Semakin Kotor Semakin Subur

Diluar sana, di langit asia tengah yang menaungi banyak negara arab masih lagi bermerah darah dan Negara Nippon tanahnya masih lagi berbasah; dengan air mata.

Di kanan, gempa bumi mencetuskan tragedi tsunami. Air laut yang tenang pada paras pandangan mata, tiba-tiba bertukar menjadi setinggi bangunan melandaikan kota.

Di kiri, sekelip mata perang terjadi. Negara bersekutu eropah tanpa persetujuan menyeluruh Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu ‘mengangkat tangan tanda sokongan’ mendadaknya menyerang Libya. Negara yang pemimpinnya masih berdengkur walaupun sudah diketukkan untuk bangun. Masih  degil mahu tertidur.

Tidakkah kita terperanjat? Mahunya apa Amerika, British dan Perancis sesuka hati menghentam bumi Libya dengan puluhan Tomahawk yang tidak bermata? Entah mengena sasaran atau melencong ke pondok lindungan. Kononnya mahu menjadi jaguh dalam gelanggang orang lain, membela rakyat yang lemah ditindas sang penguasa. Butakah mata mereka di hujung tanah Semenanjung Gaza itu lebih seribu kali rakyatnya ditindas keras oleh Israel?

Pastilah mereka sedang menyusun niat yang tersirat. Pengalaman memerhati Iraq-dulu dan kini, dari situlah kita mengerti.

Tidak kurang, di tanah air sendiri lebih bergoncang dan bergoyang. Lebih dari gempa dan tsunami yang membantai Jepun, dahsyatnya lebih maha dari Tomahawk yang membongkar tanah, nyawa dan kota Tripolli. Tetapi kadang-kadang, rasanya lebih galak ingin bergelak sampai berjurai air mata dari menangis insaf kerananya.

Bocah-bocah politik masih tidak lesu mencipta drama yang baharu sedangkang drama yang lama masih dinanti kesudahan episodnya. Apa cerita? Makanya, penonton segera bosan, plot yang serupa, jalan cerita yang anti-puncak kosong klimaks pastilah sudah diagak.  Jadilah ramai yang berkata, betapa politik itu kotor.

Kita juga yang melihat, semakin ia kotor  semakin ia subur.

Advertisements

Rahsia Masakan Nenda

Saya akui, sebagai seorang jejaka, lelaki ataupun teruna, saya tidak begitu akrab dengan suasana dapur. Menghulurkan tangan dan sekerat tenaga untuk usaha dan kerja-kerja di dapur amat boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Melainkan kerja-kerja yang besar seperti untuk kenduri kendara, maka sewajibnya saya akan menyinsing lengan untuk perkara itu. Tidak untuk urusan kecil-kecilan seperti sarapan pagi, makan tengah hari ataupun malam.

Bukan atas alasan ego atau berat tulang, tetapi merasakan adik-adik saya yang sunti itu perlu lebih cekap dalam urusan di dapur tanpa dibantu oleh tenaga abangnya melainkan kerja-kerja  berat untuk mengalihkan barang atau memikul tong gas yang sudah kehabisan untuk diganti.

Tetapi, baru-baru ini, saya dirayu oleh sang Nenda untuk membantunya menguruskan sedikit kerja di dapur sedangkan dara sunti yang sedang duduk bersimpuh melingkari ruangan tamu itu begitulah ramainya. Saya juga yang dipilihnya.

Kata Nenda, mahu memasak rendang ayam. Ya, selain terkenal dengan masakan lemak cili api, masyarakat negeri sembilan dari tanah salinan Minangkabau ini juga cukup terkenal dengan masakan rendang dan lemangnya.

Lalu saya ditugaskan untuk membasuh ayam, 15 ekor kesemuanya yang telah dikerat potong  selazim saiznya.

Ketika disuruh menaburkan tepung dan kunyit untuk menghapuskan bau hanyir yang melekat pada daging ayam, Nenda berpesan “Baca-lah dulu selawat tiga kali”. Saya tersenyum dan sekadar patuh di dalam hati.

Di akhir bilasan, Nenda berpesan yang sama “Siramkan sambil selawat tiga kali”.

Ketika kuali sudah pun panas dan rempah ingin dimasukkan, lagi sekali pesan Nenda yang sama “Tuang sambil bacakan selawat”, katanya. Selebihnya, tanpa disuruh, saya membacakan selawat sepanjang masa menyediakan rendang itu. Ketika mengacau kuahnya, ketika menambah sabut dan kayu api, ketika meniupkan bara mahupun ketika menggesek-gesek kuah yang telah kering dipinggir belanga besar itu.

Lalu hari itu, sebenarnya sejarah telah tercipta untuk saya. Saya telah diwariskan oleh Nenda tentang resipi istimewa dalam masakannya. Barulah saya tahu mengapa masakan Nenda begitu lazat selama ini. Malah masakannya begitu dirindui, membentuk peribadi dan akhlak. Setiap tindakan dan patah katanya begitu dihormati anak dan cucu. Yang pernah merasai hasil air tangannya. Tidak tersangka sekali.

Tahu la!

“Kedegang!!” bahagian belakang kenderaan pengangkat itu berlaga dengan palang penghadang ketika pemandunya cuba menggerakkan kenderaan itu ke depan, menyebabkan palang penghadang yang panjang itu bengkok. Kesannya jelas ketara. Nan Cina menepuk dahinya. Si pemandu forklift itu memandang palang penghadang yang sudahpun bengkok tanpa sedikit perasaan kesal.

“Angkat tinggi sikitlah” arah Nan Cina. “Tau!” jawab si pemdandu itu.
“Janganlah tinggi sangat” Nan Cina tegur. Si pemandu jawab “Tahu!” .
“Bawah sikitlah”
“Tahu!”
Tegur Nan Cina lagi, “Depan lagi la..jauh lagi tu”
“Tahu!”
“Janganlah depan sangat”
“Tahu!”
“Ok, perlahan-perlahan”
“Tahu!”
“Tak masuk lagi ni”
“Tahu!”. Blade forklift bergesel dengan jalanan tar.
“Yang kau tolak gear reverse tu kenapa?”
“Tahula!”
“Kau ni tahu bawa ke tidak?” Nan Cina semakin marah.
“Tahu!”

“Kedegang!!!!”..
Wall plug palang penghadang pun tercabut. Nan Cina geram meggeleng-gelengkan kepalanya.

Pemansuhan UPSR

“Emak, adik tak nak pergi tuisyenlah” tiba-tiba perkataan itu terpacul dari mulut Mohd. Fazril. Dia yang baru berumur 11 tahun dan belajar di darjah lima merupakan anak bongsu dalam keluarga Puan Rosbah.

“Adik rasa nak masuk kelas muzik, belajar main gitar” tambah Fazril membuatkan Puan Rosnah bertambah terkejut.
“Eh, kenapa pula?” Puan Rosnah berpura-pura bertanya tenang. Walaupun dalam hatinya geram dengan kenyataan anak bongsunya itu.

“Adik kena pergi tuisyen, supaya cepat belajar dan pandai. Tengok macam Along, angah dan achik, mereka semua sekarang dah masuk Universiti. Along tak lama lagi nak habis belajar, kemudian akan kerja sebagai jurutera. Adik tak mahu pandai macam Along, angah dan achik ke? Dapat masuk universiti macam mereka? Mereka semua dulu pergi tuisyen macam adik juga” terang Puan Rosnah perlahan. Mengharapkan putera bongsunya ini faham tujuan yang sebenarnya.

Mohd. Fazril hanya senyap.

“Lagi pun mak bayar tuisyen itu mahal tau, semata-mata nak tengok anak mak semua pandai. Nanti dalam peperiksaan boleh dapat semua A” Puan Rosnah cuba membangkitkan emosi Mohd. Fazril seraya mengusap-usap rambut putera bongsunya kesayangannya itu.

Mohd Fazril mencebikkan muka.
“Ala, tahun depan adik bukan ada UPSR pun” kata Mohd. Fazril selamba.
Puan Rosnah tergamam sekejap.

Jangan Rakus, Tapi Perlahan-lahan

Kita susuri sungai fikir sebentar, untuk kita dalami sejauh mana arus sensitif kendiri. Adakah arus sensitif kita sangat tenang permai seperti sebuah tasik atau danau, yang bekocak sedikit dalam seluas besarnya. Itu pun jika ada ikan besar yang sengaja menguji di permukaan.

Atau arus sensitif kita seperti arus sungai yang lasak. Tercabar oleh tebing yang utuh, lalu kita memercik tinggi, tanda rasa tercabar; angkuh  atau menghantar amaran-pantang dicabar.

Kalau menyusur tenang, kita juga akan turut damai. Tidak perlu berggolak tanpa asbab yang tidak jelas. Jauhkanlah dari keliru. Malah tidak mahu berselisih dengannya di simpang fakta. Takut-takut kita akan lari ke jalan yang bersimpang siur. Dan waktu itu, kesesatan adalah paling nyata sebelum berpeluh, mengeluh dan meringkuh untuk kembali pulang ke pangkal jalan.

Jika jelas kita yang galak, arus sensitif kita ibarat ombak, setenang-tenang masih beralun, pantang ada angin, memang tidak pernah tenteram diam. Itu belum lagi terduga. Sejarahnya, manusia juga pernah karam dengan arus peka yang begitu. Jangan dipandang enteng.

Dan ceritanya bermula disini.

Ia itu ialah unggas kecil yang selalu menganggu kenyamanan tidur malam kita. Kadang-kadang mimpi indah kita; sedang bersantai di taman kenyamanan juga acapkali terputus kerananya.

Kita ialah gergasi bagi mereka. Mereka cuma parasit bagi kita. Sekadar hinggap di tubuh, menyucuk dengan jarum halus yang penuh cermat, menghisap buas. Setelah kenyang, berlalulah ia pergi, hilang di kepekatan malam. Kita ditinggalkan dengan gatal sakit. Atau parahnya pabila ada virus kotor yang disumbat juga ke dalam tubuh. Nyata ia yang kecil bukan calang-calang. Kalau salah disuntik jarumnya, boleh juga mengundang celaka.

Suatu hari yang indah dengan bulan di awan yang terang,ia mati dengan tragis, kerana tidak sempat melarikan diri. Walaupun sebenarnya perutnya sudah melabuh gendut menyedut nikmat manis cecair merah. Tapi nafusnya terus berpohon segar, akarnya mencengkam pundak kewarasan, manis yang ini bukan kebiasaan baginya. Selalunya ia mampu berfikir dengan adil dan saksama walau waktu sedang ber’candu’. Kali ini ia tewas, matinya lumat ngeri. Terputus anggota, berkecai sana sini.

Ia pengalaman yang selalu diceritakan oleh nota-nota sejarah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Maka itu, gelora ke’tamak’an mesti tahu disukat. Tidak salah mencedok peluang, tetapi jangan sampai merampas dan mencantas sebagai dalang.