Writer Blocks

Dunia Magika

Saya belum sempat menonton filem Magika, namun apa yang saya dengar dari kata thriller-nya “Tiada yang mustahil dalam Magika kalau kita berimaginasi”.

Kata-kata beginilah yang selalu menyentap spirit saya. Membuatkan saya mula berhalusinasi, tentang kehidupan realiti yang dilalui hari-hari. Mungkin jika ditambah sedikit imaginasi di situ sini tak mustahil plot ceritanya jadi mantap dan enak. Ha ha ha. Saya sudah mula berkahyalan. (Sambil kelopak mata tertutup redup).

Pagi itu, sebelum masuk ke pejabat, saya terserempak dengan si ‘kancil’. Dia menegur saya ketika saya dalam keadaan tergesa-gesa.

Si ‘kancil’ cumalah insan yang kerdil jika mahu dibandingkan dengan watak yang saya pegang di dalam dunia magika ini. Sila tidak berprasangka yang saya adalah orang yang meninggi diri. Tidak.

Akibat teguran dari si’kancil’ makanya saya memberhentikan perjalanan. Simbolik menghormati sesama warga di dunia magika.

Stop” arah saya pada safety boot yang bersayap.

Lalu sepasang safety boot yang bersayap saya sarungkan sebagai sepatu itu menurunkan saya yang terawangan 3 inchi dari tanah dengan perlahan-lahan.

“Kenapa si ‘kancil’?” kata saya sambil duduk mencangkung mengikat tali kasut safety boot yang longgar.

“Nggak ada apa-apa mas, ini ada barang mahu dicari. Tapi tak jumpa-jumpa sih” bicara si ‘kancil’ dengan slanga orang seberang. Lalu si ‘kancil’ menunjukkan sehelai kertas yang sudah buruk dan bergumpal-gumpal kepada saya. Kertasnya kusam kekuning-kuningan.

“Bak sini” saya meminta sopan. Kertas kusam kekuning-kuningan itu bertukar tangan.

Mentafsirnya sekilas lalu membuatkan saya berkerut dahi. Bermacam-macam tabir rahsia terbuka di kepala saya. Dunia Magika ini penuh dengan sejuta misteri, yang dicari bukan apa yang tersurat, tetapi apa yang sebenarnya tersirat.

Kalau ditulis epal kuning berbuah-buah, sebenarnya ialah minyak grease berwarna pear emas yang bertakung di hujung lorong mesin raksasa milik ‘Datuk Tikus Misai’. Epal itu hanyalah kata sandarnya sahaja sedangkan warna emas-lah kata maksudnya. Emas-lah yang selalu berwarna kuning.

Kalau dikata dawai pengikat seribu dewa, sebenarnya ialah tali poli-propelyne yang dibuat dari daun pohon cemara jantan yang tidak berbunga yang baru berpucuk sehari.

Kalau disebut jalan simpang tekpi berapi, ia merujuk kepada sebatang jalan yang bercabang tiga dihujung selekoh rumah Cikgu Pendita. Tekpi itu cuma jadi simbol kepada jalan yang bercabang itu. Sedangkan api ialah menandakan jalan itu telah digazetkan oleh Cikgu Pendita sebagai jalan persendirian. Kalau mahu guna silakan bayar duit tol.

Macam-macam hal. Kalau ada orang baru yang tercampak di dunia magika ini dengan ilmu yang kurang apatah lagi pengalaman pun dangkal, memang susah untuk mereka survive. Kecekalan hatilah yang menjadi peran utama untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam dunia magika ini.

Saya masih mengurut-urut dahi, bingung memikirkan ayat penyata yang tercetak di helaian kertas kusam kekuning-kuningan yang dihulurkan oleh si ‘kancil’ tadi.

Si ‘kancil’ pun saya lihat telah duduk bersimpuh di atas jerami halus yang telah disulam menjadi hamparan di dunia magika. Mungkin menunggu terlalu lama kata-kata dari saya.

Di mata si ‘kancil’ yang bulat seperti bola guli itu, bersinarlah harapan yang mengharapkan saya mampu membantunya menafsirkan tentang apa yang sedang dicarinya.

Saya menyeluk poket seluar belakang bahagian kiri lalu saya mengeluarkan sebuah kitab yang telah saya karang sendiri iaitu “Pengalaman Membuka Tabir Rahsia Magika Vol-I”.

Kitab ini adalah catatan sejarah saya sepanjang saya hidup tercampak di dunia magika. Setiap detik pengalaman dan jenis cerita perjalanan saya di dunia magika semuanya saya catitkan di kitab ini.

Suatu masa nanti dipemergian saya, amatlah saya berharap dapat mewariskan kitab ini kepada keturunan saya sendiri. Semoga mereka mendapat manfaat dari pengalaman dan rahsia tabir magika yang pernah saya buka. Semoga sejahtera mereka belajar.

Puas menyelak satu-satu lembar. Tiba-tiba saya separa menjerit.

“Ha..!” si kancil yang tersengguk-sengguk di hamparan jerami tersentak. Segera si ‘kancil’ berlari mendapatkan saya.

“Udah dijumpa ya mas?” Soalnya galak, matanya bersinar cemerlang.

“Barang yang kau cari ini tidak ada disini” kata saya jujur kepada si ‘kancil’. Si ‘kancil’ membungkamkan wajah hampa.

“Tapi barang itu ada di ladang Giant orang kerdil, kau mintalah pertolongan pada Sotong Muda atau Burung Haji Yak-Yak untuk membawa kau sampai ke sana. Semoga berhasil pencarian kau wahai si ‘kancil'” kata-kata saya yang seterusnya mengubah wajah si ‘kancil’. Senyuman pun terlukislah dibibir si ‘kancil’ yang kecil molek itu.

Ucapan terima kasih tidak putus-putus dilaungkan oleh si ‘kancil’ kepada saya. Barang itu mesti dicari dan ditemukan oleh si ‘kancil’, jika tidak si ‘kancil’ akan disembelih lalu dipanggang untuk dijadikan santapan malam oleh tuannya, Raja Aklaken yang tidak berhati perut.

Raja Aklaken ialah pemerintah yang memerintah dunia magika ini. Namun kuasanya terhad kepada sebahagian dunia magika sahaja.

Melihat si ‘kancil’ sudah jauh pergi di pandangan mata saya. Hati saya sayu. Maafkan saya si ‘kancil’. Apa yang saya beritahu tadi sebenarnya tidak wujud sama sekali. Sengaja saya mereka-reka cerita supaya harapan si ‘kancil’ tidak saya musnahkan walaupun saya terpaksa berbohong.

Dunia magika tidak akan pernah sanggup menghancurkan harapan sesiapa pun.

Tanpa Sedar Kita

Saya terdetik, hari ini negara kita dikejutkan dengan satu tragedi kemalangan yang dahsyat. Beberapa jiwa kehilangan nyawa. Beberapa jiwa lagi sedang parah di atas katil-katil hospital. Entah berapa ramai ahli keluarga yang sedang menumpahkan air mata lantaran peritiwa sedih ini. Tragedi yang ngeri ini merupakan satu sejarah hitam yang terlakar lagi di atas sejarah kemalangan jalan raya di negara kita.  Sungguh menyayat hati.

Dalam waktu yang sama, kita sendiri menjadi heboh, kepoh. Peristiwa tragik yang berlaku jauh dari kita, kalau menurut akal yang sempurna kita sendiri tidak mahu ia terjadi, apalagi jika menimpa ke atas diri sendiri tentulah ia akan terkenang sebagai fobia dan tak sanggup kita hadapi.

Namun begitu, pada hari ini begitu ramai di antara kita yang ingin membongkarnya. Seolah-olah mahu menyaksikan tragedi itu di depan mata kepala sendiri. Makanya dalam zaman yang serba ber-teknologi, perkongsian di alam maya memungkinkan segalanya.

Kedahsyatan kemalangan itu kini terhidang di depan mata. Kita lihat sendiri darah pekat merah yang basah tertumpah. Kita lihat sendiri tubuh yang berkecai terburai. Kita lihat sendiri tubuh badan yang bergelimpangan bertabur di atas jalan. Tanpa ada sekatan. Seolah-olah kita menyaksikan sendiri tragedi itu di depan mata. Fresh dan asli.

Sebenarnya, kita semakin hairan dengan perilaku dan norma yang ada dalam segelintir masyarakat kita. Kita tertanya-tanya, ketika tragedi yang maha petaka itu berlaku, masih ada segelintir kita yang sempat merakamkan video, atau gambar kemudian menyebarkan sesuatu yang kita rasakan tidak patut dikongsikan dengan masyarakat umum. Terlalu umum.

Ketika mangsa-mangsa yang masih bertarung untuk hidup dan mati, mengharapkan pertolongan dan simpati, ada insan yang masih punya ruang untuk merakamkan tragedi. Benar-benar saya tidak faham.

Kalau yang merakam dan mengongsikan itu ialah ahli berita atau seumpamanya, sesungguhnya saya percaya atas tanggungjawabnya dan pekerjaannya. Kalau disiarkankan pun pasti berhemah dan bertapis. Tidak menyiarkan secara telanjang keadaan  mangsa-mangsa yang telah terputus terburai jasadnya. Paling-paling horor pun setelah ditutupi. Itulah kredebiliti media dalam menyiarkan maklumat. Berhemah dan bertapis.

Biarpun begitu, perkongsian siber yang cukup luas tanpa batasan ini, membolehkan sesiapa pun untuk menjadi seorang ‘kamera’man yang bertindak sebagai pelopor untuk menyiarkan sesuatu berita yang fresh dan asli, tanpa etika dan akhlak kewartawanan. Lalu ia dikongsikan bersama orang awam di alam maya.

Kita berfikir sejenak, adakah ini sudah menjadi trend?

Seseungguhnya jika ia berlaku di depan mata kita, kita tidak akan pernah sanggup untuk menatapnya lebih lama seperti yang kita tonton di atas skrin komputer. Berulang-ulang kali. Jikalau jiwa kita kental sekalipun, mungkin kita sedang menghulurkan tenaga membantu. Jikalau jiwa kita lemah pada waktu itu, kita akan terkesima dan tak mungkin dapat betah lebih lama di tempat kejadian. Apalagi merakamkan video dan gambar!

Sejujurnya, saya mengutuk tindakan mereka yang masih sanggup merakam video ngeri ini lalu menyebarkannya tanpa tapisan! Satu tindakan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab! Hasilnya, kita akan tercari-cari gambar dan video yang lebih terbuka dari apa yang telah dikatup media massa. Seolah-olah kita ini masih belum cukup untuk menitipkan simpati dan belas kasihan dengan sumber media yang sedia ada. Kita mencari alternatif yang lebih horor dan ngeri untuk mendatangkan impak terhadap hati kita untuk lebih jadi terkesan, simpati, kasihan dan memberikan pengalaman.

Justeru itu, sesiapa yang sedang berkongsikan pada waktu ini, pada hemat saya removekan-lah yang mana tidak patut. Terutama video mangsa-mangsa kemalangan dan gambar-gambar yang sememangnya tidak sanggup kita tontoni pada aras kewarasan akal. Bukan kerana takut atau loya atau lemah semangat, tetapi atas dasar menghormati kita sesama manusia.

Saya berkongsikan pandangan yang lebih dahulu disampaikan oleh seorang pendakwah dalam entrinya beberapa minggu sebelum kejadian. Moga kita selami selaut iktibar.

Schadenfreude: Menikmati Sebuah Rakaman Penderitaan

Cinta itu ibarat bola.

Tanya seorang kawan, “Kau tahu cinta itu seperti apa?” Kami tiga orang ini tidak menyahut pertanyaannya. Mata kami terpaku pada skrin nipis yang lebar, sedang memuntahkan cahayanya yang terang dari Stamford Bridge sana.

Dia bersandar malas pada kerusi kayu yang tegap sambil menghirup secangkir kopi hitam. “Syruupp” Hirupnya berbunyi perlahan. Kopi hitam itu tidak kelihatan luak sedikit pun.

Acara sepak mula berlangsung. Yang kedengaran cuma sorakan penonton di dalam kaca atau skrin leper itu. Kami di hujung sini sepi. Kami betul-betul menikmati acara perlawanan yang bakal mencatat sejarah ini. Begitu mengikut naratif kami di awal pertemuan ini.

“Nampaknya Fabregas, Van Persie, Bendtner dan Walcott tak main. Sesuai ramalan aku” Nan Cina tersenyum sinis.

“Nampaknya lebih mudah. Ha ha ha.” Ketawa Zul Setan menikam perasaan.

“Belum tentu lagi kawan” Saya sekadar membalas basa-basi tanpa mahu menaruh harapan tinggi.

Minit ke-dua dari masa permulaan, Sagna melencongkan bola ke tengah kawasan kotak penalti, Chamakh melayangkan badannya ke udara, tandukannya tidak kemas menyebabkan bola off target ke sipi kanan tiang gol. Tinggal lagi beberapa inci sahaja. Peluang pertama yang terlepas.

Separuh penonton dalam kedai menghelakan nafas kecewa panjang.

“Cinta itu seperti bola. Kalian percaya?” kawan saya yang seorang ini terus menyambung bicaranya.

Mata kami terus terpaku ke skrin yang nipis dan lebar digantung beberapa kaki tinggi dari lantai. Sekali sekala kami menyuakan cangkir minuman panas ke hujung bibir. Panas sepanas kehangatan perlawanan malam ini.

Kelihatannya pasukan lawan segera bangkit dari serangan yang pertama. Hantaran jauh ke tepi padang membawa bola ke kaki pemain yang berasal dari Ivory Coast, Drogba. Kawalan bolanya kemas. Beberapa pemain pertahanan Arsenal yang usianya masih muda digelecek Drogba. Satu lepas, dua lepas. Bola ditolak perlahan dari kaki pemain pertahanan lawan demi mencari sedikit ruang.

Keadaan di dalam kotak penalti jadi cemas dan kucar-kacir. Drogba menendang bola ke arah gawang. Namun dapat dihalang pantas oleh Song, pemain pertahanan muda Arsenal.

Walaupun begitu, bola melantun pula ke kaki pemain Chelsea Florant Malouda, sepakannya yang terburu-buru menyebabkan bola tersasar jauh ke atas palang.

“Seni cinta seperti bola itu hanya difahami oleh kaki yang berbakat. Lihat bola itu digelek-gelek kemas. Memperdayakan. Menghiburkan” Kawan saya yang seorang ini terus tenggelam dalam falsafahnya yang berat. Kami masih tidak tidak begitu mempedulikan biacaranya. Kami tenggelam dalam acara yang sedang berlangsung.

Minit ke-lapan hingga ke hujung separuh masa pertama serangan bertali arus. Hantaran bola tinggi dipotong Arshavin lalu merembat deras ke arah penjaga gol Chelsea, Peter Cech. Tangkapan yang mudah bagi penjaga gol berbakat itu.

Seterusnya Chesea cuba mencari rentak dan penyudah untuk membolosi pertahanan Arsenal. Tendangan lencong Malouda membawa bola ke arah Michael Essien yang tidak dikawal. Tandukan lajunya tertuju ke penjuru gawang Arsenal dalam jarak delapan kaki. Namun tersasar sedikit. Hampa.

“Seperti bola, ia selalu direbut-rebut. Yang memilikinya akan dikejar bagai nak rak oleh yang lain. Cemburu” kami masih senyap. Menonton dengan tekun.

Analisis-analisis yang keluar berbaris dari kaca tv itu kami baca dengan hemah. Mengutip fakta-fakta dan teori bola agar tekaan kami sekurang-kurangnya menepati ramalan.

Enam minit sebelum selesai separuh masa pertama, Ramires melorongkan bola ke arah Cole yang bebas di sebelah kiri. Cole dengan pantas membuat hantaran silang yang rendah ke arah Drogba yang meluru berhampiran gawang.

Bola yang di lorongkan tertinggal di belakang Drogba namun sempat dikuisnya sebelum melepaskan rembatan deras ke arah pintu gawang. Bola meleret masuk, selesa ke dalam jaring.

Teriakan penyokong ‘The Blues’ bergema. Di Stamford Bridge atau di sini. Nan Cina dan zul Setan bersorakan. Nan Cina melapangkan tapak tangannya ke arah Zul Setan. Zul Setan menemukan tapak tangannya dengan tapak tangan Nan Cina. Simbol Gimme five!

Saya jadi meluat. Perasaan saya hilang sambil meruap wajah dengan tapak tangan. Tercabar!

“Kan aku dah bilang, cinta itu seperti bola, walau kau tendang berapa jauh sekali pun, akhirnya kau kena kutip”. Rakan saya yang seorang ini menyampuk dalam kekecohan suasana.

Saya terus menjerit.

“Mamak, kira sini!!”

Boon Siew Honda C-90

Seawal tahun 90-an, abah memiliki sebuah motosikal baru. Maksud baru itu bukanlah yang baru keluar dari kedai (first hand), tetapi hanyalah second-hand, baru itu maksudnya abah baru mejadi pemiliknya yang terkini dan itu juga merupakan motosikal pertama buat abah dan kami sekeluarga.

Sejak dari itu pergerakan abah banyak bergantung kepada motosikal tersebut, sebuah motosikal lama jenama Boon Siew yang berlampu petak segi empat tepat dan berkuasa enjin dua lejang untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, atau sekadar untuk berjalan-jalan di sekitar kampung pada waktu petang.

Kadang-kadang motosikal itu menjadi penghantar kami adik beradik yang pada waktu itu hanya empat orang untuk ke sekolah. Namun ayah tidak pernah membawa kami atau membenarkan kami serentak untuk berhimpit sesak di atas lapik kusyen penumpangnya yang semakin nipis dan sudah tidak anjal lagi itu. Kebiasaannya abah akan menghantar kami secara bergilir-gilir setiap hari. Hari ini saya, esok angah, lusa achik dan tulat adik yang bongsu. Begitulah seterusnya.

Walaupun begitu, motosikal itu lebih banyak jasanya kepada adik yang bongsu. Sayang abah pada adik yang bongsu sering-sering membuatkan saya kehilangan giliran untuk dihantar ke sekolah dengan motosikal.

“Hari ini Along naik bas-lah, adik hari ni tak berapa sihat, biar ayah hantar adik hari ni” kata ayah pada suatu pagi sewaktu saya dan adik-adik ingin bersiap ke sekolah.

Hari itu, entah hari yang keberapa kali saya hilang giliran untuk dihantar. Bukan setakat saya, malah angah dan acik juga sama. Giliran-giliran kami selalu dirampas adik kerana tarafnya yang bongsu. Kasih abah dan emak tumpah lebih kepadanya.

Namun begitu, saya dan angah tidak pernah mengeluh. Sebenarnya, kalau dihantar abah merupakan suatu hari yang istimewa kerana bolehlah bangun sedikit lewat dari kebiasaan berbanding menaiki bas awam kami terpaksa bangun lebih awal sedikit. Kami mengalah kerana itu yang selalu dipesankan oleh emak dan abah.

“Kalian-kan abang dan kakak-kakak, kenalah beralah dengan adik sikit” pesan emak garang, tatkala melihat adik menangis tidak mahu ke sekolah gara-gara tidak dihantar abah walhal hari itu ialah giliran achik. Achik berkeras tidak mahu kendur.

“Asyik-asyik achik yang selalu mengalah” kata achik sambil mencebikkan wajahnya yang bulat. Air mata mula bergenang di kolam matanya.

Saya hanya membiarkan scene itu sambil menyarungkan stoking ke kaki, dan di mulut menggigit epok-epok emak yang panas-panas suam. Angah dan abahlah yang berkerja keras membujuk achik. Akhirnya achik mengalah juga apabila abah berjanji untuk menambah wang saku sekolahnya sebanyak 50 sen pada hari itu. Angah juga mendapat nilai yang sama. Tetapi saya tidak.

Esoknya bila dikejutkan bangun ke sekolah, saya tidak bangun. Saya mengeras di dalam selimut. Kata saya dengan suara paling perlahan pada emak, saya tak sihat badan.

Namun emak memangkas dengan suara lantang.

“Dah, dah..kalau tak bangun kejap lagi mak simbah dengan air” intonasi emak walaupun lembut tapi yang tersiratnya emak mengugut saya. Namun baru sekarang saya sedar bahawa cakap emak pada hari itu hanya sekadar ingin menguji. Kalau saya tak bangun emak takkan sanggup berbuat begitu.

Tetapi, kerana bimbangkan cakap emak, saya bingkas bangun, saya kalah dengan psikologi emak, namun lakonan saya tentang tak sihat badan tetap saya teruskan. Mana tahu emak lembut hati melihat lakonan saya.

Kesudahannya pada hari itu, saya tetap ke sekolah dengan menaiki bas awam. Abah menghantar adik bongsu dengan motosikal, walhal hari itu giliran saya dan saya tak sihat badan!