Gadis Hulu Muar

Tiga Novel: Abdullah Sidek

Menceritakan kisah percintaan desa antara seorang jejaka bernama Kassim dan seorang dara yang bernama Gayah.

Gaya penulisan Abdullah Sidek dalam menceritakan kisah ini tidaklah banyak menggunakan bahasa-bahasa metafora yang lazimnya menggambarkan keindahan setiap cerita cinta.

Bahasanya mudah dengan lenggok penulisan melayu lama, seperti kisah-kisah cinta yang lain, ia juga lengkap dengan plot-plot rindu, kasih sayang, gurau senda, dengki khianat, selain diselitkan juga banyak plot-plot yang berlatarkan masyarakat melayu lama seperti permainan sepak raga, belajar silat, pesta menuba dan pesta menuai padi.

Latar asasnya masih berkonsepkan perkampungan, Kassim seorang anak muda baya 20-an yang wajib menyara ibu dan adiknya lantaran kematian bapanya. Pada babak-babak awal, hubungan Kassim dan Gayah hanyalah sekadar kawan rapat dan abang kepada adik. Kassim banyak membantu Gayah, anak Pak Tunggal dalam menguruskan kehidupan seharian seperti menoreh dan memesin getah. Waima jika Kassim pergi memancing ikan pun, hasilnya tetap sedikit atau banyak dikongsikan dengan Gayah.

Masa demi masa, usia pun semakin menginjak dewasa, hubungan ini hujungnya menyimpulkan keakraban yang lebih erat terjalin, tanpa sedar Kassim dan Gayah masing-masing memendam perasaan antara satu sama lain dan di sini kita akan lihat lebih banyak adegan-adegan cinta mengembang sesuai dengan tema dan tajuknya.

Seperti orang yang telah lama makan garam, Abdullah Sidek tahu cinta-cinta anak muda selalu diuji dengan gelora nafsu, seperti petikan dibawah.

” Melihat perlakuan Gayah yang demikian, maka iman Kassim yang keras dan teguh itu pun robohlah, maka dengan perlahan-lahan ia menundukkan kepala mencium pipi dan mengucupi mulut Gayah yang kecil molek, yang dihiasi oleh dua baris gigi yang putih berkilat itu. Menerima ciuman yang ditunggu-tunggunya, kedua-dua belah tangan gadis itu perlahan-lahan datang memeluk akan leher kekasihnya. Pelukan itu semakin bertambah kuat manakala kerana ciuman yang bertambah lazat itu berjalan dan meresap ke seluruh sanubarinya.

“Sudahlah Yah.” Demikian bisik Kassim kepada teliga “gadis Hulu Muar” itu.

Tetapi Gayah telah menjawab sambil tersenyum kemalu-maluan. “Lagilah Sim.” Yang demikian terpaksalah Kassim menyempurnakan permintaan itu.”

Namun ini hanyalah plot yang mengajar supaya setiap orang tidak mudah tunduk dengan gelora cinta yang berlandaskan nafsu, apatah lagi jika cinta anak muda yang baru hijau pucuknya. Baru sejam hilang dari mata sudah meroyan rindu. Maka, jika hendakkan bercinta, disuruhnya kita beriman supaya tidak terlanjur akibat dan perbuatan yang merosakkan.

Di akhir bab, cinta Gayah dan Kassim akhirnya membina ikatan yang sah melalui perkahwinan. Dan seteru Kassim yang juga sahabat karibnya, Hussain yang suatu masa telah menyimpan dengki kerana cinta Hussain kepada Gayah tidak dibalas, kerana cinta Gayah hanyalah untuk Kassim seorang tiada dua, menjadi akrab semula. Hussain telah menjadi seorang lebai muda. Ada pun ceritanya ialah Hussain malu kerana pinangannya ditolak Pak Tunggal, Hussain telah keluar dari kampung dan merantau untuk belajar ilmu agama.

Maka disimpulkan juga oleh Abdullah Sidek, kekecewaan, kehampaan dan kedengkian akibat cinta itu sebenarnya adalah hikmah untuk orang yang selalu berfikir seperti Hussain untuk berjaya di kemudian harinya.

Wallahu al’aklam bissawa’.