Ilham Di Tepi Tasik- A. Samad Said

Gambaran awal Ilham Di Tepi Tasik sebenarnya diharapkan saya sebagai suatu pembacaan yang santai dan rileks, tapi ternyata istilah santai dan rileks seorang seniman adalah tidak sama seperti istilah santai dan rileks yang selalu diguna pakai oleh orang ramai. Istilah santai dan rileks seorang seniman rupanya adalah terlalu  kompleks untuk difahami oleh orang kebanyakan. Istilah santai dan rileks seorang seniman rupanya lebih banyak menjengah ke dalam dunia menginsafi. Dalam mengenang, lebih banyak mengenang tragedi-sedikitnya senang hati. Dalam berfikir masih  sibuk menafsir, disamping turut mengerah ‘akal seninya’ untuk ‘melihat’ menembusi ‘hijab’ tentang apa yang sebetulnya terjadi.

Di sinilah kita dapat mendengar renungan A. Samad Said dalam waktu rileks dan santainya. Ketika usianya sudah mengusai satu dasawarsa, setelah banyak yang beliau melihat dan baca, naskah ini bagai memanggil beliau untuk menyorot kembali kisah-kisah ria-duka lama dan kini. Naskah ini bercerita tentang kehidupannya dan pengamatannya yang sempat dirakamkan. Walaupun jika kita melihat pada satu perspektif, seolah-olah beliau lebih berimbang dan amat empuk di dalam goyangan buaian sastera, kerana memang beliau ialah ahlinya, tetapi buaian sastera beliau rupanya terhanyun sangat jauh. Ia bukan sahaja meliputi seputar asia, malah mengajak kita sampai ke Rusia, melanggar sempadan sastera Eropah dan berpusing kembara di negara Timur Tengah. Bila ceritanya seputar kenangan dan pengalaman, kita dijemput untuk kembali melihat getir-getir kehidupan dekad 50-an dan 60-an, serta merta disuruh untuk membuat perbandingan.

Buku ini ialah sebuah buku yang sangat berwarna warni-kan seni. Ada kisah tentang pengalaman yang mengajar, agar kita barangkali dapat menjalin sedikit iktibar, ada kritikus seni seputar kanvas sasterawi yang sangat luas tanpa ditanda halangan, ada pertanyaan yang begitu menginsafi dan menasihati, ada kenangan yang melakar bahagia-menggarit derita, juga rupanya ada rahsia sulit yang tersangat berbisik-mendesahkan sekuntum rumit.

Dwilogi Padang Bulan & Cinta Di Dalam Gelas- Andrea Hirata

Kegilaan nombor 45 ialah obsesi pada Andrea. Justeru itu, bagi kemakmuran jiwa setiap manusia, saya tidak merekomendasikan buku ini untuk dibaca. Malah jika boleh, cover page buku ini pun haruslah (baca wajib) disekat untuk paparan umum, judulnya harus pantang disebut dari mulut-mulut masyarakat dan rakyat (Pemerintah sila ambil perhatian). Apatahlagi jika tulisan-tulisannya diulang cetak secara berleluasa boleh menyebabkan gangguan mental disoder , diterbitkan semula akan menyebabkan wabak bioterrorisme, andai karyanya ini diterjemahkan pada tiap-tiap bahasa boleh mendatangkan kesan rumah hijau yang dahsyat atau disimpan pada tiap-tiap rak buku yang ada di rumah, kedai buku, perpustakaan adalah seperti menyimpan bahan radioaktif beradiasi tinggi.

Saya tidak mahu memberikan ulasan kepada buku ini, kerana nanti saya akan dituduh bias, kejam, tidak adil dan banyak lagi perkataan yang macam-macam. Lalu nanti di kemudian hari saya akan dipersoalkan kembali. Saya tidak mahu. Amaran dari saya, jangan baca buku ini.

Galah Panjang

Pagi itu, rehat jam sepuluh. Selesai loceng menghabiskan bunyinya dan belum pun guru kami Cik Salina menjejakkan kaki ke luar bilik darjah. Suasana kelas sudah mulai riuh. Cikgu Salina memalingkan wajahnya pada kami. Dengan sekilas itu suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Setelah  itu, dia mengatur langkahnya kembali, dengan perlahan dia menuruni anak-anak tangga. Bunyi detak kasut tumit tingginya begitu tajam mengisi ruang kesenyapan. Sampai detak sepatunya hilang atau tubuhnya tidak terlihat lagi dari pandangan, kelas kami kembali menjadi riuh heboh. Waktu rehat, adalah detik yang paling dinantikan. Murid-murid di dalam kelas segera bertaburan, berhamburan. Pintu keluar di bahagian belakang mahupun depan diterjah mereka seolah-olah seperti bunga yang diserang kumbang. Berhimpit-himpit dan bersesak-sesak mahu melalui pintu yang sempit itu. Kadang-kadang timbul juga perasaan kasihan saya pada pintu itu. Saya duduk di bahagian kanan paling belakang berhampiran pintu, kerusi saya selalu menjadi mangsa perlanggaran mereka.

Saya masih menyimpan buku dengan tertibnya ke dalam ruang kosong di bawah meja. Sambil mata menjeling-jeling kepada sang gadis si pengawas yang duduk di bahagian tengah paling depan. Biarpun  hanya dapat memandangnya dari belakang, hati saya sudah cukup bahagia. Apatah lagi jika dia menoleh untuk menyimpan buku di dalam beg sandangnya, ditambah dengan dengan sekuntum senyum. Aduhai! Tetapi sesegera itu akan saya lekas-lekas mengalihkan mata. Memohon kepada tuhan agar disembunyikan penglihatan saya yang selama ini memperhatikannya tanpa dia sedari.

Dia, gadis itu, sang pengawas itu jarang keluar ke kantin pada waktu rehat. Masa rehat, dia hanya habiskan dengan duduk di dalam kelas bersama dua atau tiga orang rakan-rakannya. Mereka berbual, ketawa dan mencuit antara satu sama lain. Kadang-kadang bibirnya tersenyum, kadang-kadang wajahnya mencemik, atau paling comel ketika rupanya di ambang kehairanan. Pipinya akan segera merah seperti debunga-debunga sakura, matanya akan mengecil menjadi redup yang aman, dan bibirnya, bibirnya yang halus itu akan tenggelam digetap giginya dari dalam.

Saya yang di luar kelas, hanya memerhatikan dia di balik jalur-jalur kosong tingkap kaca yang tembus ke dalam.

“Mari, hari ini kita ada perlawanan persahabatan dengan Kelas 3 Ehsan” begitu Hanifa mengajak saya. Saya melihat Hanifa laju menuruni tangga.

Dengan langkah panjang, sekejap saja kami sudah berada di tingkat bawah. Kelas di tingkat tiga itu hanyalah sekelumit jarak yang tidak pernah menggugah rasa penat dan lelah kami dengan sekali turun. Kami pernah didenda untuk turun naik dari tingkat tiga ke tingkat bawah sebanyak 5 kali pusingan.

“Kamu kena berjalan itik sebanyak lima pusingan. Turun ikut tangga kiri dan naik semula ikut tangga sebelah kanan” marah sungguh Cikgu Saleh kerana saya, Hanifa dan Rudy dilihat menendang telefon awam yang terletak di bawah pejabat tuan Guru Besar.

Kegembiraan lantaran menendang telefon awam yang menjatuhkan koin yang tersumbat di dalamnya sebanyak sekeping 50 sen dan tiga keping syiling 20 sen digantikan dengan wajah merah Cikgu Saleh dan rasa kebas kaki yang memakan masa seminggu untuk pulih. Seminggu itu kami berjalan terhincut-hincut, bagaikan anak lelaki yang baru masuk jawi dan dipakaikan seluar, kemudian dipaksa untuk bemain bola.

Di depan bangunan, ada sebuah padang tar yang kasar dan berbiji-biji permukaannya. Jika ada orang memuji wajah bulan itu cantik, itu hanyalah bulan dipandangnya dari jauh. Tetapi jatuh di bulan, tidak sama jika kamu bergelungsur jatuh di atas padang tar, kawan. Apatah lagi jika pada waktu itu padang tar sedang dibakar terik matahari. Luka yang terhasil akan bergarit-garit, kulit terlihat kopak dan darah membasahi ruang luka. Dibasuh dengan air paip hanya akan menambahkan perit. Lebih perit lagi jika di dalam kelas luka itu akan disedari oleh guru yang mengajar lalu dia akan berkata “Budak baik memang begitu”.

Dari padang tar itu, saya dapat melihat bangunan kelas kami. Matahari pada jam sepuluh masih nyaman. Udara menghembus masih perlahan. Di ruang langit, awan-awan sinus bergaris-garis halus, dan yang berkepal-kepal seperti kapas itu ialah awan Stratokomulus. Begitu saya mengingati jenis-jenis awan yang dibicarakan oleh Pn. Hayati, guru sains kami. Maka matahari jam sepuluh itu akan menjadi saksi kepada sebuah perlawanan terhebat antara kelas kami dengan kelas 3 Ehsan. Setakat ini, kelas kami adalah juara bertahan dalam permainan ini pada peringkat darjah 3.

Pemain tetap kumpulan kami terdiri dari 5 orang. Saya, Syed, Hanifa, Rudy dan Anuar. Dalam posisi pertahanan saya di baris pertama. Syed dan Hanifa menjaga barisan kedua dan ketiga. Anuar di baris keempat sementara Rudy ialah penjaga garisan tengah.

Saya mendongakkan kepala ke atas. Ingin melihat awan sebenarnya tetapi apa yang saya terpandangkan? Saya terpandangkan kelas kami di tingkat 3. Ya! Tuhan, rupa-rupanya di balkoni di hadapan kelas kami itu, si gadis, sang pengawas itu sedang memerhatikan kami. Walaupun dari jauh, saya dapat merasakan dia sedang mengukir sebuah senyuman. Khusus kepada saya. Pembuluh darah, degup jantung, nadi urat tiba-tiba mengalirkan semangat yang selama ini tidak pernah datang. “Pertahankan nama kelas kita” seolah-olah begitu dia berbisik kepada saya.

“Jom main!” Tiba-tiba saya menjerit lantang, rakan-rakan yang empat terkesima. Sayalah pada waktu itu bagaikan seorang panglima yang tidak sabar-sabar menunggu musuhnya datang.

Bedar Sukma Bisu- Faisal Tehrani

Bedar itu maknanya perahu besar. Sukma bermaksud jiwa dan bisu beerti lidah yang kelu tidak dapat berkata-kata. Novel ini telah memenangi tempat pertama dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP tahun 2006. Jika kita mengimbau nostalgia lampau, sejarah silam, di tanah sendiri ini, kan terdapat satu daerah yang dulunya telah mahsyur dan makmur di persisiran selat yang terkenal. Orang memanggilnya ‘Suvarnabhumi’ atau ‘Semenanjung Emas’ yang lautannya perak gemilau, tanahnya emas bercahaya, hutannya subur menggoda. Naskah ini ternyata satu naskah yang padat dan padu, manis dan madu. Dalam kesungguhan untuk kita percaya, selain lautan itu menyimpan misteri ternyata masih punya berjuta rahmat untuk disyukuri, baik di permukaan atau di dasar. Itulah ilham yang memancang Bedar Sukma Bisu. Lautan menjadi sebuah ceritera dipesan melalui rahsia perahu.

Ternyata kepengarangan Faisal Tehrani membawa kita ke alam pembacaan yang baru. Ia membelit kita dengan lembut oleh plot penceritaan yang sengaja tidak distruktur. Elemen-elemen cinta, sejarah, alam lautan, dunia dagang, keintelektualan dan puzzle fakta-fiksi adalah gabungan berangkai-rangkai tetapi sungguh menghurai. Sebagai contoh jika di dalam sebuah rumah itu ada beberapa tingkap, kita akan membuka tingkap pertama dengan cinta Wefada kepada Elemine, tingkap kedua mempertontonkan hubungan kasih sayang antara Tengku Fatimah dan Ben Qortubi dan tingkap ketiga kita akan melihat kenangan mesra Wefada dengan Chen. Walaupun kisahnya terpisah di dalam naskah tetapi ia bercantum ranum di dalam memori. Di sebalik itu, menggunakan falfasah lautan elemen-elemen itu menjadi tema  bagaikan gelombang kecil atau besar yang menggugah; laut dan pantai.

Sebenarnya Bedar Sukma Bisu bukanlah naskah yang kaya dengan cinta sahaja, di sisi yang lebih besar ia terpencar membawa sinar idealisme yang telah dikaji-pahami dengan fakta dan sejarah kegemilangan masa lepas. Sejarah Melaka tentunya. Atau di sisi yang lain ia juga membawa penghayatan seni ke dalam penulisan seperti kemahiran pertukangan kapal Melayu atau kebijaksanaan dan kreativi pedagang tempatan yang lamanya tidak subur.

Seorang penulis akan menulis untuk membawa pemikirannya ke dalam buku, dan menyalurkan kepada pembaca melalui pembacaan. Jika penulis-penulis lama seperti Shanon Ahmad, Anwar Ridhwan, A. Samad Said, Rahim Kajai, Pak Sako atau Keris Mas membawa lebih banyak pengalaman ke dalam penulisan mereka, penulis generasi baru seperti Nisah Haron, Rebecca Ilham, Salina Ibrahim atau Faisal Tehrani sendiri telah belajar untuk memakmurkan karya mereka melalui adunan pengalaman dan fakta. Jika kita membaca karya A. Samad Said begitu mengesankan, Faisal Tehrani melalui gurunya itu lebih membekas malah mengajar kita membaca sebagai seorang cendekia.

Keledang- A. Samad Said

Sejarah adalah sesuatu yang mungkin tidak terpadam. Walau terhapus catitannya dari lembar pembacaan, sisanya masih lagi terakam dalam ruang memori. Keledang adalah penceritaan semula zaman yang meresahkan, merengsakan malah zaman yang merenguskan barangkali. Ya, barangkali. Kita akui sahajalah yang kita tidak pernah hidup dalam zaman perang, melewati kegawatan dan ketakutan serta kebimbangan terhadap apa yang akan berlaku pada esoknya. Hanya segelintir insan  dianugerahi umur yang panjang serta diberkati ingatan yang kukuh tentulah lebih mengerti malah menyelami detik-detik yang telah terjadi seperti itu.

Oleh itu, sebagai apakah kita waris yang terlahir selepas era yang begitu menyesakkan akan bersyukur kerana takdir Ilahi begitu Penyayang melepaskan kita dari mendenai laluan yang berisi tragedi? Bacalah Keledang. Kerana harapan penulisnya begitu merayu supaya kita  belajar menghargai.

Bagaimanakah ketika era yang begitu gamat, seorang suami tiba-tiba hilang dari sisi keluarganya tanpa dapat dijejaki? Sedang isterinya mengandung dan di rumah mereka masih lagi punya dua orang anak? Bagaimankah ketika detik- detik cemas, seorang isteri boleh pergi meninggalkan suaminya, bersama anak mereka, dan menjadikan sang suami hilang erti hidup? Bagaimanakah resa  seorang abang yang begitu khuatirkan adiknya sanggup menempuh perjalanan jauh untuk membawanya kembali ke pangkuan keluarga ketika bunyi tembakan saling sambung menyambung? Bagaimanakah saat seseorang menaruh harapan kepada seseorang yang lain, rupanya ialah sebuah penggantungan yang palsu?

Jika Pramoedya di dalam Keluarga Gerilya-nya begitu kucar jalan ceritanya, demi mengajak kita untuk merasai sebuah era perang, tetapi A. Samad Said di dalam Keledang masih lagi tenang. Ataupun Faisal Tehrani dalam fiksi Kombat 1515 begitu mengghairahkan semangat jihadnya, tetapi Keledang masih damai, menentang secara waras dan berfikir secara luas.  Erti kata perang di dalam Keledang menghidupkan makna cinta, memberi nyawa kepada rindu, menghargai tali kasih sayang dan mengajar menikmati anugerah alam sekhusyuknya.

Writer Blocks II

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur- Keris Mas

“Kalau mahu hidup kita mesti berani. Memang perjuangan hidup ini macam itu. Kalau tidak terbilang, hilang. Kalau tidak timbul, tenggelam”.

Membaca Keris Mas seolah menyorot kita untuk hidup dalam satu latar sosial yang asli dan segar. Hakikatnya, seorang sasterawan akan selalu menulis dengan pena pengalamannya, lalu kita sebagai pembaca lekas-lekas menekurkan diri- menginsafi barangkali ceteknya hidup yang kita sedang hadapi.

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (SBDKL), pada saya merupakan sebuah naskah yang mudah tapi punya pesona dalam plot, watak dan latar. Pekan Tualang, Kampung Pulai dan Kuala Lumpur, latarnya sendiri sudah menunjukkan jurang antara sebuah kota mega dengan secebis tanah di desa yang kerdil. Dari situ, dibangunkan pula watak yang besar iaitu Encik Muhammad, Dato’ Tan, Tan Sri Syed Aris. Mereka-mereka ialah tokoh dan saudagar kota. Encik Muhammad sendiri berasal dari Pekan Tualang mengukir mahsyur di Kota Kuala Lumpur. Di kampung Pulai, hidup pula Watak-watak kecil seperti Sudin, Imam Saad, Pak Salim, Tuk Empat Dahlan, Penghulu Mahmud, Jahid, Lebai Maaruf, Mat Akil dan orang kampung Pulai itu sendiri.

Dengan usaha sama Dato’ Tan, Encik Muhammad ingin menerbitkan sebuah syarikat perlombongan di atas tanah Kampung Pulai. Dari situ, telah berangkai hubungan diplomatik-politik atas kepentingan Encik Muhammad untuk menjalankan kerja sulitnya iaitu memastikan penduduk Kampung Pulai akan menjual tanah mereka kepada syarikatnya. Jelas, politik pada masa dahulu ataupun sekarang adalah tetap serupa-kepentingan semata. Encik Muhammad membina hubungannya dengan YB Muhammad Yusuf, dan titiannya dengan masyarakat kampung melalui Sudin. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak terputus dan tepung tidak berselerak. Gambaran yang jelas, seorang tokoh yang nampak wajahnya ikhlas, rendah diri, tinggi budi, dermawan-tentunya berjaya memikat hati orang-orang kecil yang tidak nampak keinginannya sebesar jarum untuk menyulam jerami-jerami emas menjadi sebuah hamparan permaidani.

Namun begitu, hajatnya untuk melombong seluruh Kampung Pulai tidak berjalan mudah, lantaran antara banyak orang, akan ada yang sedikit hidupnya tidak bermatlamatkan harta sahaja. Begitulah cabaran bagi sseeorang yang memiliki harta, sedang harta itu menawan seluruh hati, tetapi tidak dapat memikat orang bersandarkan ketentuannya pada Ilahi. Imam Saad dan Lebai Maaruf ataupun Sudin yang separuh insaf. Anak Encik Muhammad, Rahim sendiri menentang tindakannya ayahnya untuk membeli tanah orang kampung. Rahim menganggap ayahnya sudah buta kerana harta, menganiaya orang kampung dan hanya memikirkan keuntungan diri sendiri.

Jika kita membandingkan antara Tuan Direktur tulisan Hamka sama SBDKL, kita akan melihat hampir kepada satu titik, karakter dan pesan yang sama  dalam ruang yang berlainan latar dan sudut pandang. SBDKL bezanya memerlukan banyak watak untuk dilengkapi ceritanya sedangkan Tuan Direktur dengan terus menceritakan “dia itu begitu, dia ini begini”, jalannya ceritanya lurus berbanding SBDKL yang banyak lenggok tari dengan bahasa langgamnya. Justeru kita dapat membayangkan Pak Jazuli itu Encik Muhammad, cumanya dia tidak pelahap seperti Pak Jazuli. Margono atau Haji Samin akan sama dengan Mat Akil, Pak Yasin itu Imam Saad ataupun Lebai Maarup,  dan Fauzi pula ialah Rahim ataupun Sudin dalam satu lakonan. Ibaratnya, seorang pelakon yang berlakon dalam drama atau movie yang berlainan, tetapi pelakonnya hanya itulah. Bezanya masih tetap ada, dan hasilnya tidak akan kecewa kerana pengarahnya tidak berkongsi kemahsyuran yang serupa.