Cinta Sekerdip Embun- Pengenalan Oleh Anwar Ridhwan

Jika penulisan sastera dirajahkan sebagai sebingkai anatomi, genre cerpen ialah salah satu organ yang melengkapinya. Tanpa organ yang lengkap sistemnya tidak akan dapat berkitar sempurna, kerana perasaan kekurangan itu akan selalu dirasai seperti sebuah batu blok yang tidak cukup untuk membina sebuah piramid. Cinta Sekerdip Embun menghimpunkan karya-karya yang telah memenangi anugerah sastera perdana dalam kitar satu dekad.

Membaca cerpen, terutama dalam sebuah naskah yang berbilang penulis merupakan suatu cabaran yang bukan normal. Kebiasaan, keganjilan, keanehan, keajaiban kadang-kadang berlaku. Seperti beralih dari sebuah mimpi ke mimpi yang lain. Dalam Cinta Sekerdip Embun, kita akan dapat melihat gaya dan daya penulisan cerpen yang dibentuk semasa peralihan sebuah kurun. Kurun penulisan di akhir tahun 1900 dan kurun permulaan di awal tahun 2000.

Di dalam naskah ini, terhimpun cerita-cerita yang beraneka. Sesetengahnya mudah dihadam, setengahnya lagi memerlukan fikir yang dalam, setengahnya berkabus tidak jelas. Pun begitu, itulah yang perlu dimaklumi sebagai sastera. Yang sebenarnya unik. Yang abstrak. Ia bergantung kepada pemikiran pembaca untuk menekuni kisah-kisah yang dinukilkan kemudian dikhayalkan melalui daya kreatif untuk mencungkil, mengorek dan ditebuk kedalaman dan perasaan sesebuah karya itu.

Selain itu, plot-plot di dalam cerpen juga direka sebagai sebuah penulisan yang merentas zaman, atau kadang-kadang dicantas dari cereka pengalaman.Juga boleh jadi dari daya fiksi hasil sebuah lamunan atau renungan. A. Samad Said dan Abdullah Hussain masih digenang zaman perangnya, Faisal Tehrani, Nisah Haron masih dengan visi mereka, Shahnon Ahmad masih lagi berkisar kemanusiaan dan kerinduan mengenang kepermaian luar bandar. Marsli N.O dengan gaya yang mutlak dan misteri. Setiap karya, mewakili pengarangnya, menyulih pemikiran penulisnya dan mengambil tempat yang sepatutnya untuk menyedarkan khalayak.

Pecah- Khairulnizam Bakeri

Buku ini saya beli atas kapasiti Amir Muhammad selaku penerbitnya. Kita tahu Amir Muhammad ialah seorang yang kontroversi dalam gelanggang seni penulisan dan kritikan satera, serta penyindir yang padat kiasan dalam siasah semasa. Ya, dia pernah memerli budaya penulisan novel melayu yang selama ini menangkap pembacanya dengan tajuk kasih ataupun cinta. Lalu dia, Amir Muhammad mahu mengeluarkan rata-rata pembaca novel melayu dari kepompong sastera yang mendayu. Jika  selama ini pena penulis novel melayu begitu taat juga santun mengawal lenggok tata susila bahasa. Amir Muhammad inginkan sebuah peralihan, perubahan yang real. Perubahan yang diramal dapat menyembat kembali kecanduan golongan-golongan urban yang kempis seninya untuk mengghairahi dunia baca.

Menekuni pecah, saya akan menyetarakannya dengan karya Ramli AWang Murshid (RAM) ataupun Faisal Tehrani boleh  jadi juga Pram. Pecah ialah sebuah karya urban yang memusnahkan keindahan gaya penulisan melayu. Walaupun plotnya menarik, naratifnya suspen, kadang-kadang punya rima yang puitis namun secara jernih ia pasif dari kemanisan gula-gula bahasa. Ini ialah hakikat, penggunaan bahasa ringkas diterjemahkan ke dalam novel ialah kerana dalam realiti kita sendiri sudah menolaknya, kurang bernafsu dan kurang candu.

Pecah, karya sulung Khairulnizam Bakeri adalah sebuah percubaan yang berani. Berani menggoda pembaca dengan sedikit adegan senggama, yang halal mahupun haram, membayangkan babak-babak gandrung yang meronyeh imaginasi. Namun adegan itu terlalu buas dan ganas, berahinya tidak seseni dan sesopan Abdullah Sidek dalam novelnya Gadis Hulu Muar yang pada saya lebih liur dan giur.  Pecah tidak seteliti Ramli Awang Mursyid dalam karya-karya thrillernya. Pecah ialah sebuah eksperimen dari fenomena kini dan dimasukkan secara terus ke dalam sebuah novel. Sementara eksperimen itu, tidak boleh terus dihakim dengan cerca gagal atau puji jaya.

Kejanggalan juga ada terbit sedikit, melalui pewarnaan penulis membariskan dialog yang menggunakan bahasa cina dengan vokal rumi yang kaku, yang kemudiannya diterjemahkan kepada kata melayu. Saya rasa begitu kejung kerana ianya seperti membuatkan kita seolah-olah sedang belajar mengeja dan kemudiannya merangkak menyebut setiap patah suku katanya. Ia tidak seperti Al-Sherazy yang mengajar kata Rusia di dalam Bumi Cinta. Ia tidak seperti A Fuadi dalam Ranah Tiga Warna yang melenturkan sebutan Kanada. Petah dan lincir.

Pun begitu, potret penulisan di dalam Pecah ialah langgam tragedi masa kini. Aksi-aksi wataknya ialah nyata yang terjadi. Dendam, kecurangan, kehancuran rumah tangga, kerakusan sifat manusia ialah drama hari ini. Metode imbas kembali yang licin tanpa ada yang tertinggal merupakan kekuatan penulis yang begitu teliti mengkaji.