Memaknakan Cinta- Salina Ibrahim

Jika kita membaca cerpen ataupun novel, kita akan mengembara ke dalamnya. Membaca bagaikan membuka pintu untuk kita melangkah alam lain. Kita meninggalkan sebentar pemandangan yang nyata dan kita memusatkan seluruh perhatian kepada cerita yang sedang dibaca.

Jujur, saya lebih suka mengembara di dalam cerpen berbanding novel. Mengembara di dalam cerpen, seperti sebuah mimpi yang kejap. Kita akan tersentak lalu terjaga seterusnya akan tertanya-tanya. Di manakah kita, siapakah kita, kenapa kita? Dan novel pula seperti mimpi yang bersiri-siri kerana jarang kita dapat mengusaikan sebuah novel dalam sekali pembacaan.

Salina Ibrahim memang sengaja mengajak saya bertukar wajah dan hati. Sesuatu yang kontra dan berasa janggal tentunya. Membaca Memaknakan Cinta ibarat saya memandang cermin, melihat batang tubuh secara fizikalnya ialah seorang lelaki tetapi yang terpantul dipermukaan cermin adalah seorang wanita yang entah siapa, tetapi saya. Lalu mengembara di dalam cerpen-cerpennya dengan pelbagai watak feminisme. Seorang ibu yang kasihkan anak-anaknya, seorang gadis remaja yang mencari titik diri, si cilik yang diganggu emosi, seorang janda (baca ibu tunggal) yang akrab dengan permasalahan hidup atau seorang isteri yang dicemburui sang suami.  Di helaian mana pun, kita dipaksa menyorot misteri seorang hawa, hatinya, perasaannya dan fikirannya.

Sejak dunia semakin global dan hidup di desak dengan keperluan, latar cerita di dalam naskah ini dilukiskan dengan pelbagai warna dan rencah.  Di satu-satu cerita tempatnya berubah, suasananya berbeda, alamnya berselisih dari yang lain, konflik yang terbit lazim searus dengan cuaca semasa tetapi punya sudut perspektif yang berbeza. Itulah yang saya katakan keseronokan mengembara dalam himpunan cerpen.

Dalam kebanyakkan watak yang saya jadi, banyak menemukan monolog dalaman yang begitu mempersoalkan. Watak-watak banyak berkhayal sendiri, bertanya diri dan menjadi pemerhati. Begitukah wanita keseluruhannya?

Advertisements

Sang Penandai- Tere Liye

Cinta adalah misteri yang tidak pernah terungkai. Kesanggupan demi cinta kadang-kadang bisa membuat kita untuk melaksanakan sesuatu perkara yang sepatutnya difikirkan beratus-ratus kali tetapi kita hanya nekad dalam sekali fikir.

Permulaan naskah ini akan membawa kita ke alam Qaisy dan Laila, sebuah kisah cinta yang lara dan subur dengan kekecewaan, tetapi manusia masih mempunyai mimpi; impian untuk digapai ibarat buah yang sedang ranum dan tergantung di pohon kehidupan. Menunggu dipetik.

Dari catatan takdir seorang yang asalnya hanya mampu menangis, lemah, tidak berdaya dan pengecut untuk mendayung perahu cintanya, Jim  tidak sedar dalam dirinya yang tulen tersisip benih keberanian. Dari seorang penggesek biola yang cuma mempamerkan senyuman palsu tiap kali menghiburkan orang ramai di celah keriuhan majlis, dia terpanah oleh cinta Nyla, gadis cantik yang bukan sebangsa. Gadis jelita yang tinggi martabatnya seperti malaikat langit.

Antara dua darjat, itulah jurang yang mengukur cinta. Untuk menentukan kebahagiaan itu akan selalu menjauh ataupun merapat dalam lingkaran perhubungan. Begitu Qaisy dan Laila, begitu juga Jim dan Nyla. Taruhan ke atas cinta adalah nyawa. Nyla sanggup membunuh diri kerana dirinya tidak dapat disatukan dengan Jim, dan Jim sekadar penyesal yang bacul kerana tidak berani untuk berkorban demi cintanya. Tekadnya untuk ikut menjejak Nyla di alam persemadian, hanyalah lakonan sebuah keberanian.

Lalu datanglah Sang Penandai, memberitahu Jim ialah manusia terpilih setelah 400 tahun. Terpilih untuk membina dongeng yang akan dijadikan cerita sebelum tidur anak-anak alam semesta. Takdirnya bermula pabila Sang Penandai menyarankan agar Jim  ikut serta bersama Armada Pedang Langit, menaikkan layar besar bahtera gergasi, meneroka lautan dalam dan ganas samudera dalam sebuah ekspedisi mencari Tanah Harapan. Sebuah pulau dongeng yang paling indah,tanah daratan yang paling hujung di dunia.

Di atas kapal itu Jim memakai gelaran seorang kelasi yang menangis. Pelayaran yang subur dengan halangan-halangan fantasi, menjadikan Jim semakin kental dan maju. Kita akan melihat bagaimana seorang pemetik dawai yang lara dan selalu mendendangkan lagu-lagu kesedihan, dia berubah menjadi seorang pemain pedang yang handal, kesatria yang cekap memenggal kepala musuhnya tetapi dia tetap juga menangis.

Biar sudah menajadi panglima perang, tetap saja julukannya hanya berubah kepada Panglima Perang Yang Menangis. Kerana di dalam pelayaran, di dalam menempuh cabaran hidup di atas kapal itu, Jim selalu saja menangis. Menangis kerana sesal di atas pemergian Nyla. Penyesalan yang tidak pernah surut dalam lautan perasaannya.

Dongeng apakah yang akan dicipta Jim?  Jim-lah manusia terpilih yang akan melakarkan dongeng seorang pecinta yang setia pada cinta pertamanya, Nyla. Walaupun sudah wujud Qaisy dan Laila, Zainudin dan Hayati, Jim dan Nyla akan lebih melengkapkan rasanya.

Di dalam setiap tangisan, hati yang walang dan sendu air mata adalah masa lalu yang sukar untuk dia maafkan. Jim tidak berdamai dengan kekesalannya, walhal kekesalan masa lalu hanya akan mengikat kita di tiang pasung di atas pelangi. Kekesalan masa lalu akan merantai kita di taman yang indah. Kekesalan masa lalu hanya memenjarakan kita cuma seinci dari pintu kebebasan.

Jika Hamka mencipta cinta Zainuddin antara Hayati secara real, Tere Liye melakar Jim dan Nyla secara fiksi. Kita akan timbul dan terapung dalam kekuatan kisah Zainudin dan Hayati, tetapi antara Jim dan Nyla kita akan menyelami ke dasar. Bertahan untuk bernafas biarpun sebenarnya kita telah karam.

“Pencinta sejati tidak akan pernah menyerah sebelum kematian itu sendiri datang menjemputnya.”

Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick- Hamka

 

Naskah ini adalah karya agung sang pengarangnya dalam segala tulisan beliau yang berbentuk novel, bagi saya. Telah saya membacanya sebanyak dua kali. Pertama kali, saya begitu terpesona dengan kalimah kata-katanya yang tersusun dan tertib. Memikat dan cantik. Kedua kalinya, saya menghayati dan menjiwai keseluruhannya. Jalan cerita, perannya, ilusi latarnya dan segala yang tercurah di dalam naskah ini.

Secara general novel ini menceritakan perihal percintaan antara seorang pemuda bernama Zainuddin dengan seorang gadis sunti yang dinamakan Hayati. Zainuddin dibesarkan oleh ibu angkatnya bernama Mak Base, sejak kecil lagi hayatnya ditimpa kecelakaan yang tidak pernah susut. Ibunya telah meninggal dunia begitu juga ayahnya. Zainuddin, pemuda yang yatim piatu, pemuda sopan santun dan berjiwa lembut bagaikan seorang penyair adalah ciptaan dua resam yang ditemukan. Dalam darahnya mengalir keturunan Mengkasar dari belah ibu dan Minangkabau dari sebelah ayahnya.

Lantaran pengharapan ayahnya yang begitu menginginkan Zainuddin menuntut ilmu di tanah beradat Minagkabau , yang pada waktu itu tumbuh segar pondok-pondok agama untuk memberikan teduhan pengetahuan kepada anak-anak muda lalu bertekadlah Zainuddin untuk menunaikan cita-cita ayahnya. Merantaulah Zainuddin dari Mengkasar ke Batipuh membawa sejarah ayahnya. Ternyata kedatangan Zainuddin ke Batipuh tidaklah begitu dipedulikan meskipun ayahnya berdarah Minangkabau tetapi adat perpatih itu diukur dari perut ibu. Carak ibu itu menentukan asal usulnya. Berbakonya kepada siapa. Ninik mamaknya siapa. Bersuku kaum dia di mana.

Namun adat itu hanyalah peraturan manusia yang boleh berubah-ubah dan ditukar-tukarkan kerana jika Zainuddin datang dengan membawa harta dan berpangkat pula, pastilah bako itu, ninik mamak itu, suku dan kaum itu jatuhnya di tempat kedua, namun sayang Zainuddin datang cuma membawa harapan, cuma membawa sepersalinan dan sepasang batang tubuh yang masih muda, impian dan cita-cita. Maka tinggallah Zainuddin dipandang seperti ‘anak pisang’di negeri Batipuh yang beradat ‘tak lakpuk dek panas, tak lekang dek hujan’.

Di tepi gunung Singgalang dan lereng Merapi yang subur, Zainuddin dipertemukan oleh kuasa langit dengan cintanya, Hayati. Pertemuan pertama sampailah kepada surat-menyurat dan balas-berbalasan dengan tulisan rindu dan cinta dari sukma yang sedang buta untuk menafsirkan jurang antara mereka. Namun lekas benar percintaan mereka dihalang oleh kaum keluarga Hayati lalu Zainuddin dihalau dari negeri Batipuh untuk menyeka api percintaannya dengan Hayati dari terus menyala. Biarpun begitu, Hayati telah mematrikan cintanya hanya satu untuk Zainuddin. Janji yang akan digenggamnya sampai maut begitu juga Zainuddin seadanya. Tidak kurang malah lebih.

Ternyata, laluan hidup Zainuddin tidak secerah matahari pagi yang mula hendak terbit kerana awan mendung yang terkandung hujan awal-awal lagi sudah berarak hendak menutupinya. Hayati telah dijodohkan oleh Aziz, seorang pemuda Perewa yang terkenal sebagai tahi judi, penyabung laga dan perosak rumah tangga serta anak isteri orang, namun ukuran kekayaannya, asal usulnya, dan darjat keturunannya lebih cemerlang dari Zainuddin dan dapat pula menutup amal kejahatannya. Begitukah uang berkuasa?

Zainuddin menanggung derita yang cukup sengsara, sampaikan dia merayu supaya nyawanya diambil oleh tuhan kerana cintanya itu telah direnggut oleh janji Hayati yang ber’khianat’ secara terpaksa. Hayati terpujuk oleh kata-kata Khatijah, kawannya yang tinggal di kota supaya melupakan Zainuddin kerana dilihatnya Zainuddin itu terlalu rendah untuk Hayati. Bagaikan permata bercincin suasa layaknya, tidak seiring pipit dan enggang, bagai langit dengan bumi. Kata Khatijah, hendaklah Hayati memikirkankan semula cinta Zainuddin kepada dirinya kerana yang dijanjikan oleh Zainuddin hanyalah harapan yang tidak pasti.

Kata Khatijah, harapan itu akan dapat menjadi nyata hanyalah dengan wang dan harta. Wang dan harta yang dapat menjamin masa depan, mengukuhkan rumah tangga dan mengeratkan isi dalamnya antara suami isteri. Jika tiada wang dan harta, bagaimanakah hendak didirikan harapan sebuah kebahagian? Bagaimana hendak bahagia jika isi rumahnya saling merungut kerana dapurnya tidak berasap malah terpaksa mengikat perut dan kemahuan hati? Hayati diracun, dipukau, dan disihirkan dengan kepalsuan dunia sedangkan dia tahu, Zainuddin itu adalah lebih bernilai dari seluruh kekayaan dunia. Zainuddin itu bagaikan hujan yang akan menyuburkan gurun yang gersang dalam satu hari kerana seratus tahun tidak pernah hujan. Namun Hayati, cumalah gadis desa yang terlindung pemikirannya dalam lengkungan adat resam rumah gadang dan lekas pula percaya dengan logik yang tersangat mentah.

Perkhabaran pernikahan Hayati, mengundang kekecewaan Zainuddin. Mujurlah ia dapat dirawat dan dinasihatkan oleh seorang Perewa yang menggelarnya Guru, si Muluk yang begitu prihatin dan cinta kepada Zainuddin seperti saudaranya sendiri. Dukacita dalam sanubarinya telah menukarkan Zainuddin menjadi seorang pengarang besar yang begitu akrab menulis kisah-kisah kesedihan, hikayat-hikayat kekecewaan, syair-syair kedukaan serta lakon-lakon yang merawankan.

Dia menjadi mahsyur dan ternama dan sering orang tertanya-tanya, bagaimanakah tuan pengarang yang sentiasa tersenyum dan manis mukanya ini dapat menuliskan sebuah cerita yang sangat dukacita yang begitu insaf dan sayu? Padahal segala tulisannya itulah yang dikutip Zainuddin dari air kehidupan yang direguknya, kadang-kadang bagaikan racun, kadang-kadang bagaikan hempedu, dan kini dicurahkan segalanya kepahitan hidup yang pernah ditempuhnya itu kepada pena yang bertintakan walang lalu jatu ke atas helaian kertas menjadi kata-kata pujangga untuk dibaca oleh masyarakat. Hanyalah sahabatnya Muluk yang lebih mengetahui dan tuhan juga yang maha Mengetahui.

Pada waktu yang sama, Zainuddin dan Haryati dipertemukan semula. Sayang, pertemuan itu bukanlah pertemuan sepasang kekasih yang saling mencintai sepertimana mereka pernah bertemu di danau Batipuh ketika senja mula merobek alam. Pertemuan itu hanyalah diibaratkan seperti pertemuan antara sahabat. Sahabat yang hanya memakai gelar tetapi di dalam jiwanya tidak tumbuh walau seakar persahabatan pun. Apatah lagi waktu itu Hayati sudah bergelar ‘Rayanko Hayati’ kepunyaan mutlak Aziz.

Benarlah kata-kata Zainuddin bila mana dia telah dikecewakan oleh Hayati, bahawa cinta yang disemai kerana harta, pangkat, darjat, emas dan permata adalah lebih buruk dari seorang pelacur yang terpaksa menggadaikan dirinya demi sesuap nasi. Cinta seperti itu akan berkurangan bagai bukit yang dicangkul setiap hari sampai rata apabila hartanya berkurang, darjat dan pangkatnya menurun dan emas dan permata itu jauh dari kilauan mata. Sama juga cinta Aziz kepada Hayati, cinta yang hanya mula mekar kerana kecantikan dan subur oleh keindahan tidak akan dipandang lagi apabila kecantikan itu mula layu dan keindahannya sudah suram. Lalu rumah tangga Aziz dan Hayati mula menjadi berantakan dan goyah. Ketika itu, pergilah Aziz mengharapkan ehsan Zainuddin untuk membela mereka atas nama satu susur galur, Anak Sumatera.

Kerana malu yang tidak terhitung kepada Zainuddin, kerana pada suatu masa dulu Aziz pernah merampas cinta Zainuddin yang suci dan ikhlas, akhirnya tuhan telah menurunkan pembalasan dengan sewajarnya. Sebelum menamatkan riwayatnya, terlebih dahulu Aziz menuliskan warkah kepada Zainuddin untuk memohon maaf kerana tindakannya dahulu padahal Zainuddin telah lamanya memaafkan sejak pertemuan mereka yang pertama. Kepada Hayati, dituliskan penyesalannya yang tidak pernah akan tamat kerana perempuan itu telah direnggutnya dengan kepalsuan cintanya yang bercerminkan darjat dan harta. Kini darjat telahpun jatuh, harta telah pun kurang dan cinta pun semakin hilang. Dan di dalam warkah itu juga, Hayati diceraikan dan disuruh berbalik kepada Zainuddin andai masih ada cinta Zainuddin kepada Hayati. Lalu, terbujurlah mayat Aziz menggantungkan dirinya di palang kayu yang masih keras dan coklat warnanya.

Siapakah lelaki yang tidak bernama ego? Ketika peluang sudah di depan, lalu dia tidak merendahkan dirinya untuk memungut peluang itu, malah meletakkan dirinya begitu tinggi sekali. Sampai peluang itu jauh darinya dan dia pun merendahkah peluang itu. Malah jika peluang itu datang sendiri kepadanya pun dia akan melontarkan ataupun menyepak kembali. Itulah Zainuddin, yang dalam hatinya masih ada cinta kepada Hayati tetapi ego itu telah menutup seluruh sukmanya dari bernafas dalam udara cinta.

Zainuddin mengungkit kisah-kisah lama mereka saat Hayati begitu ingin dekat dengannya. Zainuddin menempelak Hayati tanpa ada sedikit perasaan, tidakkah Hayati yang menolak cintanya dulu kerana Zainuddin adalah pemuda yang sepi jiwanya, tidak berpangkat. kosong harta tetapi cuma penuh mimpi. Bukankah Zainuddin orang yang tidak tentu asal usulnya, tidak berninik mamak, tidak bersuku dan tidak berbako? Kemanakah nanti akan ditumpahkan susur galur anak-anaknya kerana Hayati adalah gadis dari kampung beradat sedangkan dirinya hendak di kata orang Mengkasar, akan dilihat dari darah ayahnya, ayahnya minangkabau, hendak dikata orang Minangkabau, dilihat pula dari carak ibunya, orang Mengkasar.

Zainuddin lantas menyuruh Hayati pulang ke kampungnya. Ketetapannya sudah tegak terpancang sedangkan keputusan yang dpancangkannya itu, bertanahkan hatinya yang masih cinta kepada Hayati, lembut dan lemah. Seolah-olah dia menikam dirinya sendiri. Maka sedarlah Hayati, seolah-olah berpisah dengan Zainuddin yang dikasihinya itu bagaikan roh yang akan berpisah dengan jasad. Akan diambil kembali oleh Rabbul-Jalil.

Zainuddin kembali memikirkan kata-katanya yang telah dilemparkan ke wajah Hayati. Wajah yang terang bagaikan bulan malam, wajah yang redup bagaikan mentari dhuha, wajah gadis desa yang selalu memandang tanah bila mereka beselisih di denai jalan Batipuh. Bila Zainuddin teringatkan itu, maka segeralah dia insaf, bahawa dia tidak pernah menyanggupi untuk berpisah dengan Hayati. Bersama Muluk, sahabatnya yang sejati dia bertekad untuk menjemput Hayati kembali untuk dijadikan surinya. Sebuah mimpi yang selalu menyenyakkan tidur malamnya sampai siang kini akan menjadi sebuah nyata yang paling berbahagia.

Tetapi, sehebat-hebat manusia yang merencanakan kegembiraan tidak akan terjadi sekali-sekali tanpa izin tuhan. Kapal Vander Wjick yang dinaiki Hayati untuk pulang ke kampungnya di Batipuh dilaporkan karam. Cemaslah Zainuddin bilamana dia mendengar tragedi itu. Lekas-lekas pula Zainuddin ke tempat perkumpulan mangsa lalu yang ditemukannya ialah Hayati yang sedang gering dan terputus-putus nafasnya. Suara Hayati perlahan sekali, matanya sudah hilang sinar dan bibirnya yang merah bagaikan delima kini pucat dan hilang merahnya. Di sisi kekasihnya Zainuddin, Hayati pulang ke pangkuan tuhan. Di depan mata Zainuddin, cintanya Hayati diambil tuhan. Redhalah dia dalam tangis dan esakkan air mata.

Semenjak permergian Hayati, kesihatan Zainuddin juga mulai surut. Dia menjadi seorang pemenung yang rapat dengan kenangan dan penyesalannya. Muluk juga tidak bisa berbuat apa-apa. Segala nasihatnya sudah tidak masuk lagi kepada Zainuddin sedangkan nasihatnya yang pertama itulah yang dijadikan semangat oleh Zainuddin untuk bangkit dari kekecewaan cinta.

Tulisannya sudah tidak disiarkan lagi, namanya mula hilang disebutan bibir orang ramai sebagai pengarang muda yang hebat, namun Zainuddin tidak begitu peduli. Apa yang dipedulikannya ialah penyesalan dan keinsafan kerana cintanya di dunia kepada Hayati tidak dapat dipenuhi. Ternyata azab keputusan cinta yang kedua itu, kesannya akan lebih dahsyat dan membawa celaka yang sungguh-sungguh. Tidak tertanggung sekali oleh Zainuddin, malah jika dikongsikannya kepada alam, sekali-kali alam itu pun tidak akan sanggup memikul kekecewaan Zainuddin itu.

Perlahan-lahan, Zainuddin mula ditimpa sakit dan akhirnya kematian jualah yang akan tiba dipenghujung kisah seorang manusia. Suatu janji yang pasti oleh tuhan untuk mereka yang memakai gelaran makhluk. Zainuddin pergi membawa namanya sebagai seorang pengarang besar yang berdiri di atas kisah hidupnya yang malang meleret-leret. Diceritakan oleh Muluk kepada orang ramai, bahawa kisah-kisah tentang kesedihan, hikayat-hikayat kekecewaan, syair-syair kedukaan serta lakon-lakon yang merawankan yang ditulis oleh Zainuddin itu adalah cerita kehidupan Zainuddin itu sendiri. Kesedihan, kekecewaan, kedukaan dan kerawanan cintanya kepada Hayati. Dan dimakamkan Zainuddin bersebelahan pusara Hayati sebagaimana keinginannya saat menurunkan jenazah itu ke liang lahat.

Semoga cinta mereka bersambung di syurga setelah tidak kesampaian di dunia yang fana ini.

Tuesdays With Morrie

 

Sebuah buku yang berkesan, apabila kita membacanya kita akan kembali merenungi, menginsafi dan memperbaiki. Ya diri sendirilah terutamanya. Buku ini seolah-olah tercatit sejarah lama kita dan membawa kita pulang kepada garisan yang telah lama kita tinggalkan. Kehidupan yang mudah dalam ‘Tuesdays With Morrie’. Falsafah kasih sayang adalah semata-mata yang tertanam di dalamnya. Pengalaman dalam kehidupan tidak bukan hanya dengan merasai sendiri, malah kadang berkongsi lebih menjadi dan membina; sempadan mahupun teladan.

Novel ini berkisarkan sebuah kisah benar dalam serumpun kehidupan yang banyak. Ia terpilih kerana di dalamnya melengkapi perasaan kita namanya insan. Ya, ia mewakili kebanyakkan emosi seorang manusia yang terhimpit di celah-celah helaiannya. Sedih, lucu, gembira, suka, duka, simpati, ihsan, tulus, ikhlas, jujur dan pelbagai macam lagi rasa. Perasaan dan emosi manusia tetapi kita dapat membacanya. Tidakkah kita peduli?

Bila membaca buku ini, sebenarnya saya membaca diri saya juga istimewanya. Tidakkah ingin saya melakukan hal yang sama? Setelah lamanya saya tinggalkan.

Saya Pun Melayu- Zaid Ibrahim

Seorang tokoh politik menulis bukunya. Dengan gaya bahasa yang bersahaja dia menurunkan sedikit cerita, pengalaman, pesan dan pemikiran untuk kita membacanya. Tajuknya sedikit longgar tetapi menjerut persoalan kenapa kata Melayu yang menjadi pilihan. Lalu Zaid membuka sejarahnya dan sejarah negara bagaikan membuka baju kerana kepanasan matahari yang menyengat dan bahang. Suatu kebenaran bahawa matahari itu memang panas.

Terang-terangan, kata Zaid ‘Ketuanan Melayu’ adalah suatu propaganda yang bermotifkan politik. Setelah kemerdekaan kita tebus lebih 50 tahun dahulu, bersama pelbagai bangsa (Cina, India dan bumiputera)  kita wajar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam pengagihan-pengagihan kuasa politik, pemberian dana sosial dan hak kebabesan bersuara yang sama rata dan lebih adil. Tetapi kita juga wajar bertanya, apakah kemewahan dana ekonomi yang ‘mereka’ pegang, sanggupkah dileburkan demi kita?

Memahami penulisannya, Zaid ialah seorang Melayu yang optimis kerana terdidik dalam atmosfera perguaman yang telus memandang tiang keadilan/kebenaran adalah sesuatu yang perlu dipertahankan. Tanpa dirancang, dia terjerumus ke dalam politik dengan cita-cita mulia untuk mereformasikan budaya dan etika songsang ‘politik’ pada waktu itu yang dia sendiri tidak faham permulaannya.

Sebagai seorang yang mempercayai keadilan, zaid begitu lantang mempersoalkan. Isu-isu sensitip yang lancang dari mulutnya yang dia(kita) fikir harus diperhalusi semula, menjadi paku buah keras yang dipulangkan kepada kepadanya dengan motif politik yang keji dan disalah tafsir (kawan mahupun lawan).

Kita tidak dapat membuang minat apabila tersentuhnya isu-isu berkaitan hak kebebasan bersuara, penghapusan ISA, badan kehakiman yang dimomok oleh politikus-politikus negara, kisah tahanan polis yang mati di dalam lokap, percaturan dan konspirasi melantik Hakim Negara, isu pemecatan bekas Hakim Negara, Tun Salleh Abas , pendakwaan ke atas Eric Chia, pembebasan Abd. Razak Baginda di dalam kes pembunuhan Atlantuya dan pelbagai lagi dengan contoh-contoh yang logik dan fakta menjadikan kebenaran yang kita anuti ini masih tergantung sebenarnya. Tali tidak terikat ke palang, barang tidak menjejak ke bumi.

Tidak kurang, pengalaman menghirup udara politik boleh dikatakan ibarat menghirup bau busuk dari parit ataupun longkang yang bertakung, bersampah sarap, kotor dan keji. Begitulah politik Malaysia. Kita sendiri sudah muak dengannya. Tidak ada lagi udara politik yang bersih dan nirmala sebagaimana yang berlaku dalam pimpinan awal tiga mantan perdana menteri yang pertama.

Integriti katanya adalah sesuatu yang penting dalam jiwa individu. Hatta sesiapun, kumpulan ataupun parti, umarak mahupun ulama, samada marhaen, rakyat atau ahli, harus terdidik dalam lingkungan intergriti yang tinggi bagi membentuk masyarakat yang dinamik dan begerak maju. Intelektual dalam memilih dan menyanggah segala tindakan yang diputuskan oleh kerajaan dan bukan sekadar tunduk berpuas hati atau mendiamkan diri sebagai tanda protes.

Contohnya, kita ada akhbar dan stesen television kerajaan tetapi disusahkan apabila pembangkang inginkan perkara yang sama, kita ada SPRM yang pecut menyiasat salah laku golongan pembangkang tetapi bergerak bagai siput apabila menyiasat salah laku golongan sebaliknya, kita ada SPR yang membenarkan tindakan parti dominan menggunakan wang rakyat sebagai taburan janji dalam pilihanraya kecil atau besar, kita ada ISA yang diletakkan dibawah kuasa seorang menteri yang boleh menangkap sesiapa pun tanpa dibicarakan, kita ada kuasa menteri yang boleh melantik/memecat seorang  Hakim Negara pada bila-bila masa, kita ada isu rasuah dan kronisme yang melarat, dan yang paling besar kita ada kerajaan yang kita tidak boleh persoalkan tindakannya!

Tuhan Manusia- Faisal Tehrani

“Andai kota kami adalah peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.”

Yang utama untuk mendirikan sebangsal tempat teduh ialah tiang serinya. Tiang seri yang kukuh, tidak semena-mena mudah  untuk roboh. Tiang seri yang cantik, kan sering dipuji dan orang selalu tertarik. Selepas siap siaga tiang seri, kita naikkan pula atapnya, kita tukang dindingnya, kita bentangkan lantai kayunya menjadi sebuah rumah. Sebuah demi sebuah kita binakan rumah, yang sama kukuh tiang serinya. Setelah banyak maka terbentuklah sebuah kota. Begitulah sebuah kota terbina dan mendapat nama.

Sebetul tajuk asal naskah ini ialah “Sebuah Rumah Di Utara” sebelum diubah menjadi “Tuhan Manusia”. Secara kolektifnya buku ini membawa tema dakwah. Ia menyelongkar persoalan pluralisme, sekularisme, komunisme dan liberalisme yang pada pandangan saya cukup untuk kita mengertikan. Falsafah-falsafah barat ini begitu subur merendangi kehidupan kita pada masa kini. Ia bagaikan agama yang kita ikuti tanpa sedar, malah ada di antara pihak kita begitu peduli untuk memperjuangkannya dengan berlandaskan logik akal yang terbatas.

Dengan tertib, Faisal Tehrani mengupas satu satu persoalan peradaban, budaya dan agama. Naskah ini basah dengan peringatan dan segar dengan dalil dan fakta yang membuktikan. Kesemuanya disimpulkan dengan keras peradaban dan budaya dilingkungi dalam dasar agama. Tidak boleh terkeluar. Agama yang setulen-tulennya ialah Islam yang sejati yang diamalkan oleh Rasulullah saw.

Laskar Cinta- Isma AE Mohamad

Novel ini menjadi pilihan apabila ia mula menjadi cakap-cakap yang berlegar di kalangan kelompok Goodread Malaysia. Kemudian dicadangkan pula sebagai Ganding Baca Bulan November 2010 di mana para pembaca dipersilakan menanyakan soalan yang berkaitan dengan novel ini kepada pencalon yang mencadangkannya.

Jika kita teliti makna laskar ia membawa maksud kepada tentera atau soldadu. Pada mulanya saya beranggapan novel ini merupakan kisah cinta seorang askar dengan seorang gadis. Walaupun terlebih dahulu saya membaca review-nya mengatakan bahawa cerita di dalam novel mengangkat tema kaum pelarian Karen di perbatasan Thai-Myanmar.

Ternyata di dalam Laskar Cinta, makna cinta itu digarap dengan lebih luas. Kisah cinta di dalam novel ini lebih kepada cinta kepada negara, cinta untuk merdeka dan cinta yang penuh pengorbanan. Ia memupuk semangat patriotisme yang membakar apabila Kim, seorang remaja kaum Karen berpatah hati kerana keinginannya untuk berhijrah dan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat tidak kesampaian. Kim pada awalnya menentang konsep peperangan dalam menuntut kemerdekaan kaumnya, tetapi menukar pendiriannya untuk memasuki pasukan gerila di hutan dan bertekad untuk bertarung sebagai seorang pejuang pemisah.

Pemergian Kim dan rakan-rakannya ke dalam hutan itu mendatangkan lebih banyak kekesalan dari apa yang diimpikannya. Beberapa orang rakannya tewas, malah kekasihnya Nay, juga gugur. Sepanjang membaca novel ini, saya lebih tertarik dengan watak Vin, sahabat Kim yang begitu tegar menulis dengan sebatang pen yang selalu disisipnya. Saya seolah-olah merasakan Vin adalah watak pengarang ini, Isma AE Mohamed.

Isma menggarap novel ini dengan begitu hemat. Permulaannya dengan cerita Nadine yang kecewa kerana cinta, lalu dipujuk Roxana sahabatnya untuk ke ‘Kaw Thoo Lei’ yang dijanjikan sebagai sebuah taman. Di situ, Nadine menjadi seorang sukarelawan yang membantu kaum Karen yang dikelaskan sebagai pelarian. Di situ, kesemua watak dihimpunkan dan digarap dalam satu kembara. Kamal, seorang askar di sempadanan Thailand dalam diam menaruh perasaan terhadap Nadine sehingga sanggup mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan gadis melayu itu ketika Nadine diculik. Kisah Kamal dan Nadine tergantung dihujungnya apabila Kamal dipenjarakan kerana didakwa atas dasar meninggalkan tugasan.

Laskar Cinta, penuh dengan plot-plot dramatik, saspen dan kadang-kala terselit satira buat kita pembaca di Malaysia. Watak-wataknya pula saling berdokongan atas kapasiti persabahatan, setia kawan dan semangat patriotik. Kisah cinta dan sayang tumpah melata hingga ke penghabisan ceritanya. Namun begitu, iktibar yang dibawakan pengarangnya dapat membangunkan kita untuk membuka mata dengan lebih luas. Seperti saya yang baru sedar kewujudan kaum Karen di negara Myanmar, yang ditindas dan Isma menegaskan tunjang ilmu adalah rimbun kehormatan dan nilai harga diri sebagaimana saya tertarik pada dialog antara Kim dan Ibu Mary.

“Hari itu dia pulang dengan kekecewaan. Dia mengadu kepada Ibu Mary. “Ibu, murah sangatkah budak seperti saya ini?”
“Tidak sayang”.
“Kalau begitu, bagaimana saya dapat jadi berharga seperti Ibu?”.
“Dengan Ilmu”.

Namun begitu, di hujung novel ini tidak menjawab persoalan adakah Kim kembali kepada Islam, setelah perancangan awal Ibu Mary untuk menghantar Kim ke Rom gagal apabila Kim membawa dirinya ke hutan? Malah Kim kembali ke sisi Ibu Mary dan dijaganya semula. Saya melihat kisahnya yang tergantung.

Previous Older Entries