Dulu di New Zealand

Pagi ini hujan mencurah-mencurah. Tiupan angin yang agak kuat menjadikan suasana sekitar semakin sejuk dan dingin.Long Zaman yang berdiri di depan pintu keluar kadang-kadang terpaksa berundur satu dua langkah ke belakang untuk mengelak rembesan air hujan yang ditiup angin. Bukan apa, cuma takut hujung kaki seluarnya basah. Leceh mahu buat kerja nanti.

Long Zaman berpeluk tubuh sementara menanti hujan reda. Tapi hujan semakin lebat dan angin semakin kuat. Tiba-tiba bahu Long Zaman dicuit dari belakang. Long Zaman menoleh, dilihatnya Nan Cina tersengih-sengih. Gigi siungnya menyeringai tajam dan kedua-dua lesung pipinya timbul disebalik wajahnya yang agak beirisi.

“Nak pergi kantin ke Long?” Tanya Nan Cina pada Long Zaman sambil kepalanya dihulurkan keluar pintu.
“Uishh” tiba-tiba Nan Cina mundur dua tapak ke belakang dari muka pintu gara-gara mengelak air hujan yang dirembes angin.
“Hujan makin lebat ni Long” ujar Nan Cina walaupun Long Zaman tidak membalas soalannya tadi.Sekonyong-konyong angin sejuk bertiup lebih deras masuk ikut pintu keluar dimana mereka sedang berdiri.

“Sedap betul angin ni. Tiba-tiba teringat pulak masa duduk kat New Zealand dulu Long” kata Nan Cina. Long Zaman lekas-lekas memandang wajah Nan Cina.
“Kalau kat New Zealand ni Long, lembu-lembu tu semua dah masuk kandang.” Tambah Nan Cina lagi.
“Kau dulu pernah duduk di New Zealand? Kerja operator jugak ke sama macam sekarang ni?” Long Zaman membuka mulut akhirnya. Ada senyuman yang menyindir terlukis di bibir Long Zaman.

“Uishh..” Nan Cina menarik muka dengan dahi ikut berkerut.
“Dulu la Long, kat Felda Newzealand dulu” jawab Nan Cina acuh tak acuh.

Dunia Magika

Saya belum sempat menonton filem Magika, namun apa yang saya dengar dari kata thriller-nya “Tiada yang mustahil dalam Magika kalau kita berimaginasi”.

Kata-kata beginilah yang selalu menyentap spirit saya. Membuatkan saya mula berhalusinasi, tentang kehidupan realiti yang dilalui hari-hari. Mungkin jika ditambah sedikit imaginasi di situ sini tak mustahil plot ceritanya jadi mantap dan enak. Ha ha ha. Saya sudah mula berkahyalan. (Sambil kelopak mata tertutup redup).

Pagi itu, sebelum masuk ke pejabat, saya terserempak dengan si ‘kancil’. Dia menegur saya ketika saya dalam keadaan tergesa-gesa.

Si ‘kancil’ cumalah insan yang kerdil jika mahu dibandingkan dengan watak yang saya pegang di dalam dunia magika ini. Sila tidak berprasangka yang saya adalah orang yang meninggi diri. Tidak.

Akibat teguran dari si’kancil’ makanya saya memberhentikan perjalanan. Simbolik menghormati sesama warga di dunia magika.

Stop” arah saya pada safety boot yang bersayap.

Lalu sepasang safety boot yang bersayap saya sarungkan sebagai sepatu itu menurunkan saya yang terawangan 3 inchi dari tanah dengan perlahan-lahan.

“Kenapa si ‘kancil’?” kata saya sambil duduk mencangkung mengikat tali kasut safety boot yang longgar.

“Nggak ada apa-apa mas, ini ada barang mahu dicari. Tapi tak jumpa-jumpa sih” bicara si ‘kancil’ dengan slanga orang seberang. Lalu si ‘kancil’ menunjukkan sehelai kertas yang sudah buruk dan bergumpal-gumpal kepada saya. Kertasnya kusam kekuning-kuningan.

“Bak sini” saya meminta sopan. Kertas kusam kekuning-kuningan itu bertukar tangan.

Mentafsirnya sekilas lalu membuatkan saya berkerut dahi. Bermacam-macam tabir rahsia terbuka di kepala saya. Dunia Magika ini penuh dengan sejuta misteri, yang dicari bukan apa yang tersurat, tetapi apa yang sebenarnya tersirat.

Kalau ditulis epal kuning berbuah-buah, sebenarnya ialah minyak grease berwarna pear emas yang bertakung di hujung lorong mesin raksasa milik ‘Datuk Tikus Misai’. Epal itu hanyalah kata sandarnya sahaja sedangkan warna emas-lah kata maksudnya. Emas-lah yang selalu berwarna kuning.

Kalau dikata dawai pengikat seribu dewa, sebenarnya ialah tali poli-propelyne yang dibuat dari daun pohon cemara jantan yang tidak berbunga yang baru berpucuk sehari.

Kalau disebut jalan simpang tekpi berapi, ia merujuk kepada sebatang jalan yang bercabang tiga dihujung selekoh rumah Cikgu Pendita. Tekpi itu cuma jadi simbol kepada jalan yang bercabang itu. Sedangkan api ialah menandakan jalan itu telah digazetkan oleh Cikgu Pendita sebagai jalan persendirian. Kalau mahu guna silakan bayar duit tol.

Macam-macam hal. Kalau ada orang baru yang tercampak di dunia magika ini dengan ilmu yang kurang apatah lagi pengalaman pun dangkal, memang susah untuk mereka survive. Kecekalan hatilah yang menjadi peran utama untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam dunia magika ini.

Saya masih mengurut-urut dahi, bingung memikirkan ayat penyata yang tercetak di helaian kertas kusam kekuning-kuningan yang dihulurkan oleh si ‘kancil’ tadi.

Si ‘kancil’ pun saya lihat telah duduk bersimpuh di atas jerami halus yang telah disulam menjadi hamparan di dunia magika. Mungkin menunggu terlalu lama kata-kata dari saya.

Di mata si ‘kancil’ yang bulat seperti bola guli itu, bersinarlah harapan yang mengharapkan saya mampu membantunya menafsirkan tentang apa yang sedang dicarinya.

Saya menyeluk poket seluar belakang bahagian kiri lalu saya mengeluarkan sebuah kitab yang telah saya karang sendiri iaitu “Pengalaman Membuka Tabir Rahsia Magika Vol-I”.

Kitab ini adalah catatan sejarah saya sepanjang saya hidup tercampak di dunia magika. Setiap detik pengalaman dan jenis cerita perjalanan saya di dunia magika semuanya saya catitkan di kitab ini.

Suatu masa nanti dipemergian saya, amatlah saya berharap dapat mewariskan kitab ini kepada keturunan saya sendiri. Semoga mereka mendapat manfaat dari pengalaman dan rahsia tabir magika yang pernah saya buka. Semoga sejahtera mereka belajar.

Puas menyelak satu-satu lembar. Tiba-tiba saya separa menjerit.

“Ha..!” si kancil yang tersengguk-sengguk di hamparan jerami tersentak. Segera si ‘kancil’ berlari mendapatkan saya.

“Udah dijumpa ya mas?” Soalnya galak, matanya bersinar cemerlang.

“Barang yang kau cari ini tidak ada disini” kata saya jujur kepada si ‘kancil’. Si ‘kancil’ membungkamkan wajah hampa.

“Tapi barang itu ada di ladang Giant orang kerdil, kau mintalah pertolongan pada Sotong Muda atau Burung Haji Yak-Yak untuk membawa kau sampai ke sana. Semoga berhasil pencarian kau wahai si ‘kancil'” kata-kata saya yang seterusnya mengubah wajah si ‘kancil’. Senyuman pun terlukislah dibibir si ‘kancil’ yang kecil molek itu.

Ucapan terima kasih tidak putus-putus dilaungkan oleh si ‘kancil’ kepada saya. Barang itu mesti dicari dan ditemukan oleh si ‘kancil’, jika tidak si ‘kancil’ akan disembelih lalu dipanggang untuk dijadikan santapan malam oleh tuannya, Raja Aklaken yang tidak berhati perut.

Raja Aklaken ialah pemerintah yang memerintah dunia magika ini. Namun kuasanya terhad kepada sebahagian dunia magika sahaja.

Melihat si ‘kancil’ sudah jauh pergi di pandangan mata saya. Hati saya sayu. Maafkan saya si ‘kancil’. Apa yang saya beritahu tadi sebenarnya tidak wujud sama sekali. Sengaja saya mereka-reka cerita supaya harapan si ‘kancil’ tidak saya musnahkan walaupun saya terpaksa berbohong.

Dunia magika tidak akan pernah sanggup menghancurkan harapan sesiapa pun.

Cinta itu ibarat bola.

Tanya seorang kawan, “Kau tahu cinta itu seperti apa?” Kami tiga orang ini tidak menyahut pertanyaannya. Mata kami terpaku pada skrin nipis yang lebar, sedang memuntahkan cahayanya yang terang dari Stamford Bridge sana.

Dia bersandar malas pada kerusi kayu yang tegap sambil menghirup secangkir kopi hitam. “Syruupp” Hirupnya berbunyi perlahan. Kopi hitam itu tidak kelihatan luak sedikit pun.

Acara sepak mula berlangsung. Yang kedengaran cuma sorakan penonton di dalam kaca atau skrin leper itu. Kami di hujung sini sepi. Kami betul-betul menikmati acara perlawanan yang bakal mencatat sejarah ini. Begitu mengikut naratif kami di awal pertemuan ini.

“Nampaknya Fabregas, Van Persie, Bendtner dan Walcott tak main. Sesuai ramalan aku” Nan Cina tersenyum sinis.

“Nampaknya lebih mudah. Ha ha ha.” Ketawa Zul Setan menikam perasaan.

“Belum tentu lagi kawan” Saya sekadar membalas basa-basi tanpa mahu menaruh harapan tinggi.

Minit ke-dua dari masa permulaan, Sagna melencongkan bola ke tengah kawasan kotak penalti, Chamakh melayangkan badannya ke udara, tandukannya tidak kemas menyebabkan bola off target ke sipi kanan tiang gol. Tinggal lagi beberapa inci sahaja. Peluang pertama yang terlepas.

Separuh penonton dalam kedai menghelakan nafas kecewa panjang.

“Cinta itu seperti bola. Kalian percaya?” kawan saya yang seorang ini terus menyambung bicaranya.

Mata kami terus terpaku ke skrin yang nipis dan lebar digantung beberapa kaki tinggi dari lantai. Sekali sekala kami menyuakan cangkir minuman panas ke hujung bibir. Panas sepanas kehangatan perlawanan malam ini.

Kelihatannya pasukan lawan segera bangkit dari serangan yang pertama. Hantaran jauh ke tepi padang membawa bola ke kaki pemain yang berasal dari Ivory Coast, Drogba. Kawalan bolanya kemas. Beberapa pemain pertahanan Arsenal yang usianya masih muda digelecek Drogba. Satu lepas, dua lepas. Bola ditolak perlahan dari kaki pemain pertahanan lawan demi mencari sedikit ruang.

Keadaan di dalam kotak penalti jadi cemas dan kucar-kacir. Drogba menendang bola ke arah gawang. Namun dapat dihalang pantas oleh Song, pemain pertahanan muda Arsenal.

Walaupun begitu, bola melantun pula ke kaki pemain Chelsea Florant Malouda, sepakannya yang terburu-buru menyebabkan bola tersasar jauh ke atas palang.

“Seni cinta seperti bola itu hanya difahami oleh kaki yang berbakat. Lihat bola itu digelek-gelek kemas. Memperdayakan. Menghiburkan” Kawan saya yang seorang ini terus tenggelam dalam falsafahnya yang berat. Kami masih tidak tidak begitu mempedulikan biacaranya. Kami tenggelam dalam acara yang sedang berlangsung.

Minit ke-lapan hingga ke hujung separuh masa pertama serangan bertali arus. Hantaran bola tinggi dipotong Arshavin lalu merembat deras ke arah penjaga gol Chelsea, Peter Cech. Tangkapan yang mudah bagi penjaga gol berbakat itu.

Seterusnya Chesea cuba mencari rentak dan penyudah untuk membolosi pertahanan Arsenal. Tendangan lencong Malouda membawa bola ke arah Michael Essien yang tidak dikawal. Tandukan lajunya tertuju ke penjuru gawang Arsenal dalam jarak delapan kaki. Namun tersasar sedikit. Hampa.

“Seperti bola, ia selalu direbut-rebut. Yang memilikinya akan dikejar bagai nak rak oleh yang lain. Cemburu” kami masih senyap. Menonton dengan tekun.

Analisis-analisis yang keluar berbaris dari kaca tv itu kami baca dengan hemah. Mengutip fakta-fakta dan teori bola agar tekaan kami sekurang-kurangnya menepati ramalan.

Enam minit sebelum selesai separuh masa pertama, Ramires melorongkan bola ke arah Cole yang bebas di sebelah kiri. Cole dengan pantas membuat hantaran silang yang rendah ke arah Drogba yang meluru berhampiran gawang.

Bola yang di lorongkan tertinggal di belakang Drogba namun sempat dikuisnya sebelum melepaskan rembatan deras ke arah pintu gawang. Bola meleret masuk, selesa ke dalam jaring.

Teriakan penyokong ‘The Blues’ bergema. Di Stamford Bridge atau di sini. Nan Cina dan zul Setan bersorakan. Nan Cina melapangkan tapak tangannya ke arah Zul Setan. Zul Setan menemukan tapak tangannya dengan tapak tangan Nan Cina. Simbol Gimme five!

Saya jadi meluat. Perasaan saya hilang sambil meruap wajah dengan tapak tangan. Tercabar!

“Kan aku dah bilang, cinta itu seperti bola, walau kau tendang berapa jauh sekali pun, akhirnya kau kena kutip”. Rakan saya yang seorang ini menyampuk dalam kekecohan suasana.

Saya terus menjerit.

“Mamak, kira sini!!”

Boon Siew Honda C-90

Seawal tahun 90-an, abah memiliki sebuah motosikal baru. Maksud baru itu bukanlah yang baru keluar dari kedai (first hand), tetapi hanyalah second-hand, baru itu maksudnya abah baru mejadi pemiliknya yang terkini dan itu juga merupakan motosikal pertama buat abah dan kami sekeluarga.

Sejak dari itu pergerakan abah banyak bergantung kepada motosikal tersebut, sebuah motosikal lama jenama Boon Siew yang berlampu petak segi empat tepat dan berkuasa enjin dua lejang untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, atau sekadar untuk berjalan-jalan di sekitar kampung pada waktu petang.

Kadang-kadang motosikal itu menjadi penghantar kami adik beradik yang pada waktu itu hanya empat orang untuk ke sekolah. Namun ayah tidak pernah membawa kami atau membenarkan kami serentak untuk berhimpit sesak di atas lapik kusyen penumpangnya yang semakin nipis dan sudah tidak anjal lagi itu. Kebiasaannya abah akan menghantar kami secara bergilir-gilir setiap hari. Hari ini saya, esok angah, lusa achik dan tulat adik yang bongsu. Begitulah seterusnya.

Walaupun begitu, motosikal itu lebih banyak jasanya kepada adik yang bongsu. Sayang abah pada adik yang bongsu sering-sering membuatkan saya kehilangan giliran untuk dihantar ke sekolah dengan motosikal.

“Hari ini Along naik bas-lah, adik hari ni tak berapa sihat, biar ayah hantar adik hari ni” kata ayah pada suatu pagi sewaktu saya dan adik-adik ingin bersiap ke sekolah.

Hari itu, entah hari yang keberapa kali saya hilang giliran untuk dihantar. Bukan setakat saya, malah angah dan acik juga sama. Giliran-giliran kami selalu dirampas adik kerana tarafnya yang bongsu. Kasih abah dan emak tumpah lebih kepadanya.

Namun begitu, saya dan angah tidak pernah mengeluh. Sebenarnya, kalau dihantar abah merupakan suatu hari yang istimewa kerana bolehlah bangun sedikit lewat dari kebiasaan berbanding menaiki bas awam kami terpaksa bangun lebih awal sedikit. Kami mengalah kerana itu yang selalu dipesankan oleh emak dan abah.

“Kalian-kan abang dan kakak-kakak, kenalah beralah dengan adik sikit” pesan emak garang, tatkala melihat adik menangis tidak mahu ke sekolah gara-gara tidak dihantar abah walhal hari itu ialah giliran achik. Achik berkeras tidak mahu kendur.

“Asyik-asyik achik yang selalu mengalah” kata achik sambil mencebikkan wajahnya yang bulat. Air mata mula bergenang di kolam matanya.

Saya hanya membiarkan scene itu sambil menyarungkan stoking ke kaki, dan di mulut menggigit epok-epok emak yang panas-panas suam. Angah dan abahlah yang berkerja keras membujuk achik. Akhirnya achik mengalah juga apabila abah berjanji untuk menambah wang saku sekolahnya sebanyak 50 sen pada hari itu. Angah juga mendapat nilai yang sama. Tetapi saya tidak.

Esoknya bila dikejutkan bangun ke sekolah, saya tidak bangun. Saya mengeras di dalam selimut. Kata saya dengan suara paling perlahan pada emak, saya tak sihat badan.

Namun emak memangkas dengan suara lantang.

“Dah, dah..kalau tak bangun kejap lagi mak simbah dengan air” intonasi emak walaupun lembut tapi yang tersiratnya emak mengugut saya. Namun baru sekarang saya sedar bahawa cakap emak pada hari itu hanya sekadar ingin menguji. Kalau saya tak bangun emak takkan sanggup berbuat begitu.

Tetapi, kerana bimbangkan cakap emak, saya bingkas bangun, saya kalah dengan psikologi emak, namun lakonan saya tentang tak sihat badan tetap saya teruskan. Mana tahu emak lembut hati melihat lakonan saya.

Kesudahannya pada hari itu, saya tetap ke sekolah dengan menaiki bas awam. Abah menghantar adik bongsu dengan motosikal, walhal hari itu giliran saya dan saya tak sihat badan!

Biarkan YM berbicara

Sejak dua tiga hari lepas Nan Cina duduknya sudah tidak aman. Suaranya selalu menghamburkan kata-kata keras tatkala dia sedang duduk buat kerja di hadapan komputer”Dia buat lagi dah” dengus Nan Cina pabila komputernya terpadam sendiri. Masuk kali ini sudah tiga kali. Kerja yang ‘urgent’ sedang dibikinnya belum sempat di’save’kan lagi.

Nasib, Nan Cina bukan seorang yang pemarah dan panas baran. Nan Cina masih mampu bertahan dengan senyuman dan lesung pipitnya yang berlubang dalam sebelah.Kalau Nan Cina sifatnya macam Jack Yus, mahu komputer itu makan penendangnya setapak dua. Jack Yus pernah menyepak sebuah desktop sampai terpelanting kerana komputer itu tiba-tiba terpadam dengan sendirinya. Waktu itu Jack Yus sedang membuat kerja-kerja menyusun jadual rota pekerja.

Apabila diselidiki, rupa-rupanya komputer itu terpadam kerana ibu jari kaki Jack Yus yang terlunjur di bawah meja tanpa sengaja tertekan suis utama komputer tersebut. Tetapi Jack Yus tetap menyalahkan komputer.

“Lain kali buat suis atas meja, kalau bawah meja bukan ada orang nampak pun” garang kata Jack Yus dan dia tetap teguh mempertahankan tindakannya walaupun sudah jelas lagi bersuluh yang mana terang yang mana salah.Nan cina menghidupkan kembali komputer mejanya.

PC lama jenis Dell ini mengambil masa 15 minit untuk kerja-kerja start-up. Dengan dua slot RAM 250MB sedikit sebanyak membantu juga meningkatkan kepantasan komputernya bekerja. Setakat mengharapkan processor jenis Intel Pentium I memang berkurun sikit memakan masa.

“Aku rasa komputer kau ni sudah kena virus Nan” kata Zul Setan dalam tetingkap YM apabila Nan cina menceritakan keadaan tersebut pada Zul Setan.

“Habis nak kena buat macam mana nih?” Nan cina mula menggebalah, terus terang Nan cina memang buta tentang komputer. Setiap hari yang Nan Cina tahu, datang kerja ‘on’kan komputer. buat kerja dan sebelum pulang ‘off’kan dahulu. Cerita-cerita orang tentang bahaya virus kini terjadi pada dirinya sendiri. Memang tak pernah disangka Nan Cina selama ini.

Perkara-perkara seperti menonton movie, muat-turun, atau surfing internet di komputer memang Nan Cina tak pandai. Apalagi untuk Fesbuk, Twitter atau blog, memang sumpah Nan Cina tak tahu. YM ini pun Zul Setan yang ajar, supaya mudah Zul Setan nak berhubung dengan Nan Cina. Friend List dalam YM Nan Cina pun cuma Zul Setan seorang. Perisian yang rapat dengan Nan Cina cumalah Microsoft Excel dan Words, selain itu dia tidak ambil peduli. Oh! Lagi satu permainan Solitaire.

“Anti-virus dalam komputer, kau ‘on’kan tak?” Tanya Zul Setan lagi di tetingkap YM yang berbingkai hijau cerah itu.
“Anti-virus aku ok je” Nan cina bersungguh-sungguh menjawab kembali. Perkataan ok itu sengaja di CAPS LOCK-nya.
“Cuba kau scan komputer kau tu Nan, mana tahu ada virus ke ape.” Balas Zul Setan kembali.
“Nak scan? Macam mana?” Laju Nan Cina menaipkan soalannya. Sambil menunggu-nunggu jawapan dari Zul Setan, Nan Cina mengepal-ngepal sepenumbuk dan menekan jari-jarinya sampai berbunyi keriuk.
“Kau nampak scanner dekat belakang kau tu tak? Kau cuba ‘scan’ pakai tu” Zul Setan mengarahkan dalam tetingkap YM.

Nan Cina menoleh ke arah belakangnya.

“Macam hareeemmmm” taip Nan Cina panjang dengan huruf ‘m’, hatinya berbaur geram. Sekurang-kurang pandainya masih tahu scan yang itu fungsinya macam mana. Di tetingkap YM kelihatan hampir sepuluh ikon kecil bertubuh kuning botak sedang mengekek-kekek ketawa berguling-guling.=))

Pemansuhan UPSR

“Emak, adik tak nak pergi tuisyenlah” tiba-tiba perkataan itu terpacul dari mulut Mohd. Fazril. Dia yang baru berumur 11 tahun dan belajar di darjah lima merupakan anak bongsu dalam keluarga Puan Rosbah.

“Adik rasa nak masuk kelas muzik, belajar main gitar” tambah Fazril membuatkan Puan Rosnah bertambah terkejut.
“Eh, kenapa pula?” Puan Rosnah berpura-pura bertanya tenang. Walaupun dalam hatinya geram dengan kenyataan anak bongsunya itu.

“Adik kena pergi tuisyen, supaya cepat belajar dan pandai. Tengok macam Along, angah dan achik, mereka semua sekarang dah masuk Universiti. Along tak lama lagi nak habis belajar, kemudian akan kerja sebagai jurutera. Adik tak mahu pandai macam Along, angah dan achik ke? Dapat masuk universiti macam mereka? Mereka semua dulu pergi tuisyen macam adik juga” terang Puan Rosnah perlahan. Mengharapkan putera bongsunya ini faham tujuan yang sebenarnya.

Mohd. Fazril hanya senyap.

“Lagi pun mak bayar tuisyen itu mahal tau, semata-mata nak tengok anak mak semua pandai. Nanti dalam peperiksaan boleh dapat semua A” Puan Rosnah cuba membangkitkan emosi Mohd. Fazril seraya mengusap-usap rambut putera bongsunya kesayangannya itu.

Mohd Fazril mencebikkan muka.
“Ala, tahun depan adik bukan ada UPSR pun” kata Mohd. Fazril selamba.
Puan Rosnah tergamam sekejap.