Menara Jiwa

Sumber gambar disini.

Sinopsis:

MENARA JIWA menggalur cerita tentang perjuangan seorang manusia Melayu yang memulakan gagasan sebuah pakatan. Pakatan yang dinamakan sebagai Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa Melayu diilhamkan daripada pakatan-pakatan besar bangsa dunia dalam memperkasakan bahasa ibunda mereka.

Bagi penubuhannya Dato’ Amar Diraja, bahasa itu jiwa bangsa. Dengan memperkasakan bahasa, jati diri bangsanya takkan mudah luntur. Itulah tunjang kekuatan perjuangan dalam menegakkan menara kedaulatan dan kemerdekaan tanah air. Daripada pakatan inilah lahirnya pakatan-pakatan lain yang akhirnya menumbuhkan Balai Pustaka di Bukit Timbalan pada 1956.

Bukit Timbalan ibarat menara yang menegak jiwa Melayu dengan pasak cinta akan bahasa yang menjadi tunjang jati diri manusia Johor. Pakatan terus diperteguh urat dan nadinya hingga menghidupkan nafas bahasa lalu dewasa dan meneruskan kelanan bahasanya ke ibu kota.

Balai Pustaka yang ditukar namanya menjadi Dewan Bahasa Dan Pustaka melimpahkan pula inti fikir dan auranya ke seluruh tanah air hingga membangkitan roh kemerdekaan negara 1957.

Cerita berselang-seli dalam tiga emosi – kesedihan masa lalu, keriangan alam kanak-kanak dan semangat juang yang membara.

Rumusnya, rentetan perjuangan bahasa sejak 1888 inilah akhirnya melahirkan Institut Bahasa serta Dewan Bahasa dan Pustaka yang terus mapan memperkasa Bahasa Melayu yang pernah gah menjadi lingua franca dunia timur pada abad kegemilangan Melayu terdahulu.

Ulasan:

Pembukaan cerita Menara Jiwa pada pandangan saya sedikit mengaburkan, tiba-tiba dalam suasana sepi terjadi satu keadaan yang huru hara. Pentas dihidupkan dengan suasana cemas yang mengenang tragedi sebuah kapal yang terbakar di Selat Tebrau. Saya sendiri tidak mafhum, apakah suasana cemas ini diangkat dari penceritaan sejarah ataupun sekadar tambahan kerana asal usulnya tidak diungkit dan tidak dimaklumi oleh penonton terlebih dahulu.

Seperti yang diwartakan dalam sinopsisnya, teater Menara Jiwa ini bersulam dalam tiga emosi. Emosi utamanya berkisarkan cerita perjuangan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu oleh watak yang disandarkan sebagai Ungku Rahman Andak dan Mohd Ibrahim Munsyi. Watak-watak ini menyorot kembali kisah-kisah perjuangan awal pembesar-pembesar Johor melawan kuasa-kuasa penjajah. Seriusnya, di dalam penceritaan yang utama ini juga turut mengenangkan sejarah tentang penubuhan Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa Melayu yang diilhamkan oleh Ungku Rahman Andak. Pakatan ini mula mekar dan subur lalu ditukarkan menjadi gagasan Balai Pustaka sebelum ditukarkan namanya menjadi Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) seperti hari ini. Lalu tersingkaplah perjuangan memartabatkan bahasa itu awalnya lahir di negeri Johor sendiri.

Kisah kedua dan ketiga saya rasakan dapat dirangkumkan bersama kerana saya melihat kisah keluarga si Buyung, seorang anak kecil yang masih belum matang dibesarkan oleh neneknya dan seorang kakaknya yang cantik bernama Anna Fatima. Kisah lucu si Buyung bersama rakannya bernama Bulat, banyak menerbitkan ketawa dan perasaan lucu dikalangan penonton. Namun begitu, saya lebih menyukai watak si Bulat yang dilihat lebih humor dan bersahaja jika dibandingkan dengan watak si Buyung yang lawaknya seperti terikat pada skrip dan kadang-kala seperti terlebih-lebih. Walaubagaimana pun, watak si Buyung mendapat tepukan yang lebih gemuruh di akhir pementasan oleh para audiens.

Anna Fatimah, diletakkan sebagai figura seorang gadis Melayu yang remaja jelita, yang tertib dan anggun dalam Menara Jiwa ini. Plot cinta Anna FatimaH menjadi konflik awal yang tercetus akibat percintaannya dengan seorang pemuda Melayu bernama Amir Hamzah dihalang oleh Nenek Anna Fatimah. Nenek Anna Fatimah ingin menjodohkan dia dengan seorang pemuda Inggeris yang bernama Edward Kissington.

Kisah cinta ini saya lihat sebagai satu satira yang sinis, sebagaimana Edward Kissington yang begitu bernafsu ingin menakluk remaja ke-Melayuan Anna Fatimah, begitu jugalah yang berlaku sewaktu zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Watak Edward Kissington pada hemat saya adalah yang terbaik di antaranya, sesuai dengan watak antogonisnya, watak ini dibawa dengan penuh ego, sombong  orang inggeris. Apatah ditambah dengan solekannya yang membuatkan wajahnya dilihat penuh dengan kelicikan dan tipu-daya. Yang menariknya, setiap perbualan Edward Kissington dibuat dalam slanga ‘Mat Saleh bercakap Melayu’ dan ianya ternyata terjadi. Sesuailah ia dipentaskan dalam asas tema bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Johor 2010.

Edward Kissington berjaya menjadi satu watak yang begitu merendah-rendahkan orang Melayu. Intonasi suaranya begitu menyindir orang Melayu sebagai golongan bawahan yang patut mengikut telunjuk orang Inggeris ketika orang Inggeris dilantik untuk berkhidmat di Istana Besar Johor sewaktu zaman penjajahan dahulu.

Selain itu, saya juga terperasankan sesuatu di dalam watak Nenek. Ada konflik dalaman yang bersilang. Pada awalnya Nenek begitu tidak suka penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Perasaan ini digambarkan ketika Nenek membacakan Hikayat Melayu Lama kepada Buyung dan Bulat. Kemudian, Nenek juga yang begitu bersungguh-sungguh ingin menjodohkan Anna Fatimah dengan Edward Kissington.

Secara kumulatifnya, saya melihat pementasan teater ini lebih kepada cerita Edward Kissington, Anna Fatimah dan Amir Hamzah dalam konteks cinta tiga segi, berbanding nilai asalnya yang bertajuk Menara Jiwa, yang sepatutnya merungkai kembali sejarah penubuhan Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa Melayu yang diilhamkan oleh Engku Rahman Andak dan Ibrahim Munsyi di Bukit Timbalan. Namun itu hanya diceritakan secara sedikit.

Selain ruang pementasan yang kecil dan terhad, pentas itu kelihatan padat apabila diisi dengan penari-penari muzikal. Apa yang menariknya ialah teknik pencahayaan ketika pementasan teater ini sentiasa bergabung dengan plot-plot ceritanya. Begitu juga dengan latar muzik yang selalu bergema dan menikam tajam gegendang telinga disebabkan ruangan dewan yang kurang besar.

Latar belakang pentas pula mungkin boleh diubah dengan meletakkan banting bersaiz besar bergambarkan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan berbanding menara yang disusun sebagai piramid.

Advertisements

Dulu di New Zealand

Pagi ini hujan mencurah-mencurah. Tiupan angin yang agak kuat menjadikan suasana sekitar semakin sejuk dan dingin.Long Zaman yang berdiri di depan pintu keluar kadang-kadang terpaksa berundur satu dua langkah ke belakang untuk mengelak rembesan air hujan yang ditiup angin. Bukan apa, cuma takut hujung kaki seluarnya basah. Leceh mahu buat kerja nanti.

Long Zaman berpeluk tubuh sementara menanti hujan reda. Tapi hujan semakin lebat dan angin semakin kuat. Tiba-tiba bahu Long Zaman dicuit dari belakang. Long Zaman menoleh, dilihatnya Nan Cina tersengih-sengih. Gigi siungnya menyeringai tajam dan kedua-dua lesung pipinya timbul disebalik wajahnya yang agak beirisi.

“Nak pergi kantin ke Long?” Tanya Nan Cina pada Long Zaman sambil kepalanya dihulurkan keluar pintu.
“Uishh” tiba-tiba Nan Cina mundur dua tapak ke belakang dari muka pintu gara-gara mengelak air hujan yang dirembes angin.
“Hujan makin lebat ni Long” ujar Nan Cina walaupun Long Zaman tidak membalas soalannya tadi.Sekonyong-konyong angin sejuk bertiup lebih deras masuk ikut pintu keluar dimana mereka sedang berdiri.

“Sedap betul angin ni. Tiba-tiba teringat pulak masa duduk kat New Zealand dulu Long” kata Nan Cina. Long Zaman lekas-lekas memandang wajah Nan Cina.
“Kalau kat New Zealand ni Long, lembu-lembu tu semua dah masuk kandang.” Tambah Nan Cina lagi.
“Kau dulu pernah duduk di New Zealand? Kerja operator jugak ke sama macam sekarang ni?” Long Zaman membuka mulut akhirnya. Ada senyuman yang menyindir terlukis di bibir Long Zaman.

“Uishh..” Nan Cina menarik muka dengan dahi ikut berkerut.
“Dulu la Long, kat Felda Newzealand dulu” jawab Nan Cina acuh tak acuh.

13 Mei Sebelum dan Selepas

13 Mei Sebelum dan Selepas, buku setebal 195 halaman ini meyorot kembali peristiwa berdarah 13 Mei tahun 1969 dari kaca mata Tunku Abdul Rahman (TAR). Sebagai salah seorang tokoh yang terlibat secara langsung dalam usaha menuntut kemerdekaan dari pihak penjajah, seorang ketua negara dan seorang ahli politik, TAR sendiri melahirkan rasa kecewanya ketika berlakunya peristiwa rusuhan kaum di tanah yang baru merdeka pada waktu itu.

Dizahirkan pada pandangan TAR terjadinya peristiwa 13 Mei ini adalah akibat pengaruh komunis yang meresap tanpa sedar di dalam parti Gerakan dan DAP. Kumpulan parti pembangkang pada waktu itu.

Kejadian mengusung mayat yang digambarkan oleh TAR di dalam buku ini sebagai ‘kejayaan’ oleh pihak Gerakan dan DAP menginteprestasikan tindakan pihak polis melukakan seorang pengacau keturunan cina bernama Lim Soon Seng sehingga membawa kematian. Perarakan yang pada awalnya dipersetujui oleh pihak keselamatan sebagai satu cara yang hanya mengikut tradisi telah berubah menjadi satu perarakan yang besar.

Di dalam perarakan inilah tercetusnya api-api kecil yang telah menyebabkan rusuhan kaum yang terbesar di dalam sejarah. Keamanan dan kesejahteraan negara tergugat, pembunuhan, pergaduhan tercetus secara berkumpulan menyebabkan beratus-ratus kematian. Kemusnahan harta benda dan bangunan oleh sebab kebakaran yang disengajakan menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit. Ekonomi tersekat dan hubungan sosial menjadi ragu-ragu kerana di dalam hati kedua-dua kaum telah tertanam benih-benih curiga dan syak wasangka.

Ketika perarakan berlangsung sehari sebelum pilihan raya, pelbagai kata-kata yang mengguris hati dan perasaan terutamanya mengejek masyarakat melayu terlaung-laung di dalamnya seperti kata ‘darah dibalas darah’, simbol penyapu untuk mengusir orang melayu, sepanduk yang tertulis ajaran komunisme Mao Tze Tung, dan lain-lain lagi. Kejadian ini seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati di antara orang melayu dan orang cina.

Walhal sebelum kejadian ini, telah berlaku satu kejadian bunuh terhadap seorang bangsa melayu bernama Encik Kassim bin Omar (m/s 39, 13 Mei Sebelum dan Selepas) yang mayatnya telah disimbah dengan cat berwarna merah yang digunakan untuk menulis perkataan “Jangan mengundi di dalam pilihan raya”. Seharusnya pada ketika ini, orang melayu-lah yang wajar meng’amuk’ terlebih dahulu. Tetapi dinasihatkan oleh TAR supaya orang melayu bersabar demi kesejahteraan kaum.

Oleh kerana di dalam perarakan itu, api-api kesat yang dinyalakan telah membakar pohon kesabaran orang melayu, maka hilanglah kesabaran itu sehingga tercetusnya rusuhan antara kaum melayu dan cina sampai darurat terpaksa diisytiharkan. Di dalam perarakan inilah mungkin TAR melihat anasir-anasir komunisme itu sangat nyata dan ketara apatah lagi sebelum peristiwa itu, parti pembangkang telah mengisthiyarkan untuk memulaukan pilihan raya dimana tindakan tersebut adalah sesuatu yang sangat komersil dan biasa digunakan oleh komunis untuk membantutkan proses demokrasi.

Di dalam buku ini juga, TAR menyanggah teori rusuhan 13 Mei adalah satu konspirasi untuk menjatuhkan beliau sebagai perdana mentari pada waktu itu. Saya melihat di suatu sudut lain mungkin juga ada benarnya. Jikalau benar, peristiwa ini samalah seperti teori konspirasi 9/11, Al-Maunah yang kononnya hanyalah sandiwara yang dicipta-cipta tetapi mengorbankan nyawa orang ramai.

Surat Dr. Mahathir kepada TAR menyalahkan TAR kepada punca berlakunya peristiwa 13 Mei (disini ). Dr. Mahathir menyalahkan TAR kerana terlalu memberi muka dan tidak mengambil tindakan yang wajar kepada orang Cina selepas peristiwa pembunuhan Encik Kassim bin Omar. Selain itu Dr. Mahathir menyelar perbuatan TAR yang masih bermain poker dan berjudi lumba kuda sewaktu tragedi ini terjadi. Di dalam buku ini TAR juga mempertahankan tindakannya yang bermain poker dan berjudi lumba kuda hanyalah sekadar hiburan semata-mata!

Seterusnya, Dr. Mahathir dipecat dari UMNO, dan TAR menggelar kebanyakkan pemimpin muda di dalam UMNO seperti Dr. Mahathir sebagai sebuah kumpulan ultra (pelampau). Kewujudan kumpulan ultra ini secara impaknya begitu ingin mempertahankan kedaulatan melayu tanpa memberi ruang toleransi kepada kaum-kaum lain di Malaysia. Dasar pendidikan, dasar bahasa kebangsaan dan kepentingan orang melayu menjadi teras perjuangan di dalam kumpulan ultra ini. Akhirnya golongan Ultra inilah dimasa kita begitu tidak teliti dalam melaksanakan PPMSI secara tegesa-gesa!

Pemecatan Dr. Mahathir di dalam UMNO membangkitkan ketidakpuasan hati penyokong-penyokongnya terutama para pelajar universiti. Surat Dr. Mahathir kepada TAR mewujudkan gerakan demonstrasi di dalam institusi pengajian tinggi pada waktu itu terutamanya di Universiti Malaya (pada waktu itu Naib Caunselornya ialah Prof. Diraja Ungku Aziz). Berpuluh-puluh demonstrasi dan piket diadakan bagi mendesak supaya TAR meletakkan jawatannya di dalam kabinet. Mungkin selepas kejadian ini agaknya AUKU dipinda bagi mengelakkan pelajar universiti tempatan terlibat di dalam gerakan politik secara terus ataupun tidak.

Saya juga suka memetik kata-kata TAR di dalam buku ini, “apakah kita ingin mejadi seperti mencuri daripada Muhammad dan diberi kepada Salleh”(m/s 118, 13 Mei Sebelum dan Selepas) sewaktu beliau di desak meletakkan jawatan oleh kumpulan ultra ini. Kata-kata ini simboliknya selepas perletakan jawatan beliau, bangku perdana menteri akan diisi oleh seorang melayu juga. Muhammad adalah melayu dan Salleh juga adalah melayu.

Secara sinisnya TAR kecewa kerana sepanjang beliau menjawat jawatan perdana menteri, telah banyak diusahakan olehnya untuk kepentingan orang melayu seperti penubuhan Kolej Mara, Universiti untuk orang melayu, Rancangan-rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan dan usaha itu tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya, malah didesak untuk meletakkan jawatan!. Secara, tersirat buku ini juga mengangkat usaha dan pengorbanan TAR sendiri terhadap apa yang telah disumbangkan oleh beliau sepanjang tempoh penjawatannya.

Selain itu, di dalam buku ini juga TAR juga menyelitkan perihal perlembagaan negara dan hak asasi melayu. Dinyatakan “bahawa sebagai hasil perjanjian-perjanjian asal dengan negeri-negeri Melayu yang ditegaskan dari semasa ke semasa, maka kedudukan istimewa orang Melayu itu sentiasalah diakui dan pengakuan ini telah dinyatakan sekali lagi dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. (Sila ambil perhatian perkataan “sentiasalah diakui”). (M/s 134, 13 Mei Sebelum dan Selepas).

Namun begitu, terdapat juga persoalan tentang tragedi ini dimana TAR menyatakan peristiwa 13 Mei hanyalah kritikal di dalam wilayah Selangor dan Kuala Lumpur. Sementara di negeri-negeri lain adalah terkawal seperti Johor, pantai timur dan negeri-negeri sebelah utara. Sedangkan kisah ‘Kiyai Salleh’ begitu mahsyur di masa berlakunya  zaman bintang tiga dan 13 Mei ini di selatan tanah air.

Dikhabarkan Kiyai Salleh ataupun gelaran-gelarannya ‘Panglima Salleh, Panglima Hitam atau Panglima Salleh Selempang Merah” adalah seorang guru agama yang berjuang demi bangsa dan agama sewaktu zaman darurat. Ketinggian ilmu batin Kiyai Salleh yang terkenal adalah cerita parang panjang terbang yang diamalkan dengan “ayat empat”.

Walaubagaimana pun, sebagai seseorang yang telah lahir mendahului zaman-zaman penuh kepayahan. Buku ini wajar dijadikan iktibar dan sejarah supaya generasi muda tidak kira apa bangsanya sekalipun menjadi lebih tekun dan susila dalam menjaga keharmonian negara. Tragedi 13 Mei telah banyak menumpahkan darah dan korban, sewajarnya menjadi peringatan kepada kita generasi seterusnya menjaga keharmonian negara ini untuk kepentingan bersama.

Dunia Magika

Saya belum sempat menonton filem Magika, namun apa yang saya dengar dari kata thriller-nya “Tiada yang mustahil dalam Magika kalau kita berimaginasi”.

Kata-kata beginilah yang selalu menyentap spirit saya. Membuatkan saya mula berhalusinasi, tentang kehidupan realiti yang dilalui hari-hari. Mungkin jika ditambah sedikit imaginasi di situ sini tak mustahil plot ceritanya jadi mantap dan enak. Ha ha ha. Saya sudah mula berkahyalan. (Sambil kelopak mata tertutup redup).

Pagi itu, sebelum masuk ke pejabat, saya terserempak dengan si ‘kancil’. Dia menegur saya ketika saya dalam keadaan tergesa-gesa.

Si ‘kancil’ cumalah insan yang kerdil jika mahu dibandingkan dengan watak yang saya pegang di dalam dunia magika ini. Sila tidak berprasangka yang saya adalah orang yang meninggi diri. Tidak.

Akibat teguran dari si’kancil’ makanya saya memberhentikan perjalanan. Simbolik menghormati sesama warga di dunia magika.

Stop” arah saya pada safety boot yang bersayap.

Lalu sepasang safety boot yang bersayap saya sarungkan sebagai sepatu itu menurunkan saya yang terawangan 3 inchi dari tanah dengan perlahan-lahan.

“Kenapa si ‘kancil’?” kata saya sambil duduk mencangkung mengikat tali kasut safety boot yang longgar.

“Nggak ada apa-apa mas, ini ada barang mahu dicari. Tapi tak jumpa-jumpa sih” bicara si ‘kancil’ dengan slanga orang seberang. Lalu si ‘kancil’ menunjukkan sehelai kertas yang sudah buruk dan bergumpal-gumpal kepada saya. Kertasnya kusam kekuning-kuningan.

“Bak sini” saya meminta sopan. Kertas kusam kekuning-kuningan itu bertukar tangan.

Mentafsirnya sekilas lalu membuatkan saya berkerut dahi. Bermacam-macam tabir rahsia terbuka di kepala saya. Dunia Magika ini penuh dengan sejuta misteri, yang dicari bukan apa yang tersurat, tetapi apa yang sebenarnya tersirat.

Kalau ditulis epal kuning berbuah-buah, sebenarnya ialah minyak grease berwarna pear emas yang bertakung di hujung lorong mesin raksasa milik ‘Datuk Tikus Misai’. Epal itu hanyalah kata sandarnya sahaja sedangkan warna emas-lah kata maksudnya. Emas-lah yang selalu berwarna kuning.

Kalau dikata dawai pengikat seribu dewa, sebenarnya ialah tali poli-propelyne yang dibuat dari daun pohon cemara jantan yang tidak berbunga yang baru berpucuk sehari.

Kalau disebut jalan simpang tekpi berapi, ia merujuk kepada sebatang jalan yang bercabang tiga dihujung selekoh rumah Cikgu Pendita. Tekpi itu cuma jadi simbol kepada jalan yang bercabang itu. Sedangkan api ialah menandakan jalan itu telah digazetkan oleh Cikgu Pendita sebagai jalan persendirian. Kalau mahu guna silakan bayar duit tol.

Macam-macam hal. Kalau ada orang baru yang tercampak di dunia magika ini dengan ilmu yang kurang apatah lagi pengalaman pun dangkal, memang susah untuk mereka survive. Kecekalan hatilah yang menjadi peran utama untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam dunia magika ini.

Saya masih mengurut-urut dahi, bingung memikirkan ayat penyata yang tercetak di helaian kertas kusam kekuning-kuningan yang dihulurkan oleh si ‘kancil’ tadi.

Si ‘kancil’ pun saya lihat telah duduk bersimpuh di atas jerami halus yang telah disulam menjadi hamparan di dunia magika. Mungkin menunggu terlalu lama kata-kata dari saya.

Di mata si ‘kancil’ yang bulat seperti bola guli itu, bersinarlah harapan yang mengharapkan saya mampu membantunya menafsirkan tentang apa yang sedang dicarinya.

Saya menyeluk poket seluar belakang bahagian kiri lalu saya mengeluarkan sebuah kitab yang telah saya karang sendiri iaitu “Pengalaman Membuka Tabir Rahsia Magika Vol-I”.

Kitab ini adalah catatan sejarah saya sepanjang saya hidup tercampak di dunia magika. Setiap detik pengalaman dan jenis cerita perjalanan saya di dunia magika semuanya saya catitkan di kitab ini.

Suatu masa nanti dipemergian saya, amatlah saya berharap dapat mewariskan kitab ini kepada keturunan saya sendiri. Semoga mereka mendapat manfaat dari pengalaman dan rahsia tabir magika yang pernah saya buka. Semoga sejahtera mereka belajar.

Puas menyelak satu-satu lembar. Tiba-tiba saya separa menjerit.

“Ha..!” si kancil yang tersengguk-sengguk di hamparan jerami tersentak. Segera si ‘kancil’ berlari mendapatkan saya.

“Udah dijumpa ya mas?” Soalnya galak, matanya bersinar cemerlang.

“Barang yang kau cari ini tidak ada disini” kata saya jujur kepada si ‘kancil’. Si ‘kancil’ membungkamkan wajah hampa.

“Tapi barang itu ada di ladang Giant orang kerdil, kau mintalah pertolongan pada Sotong Muda atau Burung Haji Yak-Yak untuk membawa kau sampai ke sana. Semoga berhasil pencarian kau wahai si ‘kancil'” kata-kata saya yang seterusnya mengubah wajah si ‘kancil’. Senyuman pun terlukislah dibibir si ‘kancil’ yang kecil molek itu.

Ucapan terima kasih tidak putus-putus dilaungkan oleh si ‘kancil’ kepada saya. Barang itu mesti dicari dan ditemukan oleh si ‘kancil’, jika tidak si ‘kancil’ akan disembelih lalu dipanggang untuk dijadikan santapan malam oleh tuannya, Raja Aklaken yang tidak berhati perut.

Raja Aklaken ialah pemerintah yang memerintah dunia magika ini. Namun kuasanya terhad kepada sebahagian dunia magika sahaja.

Melihat si ‘kancil’ sudah jauh pergi di pandangan mata saya. Hati saya sayu. Maafkan saya si ‘kancil’. Apa yang saya beritahu tadi sebenarnya tidak wujud sama sekali. Sengaja saya mereka-reka cerita supaya harapan si ‘kancil’ tidak saya musnahkan walaupun saya terpaksa berbohong.

Dunia magika tidak akan pernah sanggup menghancurkan harapan sesiapa pun.

Manikam Kalbu- Faisal Tehrani


“Dengar sini Dang, baju Melayu teluk belanga itu ada ciri khasnya. Lehernya bertebuk bulan-bulan, disulam pula dengan tikam belut, atau sulam jari lipan, sulam tulang pari. Kancingnya pula ada satu. Dinamai orang buah baju tunggal-tunggalan, atau buah bulat menelur burung, atau buah bertangkai menudung petai … dan buah permata berbagai cincin.”
Halaman 113, Manikam Kalbu, Faisal Tehrani.

Usai membaca perenggan ini, saya terus membuka almari. Mencari baju melayu teluk belanga yang lama. Yang dulu saya pernah tempah dengan seorang tukang jahit. Setelah dapat terus saya lipatkan bahagian lehernya. Mencari apa yang dikatakan dengan jahit tikam belut, sulam lipan atau sulam tulang pari.

Lalu saya bandingkan dengan baju melayu teluk belanga yang saya beli sudah siap. Memang berbeza.

Di bahagian leher baju melayu teluk belanga yang tempah kelihatannya lebih tebal dan keras berbanding baju melayu yang sudah di beli siap. Jahitannya pun sama, yang satu berselirat-selirat namun jahit benangnya seragam dan yang satu itu kemas dan normal. Mungkin yang berselirat itu dinamakan tikam belut. Seperti yang diceritakan, bahagian leher baju melayu teluk belanga yang asli kelihatan sedikit tebal dan keras kerana telah disembat dengan kain perca terlebih dahulu. Sebelum dilipat dan dijahitkan.

Membaca Manikam Kalbu jujurnya mengajak kita mengerti keindahan seni busana Melayu. Secara teras, cerita asas Manikam Kalbu bersulam antara kisah dua watak, Ziryab dan Manikam Kalbu.

Ziryab diceritakan secara realiti mengenai kesungguhan seorang anak muda lelaki yang tekun untuk mendalami ilmu busana dan fesyen pakaian. Sesuatu yang jarang-jarang kita dengar kerana kebanyakkan anak lelaki masa kini lebih tertumpu di bidang-bidang teknikal dan pertukangan. Manakala Manikam Kalbu diceritakan secara flash back menyusuri sejarah Melayu lama sewaktu zaman kegemilangan Sultan Melaka. Manikam Kalbu asalnya hanyalah seorang anak dayang yang diangkat menjadi jurubusana istana Melaka pada waktu itu.

Kisah Manikam Kalbu dan Ziryab diceritakan berselang seli menjadikan novel ini seronok dibaca apatah lagi hikayat Manikam Kalbu itu disampaikan oleh seekor kucing yang bernama Manira bagi membentuk suasana santai dan humor ketika membacanya.

Novel ini sarat dengan kata-kata klasik yang jarang kita dengar namun boleh dirujuk di bahagian glosari di muka surat akhir bagi menambahkan pemahaman kita.

Selain itu, Manikam Kalbu juga secara kolektifnya menyedarkan kita betapa etika pemakaian itu melambangkan keperibadian, ketinggian akhlak dan personaliti si pemakai. Novel ini juga mengorek rahsia yang tersimpan dalam busana Melayu dan diterjemahkan seni busana Melayu dalam bentuk falsafah orang melayu dan agama Islam.

Membaca Manikam Kalbu akan menyedarkan kita bahawa pakaian warisan kita seperti baju melayu teluk belanga, baju melayu cekak musang dan baju kurung tidaklah semata-mata direka tanpa sebarang asbab. Membaca Manikam Kalbu membawa kita meyingkap kembali sejarah dan menmbah pengetahuan kita tentang apa yang terisat di sebalik reka cipta busana melayu.

Mengapa baju ini dinamakan teluk belanga, mengapa dikatakan cekak musang, mengapa teluk belanga butangnya satu dan cekak musang butangnya kadang-kadang 3 atau 5, mengapa bahagaian leher itu dipesak atau dikekek serta pelbagai lagi.

Jika kita menceritakan tentang nilai dan pengajaran, maka banyak sekali akan kita kutip secara tersirat ataupun tersurat. Antaranya ialah seni keindahan busana Melayu itu sendiri yang banyak diterangkan dalam bab demi babnya.

Kemudian, dalam novel Manikam Kalbu menunjukkan juga kepada kita tentang kedaulautan seorang sultan dan wajib menghormatinya sebagai seorang pemerintah, seperti diceritakan ketika Tun Matin sahabatnya Manikam Kalbu dibawa untuk menghadap sultan, seperti di dalam perenggan dibawah;

” Di hadapan baginda tuanku, Tun Matin terketar ketakutan.

“Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik masih muda Tuanku, janganlah diapa-apakan patik. Adapun kesalahan patik ini janganlah dihukum, patik tidak akan buat lagi, Tuanku. Patik mengaku.. patik mengaku…”

Sultan Mahmud Syah dan pembesar-pembesar istana yang lain tercengang.”
Halaman 121, Manikam Kalbu, Faisal Tehrani.

Tetapi hari ini, kuasa sultan semakin dicabar oleh pihak-pihak tertentu atas nama kebebasan dan perlembagaan.

Selain itu, Manikam Kalbu turut menerapkan tentang kebebasan itu sangat-sangatlah bernilai bagi sesiapa jua selagi bergelar manusia.

“Manikam Kalbu tunduk seketika. Ada air mata segera bergenangan, akan menitis bagai manikam putus pengarang.

“Ampun Tuanku, sembah patik pacal ini takut sekali berbunyi cabul. Ampun Tuanku, patik mohon … jika Tuanku tidak berkeberatan … merdekakanlah pacal dan dan ibu pacal dari perhambaan supaya kami bebas merdeka..”
Halaman 133, Manikam Kalbu, Faisal Tehrani.

Novel ini juga tidak dapat lari dari tema cinta dan percintaan, tidak dapat tidak unsur-unsur cinta dan percintaan itu tetap diselitkan oleh pengarangnya namun tidaklah sampai meleret-leret atau melebih-lebih. Kisah cinta dalam Manikam Kalbu dilihat lebih berat kerana cinta Ziryab kepada cikgunya sendiri, Cikgu Natasya. Seorang cikgu muda yang diciptakan penuh dengan kecantikan dan gaya oleh Faisal TEhrani. Ataupun cinta Ziryab kepada guru busananya Siti Nurqomariyah seorang wanita minang yang digambarkan sebagai gadis gadang nan indak (gadis matang tidak bersuami).

Tema cinta dan percintaan ini akhirnya digambarkan sebagai tidak berjaya lantaran perbezaan umur antara watak Ziryab dan Manikam Kalbu yang masih muda belia dengan Cikgu Natasya dan Siti Nurqamariyah yang lebih matang dan berusia selain mereka adalah guru kepada Ziryab dan Manikam Kalbu.

Nilai-nilai lain yang terkandung ialah mengajar kita supaya tidak lancang untuk mengejek asal keturunan orang lain seperti Dang Nurhalijah yang mengejek keturunan Manikam Kalbu sebagai seorang hamba. Akhirnya Dang Nurhalijah terkenan tulah penyakit gatal-gatal dan dipulihkan setelah mandi dan membasuh badannya dari air basuhan kaki Manikam Kalbu.

Sejujurnya, novel ini terlalu sulit untuk disimpulkan kerana hemah dan bijaksananya kepengarangan Faisal Tehrani dalam menyusun kata dan cerita, sejarah dan fakta, adat dan budaya, falsfah dan bahasa, seni dan misteri, dalam bentuk yang ringan dan bersahaja.

Dalam ringkasnya moleklah kalau tuan dan puan itu membaca sendiri kisahnya Manikam Kalbu ini.

Tanpa Sedar Kita

Saya terdetik, hari ini negara kita dikejutkan dengan satu tragedi kemalangan yang dahsyat. Beberapa jiwa kehilangan nyawa. Beberapa jiwa lagi sedang parah di atas katil-katil hospital. Entah berapa ramai ahli keluarga yang sedang menumpahkan air mata lantaran peritiwa sedih ini. Tragedi yang ngeri ini merupakan satu sejarah hitam yang terlakar lagi di atas sejarah kemalangan jalan raya di negara kita.  Sungguh menyayat hati.

Dalam waktu yang sama, kita sendiri menjadi heboh, kepoh. Peristiwa tragik yang berlaku jauh dari kita, kalau menurut akal yang sempurna kita sendiri tidak mahu ia terjadi, apalagi jika menimpa ke atas diri sendiri tentulah ia akan terkenang sebagai fobia dan tak sanggup kita hadapi.

Namun begitu, pada hari ini begitu ramai di antara kita yang ingin membongkarnya. Seolah-olah mahu menyaksikan tragedi itu di depan mata kepala sendiri. Makanya dalam zaman yang serba ber-teknologi, perkongsian di alam maya memungkinkan segalanya.

Kedahsyatan kemalangan itu kini terhidang di depan mata. Kita lihat sendiri darah pekat merah yang basah tertumpah. Kita lihat sendiri tubuh yang berkecai terburai. Kita lihat sendiri tubuh badan yang bergelimpangan bertabur di atas jalan. Tanpa ada sekatan. Seolah-olah kita menyaksikan sendiri tragedi itu di depan mata. Fresh dan asli.

Sebenarnya, kita semakin hairan dengan perilaku dan norma yang ada dalam segelintir masyarakat kita. Kita tertanya-tanya, ketika tragedi yang maha petaka itu berlaku, masih ada segelintir kita yang sempat merakamkan video, atau gambar kemudian menyebarkan sesuatu yang kita rasakan tidak patut dikongsikan dengan masyarakat umum. Terlalu umum.

Ketika mangsa-mangsa yang masih bertarung untuk hidup dan mati, mengharapkan pertolongan dan simpati, ada insan yang masih punya ruang untuk merakamkan tragedi. Benar-benar saya tidak faham.

Kalau yang merakam dan mengongsikan itu ialah ahli berita atau seumpamanya, sesungguhnya saya percaya atas tanggungjawabnya dan pekerjaannya. Kalau disiarkankan pun pasti berhemah dan bertapis. Tidak menyiarkan secara telanjang keadaan  mangsa-mangsa yang telah terputus terburai jasadnya. Paling-paling horor pun setelah ditutupi. Itulah kredebiliti media dalam menyiarkan maklumat. Berhemah dan bertapis.

Biarpun begitu, perkongsian siber yang cukup luas tanpa batasan ini, membolehkan sesiapa pun untuk menjadi seorang ‘kamera’man yang bertindak sebagai pelopor untuk menyiarkan sesuatu berita yang fresh dan asli, tanpa etika dan akhlak kewartawanan. Lalu ia dikongsikan bersama orang awam di alam maya.

Kita berfikir sejenak, adakah ini sudah menjadi trend?

Seseungguhnya jika ia berlaku di depan mata kita, kita tidak akan pernah sanggup untuk menatapnya lebih lama seperti yang kita tonton di atas skrin komputer. Berulang-ulang kali. Jikalau jiwa kita kental sekalipun, mungkin kita sedang menghulurkan tenaga membantu. Jikalau jiwa kita lemah pada waktu itu, kita akan terkesima dan tak mungkin dapat betah lebih lama di tempat kejadian. Apalagi merakamkan video dan gambar!

Sejujurnya, saya mengutuk tindakan mereka yang masih sanggup merakam video ngeri ini lalu menyebarkannya tanpa tapisan! Satu tindakan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab! Hasilnya, kita akan tercari-cari gambar dan video yang lebih terbuka dari apa yang telah dikatup media massa. Seolah-olah kita ini masih belum cukup untuk menitipkan simpati dan belas kasihan dengan sumber media yang sedia ada. Kita mencari alternatif yang lebih horor dan ngeri untuk mendatangkan impak terhadap hati kita untuk lebih jadi terkesan, simpati, kasihan dan memberikan pengalaman.

Justeru itu, sesiapa yang sedang berkongsikan pada waktu ini, pada hemat saya removekan-lah yang mana tidak patut. Terutama video mangsa-mangsa kemalangan dan gambar-gambar yang sememangnya tidak sanggup kita tontoni pada aras kewarasan akal. Bukan kerana takut atau loya atau lemah semangat, tetapi atas dasar menghormati kita sesama manusia.

Saya berkongsikan pandangan yang lebih dahulu disampaikan oleh seorang pendakwah dalam entrinya beberapa minggu sebelum kejadian. Moga kita selami selaut iktibar.

Schadenfreude: Menikmati Sebuah Rakaman Penderitaan

Cinta itu ibarat bola.

Tanya seorang kawan, “Kau tahu cinta itu seperti apa?” Kami tiga orang ini tidak menyahut pertanyaannya. Mata kami terpaku pada skrin nipis yang lebar, sedang memuntahkan cahayanya yang terang dari Stamford Bridge sana.

Dia bersandar malas pada kerusi kayu yang tegap sambil menghirup secangkir kopi hitam. “Syruupp” Hirupnya berbunyi perlahan. Kopi hitam itu tidak kelihatan luak sedikit pun.

Acara sepak mula berlangsung. Yang kedengaran cuma sorakan penonton di dalam kaca atau skrin leper itu. Kami di hujung sini sepi. Kami betul-betul menikmati acara perlawanan yang bakal mencatat sejarah ini. Begitu mengikut naratif kami di awal pertemuan ini.

“Nampaknya Fabregas, Van Persie, Bendtner dan Walcott tak main. Sesuai ramalan aku” Nan Cina tersenyum sinis.

“Nampaknya lebih mudah. Ha ha ha.” Ketawa Zul Setan menikam perasaan.

“Belum tentu lagi kawan” Saya sekadar membalas basa-basi tanpa mahu menaruh harapan tinggi.

Minit ke-dua dari masa permulaan, Sagna melencongkan bola ke tengah kawasan kotak penalti, Chamakh melayangkan badannya ke udara, tandukannya tidak kemas menyebabkan bola off target ke sipi kanan tiang gol. Tinggal lagi beberapa inci sahaja. Peluang pertama yang terlepas.

Separuh penonton dalam kedai menghelakan nafas kecewa panjang.

“Cinta itu seperti bola. Kalian percaya?” kawan saya yang seorang ini terus menyambung bicaranya.

Mata kami terus terpaku ke skrin yang nipis dan lebar digantung beberapa kaki tinggi dari lantai. Sekali sekala kami menyuakan cangkir minuman panas ke hujung bibir. Panas sepanas kehangatan perlawanan malam ini.

Kelihatannya pasukan lawan segera bangkit dari serangan yang pertama. Hantaran jauh ke tepi padang membawa bola ke kaki pemain yang berasal dari Ivory Coast, Drogba. Kawalan bolanya kemas. Beberapa pemain pertahanan Arsenal yang usianya masih muda digelecek Drogba. Satu lepas, dua lepas. Bola ditolak perlahan dari kaki pemain pertahanan lawan demi mencari sedikit ruang.

Keadaan di dalam kotak penalti jadi cemas dan kucar-kacir. Drogba menendang bola ke arah gawang. Namun dapat dihalang pantas oleh Song, pemain pertahanan muda Arsenal.

Walaupun begitu, bola melantun pula ke kaki pemain Chelsea Florant Malouda, sepakannya yang terburu-buru menyebabkan bola tersasar jauh ke atas palang.

“Seni cinta seperti bola itu hanya difahami oleh kaki yang berbakat. Lihat bola itu digelek-gelek kemas. Memperdayakan. Menghiburkan” Kawan saya yang seorang ini terus tenggelam dalam falsafahnya yang berat. Kami masih tidak tidak begitu mempedulikan biacaranya. Kami tenggelam dalam acara yang sedang berlangsung.

Minit ke-lapan hingga ke hujung separuh masa pertama serangan bertali arus. Hantaran bola tinggi dipotong Arshavin lalu merembat deras ke arah penjaga gol Chelsea, Peter Cech. Tangkapan yang mudah bagi penjaga gol berbakat itu.

Seterusnya Chesea cuba mencari rentak dan penyudah untuk membolosi pertahanan Arsenal. Tendangan lencong Malouda membawa bola ke arah Michael Essien yang tidak dikawal. Tandukan lajunya tertuju ke penjuru gawang Arsenal dalam jarak delapan kaki. Namun tersasar sedikit. Hampa.

“Seperti bola, ia selalu direbut-rebut. Yang memilikinya akan dikejar bagai nak rak oleh yang lain. Cemburu” kami masih senyap. Menonton dengan tekun.

Analisis-analisis yang keluar berbaris dari kaca tv itu kami baca dengan hemah. Mengutip fakta-fakta dan teori bola agar tekaan kami sekurang-kurangnya menepati ramalan.

Enam minit sebelum selesai separuh masa pertama, Ramires melorongkan bola ke arah Cole yang bebas di sebelah kiri. Cole dengan pantas membuat hantaran silang yang rendah ke arah Drogba yang meluru berhampiran gawang.

Bola yang di lorongkan tertinggal di belakang Drogba namun sempat dikuisnya sebelum melepaskan rembatan deras ke arah pintu gawang. Bola meleret masuk, selesa ke dalam jaring.

Teriakan penyokong ‘The Blues’ bergema. Di Stamford Bridge atau di sini. Nan Cina dan zul Setan bersorakan. Nan Cina melapangkan tapak tangannya ke arah Zul Setan. Zul Setan menemukan tapak tangannya dengan tapak tangan Nan Cina. Simbol Gimme five!

Saya jadi meluat. Perasaan saya hilang sambil meruap wajah dengan tapak tangan. Tercabar!

“Kan aku dah bilang, cinta itu seperti bola, walau kau tendang berapa jauh sekali pun, akhirnya kau kena kutip”. Rakan saya yang seorang ini menyampuk dalam kekecohan suasana.

Saya terus menjerit.

“Mamak, kira sini!!”

Previous Older Entries