Kalau Saya Sendiri Adalah Cikgu Zara

Yaz sengaja membiarkan skrin komputer menyala cerah. Papan kekunci dan juga tetikus hampir berapa waktu tidak diusik. Kertas-kertas dinding elektronik silih berganti bertukar-tukar objek dan warna. Yaz terus merenung pada layar cermin komputernya. Renungannya seolah-olah menerobos layar cermin itu jauh ke belakang. Fikirannya sedang berat dan larat untuk menggali kata-kata. Dia ingin membutirkan kata-kata yang indah dengan penuh pesona, yang mudah dimengertikan tetapi bersurat isi-isi yang tersirat.

Hampir-hampir Yaz tewas, ingin dia memadamkan sahaja layar cermin itu. Lagi pula malam semakin gelita dan pekat menjadikan dia semakin buntu untuk mengarang sesuatu ketika ini. Namun demi semangat yang sudah dijanjikan, Yaz kuatkan tekad dan nekad. Jari nya mula meluncur ke atas papan kekunci.

Warkah ini untuk seorang guru.

Guru Zara yang dihormati!

Sepi angin malam ini amatlah sesuai sekali aku samakan dengan istilah legasi cinta yang selalu kau nukilkan. Sesejuk redup mata Alisia yang memandang Adam. Selalu benar aku terbayangkan plot-plot mereka di dalam imaginasi mencari sebuah cinta.

Sebelum itu, maaf dahulu yang aku pinta, sebelum aku terlanjur bicara kerana karangan ini bahasanya mungkin tidak halus, kasar atau mengguris, tajam atau menghiris, namun izinkan aku membuka lembar kata terlebih dahulu sebelum lanjut untuk pergi lebih jauh.

Guru Zara,

Kata ganti nama ‘Aku’ yang digunakan bukan bermaksud untuk bersikap biadap atau kurang ajar, Jauh sekali untuk tidak beramal kepada budi dan bahasa yang menjadi tunjang bangsa, tetapi lebih kepada istilah yang menunjukkan keakraban. Antara Aku yang bukan murid mu dan engkau sebagai seorang guru. Posisi engkau sebagai seorang guru sering-sering mengingatkan aku tentang zaman menimba ilmu suatu masa dahulu.

Betapa aku santun dan hormat pada guru yang berhemah dalam didiknya, betapa pula aku mengeji pada guru yang memaki herdik muridnya kerana kurangnya sabar mereka. Namun puji dan kasih sayang mereka, herdik, caci dan pukul rotan mereka, tetaplah mereka itu seorang guru. Yang menjadikan aku seperti hari ini. Seperti itu juga engkau wahai Guru Zara. Akan menjadi guru kepada anak didik mu sehingga bila-bila, selagi hayat dikandung badan, dan ilmu dikandung akal.

Sebagai guru, wajarlah kau tinggalkan mereka dengan sedikit kenangan, supaya jadilah seperti kebanyakkan orang yang mengulang kata pepatah ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Bukan menuntut kau untuk menjadi seorang yang terkenal, tetapi cukuplah sekadar terkesan pada perbuatan dan terpahat di dalam ingatan.

Guru Zara,

Aku ini hanya pembaca senyap di ruang sunyi yang kau cipta di terowongan maya. Tulisan mu penuh-penuh dengan emosi, cerita cinta mu tidak pernah habis kau lakar pada bait-bait askara. Puisi-puisimu selalu berlagu dalam setiap kelompok perenggan yang sepertinya tidak mahu terpisah bagai isi dan kuku.

Kadang-kadang puisi itu aku bisa mengerti dengan mudah, atau kadang-kadang aku terpaksa fahami dengan fikir yang payah. Kadang-kadang tulisan kau beremosi, ibarat kau ingin menggugurkan awan di langit, menarik mereka dengan sekudrat amarah dan kecewa atau membelah seluasnya lautan dengan jerit mu di dalam batin hati mu.

Kadang-kadang tulisan kau ceria bertenaga, ibarat kau seperti burung yang sedang girang terbang di angkasa. Namun seperti mana pun tulisan yang kau ukir, baik di helaian kertas putih, di papan hijau, atau di layar kaca, itu tetaplah tulisan seorang guru. Jangan kau lupa itu Guru Zara!

Guru Zara yang penuh kepetahan kata,

Izinkan aku teruskan bicara ini tanpa bunyi, semoga sepi dinihari yang menemani waktu mu saat-saat membaca warkah ini; atau mungkin saat matahari girang menebarkan cahayanya; semoga tidak menjadikan kau khilaf dalam menafsir payahnya bahasa anak muda yang kurang ilmunya ini.

Aku juga tidak tahu apakah tulis-tulis ku pada lembar yang renyuk ini adalah setepat apa yang kau inginkan. Tapi sesungguhnya apa yang aku tulis-tulis ini sejujur-jujurnya hanyalah mengenang kembali realiti terhadap guru-guru ku yang lalu.

Andai ini dapat aku sampaikan kepada mereka sebelum mu, betapa ingin aku ucapkan terima kasih kepada didik-didikan mereka, atau kepada pujian dan halus suara mereka, kepada caci dan sinis herdik mereka, juga kepada pukul-pukul rotan dan pembaris mereka. Atau kadang-kadang kapur dan pemadam papan hijau juga.

Akhir kata buat Guru Zara,

Tekunlah engkau dalam menabur bakti didik, tabahlah engkau melayan kerenah dan ragam, kerana seragam guru yang kau sarung itu, bukan sekadar seragam yang biasa-biasa. Di seragam itu ada lencana amanah yang berat untuk dipikul.

Di seragam itu juga masa depan untung rugi anak bangsa. Jika kau jaga ia dengan keikhlasan, pasti seragam itu akan berkilau cemerlang sehingga cahaya bintang akan turut kelam jika bersaing dengannya.

Di penghujung lembar, jikalah dahulu takdirkan Zara ialah guruku, aku ingin Guru Zara menjadi guru hebat yang dikenang dalam cakap-cakap dan ingat-ingatan anak didiknya. Dan kalau aku menjadi guru, aku ingin jadi guru sehebat itu juga.

Al-mukhallis

Yaz
anak didik maya.

Yaz membaca semula tulisannya. Dia juga cukup berselirat untuk memahamkan isi tulisannya sendiri. Segera dia mencari butang simpan. Tulisan itu ingin dia tampalkan untuk seorang guru. Guru Zara kan seorang guru kimia, mustahil bahasa melayu yang mudah daripada persamaan kimia, tidak dapat dihadamnya lumat-lumat.

Busut

Malam sebenarnya telah lama larut, yang tinggal cuma cahaya bulan nun di hujung angkasa. Itupun cahayanya masih samar-samar  kerana terlindung awan yang bergerak-gerak dek tiupan angin di atas sana.

Hitam masih lagi ke hulu-hilir. Dari atas busut itu dia memandang ke tanah seberang sana. Tanah yang dahulu diwarisi oleh nenek moyangnya suatu ketika.

Tanah itu terpisah oleh sebatang parit yang tidaklah sebesar mana. Tetapi bagi Hitam yang cuma seekor semut, parit itu amat berisiko untuk diseberangi. Jika silap percaturan atau langkah, boleh mengundang celaka. Apatah lagi sekarang tanah seberang itu dikawal ketat oleh puak kerengga merah.

Ya, sekarang kawasan tanah itu berada di dalam kawasan yang dimiliki oleh puak kerengga merah. Dahulu semut hitam dan kerengga merah duduk di dalam kawasan jajahan yang sama. Dek kerana satu tragedi yang berlaku, puak kerengga merah menuntut supaya untuk tidak mahu berkongsi tanah dengan puak semut hitam.

Tragedi yang melibatkan sekeping roti kering yang dibuang ke tanah, kemudian dijumpai oleh seekor semut dari puak semut hitam. Oleh kerana hendak membawa pulang roti yang sebesar itu ke sarang amat-amatlah tidak terdaya bagi sekoloni semut hitam, makanya mereka meminta pertolongan daripada puak kerengga merah.

Ketua puak kerengga merah bersetuju untuk menolong, dengan syarat, bahagian kerak roti hendaklah diberikan kepada mereka. Syarat itu dengan mudahnya pula diterima oleh ketua puak semut hitam. Walaupun ketua semut puak hitam tahu, bahagian kerak roti itu lebih lazat dan mudah disiat-siat untuk diagihkan kepada anak-anak puak.

Tapi biarlah bahagian itu diambil oleh puak kerengga merah. Lagi pula bahagian isi roti itu lebih banyak daripada bahagian keraknya. Cuma bahagian isi itu harus dikerjakan dengan sedikit sabar, perlu dikeringkan dahulu dalam waktu sehari sebelum boleh diuraikan.

Setelah mendapat sepakatan, semuanya berjalan seperti yang telah direncanakan. Sekeping roti kering tadi kesemuanya telah dipikul bersama oleh koloni-koloni semut hitam dan kerengga merah. Bak kata pepatah “Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”. Begitulah.

Setibanya di sarang, bahagian-bahagian roti itu diagih-agihkan seperti yang dipersetujui.Ialah “Hati gajah kan sama dilapah, hati nyamuk kan sama dicecah” begitu seadanya.

Selang dua hari, ketua puak kerengga merah datang berjumpa ketua puak semut hitam. Ketua puak kerengga merah menuntut untuk diberikan sedikit daripada bahagian isi roti yang telah dikeringkan oleh puak semut hitam. Katanya bahagian kerak roti itu cuma 15 peratus daripada keseluruhan isi roti tersebut.

Jadi ketua puak kerengga merah menuntut untuk diberi bahagian yang lebih. Ini mencetuskan keberangan ketua puak semut hitam. Ketua puak semut hitam langsung tidak mempedulikan tuntutan yang tidak relevan dari ketua puak kerengga merah. Lalu ketua puak kerengga merah pun berpantun;

Limau bentan ditepi tingkap,
budak-budak melempar burung,
harimau dihutan lagi ku tangkap,
inikan pula cicak mengkarung.

Selesai ketua puak kerengga merah membaca pantun empat kerat itu, dia pun berlalu tanpa pantun itu sempat dibalas oleh ketua puak semut hitam. Sebenarnya ketua semut puak hitam ingin bertanya bagaimana seekor kerengga merah dapat menangkap seekor harimau?

Perkara ini amatlah membingungkan ketua puak semut hitam sehingga dia menghimpunkan pegawai-pegawai serta penasihat-penasihatnya untuk mengkaji maksud tersirat yang terkandung di dalam rangkap pembayang dan rangkap makna pantun dari ketua puak kerengga merah.

Sejak dari itu, perkelahian tercetus antara puak semut hitam dengan puak kerengga merah. Perkara ini berlanjutan sehingga mencetuskan keadaan darurat selama sepurnama 3 malam.

Rundingan demi rundingan diadakan namun masih menemui jalan buntu, kesudahannya pada malam ketiga setelah satu purnama puak kerengga merah menuntut tanah di seberang parit untuk koloni mereka. Puak semut hitam bersetuju, tetapi dengan satu syarat, tanah di seberang parit boleh diberikan kepada puak kerengga merah tetapi tidak termasuk kawasan busut kecil yang terletak di tengah-tengah kawasan tanah yang dituntut.

Kawasan busut kecil itu sebenarnya merupakan tapak awal penempatan semut hitam sejak zaman berzaman lagi. Jika puak kerengga merah ingin mengambil seluruh tanah di seberang parit itu pun tidaklah mengapa. Tetapi kawasan tanah busut kecil itu tidak boleh. Tanah itu punya nilai sejarah yang luar biasa bagi puak semut hitam. Begitu pun mereka mempersetujui syarat-syarat seada isinya.

Kemudian, setelah satu generasi, dan dari satu legasi, puak kerengga merah dan puak semut hitam bertukar tampuk pimpinan. Kini Hitam telah dilantik sebagai ketua puak semut hitam. Menggantikan pimpinan yang terdahulu. Tanah puak semut hitam dan tanah milik puak kerengga merah di seberang parit sana masing-masing saling bersaing dan tekun memajukan kawasan pemerintahan mereka. Tapi pembangunan di tanah kawasan milik puak kerengga merah lebih ketara.

Busut-busut mereka semakin tinggi dan kukuh menenggelamkan busut kecil milik puak semut hitam di kawasan itu. Kawasan disekitar busut kecil milik puak kerengga merah semakin pesat dibangunkan. Menjadikan tanah busut kecil itu sebagai busut yang dilihat ketinggalan zaman. Tetapi apa yang berhikmahnya ialah nilai tanah busut kecil itu meningkat dan semahal tanah-tanah disekitarnya. Walaupun cuma busut kecil yang tersorok.

Tanah milik puak semut hitam diseberang sini juga turut membangun. Namun perlahan. Tidak rancak seperti pembangunan di kawasan tanah kerengga merah.

Baru-baru ini si hitam ada mengadakan lawatan ke tanah seberang parit milik puak kerengga merah. Lawatan itu melambangkan lawatan persahabatan dan setia kawan antara puak semut hitam dengan puak kerengga merah. Biarpun suatu ketika dahulu mereka pernah bersengketa, namun masa dan idealogi terkini lebih menuntut perdamaian dan perkongsian sebagai satu kaedah merangka pembangunan. Pun begitu yang pandai meng’akal’ tetap akan lebih keberuntungan. Begitu konsep masa kini.

Namun ada ketikanya isu-isu nakal yang dibangkitkan antara dua puak semut dan kerengga ini mencetuskan kehangatan dan perdebatan antara mereka. Bak kata P.Ramlee, “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Jarang-jarang dapat melihat perkahwinan kacuk antara semut hitam dan kerengga merah. Ia ada, namun kekerapannya sebagai “kadang-kadang”. Seperti soalan ahli nujum Sultan Masai di dalam cerita Nujum Pak Belalang.

Dalam siri lawatan itu, Hitam turut ditemani dengan beberapa ekor penasihatnya. Isu-isu dua hala yang dibincangkan semasa siri lawatan hitam ke sana turut berkait mengenai isu tanah di busut kecil itu. Sewaktu di tanah seberang sana, ketua pemimpin kerengga merah menawarkan sesuatu untuk tanah busut kecil.

Menurut sumber kupu-kupu, puak kerengga merah amat berminat untuk membangunkan kawasan tanah busut kecil itu. Sebagai balasan, satu kawasan yang sedang ditambak di hujung parit akan diberikan kepada puak semut hitam. Kata pemimpin kerengga merah,  kawasan parit yang akan ditambak yang akan diberikan kepada puak semut hitam itu bakal dibangunkan sebagai kawasan busut berteknologi tinggi.

Tanah tambak itu akan bernilai apabila siap dibangunkan kelak, kononnya kata ketua puak kerengga merah. Tetapi, sambung ketua puak kerengga merah sambil tersenyum, kawasan busut yang akan dibangunkan semula itu harus dikongsikan dengan nisbah 40 peratus milik kerengga merah dan bakinya 60 peratus adalah milik semut hitam.

Hitam berasa teruja sungguh, dapat tanah yang baru kemudian tanah yang lama juga tidak terlepas. Cuma 40 peratus sahaja masih menjadikan puak semut hitam sebagai pememiliknya. Hitam terus bersetuju dan menerima tawaran tersebut. Hitam yakin, apabila dia menceritakan perkara ini kepada rakyat semut hitam, pasti mereka akan menyokong keputusan Hitam. Tersenyum.

Tapi Hitam terlupa, pada tanah itu sebenarnya bukan sebuah busut kecil yang tinggal yang menunggu runtuh. Busut kalau ditinggal seberapa lama pun sebenarnya akan semakin teguh.

Pesan Orang Tua (Part 2)

Sarjan Acap duduk di sebuah kerusi plastik yang diletakkan di hadapan kedai snuker “Rinting FC”. Masih ada tiga buah kerusi yang masih kosong. Dihadapannya juga ada sebuah meja bulat yang diperbuat daripada plastik. Datang seorang pelayan berketurunan mamak dari kedai makan bersebelahan kedai snuker “Rinting FC”. Cuba menanyakan pesanan dari Sarjan Acap. Sarjan Acap memesan segelas kopi ‘O’ kurang manis.

Matanya masih meliar di sebalik kaca mata hitam yang dipakainya, memerhatikan orang ramai yang lalu lalang dihadapan kedai snuker itu. Kebanyakkan mereka ialah bangsa-bangsa asing yang berkerja di kawasan kilang dan perindustrian Taman Gembira. Nepal, vietnam, bangladesh dan indonesia. Yang minoriti adalah bangsa Malaysia di situ.  Ada yang duduk berbaris disepanjang batu kecil di tebing jalan. Ada yang berdiri dalam kumpulan sambil berborak-borak. Mata Sarjan Acap terus melilau dalam kelompok-kelompok manusia asing itu. Dia seperti mencari sesuatu atau seseorang. Tidak pasti.

Tiga orang remaja melayu melintas dihadapan meja Sarjan Acap, masuk ke dalam kedai snuker tanpa menghiraukan Sarjan Acap.

Tiba-tiba sebuah kereta proton saga warna putih melintas perlahan dihadapan kedai tersebut. Masuk ke dalam kotak parkir betul-betul dipenjuru hujung kedai snuker “Rinting FC”.

Sarjan Acap mengerling ke arah kereta Proton Saga putih tadi. Cermin hadapannya kosong tanpa apa-apa pelekat. Tidak ada juga pelekat cukai jalan.

Turun dua orang lelaki pertengahan umur 30-an. Pemandunya pula seorang yang agak berumur dari dua orang lelaki tadi. Rambutnya putih semua. Janggutnya yang panjang juga putih semua. Kulitnya agak hitam manis dan badannya masih lagi tegap. Dua orang lelaki tadi berjalan menuju ke arah meja Sarjan Acap. Mereka bersalaman. Kemudian disusuli lelaki yang agak berumur tadi. Lekas-lekas Sarjan Acap bangun dan menghulurkan tangannya. Tangan Sarjan Acap segera disambut oleh lelaki berjanggut putih yang agak berumur itu.

Mereka berempat duduk mengelilingi meja bulat plastik. Suasana jadi hening seketika. Masing-masing mengeluarkan sebatang rokok dan mula menyalakan api.

Seorang dari pemuda tadi menjerit ke arah pelayan kedai makan bersebelahan. Minta diambil pesanan.

Empat gelas kopi ‘O’ tiba dan mengisi sedikit ruang meja bulat plastik mereka.

Sarjan Acap berdehem kecil. Seperti ingin memulakan bicaranya.

“Tok, aku ni hidup macam duduk atas beras”. kata Sarjan Acap perlahan kepada lelaki tua berjanggut putih yang agak berumur tadi. Mata Sarjan Acap merenung tepat ke arah lelaki itu.

Dia menggelarkan lelaki itu sebagai ‘Tok’ walaupun hakikatnya jurang umur mereka tidaklah berapa ketara sangat. Mungkin umur lelaki berjanggut putih itu boleh dilayakkan sebagai abang. Tapi kebanyakkan orang yang mengenali lelaki berjanggut putih yang agak berumur itu sebagai ‘Tok’ menyebabkan dia lebih dikenali sebagai ‘Tok’ atau ‘Tok Janggut’.

Lelaki berjanggut putih yang agak berumur itu hanya tersenyum mendengar kata yang diucapkan oleh Sarjan Acap. Dia menghembuskan asap rokoknya perlahan. Matanya redup memandang wajah Sarjan Acap yang agak runsing. Seperti boleh membaca apa masalah Sarjan Acap yang berlegar dalam fikiran.

Pemuda yang dua orang tadi hanya diam.

“Jan, kalau kau rasa sekarang ini kau hidup macam duduk atas beras, suatu hari nanti kau akan mati lemas dalam beras itu”. Serius wajah lelaki berjanggut putih yang agak berumur mengucapkan kata balas. Kata-kata lelaki tua itu dimengertikan oleh Sarjan Acap.

Sarjan Acap menganggukkan kepala tanda faham. Dia hadam lumat-lumat apa yang dipesankan oleh lelaki berjanggut putih yang agak berumur itu.

Saka

Sedar-sedar Apai berada di tingkat empat atas blok C. Blok bangunan itu disusun dengan bata-bata saiz sederhana. Dindingnya tidak ditampal simen apatah lagi diwarnakan dengan cat. Warna bata posros asli, putih dan kelabu. Bata-batanya disusun dan diperkukuhkan dengan tiang-tiang besi sebagai sokokngan. Bangunan ini sememangnya direka sebagai bangunan cepat siap dan mudah guna. Apai berada ditengah lorong antara bilik-bilik di tepi kiri dan kanannya. Lorong itu pula kelihatan sangat suram, Cahaya yang samar-samar, entah dari mana puncanya sedikit menghilangkan rasa gementar. Lebih baik dapat melihat walaupun kelam daripada bergelap. Itu desir hati Apai.

Perlahan-lahan Apai berjalan menelusuri lorong itu. Menuju ke tangga dibahagian hujung. Sebenarnya Apai ingin lekas sekali, tetapi dirasakan langkah kakinya berat dan lambat.

Apai melintasi pintu sebuah bilik. Tiba-tiba engsel pintu bilik itu berbunyi perlahan. Pintunya terbuka sedikit. Apai semakin gementar. Apai berhenti melangkah. Ekor matanya menjeling tajam ke arah pintu yang terbuka itu. Peluh jantan mula terbit di dahi. Degup nafasnya semakin pantas.

Ada mata merah yang mengintai di balik pintu yang terbuka itu. Apai tidak tahu apakah ia. Manusia atau binatang? Jin atau syaitan? Entiti yang dia tidak pasti. Entah mana datang sifat takut dan pengecut, membuatkan Apai membuka langkah seribu. Apai tidak mahu menunggu lama untuk menjeling dan membalas pandangan mata seperti itu. Tekadnya hanya mahu sampai ke hujung lorang yang bertangga. Tetapi Apai dapat rasakan yang entiti itu turut mengejarnya. Semakin laju, semakin rapat entiti itu dengannya. Jarak untuk sampai ke hujung lorang bertangga itu Apai rasakan semakin jauh.

Sampai dihujung lorong Apai terus melompat, masa ini bukan masa yang sempurna untuk turun berlenggang menggunakan anak-anak tangga. Ketika ini segala risiko diletak ke tepi. Apa yang berada di fikiran Apai, dia harus meninggalkan entiti yang mengejarnya tadi.

Sampai ke tingkat bawah Apai ingin melangkah lagi laju. Entiti hitam bermata merah itu sudah tidak dilihatnya. Tiba-tiba langkah Apai terhenti. Matanya terpaku. Kakinya menggigil semakin kuat. Degup jantungnya semakin kencang. Ujian apakah ini? Apai beristigfar di dalam hati.

Mata Apai tertancap pada lembaga yang tegak berdiri di dalam jubah putih. Wajahnya langsung tidak kelihatan. Lembaga itu hanya tunduk terlindung dalam kerudungnya.

Apai menoleh pula ke arah tangga di belakangnya. Lembaga hitam bermata merah yang tadi mengejarnya rupanya sedang perlahan menuruni anak tangga. Apai benar-benar ketakutan. Bajunya lencun dek peluh. Tiba-tiba Apai rasakan kakinya lemah. Dia terduduk. Terperangkap antara adegan kejar-mengejar dengan entiti hitam bermata merah dengan lembaga berjubah dan berkerudung putih. Dalam hati Apai cuma bertawakal dan berserah, sementara kedua-dua lembaga itu semakin dekat dengannya. Terlintas fikirannya pada Tuhan.

“Oh! Tuhan. Tolonglah selamatkan aku Tuhan”. Bisik hati Apai seperti ingin menangis.

Semakin lembaga-lembaga itu mendekat, Apai memejamkan mata. Apai laungkan Azan sekuat suaranya.

“Allah hu-Akbar, Allah hu-Akbar..”
“Asyhadu an la illa ha ilallah…”

…………………………………………………………………………………………………..

“Hei..hei..Apai..!” Apai terdengar ada suara memanggil namanya. Pipi Apai terasa pedih ditampar.

Perlahan Apai membuka kelopak mata. Dia melihat wajah Dido, teman sebilik sedang menampar-nampar pipinya.

“Kau mimpi, siap azan lagi”. Jelas Dido setelah Apai tersedar dan bangun dari tidurnya. Badan Apai masih berkeringat dan panas seperti dalam mimpi tadi.

“Kau mimpi jumpa hantu ke?” Dido bertanya lagi. Apai cuma senyap dan duduk bersandar dipenghadang katil. Apai meruap muka dengan telapak tangannya.

“Hampir subuh pun, kalau kau nak azan, pergi ke Masjid”. Dido tersengih sambil menghembuskan asap rokok. Dia tidak tidur sejak malam tadi. Menelaah pelajaran  kerana sekarang sudah hampir masuk minggu peperiksaan.

KAMPUNG CETEK

PEMENTASAN TEATER MONOLOG ‘KAMPUNG CETEK’

Anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS),

Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru

dan Persatuan Kesenian Mahligai Pasir Gudang

• 21 Mei 2010 (Jumaat) : 8 malam.

• 22 Mei 2010 (Sabtu): 2.30 petang dan 8 malam.

Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru, Johor.

MASUK PERCUMA – SEMUA DIJEMPUT HADIR

Maklumat lanjut: RAR

Pesan Orang Tua (Part 1)

Petang-petang bila rasa nak balik kerja. Saya selalu mengular ke internet. Buka pun berhati-hati je. Jeling kiri kanan, toleh depan belakang. Takut ‘kantoi‘ dengan bos. Walaupun bos jenis tak kisah sangat, janji kerja siap tapi hormat dan sedikit gerun itu perlu. Itu dipanggil respect.

Dulu saya telah mendapat pesan dari seorang tua. Namanya orang panggil ‘Lik Padil’. Sebab eja ‘Lik’ guna huruf I macam tak sedap, jadik saya ubah dengan huruf ‘E’. Lek Padil, kan sedap sikit. Kalau dibaca pun nyaris-nyaris sama dengan sebutannya. ‘Lek’. Nama yang betul saya tak tahu.

Sedikit pengenalan mengenai Lek Padil. Lek Padil seorang imam, seorang jawa, tiada lesen motosikal, tapi rilek bawa vespa walaupun sudah berumur 70 tahun lebih. Johor Bahru, Batu Pahat selamba. Itu lebih kurang 3 tahun lalu. Sekarang mungkin batas beliau setakat dalam Johor Bahru. Saya agak-agak.

Walau dah berumur tapi Lek Padil gagah, badan pun sedap. Tak pernah saya tengok Lek Padil pegi gym, angkat dumbell nak buat badan. Petang – petang boleh bercangkul lagi. Orang ‘jawa’lah katakan. Habis tebing tepi Sungai Bala depan rumahnya Lek Padil buat tanam pokok. Pokok pisang, serai, pucuk ubi segala bagai .

Kalau setakat menukang naik bumbung surau ganti atap pun boleh lagi. Lek Padil memang orang kampung hormat. Cakapnya halus, tapi bahasanya boleh kurang tajam. Kalau suara naik sedikit memang semua orang tunduk. Siapa berani lawan. Anak-anak beliau pun menjadi kesemuanya.

Suatu hari saya dengan Lek Padil berdua sahaja berada di surau lepas solat Asar. Sedang nak sarung selipar nak balik, beliau bercakap memandang tepat dalam mata saya..

“Rezeki dalam dunia ni Tuhan yang beri, kalau nak kata cukup memang tak cukup. Manusia memang nak sentiasa lebih. Tapi kalau kita bergantung pada Dia, InsyaAllah ada.

Tengok macam Lek ni, anak ramai. Tapi Alhamdulillah. Nak kata mewah tidak, tapi cukup makan dan pakai.” Dengan loghat jawa sikit.

Saya mengangguk tanda paham. Saya ucap terima kasih pada Lek kat sini. Dulu tak sempat nak ucap, sebab saya terkedu. Nak pandang mata Lek memang tak pernah. Lek pakai ilmu apa?

Add to DiggAdd to Del.icio.usAdd to StumbleuponAdd to RedditAdd to BlinklistAdd to TwitterAdd to TechnoratiAdd to Yahoo BuzzAdd to Newsvine