Lautan Terpilih

Hujan turun rintik-rintik menyentuh permukaan laut. Sementara gelora ombak masih jua tenang. Geloranya tidak terlalu ganas menghempas tepi tebing perahu-perahu nelayan yang rapuh dan tebing bot-bot pengail yang tampaknya lebih kukuh. Deruman enjin bot, menandakan mereka akan berpergian semahunya mereka, bertebaran di muka lautan yang luas. Tetapi pada hari ni, para nelayan yang sangat bergantung pada nasib mata kail atau tarikan jala dan pukat mereka merasai hairan dan bertanya, sedari pagi sehingga kini tiada satu pun hasil tangkapan yang dapat diperolehi. Jala-jala yang diangkat semua basah dengan air laut semata tanpa seekor ikan hatta seekor anak udang pun tidak tersangkut. Ke manakah perginya seisi buana laut?

Kehilangan sesisi buana laut rupanya terlalu misteri, dan rupa-rupanya juga seisi buana laut telah pergi menyelam ke sedikit dasar. Ke tempat yang lebih tenang dan selamat dari mata kail dan pukat. Lampan, tenggiri, cermin, siakap, bawal dan seluruh spesis ikan lainnya sudah sampai di taman karang yang indah, yang agak luas dan terpencil dipelihara alamnya. Dari jauh kelihatan berbondong-bondong kumpulan ikan seperti kembong, cencaru dan selar kuning yang sememangnya sangat berpadu sebagai sebuah pasukan. Di situ, kononnya akan ada satu perhimpunan raksasa yang akan mewarnai sejarah seisi lautan-menuntut kedamaian.

Di perkarangan taman karangan itu, seluruh khalayak ikan terapung-apung, berbaris-baris, berjalur-jalur, dan berlapis-lapis. Jeda mengisi seluruh ruang di dasar taman laut itu, hanya rumpun-rumpun rumpai laut yang tegak melambai-lambai dan melenggok seolah-olah sedang menari. Sesekali, sekor pari yang melekap di dasar pasir melibaskan sayapnya, serta merta debu-debu pasir mengeruhkan sekitarnya sebelum ia kembali jernih.

“Tuan-tuan pasti bertanya, mengapakah tuan-tuan diajak untuk berhimpun ke mari?” suara itu hadir dari seekor ikan merah yang muda. Matanya merah, sisiknya merah dan pejal otot dagingnya kelihatan perkasa. Ikan merah yang sisiknya dikilaukan cahaya matahari yang menembusi sampai ke dasar taman karang itu ternampak sedang ‘berdiri’ segak di atas sebuah batu karang yang sudah berusia ratusan tahun, berwarna warni. Seolah-olah dia tahu di situ adalah kedudukan paling tepat untuk podium penyampaiannya. Paling santun untuk berbicara.

“Mengapa?” tiba-tiba ada jerit suara yang bertanya di kalangan khalayak. Dan kata ‘mengapa’ itu berbisik-bisik di antara hadirin sebelum menjadi gema yang saling bersahutan perlahan. Ikan merah memperkemaskan nafasnya di dalam air, mengibas-kibaskan ekornya yang cantik berkembang dan siripnya yang pendek itu agar dia kelihatan lebih segak terapung dalam posisinya tanpa ada sejarak pergerakan pun. Begitu ikan mengawal dirinya, kelincahannya. Lalu dengan tiba-tiba dia melontarkan suaranya dengan keras, katanya “Kerana, kita perlu bangkit!” Hadirin tergamam, warna merah sisiknya ternampak semakin silau bagaikan semangatnya juga.

“Apakah kita tidak sedar sesungguhnya selama ini, di buana lautan luas ini, kitalah makhluk yang paling tertindas?” tanyanya lagi. Terpaku hadirin disentak begitu. Ikan muda ini terlalu garang, mungkin begitu umum berfikir tentang dirinya.

Seekor tenggiri berdehem, “Benar, tapi kita ini hanyalah ikan-ikan kerdil, manakan mampu hendak mencabar jerung-jerung gergasi itu. Sekumpulan cencaru, tamban atau selar kuning yang bergompol bagai kelompok awan itupun, dengan sekali baham hanya menjadi sisa yang terselit di celah gigi mereka sahaja”. Hadirin tertawa mendengar kata tenggiri yang cuba mewajarkan waras dengan sedikit komedi.

Keadaan menjadi sepi semula.

“Sebenarnya, apa yang kita perlu ialah kemahuan dan sedikit keberanian” seekor kerapu tua tiba-tiba mencelah. Kerapu tua itu begitu kaya pengalaman sepanjang hayatnya. Dia sudah beberapa kali tersangkut di mata kail pemancing tetapi spirit lawannya kuat. Tali tangsi selalu terputus kerana rentapannya. Atau pecutya selalu laju ketika menikmati unjam di tengah tebaran jala. Sebelum jala diraup dia telah pun lepas di batasan jaring, membuatkan dia tidak tersangkut. Juga dia selalu menjadi buruan jerung-jerung ganas yang cuba membahamnya, tetapi dia lebih licik untuk bersembunyi di celahan sempit batu-batu karang yang sememangnya diciptakan sebagai tempat perlindungan untuk waktu yang amat terdesak.

Sambung kerapu tua lagi, “tidakkah kita ingin belajar dari sejarah Libya yang telah bangkit? Atau menyelami peristiwa Kaherah yang meruntuhkan kuasa birokrasi penguasanya? atau Cairo yang dihujani benih-benih perjuangan untuk mencambah semula taman keadaan yang sedia gering?”

“Kita hidup di lautan yang terpilih, namun sayang bagaimanakah kita boleh bernafas tenang dalam air yang kini sebegitu keruh? Sedangkan kita terdaya untuk mengembalikan kejernihan itu.”

Sesekali, sekor pari yang melekap di dasar pasir melibaskan sayapnya, serta merta debu-debu pasir mengeruhkan sekitarnya sebelum ia kembali jernih.

Advertisements

Galah Panjang

Pagi itu, rehat jam sepuluh. Selesai loceng menghabiskan bunyinya dan belum pun guru kami Cik Salina menjejakkan kaki ke luar bilik darjah. Suasana kelas sudah mulai riuh. Cikgu Salina memalingkan wajahnya pada kami. Dengan sekilas itu suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Setelah  itu, dia mengatur langkahnya kembali, dengan perlahan dia menuruni anak-anak tangga. Bunyi detak kasut tumit tingginya begitu tajam mengisi ruang kesenyapan. Sampai detak sepatunya hilang atau tubuhnya tidak terlihat lagi dari pandangan, kelas kami kembali menjadi riuh heboh. Waktu rehat, adalah detik yang paling dinantikan. Murid-murid di dalam kelas segera bertaburan, berhamburan. Pintu keluar di bahagian belakang mahupun depan diterjah mereka seolah-olah seperti bunga yang diserang kumbang. Berhimpit-himpit dan bersesak-sesak mahu melalui pintu yang sempit itu. Kadang-kadang timbul juga perasaan kasihan saya pada pintu itu. Saya duduk di bahagian kanan paling belakang berhampiran pintu, kerusi saya selalu menjadi mangsa perlanggaran mereka.

Saya masih menyimpan buku dengan tertibnya ke dalam ruang kosong di bawah meja. Sambil mata menjeling-jeling kepada sang gadis si pengawas yang duduk di bahagian tengah paling depan. Biarpun  hanya dapat memandangnya dari belakang, hati saya sudah cukup bahagia. Apatah lagi jika dia menoleh untuk menyimpan buku di dalam beg sandangnya, ditambah dengan dengan sekuntum senyum. Aduhai! Tetapi sesegera itu akan saya lekas-lekas mengalihkan mata. Memohon kepada tuhan agar disembunyikan penglihatan saya yang selama ini memperhatikannya tanpa dia sedari.

Dia, gadis itu, sang pengawas itu jarang keluar ke kantin pada waktu rehat. Masa rehat, dia hanya habiskan dengan duduk di dalam kelas bersama dua atau tiga orang rakan-rakannya. Mereka berbual, ketawa dan mencuit antara satu sama lain. Kadang-kadang bibirnya tersenyum, kadang-kadang wajahnya mencemik, atau paling comel ketika rupanya di ambang kehairanan. Pipinya akan segera merah seperti debunga-debunga sakura, matanya akan mengecil menjadi redup yang aman, dan bibirnya, bibirnya yang halus itu akan tenggelam digetap giginya dari dalam.

Saya yang di luar kelas, hanya memerhatikan dia di balik jalur-jalur kosong tingkap kaca yang tembus ke dalam.

“Mari, hari ini kita ada perlawanan persahabatan dengan Kelas 3 Ehsan” begitu Hanifa mengajak saya. Saya melihat Hanifa laju menuruni tangga.

Dengan langkah panjang, sekejap saja kami sudah berada di tingkat bawah. Kelas di tingkat tiga itu hanyalah sekelumit jarak yang tidak pernah menggugah rasa penat dan lelah kami dengan sekali turun. Kami pernah didenda untuk turun naik dari tingkat tiga ke tingkat bawah sebanyak 5 kali pusingan.

“Kamu kena berjalan itik sebanyak lima pusingan. Turun ikut tangga kiri dan naik semula ikut tangga sebelah kanan” marah sungguh Cikgu Saleh kerana saya, Hanifa dan Rudy dilihat menendang telefon awam yang terletak di bawah pejabat tuan Guru Besar.

Kegembiraan lantaran menendang telefon awam yang menjatuhkan koin yang tersumbat di dalamnya sebanyak sekeping 50 sen dan tiga keping syiling 20 sen digantikan dengan wajah merah Cikgu Saleh dan rasa kebas kaki yang memakan masa seminggu untuk pulih. Seminggu itu kami berjalan terhincut-hincut, bagaikan anak lelaki yang baru masuk jawi dan dipakaikan seluar, kemudian dipaksa untuk bemain bola.

Di depan bangunan, ada sebuah padang tar yang kasar dan berbiji-biji permukaannya. Jika ada orang memuji wajah bulan itu cantik, itu hanyalah bulan dipandangnya dari jauh. Tetapi jatuh di bulan, tidak sama jika kamu bergelungsur jatuh di atas padang tar, kawan. Apatah lagi jika pada waktu itu padang tar sedang dibakar terik matahari. Luka yang terhasil akan bergarit-garit, kulit terlihat kopak dan darah membasahi ruang luka. Dibasuh dengan air paip hanya akan menambahkan perit. Lebih perit lagi jika di dalam kelas luka itu akan disedari oleh guru yang mengajar lalu dia akan berkata “Budak baik memang begitu”.

Dari padang tar itu, saya dapat melihat bangunan kelas kami. Matahari pada jam sepuluh masih nyaman. Udara menghembus masih perlahan. Di ruang langit, awan-awan sinus bergaris-garis halus, dan yang berkepal-kepal seperti kapas itu ialah awan Stratokomulus. Begitu saya mengingati jenis-jenis awan yang dibicarakan oleh Pn. Hayati, guru sains kami. Maka matahari jam sepuluh itu akan menjadi saksi kepada sebuah perlawanan terhebat antara kelas kami dengan kelas 3 Ehsan. Setakat ini, kelas kami adalah juara bertahan dalam permainan ini pada peringkat darjah 3.

Pemain tetap kumpulan kami terdiri dari 5 orang. Saya, Syed, Hanifa, Rudy dan Anuar. Dalam posisi pertahanan saya di baris pertama. Syed dan Hanifa menjaga barisan kedua dan ketiga. Anuar di baris keempat sementara Rudy ialah penjaga garisan tengah.

Saya mendongakkan kepala ke atas. Ingin melihat awan sebenarnya tetapi apa yang saya terpandangkan? Saya terpandangkan kelas kami di tingkat 3. Ya! Tuhan, rupa-rupanya di balkoni di hadapan kelas kami itu, si gadis, sang pengawas itu sedang memerhatikan kami. Walaupun dari jauh, saya dapat merasakan dia sedang mengukir sebuah senyuman. Khusus kepada saya. Pembuluh darah, degup jantung, nadi urat tiba-tiba mengalirkan semangat yang selama ini tidak pernah datang. “Pertahankan nama kelas kita” seolah-olah begitu dia berbisik kepada saya.

“Jom main!” Tiba-tiba saya menjerit lantang, rakan-rakan yang empat terkesima. Sayalah pada waktu itu bagaikan seorang panglima yang tidak sabar-sabar menunggu musuhnya datang.

Dipertemukan Syurga!

Pengalaman berkelana selama sepuluh hari ke Busan, Korea, satu harinya saya dipertemukan ‘syurga’. Di kesibukan kotarayanya yang ke-dua besar selepas Soul, rupanya tercepit di celah-celah bangunan satu lembah yang begitu menakjubkan. Memukau, menggiurkan malah mengaromakan bauan berahi. Jujur, pada pandangan orang lain mungkin pertemuan seperti itu hanyalah pertemuan biasa-biasa, basa-basi dan tiada apa yang istimewanya, tetapi tidak bagi saya! Ataupun orang yang mempunyai sepinggan  ‘selera’ yang sama dengan saya.

Saya menelusuri syurga/lembah itu, setapak-demi-setapak, selangkah-demi-selangkah. ‘Syurga yang indah itu’ ataupun ‘lembah yang menawan itu’ adalah sederet bangunan usang dipinggir kota. Biarpun ia terletak bersebelahan dengan jalan besar yang bingit dengan bunyi deruman motokar, saya rasakan di situ adalah lapangan yang paling senyap sekali. Tidak terganggu walau sekelumit pun oleh bunyi ngauman hasil teknologi yang sedang menjalar. Deretannya tidaklah terlalu panjang dan jauh, sampai kita harus melangkah hingga kepenatan. Tetapi jika kita sedang berjalan di dalam syurga adakah kita akan berasa letih? Tentulah tidak, biarpun  ia sejauh saujana mata yang memandang, keindahan dan kecantikan syurga itu akan menewaskan rasa penat dan lelah. Orang yang tidak reti menikmati keindahannya sahaja yang akan keputusan nafas dan mati di situ.

Di dalam ruang kecil setiap bagunan itu, tersimpan kahzanah-khazanah  ‘syurga’ yang cantik dan menawan. Ia berwangikan kasturi, wardah dan kadang-kadang terhidu oleh saya bauan lavender yang enak. Begitu memikat. khazanah-khazanahnya berkilau seperti permata yang disimbah cahaya, kadang-kadang seperti emas yang bergemerlapan, kadang-kadang seperti intan berlian yang bersinar dan kadang-kadang ia seperti mutiara yang bercahaya di dalam gelap. Bidadara dan bidadarinya pula sibuk tersenyum di sisi pintu gerbang ‘syurga’ mereka. Bagaikan menjemput kedatangan saya dan mempersilakan saya untuk bersinggahan sebentar ke dalam ‘mahligai’ mereka yang sekecil bangsal tapi saya melihatnya seluas taman.

Inilah pertemuan yang tidak dirancang, tetapi paling menakjubkan. Sebelum ini saya pernah terbaca sebuah entri tentang ‘syurga’ itu di sini dan sini, dan sekarang barulah saya mengerti, malah saya telahpun merasai! Dan ini sebenarnya hanyalah sebahagian taman dari ‘syurga’ itu.

Semakin Kotor Semakin Subur

Diluar sana, di langit asia tengah yang menaungi banyak negara arab masih lagi bermerah darah dan Negara Nippon tanahnya masih lagi berbasah; dengan air mata.

Di kanan, gempa bumi mencetuskan tragedi tsunami. Air laut yang tenang pada paras pandangan mata, tiba-tiba bertukar menjadi setinggi bangunan melandaikan kota.

Di kiri, sekelip mata perang terjadi. Negara bersekutu eropah tanpa persetujuan menyeluruh Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu ‘mengangkat tangan tanda sokongan’ mendadaknya menyerang Libya. Negara yang pemimpinnya masih berdengkur walaupun sudah diketukkan untuk bangun. Masih  degil mahu tertidur.

Tidakkah kita terperanjat? Mahunya apa Amerika, British dan Perancis sesuka hati menghentam bumi Libya dengan puluhan Tomahawk yang tidak bermata? Entah mengena sasaran atau melencong ke pondok lindungan. Kononnya mahu menjadi jaguh dalam gelanggang orang lain, membela rakyat yang lemah ditindas sang penguasa. Butakah mata mereka di hujung tanah Semenanjung Gaza itu lebih seribu kali rakyatnya ditindas keras oleh Israel?

Pastilah mereka sedang menyusun niat yang tersirat. Pengalaman memerhati Iraq-dulu dan kini, dari situlah kita mengerti.

Tidak kurang, di tanah air sendiri lebih bergoncang dan bergoyang. Lebih dari gempa dan tsunami yang membantai Jepun, dahsyatnya lebih maha dari Tomahawk yang membongkar tanah, nyawa dan kota Tripolli. Tetapi kadang-kadang, rasanya lebih galak ingin bergelak sampai berjurai air mata dari menangis insaf kerananya.

Bocah-bocah politik masih tidak lesu mencipta drama yang baharu sedangkang drama yang lama masih dinanti kesudahan episodnya. Apa cerita? Makanya, penonton segera bosan, plot yang serupa, jalan cerita yang anti-puncak kosong klimaks pastilah sudah diagak.  Jadilah ramai yang berkata, betapa politik itu kotor.

Kita juga yang melihat, semakin ia kotor  semakin ia subur.

Rahsia Masakan Nenda

Saya akui, sebagai seorang jejaka, lelaki ataupun teruna, saya tidak begitu akrab dengan suasana dapur. Menghulurkan tangan dan sekerat tenaga untuk usaha dan kerja-kerja di dapur amat boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Melainkan kerja-kerja yang besar seperti untuk kenduri kendara, maka sewajibnya saya akan menyinsing lengan untuk perkara itu. Tidak untuk urusan kecil-kecilan seperti sarapan pagi, makan tengah hari ataupun malam.

Bukan atas alasan ego atau berat tulang, tetapi merasakan adik-adik saya yang sunti itu perlu lebih cekap dalam urusan di dapur tanpa dibantu oleh tenaga abangnya melainkan kerja-kerja  berat untuk mengalihkan barang atau memikul tong gas yang sudah kehabisan untuk diganti.

Tetapi, baru-baru ini, saya dirayu oleh sang Nenda untuk membantunya menguruskan sedikit kerja di dapur sedangkan dara sunti yang sedang duduk bersimpuh melingkari ruangan tamu itu begitulah ramainya. Saya juga yang dipilihnya.

Kata Nenda, mahu memasak rendang ayam. Ya, selain terkenal dengan masakan lemak cili api, masyarakat negeri sembilan dari tanah salinan Minangkabau ini juga cukup terkenal dengan masakan rendang dan lemangnya.

Lalu saya ditugaskan untuk membasuh ayam, 15 ekor kesemuanya yang telah dikerat potong  selazim saiznya.

Ketika disuruh menaburkan tepung dan kunyit untuk menghapuskan bau hanyir yang melekat pada daging ayam, Nenda berpesan “Baca-lah dulu selawat tiga kali”. Saya tersenyum dan sekadar patuh di dalam hati.

Di akhir bilasan, Nenda berpesan yang sama “Siramkan sambil selawat tiga kali”.

Ketika kuali sudah pun panas dan rempah ingin dimasukkan, lagi sekali pesan Nenda yang sama “Tuang sambil bacakan selawat”, katanya. Selebihnya, tanpa disuruh, saya membacakan selawat sepanjang masa menyediakan rendang itu. Ketika mengacau kuahnya, ketika menambah sabut dan kayu api, ketika meniupkan bara mahupun ketika menggesek-gesek kuah yang telah kering dipinggir belanga besar itu.

Lalu hari itu, sebenarnya sejarah telah tercipta untuk saya. Saya telah diwariskan oleh Nenda tentang resipi istimewa dalam masakannya. Barulah saya tahu mengapa masakan Nenda begitu lazat selama ini. Malah masakannya begitu dirindui, membentuk peribadi dan akhlak. Setiap tindakan dan patah katanya begitu dihormati anak dan cucu. Yang pernah merasai hasil air tangannya. Tidak tersangka sekali.

Interlok- Edisi Saya

Ketika darjah 4 Dahlia, kelas kami waktu itu di tingkat dua. Segala urusan keluar masuk kelas yang berlangsung dalam sesi persekolahan, kami akan mengunakan sebatang tangga yang ada di tengah-tengah bangunan. Waktu masuk kelas, waktu pulang sekolah, ke kantin, pergi bilik guru, ambil kapur di pejabat kerani mahupun ke tandas yang terletak di bahagian penjuru bawah bangunan bersebelahan stor sukan dan bilik tukang kebun.

Sehinggalah pada suatu tengah hari, cuaca waktu itu sangat panas dan matahari pula sangat terik. Kami berbaris dalam dua barisan, hemat dan cermat meniti langkah dengan perlahan-lahan menuruni anak-anak tangga. Tiba-tiba saya dapat rasakan beg sekolah yang sedang saya kendong itu ditarik dari belakang kemudian dilepaskan dengan cepatnya. Beban yang saya pikul serta-merta bertambah, bagaikan pemalar graviti pada waktu itu tidak lagi 9.807 kgf.

Pertama kali, saya membiarkan. Kedua kali, saya cuba tidak menghiraukan. Tetapi apabila masuk yang ketiga kalinya, maka saya terpaksa peduli. Lalu saya berpaling dan menerjah Raju yang berada di belakang saya pada waktu itu. Raju, saya ingat betul namanya. Saya tolak Raju dengan kuat sampaikan dia terpaksa berundur beberapa langkah.

Raju kembali menerpa saya. Lalu kami bergelut dengan beg sekolah yang sarat dengan buku, tidak sempat kami campakkan ke tepi. Raju melepaskan dua tiga tumbukan menyasarkan ke bahagian rusuk, tetapi saya berjaya elak. Saya balas dengan tendangan kilas dan Raju menepisnya. Saya dan Raju bersemuka, kami saling tarik menarik pada bahagian kolar baju. Kaki kami saling bersilang satu sama lain untuk membentes dan menjatuhkan lawan.

Kemudian kami berguling-guling di atas lantai. Baju yang disisipkan ke dalam seluar terburai semuanya, berkerunyuk dan comot kerana kotoran di lantai telah bertempek ke kemeja kami yang putih. Penghujung perkelahian, kami dileraikan oleh rakan-rakan. Saya ditahan oleh rakan-rakan Melayu dan Raju dipeluk oleh rakan-rakan Indianya.

Esoknya, kami dipanggil masuk ke bilik guru besar. Saya menceritakan segalanya tetapi Raju menafikan tuduhan itu. Akhirnya, kami masing-masing dikenakan sebatan sebanyak 5 kali rotan di telapak tangan sebagai ole-ole dari tuan guru besar.

Khutub Khanah

“Krinnggg!!!!” bunyi loceng bergema di sekitar bangunan sekolah, menandakan waktu pembelajaran diberhentikan sebentar bagi memberikan laluan untuk masa rehat.

Guru kelas yang sedang mengajar di papan hitam meletakkan kapur putih yang sedang dipegangnya ke atas meja guru. Dia menepuk-nepuk kedua-dua belah tapak tangannya. Debu-debu kapur yang berkumpul di telapak tangannya segera bertebar ke udara. Hilang.

Ketua kelas bingkas bangun dari kerusi kayunya. Suaranya lantang, “Semua bagun!!, Terima kasih cikgu!” jeritan ketua kelas itu diulang oleh kami semua dengan serentak seolah-olah ia bagaikan gema yang terhasil di dalam sebuah gua.

Saya merupakan murid paling akhir yang meninggalkan kelas, memadam suis kipas siling yang sedang berligat pusing dan lampu belakang yang dipasang sengaja. Saya berjalan perlahan tetapi tidak menuju ke kantin atau bawah pohon ketapang yang menjadi tempat perkumpulan seperti kebiasaan. Sebaliknya saya bersidai di balkoni tingkat dua yang menghadap kantin. Saya perhatikan suasana kantin yang sesak dengan murid-murid, suara-suara manusia kecil berdesir bagaikan bunyi langau atau boleh jadi juga seakan-akan bunyi lebah.

Saya menyelusuri balkoni itu sehingga ke tengahnya dan membawa saya ke sebuah bilik dengan pintu kayu coklat yang ternganga buka. Saya lihat ada sepasang sepatu perempuan berwarna hitam di tirai pintu. Saya jengahkan kepala ke dalam bilik itu. Sunyi, tidak ada orang. Sepi, yang banyak cuma rak-rak kayu yang ditimbuni dengan baris-baris buku dan beberapa meja panjang dengan kerusi-kerusi kayu getah yang tersusun.

Saya tanggalkan kasut Pallas yang saya pakai dan melangkah masuk ke dalam bilik itu. Saya berdiri di depan rak-rak kayu yang ditimbuni oleh baris-baris buku dan mula membaca judul-judulnya yang ditulis pada bahagian ruas buku. Lalu saya memetik sebuah buku, saya tarik sebuah kerusi dan duduk di atasnya. Saya menguliti helaian demi helaian buku tersebut sehingga loceng pun kembali berbunyi. Menandakan waktu rehat telahpun tamat. Asyik.

Saya meninggalkan bilik itu dengan perasaan ingin datang lagi dan buku yang saya baca tadi, saya simpankan di bahagian rak yang paling bawah dan yang paling tepi. Supaya esok senang saya ketemukan.

Bilik itu mempersonakan saya. Sebuah bilik yang sunyi, tidak ada ramai orang dan sepi, yang banyak cuma rak-rak kayu yang ditimbuni dengan baris-baris buku dan beberapa meja panjang dengan kerusi-kerusi yang tersusun. Di tirai pintunya ada sepasang sepatu perempuan berwarna hitam yang saya tidak tahu milik siapa.

Previous Older Entries