Syair Lentera Mustika- Nisah Haron

Sumber gambar disini

Dengarkan tuan sedikit ulasan
dari saya ingin sampaikan
mana yang salah mohon maafkan
andai tersumbang silap tafsiran

Ainur Mustika diberi nama
menjadi teras watak utama
di Lentera Mustika ia berkelana
mencari cinta menggali bahagia

Dilukiskan Ainur bersederhana
berjiwa luhur bersukma bahasa
berpantun gurindam paling di suka
tujunya mahu mendarjatkan sastera

Ainur direbut tiga jejaka
tidaklah dia terburu buta
pada tuhan Ainur berdoa
untuk ditunjukkan cinta yang nyata

Pertama cintanya pada Syed Amirul
di Sungai Musi janji tersimpul
kerana darjat asal dan usul
di Selat Melaka cintanya masyghul

Datang Zul Farhan menaruh harapan
agar diberi ruang dan kesempatan
namun Ainur tidak terkesan
Zul Farhan hanya dianggap anak didikan

Di suatu hari Ainur terpikat
pada suara yang berona mufrad
Emir Johanlah yang punya jasad
di dalam diam menyimpul niat

Betapa Ainur berdamba bahagia
bersama Emir Johan sinarnya bermula
biarkan kering Selat Melaka
sikit pun tak layu janji setianya

Baru Ainur hendak merasa cinta
tidak terbayang ujian menimpa
ternyata bahagia pinjaman cuma
yang kekal nyata hanya di syurga

Ibaratlah Ainur Mustika seperti lentera
terang benderang menyuluh segala
malap tak padam tetap menyala
dibawa ke mana indah bercahaya

Molek Garden
Nov 1, 2010