Edensor- Andrea Hirata

Apabila seorang pembaca memegang sebuah buku, dia telah mengasingkan dunianya ke dalam dunia baca. Sebuah dunia yang dikarang oleh penulis. Jika dunia itu berjaya menariknya. Pembaca itu mungkin tidak sedar yang jarum jam sedang berdetik, kopinya yang hangat telah sejuk, youtube yang sedang buffer sudah tamat dan u-torrentnye telah mengompletekan 3 movie yang sedang di download.

Dia sudah lupa point hidupnya kerana membaca point-point hidup dalam sesebuah karya. Persoalannya, bagaimanakah hendak kita temukan poin-point hidup itu jika sesebuah karya itu tidak dapat kita jiwai? Adakah kita perlu mencari dan menelaah dengan lebih dalam lagi karya itu? Ataupun kita google sahaja di internet, sebuah medan pencarian tanpa batasan? Bagi Andrea, persoalan itu tidak pernah wujud sama sekali. Kerana point-point penting itu telah dia garapkan dalam Edensor.

Membaca Edensor, ialah bagaimana kita boleh membaca seculin keinginan yang ingin dijelmakan. Keinginan Ikal untuk ke de l’Université Paris-Sorbonne. Dan memberahikan keghairahannya untuk menjelajah Eropah sampai ke Afrika. Titik yang ia ingin klimaks.

Kasino- Saifullizan Tahir

Kasino ialah cerita yang lurus, tidak berbelok, tidak berpusing sana ke-mari, tidak ada tanda untuk berhenti. Kasino juga ialah cerita yang ringan, mengangkat tema pseudo dalam lingkaran masyarakat berharta dan korup. Satira siasah dipersembahkan dengan gampang dan enteng. Pun begitu gampang dan entengnya Kasino, tetapi ia sebuah karya yang sinis dan sarat dengan persoalan-persoalan tiang kepercayaan atau gerbang-gerbang pendirian.

Kasino tidak membawa kita terus ke meja judi. Dalam Kasino, kita tahu meja judi ialah tempat persinggahan manusia yang terdesak, tamak haloba, malas berusaha ataupun mereka yang mencari keseronokan sementara semata. Sebelum itu, ceritanya berlingkar tentang arus perniagaan seorang tokoh yang bergantung pada iklim politik yang sangat bergelora.

Saifullizan Tahir melukiskan watak Dato’ Narcissus dalam Kasino dengan teliti. Pertama sekali apabila penulis memperkenalkan watak Dato’ Narcissus, ternyata ia begitu physco. Manusia yang tenggelam dalam mewah dan timbul dengan keangkuhan, sayangnya elemen itu hanyalah secebis sifat yang sepatutnya masih diperboleh-dalam-kan lagi.

Setelah membaca tiga buah karya urban ini, Pecah, Dendam dan Kasino saya telah menemukan sebuah tema yang lazim yang ada pada ketiga-tiganya. Seks!!!

Dendam- Affifudin Omar

Naskah ini bergerak terlalu pantas. Seolah-olah apabila kita membacanya ia melaju seperti seperti seekor burung merpati mematuk biji-biji sekoi yang dilemparkan oleh pengunjung di Dataran Bandaraya. Dari sub-topik ke sub topik yang lain, pergerakannya juga seperti burung merpati itu tadi. Ia berjalan terkedek-kedek mengerumuni kawasan yang paling banyak ditaburi bijan-bijan sekoi. Kadang-kadang ia begitu jinak mematuk-matuk sekoi di tangan pengunjung. Tetapi harus kita ingat, sejinak-jinak merpati, walaupun jinaknya sampai boleh mematuk di atas tangan tetapi masih juga liar.

Novel ini bersama plotnya bergerak dengan sangat mudah. Walaupun lingkungan tema dan latarnya sangat besar. Wataknya sangat ramai, tetapi boleh diingati dengan berkesan. Mungkin kerana bahasanya yang ringan maka dengan selamba penulis secara tiba-tiba dapat memusingkan apa jua situasi perenggan ceritanya sebanyak 360 darjah, seperti seorang pelajar kuliah yang memusing-musingkan pensil di tangannya.

Dendam, begitu tajuknya sangat mengerikan. Tetapi penulis menterjemahkan cerita dendam itu secara minimalis. Secara mikro. Kisahnya bermula apabila Khalil Gibran anak seorang petani yang ayahnya menjadi cacat kerana dipukul oleh Sarjan Mejar Samad, secara peribadi menyimpan dendam terhadap polis yang mengganyang ayahnya, kemudian dendam itu berlingkar lebih besar kepada seluruh kesatuan anggota polis dalam negara.

Khalil Gibran menjadi polis untuk membalas perbuatan Sarjan Mejar Samad. Dedam menjadikan watak Khalil Giran buas, ganas, ghairah dan kosong empati. Dari situ plot, watak dan latar berkembang menjadi raksaksa. Tetapi masih dapat dikawal oleh penulis secara rasional. Pembunuhan, penipuan, penzinaan, konglomerat, Singapura, Danok, Myanmar, Perdana Menteri, sepupu Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, YAB, pembunuh upahan, wang berjuta-juta, harta melimpah luah, korupsi peringkat tertinggi, jet peribadi, kondominium mewah mula melatari novel ini. Dendam, tentulah di mana-mana sahaja dengan senang kita boleh ketemukan dalam naskah ini. Ada pada setiap lembar dan perenggan ceritanya. Kita dibawa terlalu jauh oleh penulisnya untuk mengaitkan segala macam latar dan watak  itu dengan Khalil Gibran. Sebegitu mudah dan senang?

Tetapi akhirnya, penutupnya dan kesimpulannya dendam tidak akan membawa manusia ke mana-mana. Ibarat kata Affifudin, manusia yang tidak bertuhan juga boleh merasa insaf. Khalil Gibran dihujung cerita ialah seorang yang insaf, warak dan beristeri dua.

Memabaca Dendam ialah proses yang sangat mudah. Ia tidak seberat Tuan Direktur tulisan Hamka ataupun sekompleks Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (SBDKL) karya Keris Mas. Walaupun mesejnya sama, tetapi wacana penceritaan dalam SBDKL lebih asli dan segar meskipun skop dan latarnya hanya berkitar  antara Pekan Tualang dan Kuala Lumpur berbanding, Dendam yang berlatarkan di banyak tempat, pula tempatnya hebat-hebat.

Sang Pemimpi- Andrea Hirata

Seorang pembaca yang hidupnya diteduhi hawa sastera yang damai, permai, indah dan selalu pula ingin dinaungi kejelitaan-kejelitaan kata dan bahasa, sekali dia membaca A. Samad Said, tulisan itu akan memberkas dalam hatinya.

Seorang pembaca yang perasaannya selalu tertagih benih-benih nasihat- untuk meneguhkan akar-akar kepercayaan dan dalam masa yang sama inginkan keindahan tulisan itu sebati menjadi dirinya, sekali dia membaca Hamka, maka dia akan mencari Hamka lagi.

Seorang pembaca yang akalnya selalu cerdas dan ingin mencernakan pemikiran-pemikiran baru, mengembangkan pengetahun dari sebuah buku, menginginkan idea-idea dari revolusi sebuah tulisan atau dia ingin bereksperimen dalam sebuah pemberontakan secara halus dan diam terhadap kesalahan siasah semasa, dia akan menemukan Faisah Tehrani.

Seorang pembaca yang iklim hidupnya selalu humoris, fantasisme, filogis dan futuristik sekali dia membaca Andrea dia akan tidak boleh meninggalkan Andrea dengan begitu sahaja.

Membaca akan meninggalkan bekas, seperti lumpur yang dilempar ke dinding putih. Hujan  akan membasuh lumpur dan panas akan mengeringkannya, tetapi bekasnya akan tetap tersisa walaupun secuit.