Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman- Anwar Ridhwan

Pak Hassan, seorang tua berkelana bersama cinta isterinya, Selamah. Namun Selemah lekas dipanggil tuhan membiarkan Pak Hassan meniti hidupnya bersama dua orang cahaya mata untuk dijadikan pengubat rindunya kepada Selamah. Seorang dara sunti yang perawan, Senah dan seorang teruna yang kurang akalnya, Mat Junuh. Dari hari ke hari, rindunya kepada Selamah tidak pernah surut. Pusara Selamah dikunjungi Pak Hassan saban waktu. Kadang-kadang Pak Hassan merintih menceritakan derita hidupnya semenjak Selamah meninggalkan dia. Kadang-kadang Pak Hassan hanya sepi dan sayu melihat nisan pusara isterinya. Kadang-kadang Pak Hassan hanya akan singgah untuk melapangkan kuburan isterinya dari dirumpuni lalang lalang liar. Kadang-kadang Pak Hassan hanya akan melihat kuburan isterinya dari jauh, membacakan Al-Fatihah sejurus sebelum pulang.

Ketika zaman Jepun menjajah Tanah Malaya, Pak Hassan-lah yang menghiburkan malam desa dengan cerita-cerita hikayatnya. Cerita Si Gembang atau Teluk Bidung Kota Lama berlagu lancar dari mulut Pak Hassan memikat pendengar kecil, tua dan muda, lelaki atau wanita, teruna dan dara menopang dagu mendengarkan cerita Pak Hasan sepenuh tekun sampai ada yang menghafalnya dengan mafhum.

Lama dahulu, hijrah Pak Hassan ke desa kecil itu disenangi penduduk desa bagaikan memeluk kedatangan seorang sahabat lama yang karib. Imam Mahali yang mesra dan dermawan selaku kepala desa menawarkan sebidang tanah untuk dibuat rumah sebagai perteduhan Pak Hassan anak beranak, dan sepetak sawah buat penyambung rezeki. Lalu bergotong-royonglah penduduk desa membinakan rumah Pak Hassan dan sepetak sawahnya. Ramli, jiran yang budiman selalu menghulurkan tangannya yang ringan membantu isi rumah Pak Hassan. Begitulah suasana desa dan semangat memberi-menerima yang menyulam dan menekat benang perhubungan antara penduduk-penduduk di kampung kecil itu.

Kehidupan Pak Hassan selalu dirundung mendung malang yang tidak terduga. Perawannya, Senah diperkosa oleh Mansoor yang durjana. Lalu Senah membawa dirinya meninggalkan Pak Hassan dan Mat Junuh hingga tidak pulang. Kemudian itu, Mat Junuh pula lari meninggalkan Pak Hassan kerana ingin mencari kakaknya. Senah itu sudah bagai ibu bagi Mat Junuh yang juling dan pendek akal walaupun usianya besar, tapi perwatakannya masih seperti anak-anak dan pergaulannya pula hanya dengan kanak-kanak kecil desa seperti Aziz anak Ramli dan Salleh.

Semenjak kehilangan kedua-dua orang anak kesayangannya, seniman tua itu mulai terkontang kanting hidupnya. Pak Hassan semakin akrab dengan cerita hikayatnya. Sampaikan watak watak dalam ceritanya seperti Tuan Puteri Manik Urai, Kuncam Perang Gelombang Perang Alun Tujuh Gelombang Tujuh, Megat Gembang ditukarkannya menjadi Tuan Puteri Selamah, Raja Senah Alun Tujuh Gelombang Tujuh dan Megat Junuh. Begitu berahi rindunya dia.

Hari-hari terkahir seorang seniman, dihabisi dengan panggilan ajal. Malah hari-hari terakhir setiap manusia adalah menerima jemputan ajalnya. Pak Hassan mati berputih mata kerana mencari kepercayaan pada kisah dongeng sepohon beringin yang songsang di mana dibawahnya duduk seorang tua menyirat jala tali terap. “Aku akan tebarkan jala ini ke atas dunia. Aku mendapat segala-galanya yang baik dan buruk. Yang baik aku letakkan di sebelah kanan. Yang buruk aku asingkan di sebelah kiri”.

Khutub Khanah

“Krinnggg!!!!” bunyi loceng bergema di sekitar bangunan sekolah, menandakan waktu pembelajaran diberhentikan sebentar bagi memberikan laluan untuk masa rehat.

Guru kelas yang sedang mengajar di papan hitam meletakkan kapur putih yang sedang dipegangnya ke atas meja guru. Dia menepuk-nepuk kedua-dua belah tapak tangannya. Debu-debu kapur yang berkumpul di telapak tangannya segera bertebar ke udara. Hilang.

Ketua kelas bingkas bangun dari kerusi kayunya. Suaranya lantang, “Semua bagun!!, Terima kasih cikgu!” jeritan ketua kelas itu diulang oleh kami semua dengan serentak seolah-olah ia bagaikan gema yang terhasil di dalam sebuah gua.

Saya merupakan murid paling akhir yang meninggalkan kelas, memadam suis kipas siling yang sedang berligat pusing dan lampu belakang yang dipasang sengaja. Saya berjalan perlahan tetapi tidak menuju ke kantin atau bawah pohon ketapang yang menjadi tempat perkumpulan seperti kebiasaan. Sebaliknya saya bersidai di balkoni tingkat dua yang menghadap kantin. Saya perhatikan suasana kantin yang sesak dengan murid-murid, suara-suara manusia kecil berdesir bagaikan bunyi langau atau boleh jadi juga seakan-akan bunyi lebah.

Saya menyelusuri balkoni itu sehingga ke tengahnya dan membawa saya ke sebuah bilik dengan pintu kayu coklat yang ternganga buka. Saya lihat ada sepasang sepatu perempuan berwarna hitam di tirai pintu. Saya jengahkan kepala ke dalam bilik itu. Sunyi, tidak ada orang. Sepi, yang banyak cuma rak-rak kayu yang ditimbuni dengan baris-baris buku dan beberapa meja panjang dengan kerusi-kerusi kayu getah yang tersusun.

Saya tanggalkan kasut Pallas yang saya pakai dan melangkah masuk ke dalam bilik itu. Saya berdiri di depan rak-rak kayu yang ditimbuni oleh baris-baris buku dan mula membaca judul-judulnya yang ditulis pada bahagian ruas buku. Lalu saya memetik sebuah buku, saya tarik sebuah kerusi dan duduk di atasnya. Saya menguliti helaian demi helaian buku tersebut sehingga loceng pun kembali berbunyi. Menandakan waktu rehat telahpun tamat. Asyik.

Saya meninggalkan bilik itu dengan perasaan ingin datang lagi dan buku yang saya baca tadi, saya simpankan di bahagian rak yang paling bawah dan yang paling tepi. Supaya esok senang saya ketemukan.

Bilik itu mempersonakan saya. Sebuah bilik yang sunyi, tidak ada ramai orang dan sepi, yang banyak cuma rak-rak kayu yang ditimbuni dengan baris-baris buku dan beberapa meja panjang dengan kerusi-kerusi yang tersusun. Di tirai pintunya ada sepasang sepatu perempuan berwarna hitam yang saya tidak tahu milik siapa.

Warisan Ekonomi Mahathir- Jomo K.S

Buku ini terlalu padat dengan fakta untuk dihadamkan sehingga untuk mengulitinya boleh membuatkan mata terbuai kadang kala. Pandangan awal saya terhadap buku ini ternyata meleset. Saya menggambarkan suatu penulisan analitikal yang seimbang terhadap sumbangan negarawan Dr. Mahathir MOhammed sebagai seorang ahli iktisad namun buku ini, pada pandangan saya hanya mempersembahkannyanya dari satu perspektif yang kontras.

Hutang, hutang dan hutang. Begitulah perkataan yang sering dicerapkan oleh penulisnya di dalam naskah ini. Gambarannya bermula apabila pelaburan rahsia kerajaan Malaysia ke dalam Pasaran Timah menemui kegagalan menyebabkan penggunaan dana Malaysia secara rahsia sebanyak RM274 juta.

Jomo K.S juga menyelusuri setiap pembaharuan yang dibawa oleh Mahathir seperti dasar pandang ke timur, perindustrian berat, kewujudan Proton, penswastaan, wawasan 2020, kawalan modal serta keruncingan hubungan antara Anwar dan Mahathir dalam sudut ekonomi. Namun semuanya disimpulkan dengan pandangan yang hampir serupa iaitu hutang, pelaburan dengan harga tinggi, ketidakcekapan pengurusan kewangan, ketirisan saluran kewangan walaupun ada beberapa perojek yang dilihat berjaya tetapi sebenarnya gagal secara ekonominya.

Contohnya seperti penswastaan, beberapa syarikat gergasi yang telah diswastakan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan dengan membeli kembali saham-saham mereka dengan harga yang tinggi setelah dijual dengan harga yang munasabah, terutamanya ketika ekonomi meruncing sekitar tahun 1997 dan 1998. Pembelian saham ini pula tentulah memberikan prioriti kepada mereka yang mempunyai kepentingan rapat dengan Mahathir pada ketika itu. Dan seterusnya didanai sebahagiannya oleh KWSP dan PNB yang merupakan salah satu saluran pelaburan rakyat.

Di dalam naskah ini, Joko K.S juga menganggap kebolehan Dr. Mahathir dalam ruang lingkup ekonomi banyak dipengaruhi oleh orang-orang di sekitarnya seperti Daim Zainuddin yang dilihat sebagai ‘mastermind’. Dalam masa Daim dilantik menjadi Menteri Kewangan, mereka dituduh berkomplot untuk menguasai dana negara dengan mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan untuk kolongmerat seperti Renong, Sime Darby dan beberapa syarikat lainnya.

Buku ini juga mengatakan betapa ketika era pemerintahan Mahathir, amalan-amalan korupsi, kronisme dan nepotisme sudah menjadi wabak dan semakin membahayakan. Ia juga membuka mata kita tentang isu-isu ini yang begitu skeptikal tetapi mungkin boleh berlaku seperti pemberian tender secara terus kepada syarikat Antah Biwater milik kerabat di raja Negeri Sembilan yang bernilai berbilion ringgit sedangkan mereka tiada keupayaan teknologi untuk mengurus, membangun dan membina projek tersebut. Hasilnya, tender ini akhirnya di-subkan kepada satu syarikat luar negara dan Antah Biwater hanya menjadi pemantau dan memungut keuntungan atas angin!

Namun begitu, dalam banyak pandangan yang negatif, terdapat juga sokongan yang sedikit untuk mempersetujui tindakan Dr. Mahathir oleh penulisnya ketika masuk di dalam bab krisis ekonomi yang melanda Malaysia yang mewujudkan kawalan modal. Jomo K.S juga membincangkan perbalahan antara Anwar dan Mahathir dalam konteks ekonomi yang memperlihatkan terdapatnya jurang ketidaksefahaman yang ketara antara mereka ketika Malaysia cuba bergelut untuk melepaskan diri dari cengkaman kejatuhan nilai matawang pada masa itu.

Tuhan Manusia- Faisal Tehrani

“Andai kota kami adalah peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.”

Yang utama untuk mendirikan sebangsal tempat teduh ialah tiang serinya. Tiang seri yang kukuh, tidak semena-mena mudah  untuk roboh. Tiang seri yang cantik, kan sering dipuji dan orang selalu tertarik. Selepas siap siaga tiang seri, kita naikkan pula atapnya, kita tukang dindingnya, kita bentangkan lantai kayunya menjadi sebuah rumah. Sebuah demi sebuah kita binakan rumah, yang sama kukuh tiang serinya. Setelah banyak maka terbentuklah sebuah kota. Begitulah sebuah kota terbina dan mendapat nama.

Sebetul tajuk asal naskah ini ialah “Sebuah Rumah Di Utara” sebelum diubah menjadi “Tuhan Manusia”. Secara kolektifnya buku ini membawa tema dakwah. Ia menyelongkar persoalan pluralisme, sekularisme, komunisme dan liberalisme yang pada pandangan saya cukup untuk kita mengertikan. Falsafah-falsafah barat ini begitu subur merendangi kehidupan kita pada masa kini. Ia bagaikan agama yang kita ikuti tanpa sedar, malah ada di antara pihak kita begitu peduli untuk memperjuangkannya dengan berlandaskan logik akal yang terbatas.

Dengan tertib, Faisal Tehrani mengupas satu satu persoalan peradaban, budaya dan agama. Naskah ini basah dengan peringatan dan segar dengan dalil dan fakta yang membuktikan. Kesemuanya disimpulkan dengan keras peradaban dan budaya dilingkungi dalam dasar agama. Tidak boleh terkeluar. Agama yang setulen-tulennya ialah Islam yang sejati yang diamalkan oleh Rasulullah saw.

Laskar Cinta- Isma AE Mohamad

Novel ini menjadi pilihan apabila ia mula menjadi cakap-cakap yang berlegar di kalangan kelompok Goodread Malaysia. Kemudian dicadangkan pula sebagai Ganding Baca Bulan November 2010 di mana para pembaca dipersilakan menanyakan soalan yang berkaitan dengan novel ini kepada pencalon yang mencadangkannya.

Jika kita teliti makna laskar ia membawa maksud kepada tentera atau soldadu. Pada mulanya saya beranggapan novel ini merupakan kisah cinta seorang askar dengan seorang gadis. Walaupun terlebih dahulu saya membaca review-nya mengatakan bahawa cerita di dalam novel mengangkat tema kaum pelarian Karen di perbatasan Thai-Myanmar.

Ternyata di dalam Laskar Cinta, makna cinta itu digarap dengan lebih luas. Kisah cinta di dalam novel ini lebih kepada cinta kepada negara, cinta untuk merdeka dan cinta yang penuh pengorbanan. Ia memupuk semangat patriotisme yang membakar apabila Kim, seorang remaja kaum Karen berpatah hati kerana keinginannya untuk berhijrah dan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat tidak kesampaian. Kim pada awalnya menentang konsep peperangan dalam menuntut kemerdekaan kaumnya, tetapi menukar pendiriannya untuk memasuki pasukan gerila di hutan dan bertekad untuk bertarung sebagai seorang pejuang pemisah.

Pemergian Kim dan rakan-rakannya ke dalam hutan itu mendatangkan lebih banyak kekesalan dari apa yang diimpikannya. Beberapa orang rakannya tewas, malah kekasihnya Nay, juga gugur. Sepanjang membaca novel ini, saya lebih tertarik dengan watak Vin, sahabat Kim yang begitu tegar menulis dengan sebatang pen yang selalu disisipnya. Saya seolah-olah merasakan Vin adalah watak pengarang ini, Isma AE Mohamed.

Isma menggarap novel ini dengan begitu hemat. Permulaannya dengan cerita Nadine yang kecewa kerana cinta, lalu dipujuk Roxana sahabatnya untuk ke ‘Kaw Thoo Lei’ yang dijanjikan sebagai sebuah taman. Di situ, Nadine menjadi seorang sukarelawan yang membantu kaum Karen yang dikelaskan sebagai pelarian. Di situ, kesemua watak dihimpunkan dan digarap dalam satu kembara. Kamal, seorang askar di sempadanan Thailand dalam diam menaruh perasaan terhadap Nadine sehingga sanggup mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan gadis melayu itu ketika Nadine diculik. Kisah Kamal dan Nadine tergantung dihujungnya apabila Kamal dipenjarakan kerana didakwa atas dasar meninggalkan tugasan.

Laskar Cinta, penuh dengan plot-plot dramatik, saspen dan kadang-kala terselit satira buat kita pembaca di Malaysia. Watak-wataknya pula saling berdokongan atas kapasiti persabahatan, setia kawan dan semangat patriotik. Kisah cinta dan sayang tumpah melata hingga ke penghabisan ceritanya. Namun begitu, iktibar yang dibawakan pengarangnya dapat membangunkan kita untuk membuka mata dengan lebih luas. Seperti saya yang baru sedar kewujudan kaum Karen di negara Myanmar, yang ditindas dan Isma menegaskan tunjang ilmu adalah rimbun kehormatan dan nilai harga diri sebagaimana saya tertarik pada dialog antara Kim dan Ibu Mary.

“Hari itu dia pulang dengan kekecewaan. Dia mengadu kepada Ibu Mary. “Ibu, murah sangatkah budak seperti saya ini?”
“Tidak sayang”.
“Kalau begitu, bagaimana saya dapat jadi berharga seperti Ibu?”.
“Dengan Ilmu”.

Namun begitu, di hujung novel ini tidak menjawab persoalan adakah Kim kembali kepada Islam, setelah perancangan awal Ibu Mary untuk menghantar Kim ke Rom gagal apabila Kim membawa dirinya ke hutan? Malah Kim kembali ke sisi Ibu Mary dan dijaganya semula. Saya melihat kisahnya yang tergantung.

Liu Xiaobo, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2010

Hari ini, sejarah mencatatkan anugerah Nobel Keamanan telah pun dimenangi oleh seorang banduan dari negara China. Liu Xiaobo merupakan seorang pengarang yang begitu lantang memperjuangkan hak asasi dan demokrasi di negara yang bercorak pemerintahan komunisme tersebut.

Lantaran itu, rejim pemerintahan China telah melabelkan pemberian anugerah tersebut sebagai satu ‘pencabulan’ dan secara terbuka memberi amaran kepada para diplomat yang berada di Oslo bahawa mereka tidak ubah seperti ‘badut’. China juga memberi peringatan yang tegas bahawa ‘mereka’ akan menghadapi masalah yang serius secara langsung dengannya. China mendakwa bahawa Liu adalah penjenayah biasa dan Hadiah Nobel Kemanan tersebut adalah retorik berbaur politik semata-mata. Di sisi lain, para diplomat China telah melancarkan gelombang sengketa dalam hubungan diplomatik, Tang Guoqiang Duta China di Norway, dalam tulisannya yang panjang dipaparkan dalam laman sesawang rasmi keduataan China menerangkan bahawa penganugerahan tersebut merupakan satu kesilapan. “Di China,rakyatnya menikmati kebebasan yang diimpikan, yang telah diamalkan dalam batas perundangan” antara kata-kata Tang yang ditulis dalam tulisan Cina dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Kebanyakkan negara dunia ke-tiga yang dijemput ke acara tersebut tidak menghadirkan diri. Manakala Rusia, Pakistan, Arab Saudi, Eygpt, Afghanistan dan beberapa negara lainnya menolak jemputan tersebut tanpa memberikan alasan, tetapi sumber barat menyatakan negara-negara tersebut jelas bimbang mengenai akibat jangka masa panjang mengenai hubungan diplomatik mereka dengan China jika mereka menghadiri ke majlis yang bertaraf dunia itu.

Sumber barat juga berpendapat, pemerintahan China tidak memberikan apa-apa penghargaan kepada rakyatnya secara khusus dan dunia secara umumnya melainkan berperanan sebagai seorang pembuli. Adakah pendapat ini boleh diterima? Adakah dengan secara sinisnya memberikan Hadiah Nobel Keamanan kepada seorang warga China yang begitu tekal memperjuangkan hak asasi manusia dan sistem demokrasi yang ditunjangi barat adalah cara terbaik mengejek sistem pemerintahan Komunisme China seterusnya mendesak China mengamalkan prinsip pemerintahan secara demokrasi? Adakah Hadiah Nobel Kemanan yang terkenal ini akan merubah China?

Di Oslo, anugerah tersebut disampaikan dengan simboliknya yang mungkin pernah berlaku sekali sahaja dalam tempoh satu abad, di mana anugerah tersebut diletakkan di atas sebuah kerusi kosong yang sepatutnya dihadiri oleh Liu Xiaobo. Penganugerahan tersebut telah diumumkan oleh Presiden Jawatankuasa Hadiah Nobel Norwegian, Thorbjoern Jagland dalam satu kenyataannya.

Liu Xiaobo merupakan seorang graduan dari Universiti Jilin dan menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana di Universiti Beijing. Kerjaya beliau sebagai seorang pengarang, pengkritik sastera dan politik disamping bergiat secara aktif sebagai aktivis kemanusiaan yang menggelarkan dirinya sebagai pejuang demokrasi yang menentang pemerintahan autokrasi secara komunisme yang diamalkan oleh tampuk pemerintahan China. Kelantangan Liu Xiaobo menyebabkan dirinya telah dipenjarakan sebagai ‘Tahanan Politik’ oleh Republik China.

Tinjauan media barat di China mendapati cuma segelintir penyokong Liu Xiaobo mengadakan demonstrasi menuntut beliau diberikan kebebasan dan penghargaan untuk menghadiri dan menerima anugerah tersebut. Polis China juga meningkatkan kawalan di sekitar kawasan perumahan milik Liu Xiaobo yang didiami oleh isterinya yang telah dikenakan tahanan di dalam rumah, juga di kawasan Universiti Beijing sebagai langkah berjaga-jaga. Media massa juga diingatkan untuk tidak memberikan sebarang publisiti mengenai pemberian Anugerah Nobel ini. Dalam tinjauan mereka, media barat cuba menonjolkan provokasi untuk memperlihatkan sistem autokratik rejim pemerintahan China dengan mengadakan sesi temu ramah secara langsung di sekitar Beijing. Di dalam temu ramah tersebut menunjukkan ada di antara rakyat China yang tidak mengenali siapa Liu Xiaobo, dan jika ada yang mengenalinya, mereka lebih memilih untuk diam daripada bercakap kerana menyedari isu tersebut adalah dilarang untuk dikupas didepan umum.

Secara tidak langsung, tindakan ini merupakan satu strategi barat untuk mengembangkan idealogi mereka mengenai sistem pemerintahan demokrasi dan hak asasi manusia yang begitu diagung-agungkan mereka. Matlamatnya adalah sama seperti penganugerahan Hadiah Nobel Kemanan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang pernah diterima oleh Aung San Suu Kyi dan Jose Ramos Horta. Mereka juga merupakah tokoh perjuang demokrasi dan hak asasi yang disekat pergerakannya di tanah air sendiri, sama seperti Liu Xiaobo.

Namun, China yang terkenal dengan ketegasan dan kedegilannya mungkin berasa tidak begitu tercabar dan sekadar mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaungkan amarannya. Dari satu sisi, kita dapat melihat kebimbangan Barat terhadap negara Asia , China terutamanya yang sedang meningkat naik dalam sektor ekonomi dan pembangunannya yang pesat dan semakin memonopoli pasaran perdagangan dunia muktahir ini. Negara barat yang kononnya  bersandar pada tiang demokrasi yang adil,tetapi tuli dan buta. ‘Demokrasi’kah mereka terhadap sokongan dan serangan yang mereka lakukan di Iraq? Dan yang nyata ialah pencabulan Israel terhadap Palestin!

Sakit Perut

“Kau kenapa ni Kalam?” Soal Zambri melihat Kalam yang tidak senang duduk. Sekejap berdiri, sekejap-kejap cangkung, kadang-kadang Kalam rukuk. Tangannya menahan perut.

“Aku sakit perut la Zamb” jawab Kalam dengan suara yang bergetar. Betul-betul Kalam menahan sakit perutnya. “Kau salah makan agaknya?” Zambri cuba menebak. “Cuba kau letak minyak angin, mana tahu kejap lagi baiklah agaknya” Zambri juga memberikan cadangan.

“Sudah, dekat separuh botol aku sapu, tapi makin sakit” Kalam mengurut-urut perutnya. “Kau tahu mengurutkan Zamb? Tolonglah urutkan perut aku ni” Mata Kalam seolah-olah meminta simpati.

“Tak nak lah” pantas Zambri menjawab. “Kenapa? Tolonglah” Kalam masih cuba memujuk. “Nanti kalau aku urut, lain yang keluar, silap-silap keluar baby” Zambri berdekah ketawa.

Previous Older Entries