Gadis Hulu Muar

Tiga Novel: Abdullah Sidek

Menceritakan kisah percintaan desa antara seorang jejaka bernama Kassim dan seorang dara yang bernama Gayah.

Gaya penulisan Abdullah Sidek dalam menceritakan kisah ini tidaklah banyak menggunakan bahasa-bahasa metafora yang lazimnya menggambarkan keindahan setiap cerita cinta.

Bahasanya mudah dengan lenggok penulisan melayu lama, seperti kisah-kisah cinta yang lain, ia juga lengkap dengan plot-plot rindu, kasih sayang, gurau senda, dengki khianat, selain diselitkan juga banyak plot-plot yang berlatarkan masyarakat melayu lama seperti permainan sepak raga, belajar silat, pesta menuba dan pesta menuai padi.

Latar asasnya masih berkonsepkan perkampungan, Kassim seorang anak muda baya 20-an yang wajib menyara ibu dan adiknya lantaran kematian bapanya. Pada babak-babak awal, hubungan Kassim dan Gayah hanyalah sekadar kawan rapat dan abang kepada adik. Kassim banyak membantu Gayah, anak Pak Tunggal dalam menguruskan kehidupan seharian seperti menoreh dan memesin getah. Waima jika Kassim pergi memancing ikan pun, hasilnya tetap sedikit atau banyak dikongsikan dengan Gayah.

Masa demi masa, usia pun semakin menginjak dewasa, hubungan ini hujungnya menyimpulkan keakraban yang lebih erat terjalin, tanpa sedar Kassim dan Gayah masing-masing memendam perasaan antara satu sama lain dan di sini kita akan lihat lebih banyak adegan-adegan cinta mengembang sesuai dengan tema dan tajuknya.

Seperti orang yang telah lama makan garam, Abdullah Sidek tahu cinta-cinta anak muda selalu diuji dengan gelora nafsu, seperti petikan dibawah.

” Melihat perlakuan Gayah yang demikian, maka iman Kassim yang keras dan teguh itu pun robohlah, maka dengan perlahan-lahan ia menundukkan kepala mencium pipi dan mengucupi mulut Gayah yang kecil molek, yang dihiasi oleh dua baris gigi yang putih berkilat itu. Menerima ciuman yang ditunggu-tunggunya, kedua-dua belah tangan gadis itu perlahan-lahan datang memeluk akan leher kekasihnya. Pelukan itu semakin bertambah kuat manakala kerana ciuman yang bertambah lazat itu berjalan dan meresap ke seluruh sanubarinya.

“Sudahlah Yah.” Demikian bisik Kassim kepada teliga “gadis Hulu Muar” itu.

Tetapi Gayah telah menjawab sambil tersenyum kemalu-maluan. “Lagilah Sim.” Yang demikian terpaksalah Kassim menyempurnakan permintaan itu.”

Namun ini hanyalah plot yang mengajar supaya setiap orang tidak mudah tunduk dengan gelora cinta yang berlandaskan nafsu, apatah lagi jika cinta anak muda yang baru hijau pucuknya. Baru sejam hilang dari mata sudah meroyan rindu. Maka, jika hendakkan bercinta, disuruhnya kita beriman supaya tidak terlanjur akibat dan perbuatan yang merosakkan.

Di akhir bab, cinta Gayah dan Kassim akhirnya membina ikatan yang sah melalui perkahwinan. Dan seteru Kassim yang juga sahabat karibnya, Hussain yang suatu masa telah menyimpan dengki kerana cinta Hussain kepada Gayah tidak dibalas, kerana cinta Gayah hanyalah untuk Kassim seorang tiada dua, menjadi akrab semula. Hussain telah menjadi seorang lebai muda. Ada pun ceritanya ialah Hussain malu kerana pinangannya ditolak Pak Tunggal, Hussain telah keluar dari kampung dan merantau untuk belajar ilmu agama.

Maka disimpulkan juga oleh Abdullah Sidek, kekecewaan, kehampaan dan kedengkian akibat cinta itu sebenarnya adalah hikmah untuk orang yang selalu berfikir seperti Hussain untuk berjaya di kemudian harinya.

Wallahu al’aklam bissawa’.

Nota yang tidak dirakam

“Ah, payah” Prof. E-1 mengeluh berat. Lalu badannya dihempaskan ke dinding kusyen kerusi pejabat yang lembut. Kerana momentum yang diberi,  spring yang dipasang di bawah sofa alas punggung itu menyebabkan lantunan ke belakang sedikit. Sifat keanjalan spring yang melantun, kemudian berpatah balik. Namun, kerusi itu masih statik di lokasi asalnya.

Itulah salah satu dari sifat binaan besi melalui ‘sifat mekanikal’nya. Besi ini diberi ‘Modulus Elastik’ ataupun ‘Elasticity‘ yang tinggi. Biasanya lebih daripada 288,000 E. Supaya dalam memberi ada balasnya.

Prof. E-1 bersandar, wajahnya menghadap skrin komputernya yang nipis. Cecair-cecair yang terkandung dalam paparan skrin komputer memuntahkan berjuta-juta pixel cahaya. Prof. E-1 merenung dalam. Jauh mencari akal barangkali.

“Bagaimana ya?” Soalan Prof. E-1 yang cuma bersuara di buku hati. Pensil di tangan dipusing-pusingnya perlahan. Satu dua pusingan kemudian berhenti. Pensil itu tidak jatuh, malah melekat kemas di jari. Kaedah itu lama sudah dipraktikkan Prof. E-1  dalam hari-hari kehidupannya. Sementelah di universiti, dia belajar berfikir dari situ dan cara befikirnya memang begitu.

Yang kita mahukan ialah fleksibiliti, namun sifat besi itu sendiri keras. Yang mana ialah menjadi kesesuaian dalam satu pilihan rekabentuk ialah fleksible (mudah lentur), tahan lama dan kuat. Bagaimana mahu mengongsikan ketiga-tiga sifat komponen ini dalam satu bahan yang sama? Komposisinya harus setara. Prof. E-1 merenung jauh lebih dalam. Kedua-dua tangannya sudah diangkat lalu diletakkan ke belakang kepala.

Prof. E-1 bangun dari kerusi empuknya. Dia berjalan menuju ke arah perpustakaan mininya di hujung sudut kanan ofis. Rak almari yang diperbuat dari kayu jenis oak dicat dengan warna coklat asli, divarnish kilat, dengan sedikit corak-corak kerawang pada bingkai bucunya, menonjolkan citarasa tradisional bangsanya.

Kini Prof. E-1 berdiri di depan rak kayu setinggi 1.5 meter itu. Di dalam perut rak itu penuh dengan buku-buku. Di sinilah Prof. E-1 himpunkan ke semua koleksi peribadi buku-bukunya, sama ada cerita kerja, bahan bacaan berat atau ringan. Semuanya di sini. Jari Prof. E-1 menyentuh sebuah buku pada susunan hujung paling kiri.

Matanya melirik pada tajuk buku yang dicetak di bahagian ruas buku. Jarinya lari dari satu buku ke satu buku yang lain. Mencari buku yang dirasakannya sesuai, belum lagi terjumpa. Akhirnya jarinya berhenti di sebuah buku.

Pada bahagian ruasnya tercetak kata-kata ‘Product Engineering Design‘.

Tiga jam kemudian.

Prof. E-1 melakar-lakar di atas beberapa helaian kertas putih. Tetapi lakarannya bukan berbentuk imejan yang halus dan cantik. Lakarannya penuh dengan nombor-nombor dan sedikit abjad-abjad. Berterabur dan berselerak. Sekarang dia sedang berusaha mencari fleksibiliti pada sifat besi. Sesuai sifatnya yang ada pada besi spring, tetapi tidak perlu sebanyak itu. Mungkin 30 peratus sahaja sudah memadai. Dia harus mencipta yang baharu.

Prof. E-1 drafkan nama awal bahan mentahnya sebagai besi gred 82A-LX175N. Komposisi kimia besi gred 82A-LX175N ini terdiri daripada 0.79% karbon, 0.15% silikon, 0.03% mangan, 0.03% Phosforus dan 0.03% Silikon. Ini yang dirasakannya paling sesuai.

Sifat karbon itu sendiri adalah sifat asli besi yang mengandungi kesempurnaan dalam industri tempaan, membenarkan perubahan sifat selain yang kita kenal sememangnya kuat. Silikon pula hanya sebagai bahan penambah ataupun ‘added material‘ untuk membenarkan sifat karbon di’oksidasi’iaitu menyingkirkan oksigen daripada leburan besi sewaktu proses peleburan. Silikon juga dapat bertindak sebagai agen penguat dengan mempertingkatkan ‘Kekuatan Alah’ besi semaksima 8 Mpa.

Campuran Mangan adalah perlu, untuk memastikan kombinasinya dengan elemen Sulfur membentuk Mangansulfide (MnS). Tanpa Mangan, Sulfur mungkin bertindak dengan Ferum lalu menghasilkan ion Sulfide (FeS) yang mana ia dapat menambahkan struktur rapuh, mengurangkan ketahanan dan kekuatan besi untuk digunapakai dalam tempoh yang lama.

Selainnya, Phosphorus bertindak sebagai elemen yang dapat meningkatkan kekuatan besi secara tidak langsung dan sekaligus proses pem’phosphorus’an semula dapat menambahkan keupayaan kebolehmesinan dalam struktur besi.

Sulfur ialah bahan yang selalunya dipertimbang untuk ditambah sebagai elemen di dalam besi, kebiasaannya ia dihadkan pada kadar bawah 0.02% kerana elemen ‘ketidaklarutan ion’nya selalu disebut sebagai ‘aloi bebas tempaan’.

Setelah memilih bahan mentah yang dirasakannya sesuai. Prof. E-1 mula mengira-ngira ‘kekuatan tegang’nya pula.

Prof. E-1 memasukkan rumus yang dirasakannya perlu. Asasnya ialah kekuatan daya dalam unit Newton per unit keratan luas. Dengan sekian luas dan unit daya yang diberi secara teori. Pengiraan Prof. E-1 menjadi agak mudah.

Ditafsirkan dalam graf, ‘kekuatan tegangan’ ini dinamakan sebagai daya yang paling maksima yang dapat dikenakan ke atas struktur besi dan menahannya sebelum ia sampai ke titik musnah. Di sini ia juga digambarkan sebagai kekuatan yang sebenar-benarnya. Sifat besi, jika tidak kuat bukanlah ia besi, melainkan ia besi karat yang paling tidak berguna. Hanya tunggu dikitar bumi.

Dalam masa yang sama juga Prof. E-1 perlu mempertimbangkan ‘faktor hilang’ (loss factor). Faktor hilang ini perlu dimasukkan dalam pengiraan teori supaya dapat disimulasikan pada keadaan sebenar. Hakikatnya tiada benda yang sempurna di bumi ini. Tidak ada yang 100% sempurna.

Prof. E-1 tersenyum halus. Nyata kiraan teori dan analsisnya berkesan. Sekurang-kurangnya besi penemuan baru ini kekuatannya hampir sama dengan aloi Titanium 00-15 SNX. Cuma ia tidaklah begitu ringan jika dibandingkan ‘antara epal dengan epal’.

Prof E-1, anak muda berusia 28 tahun, tidak sia-sia dia menerima gelaran Professor termuda yang pertama di rantau Asia Pasifik. Dia antara contoh produk keluaran negara Tanah Tinggi yang terbaik yang ada setelah 76 tahun merdeka.

Tapi sayang, negara itu telah ditinggalkannya 15 tahun lepas. Sejarahnya bermula sewaktu dia dihantar ke luar negara untuk menyambung pelajaran. Selepas 5 tahun, negara itu mula bergolak. Percakaran politik antara parti pemerintah dan pembangkang mula bertambah serius dan bertukar menjadi keganasan lantaran sikap fanatik antara kedua-dua penyokong. Peristiwa ini mengakibatkan tajaan biasiswanya ditahan. Sejak dari itu, hatinya telah tawar, tawar untuk pulang ke negara asalnya yag bernama Tanah Tinggi itu.

Demontrasi jalanan mula membiak seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Melata di mana-mana lokasi. Kebanyakkannya dianjur oleh puak pembangkang bagi menunjukkan rasa tidak puas hati pihak mereka kepada pemerintah kerana menggunakan sentimen agama demi survival politik mereka.

Dari demontrasi jalanan yang aman, ia bertukar menjadi rusuhan. Penyokong-penyokong antara kedua-dua belah parti merusuh. Pasukan polis, FRU dan Ambulan sekadar menjadi pemerhati. Rakyat boleh merusuh di atas mana-mana jalan, di belakang mana-mana lorong bangunan, di sebesar-besar padang atau stadium, tetapi harus dikekalkan dalam jarak 5 km daripada Dewan Perlembagaan. Kerana di Dewan Perlembagaan itu para politikus-politikus negara sedang serius betul membentangkan dasar-dasar dalaman serta luaran negara sekaligus penting untuk masa depan negara Tanah Tinggi itu sendiri.

Lantaran itu, pelabur-pelabur mula menarik balik modal pelaburan mereka di dalam pembangunan yang telah dirancang di Tanah Tinggi. Kesannya, ekonomi negara Tanah Tinggi merudum. Inflasi melambung tidak terkawal. Kebanyakkan para-para politikus dari kelompok pemerintah yang korupsi, sudah melarikan diri ke luar negara tanpa dapat dikesan, setelah menyedut kekayaan atas angin selama mereka berkuasa.

Yang tinggal pula, ialah politikus-politikus yang suci hati, kini mereka terpaksa membersihkan najis-najis yang ditinggalkan oleh rakan seangkatan mereka. Namun rakyat bukan seadil-adil hakim. Mereka menghukum secara pukal, tidak kira siapa!

Prof. E-1 merenung buku “Product Engineering Design” karya Joseph Claude Sinel. Joseph Claude Sinel memetik kata-kata Leonardo da vinci.

“Rekaan adalah membentuk yang dilihatnya lebih dari merasai, membentuk adalah rekaan yang paling dirasai lebih dari melihatnya.”

Nyata Tanah Tinggi adalah lebih dari segalanya. Lebih dari apa yang pernah dilihat dan dirasainya.