaan itu terpukul, sakitnya akan melebihi sakit fizikal. Deritanya lebih melarat dan tidak tertampung oleh dunia. Bisanya ialah hanya boleh ditawarkan oleh racun.

Secara kolektif, teater ini begitu berbeza dengan lakon layar yang selau kita tonton di peti kaca. Fauziah Nawi begitu hidup dengan lakonan seorang diri di atas pentas. Unsur-unsur komedian, keseriusan, kesedihan, kegembiraan begitu bermain-main dengan lakonannya seperti seorang pemain bola yang menjaringkan hatrik.

Keluarga Gerilya- Pramoedya Ananta Toer

Membaca Keluarga Gerilya seperti kita dapat membaca sebuah keindahan. Kita boleh membaca keindahan falsafah, keindahan prinsip, keindahan perjuangan, keindahan pusara dan kayu nisan, keindahan darah, keindahan cinta dan sejuta keindahan lainnya. Semuanya indah kerana satu, iatu keindahan kata yang dilukiskan bergabung dalam naskah ini bersama-sama latar yang cukup getir dan tragedi. Zaman perang yang memusnahkan segala-galanya.

Sa’aman ialah seorang tukang beca setelah berhenti dari pekerjaannya sebagai seorang prajurit dalam kelompok gerilya yang memperjuangkan kebebasan dan keemerdekaan tanah airnya. Sa’aman ditangkap oleh MP, menyebabkan keluarganya yang selama ini bergantung hidup kepadanya menjadi kucar kacir. Kehidupan keluarga ini semakin hari semakin gelisah dan resah, ibunya Amilah menjadi gila dan lupa ingatan, dan adik-adiknya Amah, Imah, dan Hassan setiap hari menangisi kehilangan Sa’aman. Selain itu, dua orang adik Sa’aman iaitu mimin dan Kartiman telah pergi mengikut jejak Sa’aman berjuang dalam kelompok Gerilya, bezanya mereka tidak pernah berpatah balik.

Sejak Sa’aman ditangkap MP, saban hari Amilah menanggung kesedihan yang luar biasa. Dia mencari-cari kehilangan Sa’aman. Seolah-olah Sa’aman itulah satu-satu anaknya. Yang keluar dari bibir Amilah hanyalah kata caci maki dan kadang-kadang bersulamkan tangisan dan rayuan. Memohon simpati supaya anaknya itu dipulangkan. Dia merayau-rayau, bercebik sendiri, memaki entah siapa, dan menangis tiba-tiba. Namun sehingga Sa’aman telah mati dihukum tembak, Amilah tidak pernah berjumpa dengan anak yang paling dikasihinya sedangkan jarak penjara tempat Sa’aman ditahan dengan rumah mereka tidak sampai satu kilometer. Kezaliman dalam perang memisahkan seorang anak dengan ibunya, seorang abang dengan adik-adiknya dan seorang ketua kelurga dari tanggungjawabnya.

Pemergian Sa’aman menyebabkan adik-adik Sa’aman mula belajar berdikari, tetapi hidup ini ternyata sukar kerana lantai tempat berpijak itu tiba-tiba roboh, ia seperti manusia yang biasa berlari dengan dua kakinya, tiba-tiba dipotong kakinya yang sebelah lagi. Walaupun ditatap kepiluan kerana kehilangan, akhirnya adik-adik Sa’aman sedar, bahawa kehilangan abang mereka yang diberkas sebagai pejuang itu telah mencerahkan jiwa dan perasaan mereka. Mereka rela dan pasrah, kerana Sa’aman adalah hak masyarakat dan negara. Kerana Sa’aman seorang bekas pejuang yang pernah membela negara ditangkap kembali setelah Belanda memerintah Tanah Indonesia.

Ketika di dalam tahanan, perilaku Sa’aman menarik perhatian direktur penjaranya. Sa’aman yang tidak takut mati, Sa’aman yang masih lagi berani-berani, Sa’aman yang menghormati manusia dengan kerendahan nilai budinya. Pengenalan yang singkat tetapi padat dengan konflik mempertontonkan kepada kita kontradiksi antara dua manusia. Seorang ialah pejuang negara yang sanggup berkorban jiwanya dan seorang lagi ialah pentadbir yang bersembunyi disebalik lencana yang dipakainya. Tanpa lencana itu, dia hanyalah seorang pengecut yang tidak punya sebenih keberanian pun.

Seorang penulis yang cuba menuliskan latar perang tanpa sempat mengalaminya terlebih dahulu penderitaan/pengalaman di zaman itu, ia akan menulis dengan kepalsuan walaupun niatnya untuk menimbulkan kesedaran. Dia tidak akan dapat menyampaikan kesedihan itu dengan benar, dia tidak boleh membayangkan kepiluan dan kesengsaraan itu betul-betul menikam jasadnya sampai ruh pun terasa. Biarpun dia menonton Saving Private Ryan berkali-kali, biarkan dia menaledeni Blood Diamond atau Hotel Rwanda sampai hafal jalan ceritanya, sekali-sekali dia tak akan pernah dapat. Dalam Keluarga Gerilya, kesedihan yang ditulis itu dapat dirasakan. Kepiluan itu akan sampai dengan sendiri. Kengerian itu akan menjelma seperti matahari. Kemarahan itu akan menyala seperti api.Jika kita pernah membaca Keledang, kita boleh katakan bahawa Keluarga Gerilya adalah cerminan Keledang atau Keledang itu sendiri ialah pantulannya Keluarga Gerilya.

Sterika

Seingat saya, dahulu di dalam rumah saya, ada sebuah sterika lama. Sebuah sterika yang bertubuh gelap dengan warnanya hitam pekat. Di sisinya ada lampu penunjuk berwarna oren. Wayarnya disalut kain yang sangat tebal seperti tebalnya baju musim dingin dengan kepala soket yang selalu rosak. Sterika lama itu beratnya keterlaluan, ia bukan seperti sterika kebanyakkan yang ada pada masa kini, ringan dan berbentuk menggoda. Sterika lama saya itu bentuknya tegap, hujungnya tirus, plastiknya padat, besinya krum dan padu. Sterika lama saya itu ibarat seorang lelaki dewasa yang berkerja sebagai buruh. Sasa dan lasak. Sterika sekarang cuma ibarat seorang lelaki kota yang kontemporalis dengan penampilan yang segak. Kerjanya di pejabat yang berhawa dingin. Dengan itu kita boleh meneka sifatnya yang tidak tahankan tekanan dan lemah lembut serta kadang-kadang mengada-ngada. Jangan malam jadi gay sudah.

Sterika itu yang paling banyak memakainya ialah ibu. Setiap hari ibu akan menggunakan sterika itu untuk menggosok baju kurungnya sebelum pergi kerja. Ya, ibu gadis kampung yang hanya pandai bergaya dengan baju kurung. Koleksi baju kurung ibu begitu banyak sehingga sebuah almari dipenuhkan dengan baju-bajunya. Baju yang dibeli oleh abah selalunya.

Saya belajar mensterika baju seawal usia 6 tahun. Waktu itu saya sedang belajar di sebuah tadika perpaduan. Baju biru warna nila dengan seluar pendek juga warnanya biru tetapi biru yang gelap. Sterika dan seorang budak tadika, adalah seperti kombinasi kata laluan sebanyak 32 askara yang di dalamnya ada abjad dan nombor yang tidak terusun. Payah.

Saya belajar mensterika demi seorang gadis cilik namanya Aisyah. Aisyah duduk dibawah kipas angin, baris meja nombor tiga jalur nombor empat. Rambut Aisyah panjang dan lurus. Rambut Aisyah selalu mengerbang dibelai angin jika Aisyah tidak memakai skarf, seperti daun lalang alunnya. Kekaguman saya pada Aisyah adalah kerana pakaiannya yang kemas dan licin. Baju dan skirtnya tidak ada sebarang kedutan. Sikapnya yang berhati-hati demi memelihara pakaiannya terserlah melalui setiap pergerakannya yang tertib. Ketika duduk, bangun dari kerusi, menyandang beg, menyinsing lengan baju, menyandarkan badan pada kerusi, meletakkan tangan di atas meja dan semuanya. Dan kadang-kadang Aisyah bersila di atas kerusi pun gayanya tersangat cermat. Saya pun tak paham.  Cermat dan tertibnya seperti mematuhi rukun nikah yang tidak boleh tertinggal satu pun. Jika tidak, nikahnya akan jadi tidak sah.

Demi Aisyah, saya akan memastikan setiap hari baju saya disterika. Pada bahagian bahu sewajibnya ada garis yang tajam dan berbucu sampai ke hujung lengan seperti lengan baju Aisyah. Ketika mensterika seluar, seluar saya mesti licin dan berkilat seperti skirt Aisyah.

Jika sebelum ini, saya ialah budak lelaki yang tidak kisahkan penampilan tetapi selepas itu, saya menjadi budak lelaki yang paling kemas di dalam kelas seramai 40 orang. Saya tidak lagi bermain kejar-kejar di padang simen bersebelahan sekolah sementara menungggu untuk masuk ke kelas, saya tidak tidak lagi ikut menangkap belalang di dalam semak belakang sekolah sementara menunggu loceng dibunyikan dan saya tidak lagi duduk di tepi parit dengan tali tangsi dan mata kail di tangan demi mengumpan belut yang bersembunyi di dalam lubang tepi-tepi parit.

Tetapi penampilan kemas itu, tidak dapat bertahan lama. Hanya pada waktu masuk sekolah saja. Kerana saya tidak dapat meniru pergerakan tertib Aisyah yang dapat menghindarkan bajunya dari berkedut sepanjang masa, saya tidak dapat meniru gaya duduk Aisyah yang sopan, saya tidak dapat meniru bagaimana untuk bersandar ke kerusi dengan stail Aisyah. Pergerakan saya selalu kasar dan aktif, terlompat-lompat dan terkinja-kinja akan menyebabkan baju yang disematkan ke dalam seluar akan bergumal-gumal keluar. Saya tidak akan paham bagaimana seorang budak-budak, tidak dapat melompat-lompat dalam satu hari? Melainkan dia cacat atau kakinya ada penyakit keradangan atau kakinya terpijak kaca. Ya, itu mungkin.

Pun begitu, saya sebenarnya telah menjadi bukan diri saya sendiri. Ada perasaan yang menentang perubahan itu yang begitu bergolak di dalam dada. Perasaan serba salah itu hadir apabila terpaksa menentang ajakan rakan-rakan seperjuangan. Bermain kejar-kejar, menangkap belalang juga mengumpan belut. Perasaan itu seperti perasaan yang mengkhianati rakan baik sendiri dan menjadi seorang pembelot di belakangnya. Perasaan itulah agaknya yang sama dirasakan oleh Mat Indera kerana terpaksa berkomplot dengan komunis demi mengusir penjajah british dan jepun. Terpaksa.