Saya Pun Melayu- Zaid Ibrahim

Seorang tokoh politik menulis bukunya. Dengan gaya bahasa yang bersahaja dia menurunkan sedikit cerita, pengalaman, pesan dan pemikiran untuk kita membacanya. Tajuknya sedikit longgar tetapi menjerut persoalan kenapa kata Melayu yang menjadi pilihan. Lalu Zaid membuka sejarahnya dan sejarah negara bagaikan membuka baju kerana kepanasan matahari yang menyengat dan bahang. Suatu kebenaran bahawa matahari itu memang panas.

Terang-terangan, kata Zaid ‘Ketuanan Melayu’ adalah suatu propaganda yang bermotifkan politik. Setelah kemerdekaan kita tebus lebih 50 tahun dahulu, bersama pelbagai bangsa (Cina, India dan bumiputera)¬† kita wajar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam pengagihan-pengagihan kuasa politik, pemberian dana sosial dan hak kebabesan bersuara yang sama rata dan lebih adil. Tetapi kita juga wajar bertanya, apakah kemewahan dana ekonomi yang ‘mereka’ pegang, sanggupkah dileburkan demi kita?

Memahami penulisannya, Zaid ialah seorang Melayu yang optimis kerana terdidik dalam atmosfera perguaman yang telus memandang tiang keadilan/kebenaran adalah sesuatu yang perlu dipertahankan. Tanpa dirancang, dia terjerumus ke dalam politik dengan cita-cita mulia untuk mereformasikan budaya dan etika songsang ‘politik’ pada waktu itu yang dia sendiri tidak faham permulaannya.

Sebagai seorang yang mempercayai keadilan, zaid begitu lantang mempersoalkan. Isu-isu sensitip yang lancang dari mulutnya yang dia(kita) fikir harus diperhalusi semula, menjadi paku buah keras yang dipulangkan kepada kepadanya dengan motif politik yang keji dan disalah tafsir (kawan mahupun lawan).

Kita tidak dapat membuang minat apabila tersentuhnya isu-isu berkaitan hak kebebasan bersuara, penghapusan ISA, badan kehakiman yang dimomok oleh politikus-politikus negara, kisah tahanan polis yang mati di dalam lokap, percaturan dan konspirasi melantik Hakim Negara, isu pemecatan bekas Hakim Negara, Tun Salleh Abas , pendakwaan ke atas Eric Chia, pembebasan Abd. Razak Baginda di dalam kes pembunuhan Atlantuya dan pelbagai lagi dengan contoh-contoh yang logik dan fakta menjadikan kebenaran yang kita anuti ini masih tergantung sebenarnya. Tali tidak terikat ke palang, barang tidak menjejak ke bumi.

Tidak kurang, pengalaman menghirup udara politik boleh dikatakan ibarat menghirup bau busuk dari parit ataupun longkang yang bertakung, bersampah sarap, kotor dan keji. Begitulah politik Malaysia. Kita sendiri sudah muak dengannya. Tidak ada lagi udara politik yang bersih dan nirmala sebagaimana yang berlaku dalam pimpinan awal tiga mantan perdana menteri yang pertama.

Integriti katanya adalah sesuatu yang penting dalam jiwa individu. Hatta sesiapun, kumpulan ataupun parti, umarak mahupun ulama, samada marhaen, rakyat atau ahli, harus terdidik dalam lingkungan intergriti yang tinggi bagi membentuk masyarakat yang dinamik dan begerak maju. Intelektual dalam memilih dan menyanggah segala tindakan yang diputuskan oleh kerajaan dan bukan sekadar tunduk berpuas hati atau mendiamkan diri sebagai tanda protes.

Contohnya, kita ada akhbar dan stesen television kerajaan tetapi disusahkan apabila pembangkang inginkan perkara yang sama, kita ada SPRM yang pecut menyiasat salah laku golongan pembangkang tetapi bergerak bagai siput apabila menyiasat salah laku golongan sebaliknya, kita ada SPR yang membenarkan tindakan parti dominan menggunakan wang rakyat sebagai taburan janji dalam pilihanraya kecil atau besar, kita ada ISA yang diletakkan dibawah kuasa seorang menteri yang boleh menangkap sesiapa pun tanpa dibicarakan, kita ada kuasa menteri yang boleh melantik/memecat seorang  Hakim Negara pada bila-bila masa, kita ada isu rasuah dan kronisme yang melarat, dan yang paling besar kita ada kerajaan yang kita tidak boleh persoalkan tindakannya!

Advertisements

Tok Long

Tok Long adalah seorang yang suka beseloroh dan berdekah ketawanya. Namun begitu, jika kita merenung wajahnya secara terus kita akan melihat seorang manusia yang raut mukanya penuh dengan pengalaman, kulitnya yang putih dan wajah yang bercahaya kerana wudhu’ dan amalan yang tetrib terjaga tentunya; adalah sepadan dengan gelarannya sebagai seorang bekas imam dan pendidik agama. Kita akan memandang wajah itu dengan jernih dan syahdu. Jika tersenyum, senyumnya adalah misteri yang tidak tahu hujung pangkalnya. Jika bersuara, kata-katanya bersulam pelbagai; sinis, tajam, ilmu, pandangan, pesan dan seumpamanya.

Keningnya yang berbulu halus tetapi lebat, runcing dan matanya yang mencekung sedikit ke dalam menunjukkan Tok Long seorang yang tegas, sememangnya sebagai seorang bekas askar ketegasan dan kelantangan merupakan ajaran yang asas. Garang tentulah masa mudanya adalah wajar. Tok Long juga adalah seorang penyindir yang halus.

Ketika sedang menjamu selera di dalam sebuah majlis yang seadanya, Tok Long begitu memuji-muji keenakkan masakannya. “Sodap betul daging kambing ni, ompuk-ompuk tak liat” puji Tok Long.

Maksu tersenyum, mendengar masakannya dipuji orang tua itu. Segera dia menawarkan diri “Tok Long nak tambah laei ko? Kalau nak, seyh ambikkan”.
“Pandai botul yang masak ni, sodap” Tok Long berbasa basi.
“Nak ke Tok Long?”
Tok long tersenyum sinis, katanya “Kalau den kato sodap, maksud eyh hondak laei la tuh”

Bingkas Maksu bangun, laju.

….

“Den minta diri dulu-lah yo, nak beransur ke majlis lain pulak” Tok Long bangun mendorong kerusinya ke belakang, sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Isyhh, Copek bonar nak beransur”
“Yolah, kek tiado hal, tiado la den nak beransur. Orang dah monjemput, hendak tidak konolah datang.” Senyum Tok Long.
“Macam kito menimbangla, kok amik kapas seguni, garam seguni. Tilik-tiliklah yang mano berat. Betul ko tidak?” Tok Long bertanyakan hadirin.

Legasi Ketuanan Rembau

Dalam himpunan riwayat pentadbiran Melayu dahulu kala, setiap negeri yang ada di Kepulauan Melayu ini tersembunyi akar sejarahnya yang tersendiri, yang saling berlingkar sirat antara satu sama lain. Pengetahuan asas kita terhadap sejarah negara ini adalah bermula sejak kedatangan rombongan Parameswara ke Pulau Singa akibat kejatuhan empayar Sri Wijaya ke atas Majapahit sebelum Sang Nila Utama itu kemudiannya melarikan diri dan membuka Kota Melaka yang mahsyur.

Sebermulanya dari itu, sejarah Melayu Melaka bangkit gagah dalam kepulauan Melayu Nusantara menuju era kegemilangannya ditambah pula hubungan diplomatik yang erat dipayungi oleh Maharaja China, sebelum kepongahan penjajah meruntuhkan segala-galanya. Kejatuhan yang bermula dari kedatangan Portugis, Belanda dan seterusnya campur tangan British.

Sejarah pentadbiran Negeri Sembilan mempunyai struktuk yang unik dan naskah ini menceritakan dari satu sisi Ketuanan Melayu Undang Luak Rembau tentang kuasanya yang menegakkan salah satu tiang seri nan sebatang yang menunjangi Istana Seri Menanti.

Rupa-rupanya sebelum itu, sejarah Johor pernah sampai ke tanah salinan Minagkabau ini sekitar tahun 1540 , iaitu semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II sehinggalah pada tahun 1790, negeri adat ini mula membebaskan dirinya dari pemerintahan kerajaan Johor secara beransur-ansur dengan mengambil manfaat daripada pergolakan istana pada waktu itu; ketika pemerintahan Johor telahpun diambil alih oleh keturunan Bendahara (akibat peristiwa Sultan Mahmud mangkat dijulang).

Sedari itu, kuasa pemerintahan di negeri sembilan terpecah dengan kuasa undang yang empat adalah yang tertinggi tanpa dinaungi oleh seorang Sultan yang merupakan simbol kedaulatan sesebuah negeri bagi alam Melayu. Merujuk kepada adat perpatih itu sendiri, bulat anak buah jadi Buapak; bulat Buapak jadikan Lembaga; bulat Lembaga menjadi Undang; bulat Undang menabalkan Raja. Maka sesebuah negeri itu tidak bernama negeri jika tidak memiliki rajanya!

Demikian itu, undang yang empat telah bersepakat untuk menjemput Raja Melewar dari Tanah Minangkabau yang dipinjam adatnya untuk menaiki takhta di Seri Menanti. (Peristiwa ini berlaku beberapa kali selepas kematian Raja Melewar, dijemput pula Yamtuan Muda dari Pagarruyung dan Raja Hitam)

Sistem Undang Luak Rembau, berasaskan kepada sistem pemilihan yang bergilir-gilir dari dua carak (Siti Hawa dan Tok Bungkal) iaitu Keturunan Waris Biduanda Lela Maharaja dan Keturunan Waris Dato’ Sedia Raja. Sebenarnya kedua-dua waris ini adalah berasal dari keturunan yang sama iaitu dari keturunan Dato’ Batin Sekudai yang menjadi Penghulu Rembau dengan perkenan daripada Sultan Johor masa itu, Sultan Alauddin Riayat Syah.

Apabila sirah menjadi tradisi, adat akan menjadi sebati dalam kehidupan masyarakatnya. Ini dapat dilihat seperti di tanah asal Minangkabau, mereka akan menjadikan gunung sebagai sumber pertumbuhan ekonomi dengan memulakan penempatan di sekitar lereng Gunung Merapi. Di Rembau, masyarakatnya pula menjadikan gunung Datuk sebagai simbol dan perkembangan tamadun yang sejajar dengan ungkapan mahsyur di Ranah Minang.

Di mano asal terbit pelito/ dari tanglung nan betali/ di mano asal nenek kito/ dari lereng gunung Merapi. Begitu kukuhnya!

Kembali kepada naskah ini keseluruhannya. Sebenarnya ia bermatlamat sebagai sebuah dokumentasi sejarah yang semakin dipinggirkan padahal sejujurnya riwayat legasi ini pernah turut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dari tangan british di mana Undang Luak Rembau yang ke-19 disahkan telah turut serta dalam menurunkan tandangan dalam upacara Menandatagani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, dimana kebanyakkan negeri pada waktu itu cuma disertai oleh raja-rajanya sahaja, tetapi Negeri Sembilan disertai oleh seorang Raja dan Undang Yang Empat. Betapa sistem adat ini menonjolkan sultan tidak membelakangkang anak buah, dan anak buah juga begitu sebaliknya.

Interlok- Edisi Saya

Ketika darjah 4 Dahlia, kelas kami waktu itu di tingkat dua. Segala urusan keluar masuk kelas yang berlangsung dalam sesi persekolahan, kami akan mengunakan sebatang tangga yang ada di tengah-tengah bangunan. Waktu masuk kelas, waktu pulang sekolah, ke kantin, pergi bilik guru, ambil kapur di pejabat kerani mahupun ke tandas yang terletak di bahagian penjuru bawah bangunan bersebelahan stor sukan dan bilik tukang kebun.

Sehinggalah pada suatu tengah hari, cuaca waktu itu sangat panas dan matahari pula sangat terik. Kami berbaris dalam dua barisan, hemat dan cermat meniti langkah dengan perlahan-lahan menuruni anak-anak tangga. Tiba-tiba saya dapat rasakan beg sekolah yang sedang saya kendong itu ditarik dari belakang kemudian dilepaskan dengan cepatnya. Beban yang saya pikul serta-merta bertambah, bagaikan pemalar graviti pada waktu itu tidak lagi 9.807 kgf.

Pertama kali, saya membiarkan. Kedua kali, saya cuba tidak menghiraukan. Tetapi apabila masuk yang ketiga kalinya, maka saya terpaksa peduli. Lalu saya berpaling dan menerjah Raju yang berada di belakang saya pada waktu itu. Raju, saya ingat betul namanya. Saya tolak Raju dengan kuat sampaikan dia terpaksa berundur beberapa langkah.

Raju kembali menerpa saya. Lalu kami bergelut dengan beg sekolah yang sarat dengan buku, tidak sempat kami campakkan ke tepi. Raju melepaskan dua tiga tumbukan menyasarkan ke bahagian rusuk, tetapi saya berjaya elak. Saya balas dengan tendangan kilas dan Raju menepisnya. Saya dan Raju bersemuka, kami saling tarik menarik pada bahagian kolar baju. Kaki kami saling bersilang satu sama lain untuk membentes dan menjatuhkan lawan.

Kemudian kami berguling-guling di atas lantai. Baju yang disisipkan ke dalam seluar terburai semuanya, berkerunyuk dan comot kerana kotoran di lantai telah bertempek ke kemeja kami yang putih. Penghujung perkelahian, kami dileraikan oleh rakan-rakan. Saya ditahan oleh rakan-rakan Melayu dan Raju dipeluk oleh rakan-rakan Indianya.

Esoknya, kami dipanggil masuk ke bilik guru besar. Saya menceritakan segalanya tetapi Raju menafikan tuduhan itu. Akhirnya, kami masing-masing dikenakan sebatan sebanyak 5 kali rotan di telapak tangan sebagai ole-ole dari tuan guru besar.