Sterika

Seingat saya, dahulu di dalam rumah saya, ada sebuah sterika lama. Sebuah sterika yang bertubuh gelap dengan warnanya hitam pekat. Di sisinya ada lampu penunjuk berwarna oren. Wayarnya disalut kain yang sangat tebal seperti tebalnya baju musim dingin dengan kepala soket yang selalu rosak. Sterika lama itu beratnya keterlaluan, ia bukan seperti sterika kebanyakkan yang ada pada masa kini, ringan dan berbentuk menggoda. Sterika lama saya itu bentuknya tegap, hujungnya tirus, plastiknya padat, besinya krum dan padu. Sterika lama saya itu ibarat seorang lelaki dewasa yang berkerja sebagai buruh. Sasa dan lasak. Sterika sekarang cuma ibarat seorang lelaki kota yang kontemporalis dengan penampilan yang segak. Kerjanya di pejabat yang berhawa dingin. Dengan itu kita boleh meneka sifatnya yang tidak tahankan tekanan dan lemah lembut serta kadang-kadang mengada-ngada. Jangan malam jadi gay sudah.

Sterika itu yang paling banyak memakainya ialah ibu. Setiap hari ibu akan menggunakan sterika itu untuk menggosok baju kurungnya sebelum pergi kerja. Ya, ibu gadis kampung yang hanya pandai bergaya dengan baju kurung. Koleksi baju kurung ibu begitu banyak sehingga sebuah almari dipenuhkan dengan baju-bajunya. Baju yang dibeli oleh abah selalunya.

Saya belajar mensterika baju seawal usia 6 tahun. Waktu itu saya sedang belajar di sebuah tadika perpaduan. Baju biru warna nila dengan seluar pendek juga warnanya biru tetapi biru yang gelap. Sterika dan seorang budak tadika, adalah seperti kombinasi kata laluan sebanyak 32 askara yang di dalamnya ada abjad dan nombor yang tidak terusun. Payah.

Saya belajar mensterika demi seorang gadis cilik namanya Aisyah. Aisyah duduk dibawah kipas angin, baris meja nombor tiga jalur nombor empat. Rambut Aisyah panjang dan lurus. Rambut Aisyah selalu mengerbang dibelai angin jika Aisyah tidak memakai skarf, seperti daun lalang alunnya. Kekaguman saya pada Aisyah adalah kerana pakaiannya yang kemas dan licin. Baju dan skirtnya tidak ada sebarang kedutan. Sikapnya yang berhati-hati demi memelihara pakaiannya terserlah melalui setiap pergerakannya yang tertib. Ketika duduk, bangun dari kerusi, menyandang beg, menyinsing lengan baju, menyandarkan badan pada kerusi, meletakkan tangan di atas meja dan semuanya. Dan kadang-kadang Aisyah bersila di atas kerusi pun gayanya tersangat cermat. Saya pun tak paham.  Cermat dan tertibnya seperti mematuhi rukun nikah yang tidak boleh tertinggal satu pun. Jika tidak, nikahnya akan jadi tidak sah.

Demi Aisyah, saya akan memastikan setiap hari baju saya disterika. Pada bahagian bahu sewajibnya ada garis yang tajam dan berbucu sampai ke hujung lengan seperti lengan baju Aisyah. Ketika mensterika seluar, seluar saya mesti licin dan berkilat seperti skirt Aisyah.

Jika sebelum ini, saya ialah budak lelaki yang tidak kisahkan penampilan tetapi selepas itu, saya menjadi budak lelaki yang paling kemas di dalam kelas seramai 40 orang. Saya tidak lagi bermain kejar-kejar di padang simen bersebelahan sekolah sementara menungggu untuk masuk ke kelas, saya tidak tidak lagi ikut menangkap belalang di dalam semak belakang sekolah sementara menunggu loceng dibunyikan dan saya tidak lagi duduk di tepi parit dengan tali tangsi dan mata kail di tangan demi mengumpan belut yang bersembunyi di dalam lubang tepi-tepi parit.

Tetapi penampilan kemas itu, tidak dapat bertahan lama. Hanya pada waktu masuk sekolah saja. Kerana saya tidak dapat meniru pergerakan tertib Aisyah yang dapat menghindarkan bajunya dari berkedut sepanjang masa, saya tidak dapat meniru gaya duduk Aisyah yang sopan, saya tidak dapat meniru bagaimana untuk bersandar ke kerusi dengan stail Aisyah. Pergerakan saya selalu kasar dan aktif, terlompat-lompat dan terkinja-kinja akan menyebabkan baju yang disematkan ke dalam seluar akan bergumal-gumal keluar. Saya tidak akan paham bagaimana seorang budak-budak, tidak dapat melompat-lompat dalam satu hari? Melainkan dia cacat atau kakinya ada penyakit keradangan atau kakinya terpijak kaca. Ya, itu mungkin.

Pun begitu, saya sebenarnya telah menjadi bukan diri saya sendiri. Ada perasaan yang menentang perubahan itu yang begitu bergolak di dalam dada. Perasaan serba salah itu hadir apabila terpaksa menentang ajakan rakan-rakan seperjuangan. Bermain kejar-kejar, menangkap belalang juga mengumpan belut. Perasaan itu seperti perasaan yang mengkhianati rakan baik sendiri dan menjadi seorang pembelot di belakangnya. Perasaan itulah agaknya yang sama dirasakan oleh Mat Indera kerana terpaksa berkomplot dengan komunis demi mengusir penjajah british dan jepun. Terpaksa.

Writer Blocks II

‘Round Table Prestige’

Tiga hari yang lepas, berbuka puasa di kantin. Adalah ramainya empat lima orang. Yang menariknya, ada seorang bos besar antarabangsa dan seorang bos besar sebangsa. Meja bulat yang biasa-biasa saja, kini sudah jadi ‘Round Table Prestige’. Begitu tarafnya diangkat.

Tiga hari lepas, selesai berbuka puasa.

“Owh! Ok, today let’s me pay” kata bos besar antarabangsa. “Ah, its ok sir, today i’ll treat” tawar bos besar sebangsa.

Dua hari lepas, orang-orang yang sama, di meja ‘Round Table Prestige’.

“Hurm, nice food, this fasting break is my treat” tawar bos besar antarabangsa. “No need sir, I pay for all.” Bos besar sebangsa belanja lagi hari itu.

“Let’s tomorrow is your turn” kata bos besar sebangsa kepada bos besar antarabangsa. Kedua-dua mereka tersenyum. Kami lagilah tersenyum.

Semalam.

Bos besar antarabangsa tak ada. “Beriya-iya yang lebih” kata bos besar sebangsa.

Memikat! Cara Mudah

“Sekarang ini ada cara paling mudah nak dapatkan nombor telefon budak perempuan yang kau minat” kata Kimi tersengih-sengih.

Adi, Roslan dan Komeng menanti penuh sabar dan debar mendegar Kimi meneruskan kata-katanya. Mereka bertiga diajak berkumpul oleh Kimi di belakang bangunan bengkel kemahiran hidup untuk diberitahu tentang rahsia itu. Sanggup mereka ponteng kelas Bahasa Melayu Cikgu Salina. Kalau ditangkap memang nahas. Tapi Kimi cakap rahsia ini memang berbaloi-baloi.

Kimi menoleh kiri dan kanan, setelah dipastikannya tiada sesiapa selain mereka berempat. Kimi berbisik perlahan-lahan. Kimi mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.

“Minyak ni kau sembur sekali sebelum keluar rumah, sebelum sembur baca selawat 31 kali, lepas tu kau pergi dekat budak perempuan tu. Kalau dia terbau, secara automatik dia akan memberikan nombor telefonnya kepada engkau orang” Kimi bersungguh-sungguh menerangkan.

Adi sudah terbayangkan anak makcik kantin sekolah.
Roslan terseyum mengenangkan Susilawati si pengawas perpustakaan.
Komeng belum  ada calon, tapi berminat untuk mencuba juga.