Interlok- Edisi Saya

Ketika darjah 4 Dahlia, kelas kami waktu itu di tingkat dua. Segala urusan keluar masuk kelas yang berlangsung dalam sesi persekolahan, kami akan mengunakan sebatang tangga yang ada di tengah-tengah bangunan. Waktu masuk kelas, waktu pulang sekolah, ke kantin, pergi bilik guru, ambil kapur di pejabat kerani mahupun ke tandas yang terletak di bahagian penjuru bawah bangunan bersebelahan stor sukan dan bilik tukang kebun.

Sehinggalah pada suatu tengah hari, cuaca waktu itu sangat panas dan matahari pula sangat terik. Kami berbaris dalam dua barisan, hemat dan cermat meniti langkah dengan perlahan-lahan menuruni anak-anak tangga. Tiba-tiba saya dapat rasakan beg sekolah yang sedang saya kendong itu ditarik dari belakang kemudian dilepaskan dengan cepatnya. Beban yang saya pikul serta-merta bertambah, bagaikan pemalar graviti pada waktu itu tidak lagi 9.807 kgf.

Pertama kali, saya membiarkan. Kedua kali, saya cuba tidak menghiraukan. Tetapi apabila masuk yang ketiga kalinya, maka saya terpaksa peduli. Lalu saya berpaling dan menerjah Raju yang berada di belakang saya pada waktu itu. Raju, saya ingat betul namanya. Saya tolak Raju dengan kuat sampaikan dia terpaksa berundur beberapa langkah.

Raju kembali menerpa saya. Lalu kami bergelut dengan beg sekolah yang sarat dengan buku, tidak sempat kami campakkan ke tepi. Raju melepaskan dua tiga tumbukan menyasarkan ke bahagian rusuk, tetapi saya berjaya elak. Saya balas dengan tendangan kilas dan Raju menepisnya. Saya dan Raju bersemuka, kami saling tarik menarik pada bahagian kolar baju. Kaki kami saling bersilang satu sama lain untuk membentes dan menjatuhkan lawan.

Kemudian kami berguling-guling di atas lantai. Baju yang disisipkan ke dalam seluar terburai semuanya, berkerunyuk dan comot kerana kotoran di lantai telah bertempek ke kemeja kami yang putih. Penghujung perkelahian, kami dileraikan oleh rakan-rakan. Saya ditahan oleh rakan-rakan Melayu dan Raju dipeluk oleh rakan-rakan Indianya.

Esoknya, kami dipanggil masuk ke bilik guru besar. Saya menceritakan segalanya tetapi Raju menafikan tuduhan itu. Akhirnya, kami masing-masing dikenakan sebatan sebanyak 5 kali rotan di telapak tangan sebagai ole-ole dari tuan guru besar.

Writer Blocks