Bumi Cinta- Habbiburrahman El-sherazy

Bumi Cinta
Habiburrahman El-Shirazy
Ar-Risalah Produk Sdn. Bhd.

Sudah dimaklumi karya-karya penulis Habiburrahman El-Shirazy sememangnya kaya dengan tema-tema cinta. Falsafah cintanya agung mendambakan, kadang-kadang mudah dihadam dan kadang-kadang boleh jadi berat untuk ditafsir faham. Bumi Cinta, karya penulis yang lebih akrab digelar Kang Abib ini sekali lagi membawa tema cinta berlatarkan negara Rusia.

Dengan pena ikhlas untuk membawa kebenaran, tintanya jatuh melukiskan askara-askara tentang kecantikan Rusia. Rusia adalah negara yang bebas sebebasnya, dari rumpun yang zahir sehingga pucuk rohaninya adalah demokrasi tanpa batasan. Kebebasan yang mutlak!

Maka di bumi Rusia ketika musim salju, sewaktu bintik-bintik putih turun terapung-apung dari langit dan jatuh perlahan-lahan di tanah sebuah negara empat musim, seorang watak pengembara muslim menjejakkan kakinya ke sana demi mencari ilmu, menggali sejarah Stalin dan Lenin. Yang lebih dalam mahu mengkaji kehidupan Islam dalam komuniti masyarakatnya sewaktu zaman kekangan menyebarkan dan mendaulatkan agama. Muhammad Ayyas, pemuda nusantara Indonesia adalah watak yang penuh ilmiah digambarkan secara padat. Kerendahan budi, ketinggian ilmu dan ketegasan iman diaduk dengan sebati dalam jiwa Ayyas. Bagaikan bermimpi mahu jadi sepertinya.

Namun, ketibaan Ayyas ke Rusia sebenarnya lebih dicengkam kebimbangan. Dalam benak hatinya masih memikirkan apakah Islam dalam dirinya dapat berteguh tegak andai digoda ujian? Di sinilah di suatu tempat yang menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan, kitab, alam akhirat dan agama pasti! Ayyas gugup, pesona pertama yang terpupuk di matanya adalah kecantikan gadis-gadis Rusia.

Yelena dan Anastasia Palazzo adalah seperti ketua bidadari yang selalu berlegar-legar dalam ruang mata Ayyas. Kecantikan yang sememangnya terserlah sering menggugah akal dan fikiran. “Ia seperti virus komputer yang tidak mudah dihilangkan”.

Namun begitu Ayyas bukan pemuda yang cepat menghadamkan kejelitaan perempuan pada nafsunya, gelora itu dikawalnya dengan sebaik mungkin. Pesan gurunya selalu dijadikan azimat untuk menghilangkan wajah-wajah jelita Yelena dan Anastasia Palazo.

“Eling-elingo yo Ngger, endahe wanojo iku sing dadijalaran batale toponingporo santri Ian satrio agung”

“Ingatlah nak, kecantikan wanita itu sering menjadi sebab para penuntut dan satria agung gagal dalam pertapaannya.”

Di situlah Ayyas menemukan pasak kekuatannya.

Dalam kompas waktu yang sama, konflik yang dihadapi Ayyas berkembang menjadi lebih mencabar. Lebih dari kulit putih gebu dan mulus Yelena, lebih dari senyum manis yang ranum dilemparkan Anastasia. Di depannya terhidang dengan bermacam-macam manusia yang berbeza pegangan agama.

Yang runcing seperti Yelena yang mendustakan tuhan ataupun seperti Anastasia yang sudah tertanam dalam jiwanya ketaatan pada Agama Katolik. Tanpa sedar, Ayyas juga sedang memekarkan bunga dakwah Islam dalam dirinya. Pegangnya teguh pada ayat-ayat Tuhan,

“Bagiku adalah agama ku, dan bagi kamu adalah agama kamu”

Biarpun sikap tolerannya selalu menjadi dinding hormat pada yang lain, hakikat yang dihadapi Ayyas ternyata kontra. Ayyas selalu dikritik dan diuji tentang ‘tali’ yang sedang dipegangnya. Namun, seperti yang telah digambarkan dalam perenggan pertama tadi, Ayyas menjawab semua ‘serangan’ dengan hikmah dan bijaksana. Falsafah dan sejarah selalu bergabung menjadi dalilnya yang konkrit dan logik dalam membentangkan asas pegangannya kepada manusia yang tidak percaya pada kata-kata Tuhan.

“Keretapi selalu berjalan membawa seribu satu kisah kehidupan para penumpangnya. Ada yang bahagia, ada yang berduka. Ada yang dadanya dipenuhi keyakinan, dan ada yang berisi kebimbangan. Keretapi terus berjalan tanpa peduli dengan apa yang sedang terjadi dalam para jiwa para penumpangnya. Keretapi itu hanya menghantarkan mereka sehingga sampai ke stesen tujuan mereka. Perjalanan seterusnya penumpanglah yang memutuskan.”

Halaman 632, Bumi Cinta, Habiburrahman El Shirazy.

Buah tangan Kang Abib kali ini membuka dimensi yang lebih mendebarkan. Plot-plot ceritanya menggabungkan pelbagai persoalan-persoalan tentang agama langit yang ada turun ke bumi. Namun, Islam lah tetap yang terbaik bagi kita.

Molek Garden

Sept 9, 2010

Advertisements

Travelog Seorang Da’i

TRAVELOG SEORANG DA’I
Abdul Rahman Mohamed
Telaga Biru
RM 20.00 ,

Seperti yang tercatat di muka kulit depannya, “Kisah benar liku-liku perjalanan seorang pendakwah guna mencari kekuatan sebagai bekal dalam perjuangan.” Karya seorang tokoh agama Singapura bernama Abdul Rahman Mohamed.

Isinya digarap ringkas, ringan dan mengajar. Abdul Rahman Mohamed mengisahkan pengalaman beliau yang penuh ranjau dalam menuntut kebenaran soal hidup. Buku setebal 277 halaman ini bermula dengan menceritakan kepayahan zamannya pada usia kecil.

Kesusahan pada umurnya yang masih hijau, bergantung hidup dengan kudrat seorang ibu setelah ayahnya meninggal dunia menjadikan dia begitu serba kekurangan. Masa kecilnya dihabiskan dengan membantu ibu menjual kuih-muih demi mencari sesuap nasi, sedangkan pada waktu yang sama rakan-rakan yang sebaya menghabiskan masa mereka meneroka alam kanak-kanak yang penuh keghairahan dan ingin tahu. Sang ibu tanpa sengaja jadi begitu tegar dan garang dalam mengajar anak-anak kerana memikul berat amanah yang tak tertanggung. Tanpa yang bergelar suami disisi.

Ketika usianya menjangkau belia remaja, dia terlibat dengan dunia ‘Samseng’ Kota Singa. Pada umur yang sedang meningkat naik dan mudah dirangsang akalnya, dunia itu menjadi ‘kebanggaan’nya yang sebentar. Namun di bawah sedar, fikirannya kosong dan keinginan hatinya tidak dipenuhi. Walaupun dikelilingi ramai kawan, uang lumayan dan terkenal dalam cakap-cakap mulut orang, hatinya memberontak dan membuak-buak untuk mencari jawapan yang lebih pasti.

Lalu dia sedar, hidupnya dan keberaniannya hanyalah palsu. Sehingga dia pernah berkata melalui apa yang dirasakannya pada waktu itu, ‘keberanian pada waktu itu datang apabila kita dalam kelompok yang banyak, bila sendirian kita akan mengecut seperti tikus’. Dari situ dia berfikir untuk berhenti dari dunia yang penuh hitam dan noda, dengan tekad dan iltizam. Sejarahnya mula teralih arah. Detik itu menjadi satu titik permulaan cahaya hidayah yang muncul dalam ruang hatinya.

Abdul Rahman Mohamed mula mencari agama dan tuhan. Walaupun ketika kecilnya dia seorang Islam, namun itu hanya terlekat pada nama dan bukan pada jiwa. Keghairahannya mula menjadikan dia belajar untuk mencintai ilmu. Laparnya selalu dihadamkan dengan membaca kitab-kitab. Dahaganya hanya hilang pabila dapat meneguk puji-pujian ke atas tuhan. Peluangnya terbuka luas apabila dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Indonesia.

Dengan hati yang bersih, tekad dan semangat, diiringi dengan doa ibu yang berkat, beliau berangkat ke Kepulauan Jawa Indonesia demi mengejar kefahaman dalam agama. Di sana beliau belajar dengan tekun dan gigih, berusaha serta sabar. Biarpun pencapaiannya akedemiknya tidak cemerlang dan dia sendiri kurang berpuas hati dengan keputusannya, semangatnya untuk berdakwah tidak pernah padam. Selain itu, kehausan ilmunya lantas menjadikan dia seorang pegembara sekian kalinya di Kota Madinah Al-Munawwarah, tempat agung para ilmuwan dan ulama. Di bawah langit bumi Nabi dia berusaha sehingga tamat pengajiannya.

Kepulangannya ke Singapura, ketika inilah bermula perjalanan sebenar Abdul Rahman Mohamed sebagai seorang da’i. Betapa pada waktu itu halangan dan cabaran yang datang begitu cekal dan ampuh, beliau menceritakan sendiri ketamakan manusia merebut kuasa meskipun di dalam rumah Allah, sifat ukhuwah sesama insan yang bertopeng di luaran sementara isinya ialah kudis dan nanah yang sukar untuk sembuh. Kerana cintanya kepada Tuhan dia bertahan. Kerana ikhlasnya pada perjuagan dia meneruskan. Biarpun difitnah, diasingkan dan disusahkan oleh mereka-mereka yang menjadi seteru dan cemburu, Abdul Rahman Malek meneruskan langkah di denai menuju yang Maha Satu.

Ternyata perngorbanannya dalam usaha dakwah menuntut sesuatu yang lebih, bidang dakwah bukan bidang yang dapat menjana harta dunia tetapi untuk membina istana di syurga. Namun kehidupan atas dunia perlu diteruskan kerana amanah yang terpikul sebagai seorang ketua keluarga demi mencari nafkah untuk isteri-isteri dan anak-anak tercinta.

Semangat Abdul Rahman Mohamed tidak lagi hanya terbatas dalam usaha dakwah dan ilmu, semangat itu berkembang dalam dadanya menjadikan dia seorang pendakwah dan peniaga. Pengalamannya sewaktu mula membina empayar perniagaan dihidangkan dengan hikmah dan berkesan. Ternyata kita dikesani bahawa cabang perniagaan itu suatu bidang yang payah dan bukan mudah. Tetapi kejayaannya pasti asalkan usaha, doa dan tawakkal mennjadi bekalan asas dalam menruruskan perniagaan.  Pelaburannya rugi beberapa kali, tetapi rezeki tuhan selalu datang menyelamatkan.

Dorongan rakan-rakan menyuntik motivasi yang kuat dalam diri supaya bertarung selagi kudrat masih ada walaupun dia hampir tersungkur di lumpur mengalah, justeru itu, Abdul Rahman Malek berjuang demi keredhaan tuhan. Perit, jerih, letih dan susah payahnya adalah peluh-peluh ikhlas yang mengalir dan tumpah. Ia syumul di sisi Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani. Biarpun bergelar seorang niagawan, namun dakwah itu paling tetap diutamakan. Kegiatan dakwahnya tidak pernah berhenti.

Dakwahnya terpencar dari suara nyaring hingga ke hujung pena, dari hujung pena itu maka terhasillah beberapa buku yang menerangkan kefahaman tentang ugama, menjawab kemusykilan masyarakat pada waktu itu dan mencungkil kebenaran hakikat. Perniagaannya berkitar tentang memudahkan ibadat, lantaran itu produk-produknya adalah yang pertama seumpanya seperti sabun untuk menyamak, tandas muslim dan tisu tayammun serta lain-lain lagi.

Fikiran seorang da’i hanyalah untuk agama-Nya dan bagaimana dia dapat memudahkan umat untuk beribadah dalam zaman yang begitu gering ini. Itulah yang tersemat dalam mindanya Abdul Rahman Malek. Jika memberi ceramah, ceramahnya ialah tentang dakwah, jika menulis buku, bukunya ialah tentang dakwah dan jika dia berniaga, produknya ialah guna untuk memudahkan urusan agama.

Di dalam buku ini juga, tema-tema masyarakat yang dilalui sang penulis rata-ratanya adalah seperti yang pernah kita lalui. Sosio budaya yang dibentangkan jujurnya sama dengan kehidupan kita yang semakin terhimpit. Soal teman, pekerjaan, keluarga, cabaran dan kehidupan orang-orang awam di sekitar pengalamannya diselitkan dengan berasas dan nyata hidup bila diceritakan.

Perspektif dalam buku ini sebenarnya memulangkan kembali fitrah kepada kita. Persoalan yang bertanya kepada jiwa dan raga, akal dan hati tentang sejauh mana pula kita berkorban untuk agama. Masa dan tenaga kita berapa  banyak sudah kita lorongkan untuk ke jalan tuhan. Keikhlasan dalam diri adakah tulus atau lakonan?

Sesungguhnya, buku ringkas ini akan mengenyangkan pemikiran kita dengan lebih manis. Sekurang-kurangnya ia sedikit atau banyak ada iktibar yang boleh dijadikan peringatan buat diri sendiri. Pengalaman yang dicoretkan mengajak kita belajar untuk lebih dilentur dalam kehidupan zaman kini. Kenangannya sarat merakamkan perjuangan dan intipati pengorbanan. Belajar menghargai dan menaburkan jasa kepada insan-insan yang tersayang sebelum terlambat amatlah menyebakkan lalu kita jadi lebih mengingat.  Demi masa yang tuhan pernah bersumpah ke atasnya!

Molek Garden
Sept 15, 2010

Rumah Terbuka

Syawal masih lagi ada menyambut kita tulus, dan jemputan ke rumah masih terbuka lebar. Mengajak kita berkunjung dan ziarah mengenal saudara. Atau menjemput sahabat handai ke teratak buruk kita. Yang mana saja. Yang mana selesa.

Lebaran memang bulan penuh hikmah, padat dalamnya berisi ukhwah. Rumah terbuka selalu menjadi juara dalam acaranya. Selalu menawan hati yang menerima jemputan untuk berkunjungan.

“Datanglah malam ini, bawa orang rumah sekali” begitu ajak seorang teman, ayahnya orang berniaga, kepada kami sekumpulan. Antara yang bujang dan suami orang.

Malamnya kami berkunjung ke rumah semi-D dua tingkat yang berkelap-kelap dengan lampu berwarna-warna. Tetamu kunjung tiba tidak putus-putus.

Wajah tuan rumah begitu girang menyambut tetamu yang datang. Makanan terhidang lazat di hujung sudut di atas meja panjang. Sate padang yang baru diangkat dari jaring panggangan, nasi himpit yang kenyal kental bersiram kuah lodeh pekat, dan pelbagai lagi juadah-juadah berat yang mampu membuka nafsu biarpun perut sudah sendat.

Keriuhan dan kerancakan bermula. Tuan rumah tidak cukup tangan melayan kerenah kerenah sang tamu.

Cerita tuan rumah, di sana sini, lantai ini sudah ditambak batuan marmar-baru saja, di hujung tanah sana sudah naik satu wakaf berkayu cengal, nanti mahu bina anjung dari depan rumah bawa ke wakaf, jadi tahun depan kawasan rumah terbuka boleh jemput lebih ramai orang. Kawasannya jadi lebih luas sambil jarinya menunjuk ke dalam gelap, jauh tak nampak pagar atau tembok. Dijaja-jaja cerita yang sama pada setiap manusia yang ada.

Kami mendengar, mendoakan semoga InsyaAllah.

Tidak mahu saya menduga yang bukan-bukan. Tidak mahu saya meneka sangsi di hati.

Tetapi pesan untuk diri saya. Hari ini ramai orang membuka pintu rumahnya atas nama ziarah, sebenarnya sedang menunjuk harta dikumpulnya dengan bermegah-megah.

Minggu ini, pujian bertimpa mencurah-curah, rumah kamu besar indah, langsir lawa, tv nipis hebat, cornis tergantung agung -kata semata-mata. Membuat tuan rumah jadi bangga. Yang memuji niatnya tersirat di hati. Tak nampak mana kulit, mana isi.

Dalam tak sedar kita jadi pesaing antara kawan-kawan. Kelulusan kita sama, jawatan kita satu kerusi, gaji pun tak banyak beza.Tapi kehidupan siapa lagi mewah bertanda bahagia?

Api cemburu menyala dari bara tidak senang melihat kegembiraan orang lain. Apalagi bila dicanang-canang.

Syawal masih lagi ada menyambut kita tulus, ziarah kita untuk menyimpul ukhwah bukan membanding harta untuk bermegah.

Siapa yang lagi jaguh

Dahulu, saya seorang jaguh. Ya, seorang yang jaguh dalam membuka ikatan getah yang berlilit rumit di bungkusan plastik. Terutama bungkusan-bungkusan plastik air yang ikatannya memang terkenal ketat dan padat. Jika tidak, masakan air itu tidak pernah meleleh tumpah jika bungkusannya ditunggang terbalikkan atau bungkusan air itu bergelembung gemuk dan bulat tidak pernah surut.

Kemahiran ini banyak saya gunakan untuk membantu rakan-rakan membuka ikatan getah bungkusan air yang mereka beli. Terutama pada musim puasa. Paling pantas ikatan getah yang saya pernah buka, dalam masa kurang 5 saat.

Ada pada satu waktu itu, saya melihat seorang kawan sedang betul-betul berusaha membuka ikatan getah bungkusan air yang dibelinya buat berbuka puasa. Beragam-ragam gaya yang dia gunakan, dari gaya mencubit guna hujung kuku sampai ke cara mengigit-gigit getah kuning yang anjal itu. Kadang-kadang getahnya berwarna merah. Namun tetap tidak berhasil.

Melihat kepayahannya, saya tawarkan diri membantu. Saya membukanya kurang dari 15 saat. Rakan-rakan sekeliling yang mengelilingi menghadap juadah berbuka jadi kagum.

Seingat saya, yang paling susah untuk dibuka ikatan lilit getahnya, ialah bungkusan ‘cendol rock’ gerai Man Pailang. Saya gagal sekali. Ikatannya lain macam, tak sama macam ikat mamak nasi kandar ‘Syah Jhewal’, tak sama macam lilit Boy yang jual air bungkus yang macam-macam jenis, harganya seringgit tapi semua rasa manisnya serupa.Esoknya saya tekad pergi ke gerai Man Pailang di bazar ramadhan.

Menyamar jadi pembeli yang akhir, supaya saya dapat lihat cara ikat lilit getah Man Pailang pada bungkusan ‘cendol rock’nya itu. Kalau beli yang awal, Man Pailang akan beri yang sudah diikat, jadi susah mahu melihat teknik ikatannya.

Kemudian di situ saya perhatikan betul-betul cara Man Pailang mengikatnya. Heh! pulangnya ke rumah saya leraikan ikatan Man Pailang tadi dalam masa 25 saat. Rupa-rupanya Man Pailang gunakan dua getah untuk mengikat sebungkus air. Dan ikatan Man Pailanglah yang saya rasakan paling sukar pada waktu itu, namun saya tetap berhasil leraikannya.

Kemahiran ini saya bawa sampai ke rumah.

Pada suatu petang, hampir masuk waktu berbuka puasa, saya sedang terkulat-kulat membuka sebungkus air tembikai yang dibeli adik di bazar ramadhan. Kali ini ikatannya lebih rumit dari ikatan Man Pailang. Saya hanya mampu bergumam di dalam hati, sambil rasa tercabar untuk membuka ikatannya.

“Kau beli kat mana ni?” Soal saya garang pada Achik. Dia yang beli air ni. Achik sekadar memuncungkan bibir.

Saya cuba lagi. Pelbagai cara saya gunakan, dari hujung kuku sampai mengigit-gigit ikatan getah itu. Abah tiba-tiba muncul di ruang dapur melihat tindakan saya sambil mengeleng-gelengkan kepala.

“Kau ini, belajar tinggi-tinggi, tapi buka ikat getah pun payah” kata abah. Saya jadi malu di depan emak dan adik beradik yang lain.

“Bak sini” abah meminta bungkusan yang saya cuba buka. Saya hulurkan kepada abah dengan kepala menunduk. Malu.

Pertama sekali yang saya lihat sewaktu abah mengambil bungkusan plastik air tembikai yang bergelembung padat itu, abah pegang hujungnya. Abah belek-belek ikatan getah yang melilit ketat. Bungkusan plastik air itu abah pusing-pusingkan beberapa pusingan.

Tiba-tiba abah bersuara. “Ani, bagi pisau tu.”

Abah hiris dalam-dalam getah yang padat melilit ikat. Bak kata abah, ‘biar getah putus, tapi plastik tak bocor’.

5 Menara- A. Fuadi

5 Menara, karya novelis muda Indonesia, A. Fuadi menceritakan secebis pengalaman hidup mengenai sebuah intipati perjuangan anak muda. Kisahnya bermula apabila seorang anak pintar yang mempunyai cita-citanya sendiri, Alif Fikri terpaksa mengubah masa depan yang dikejarnya demi menunaikan hasrat dan harapan sang ibu, untuk dia menyambung pelajaran di dalam bidang agama.

Pada waktu itu, pada fikiran Alif, juga pada pandangan masyarakat umumnya, sekolah agama hanyalah untuk mereka yang tidak begitu cemerlang di dalam urusan pelajaran. Lantaran itu kebanyakkan pelajar yang memasuki sekolah agama hanyalah sebagai pilihan kedua, iaitu apabila mereka tidak layak untuk memasuki jurusan-jurusan kritikal seperti kejuruteraan, perubatan, ekonomi, sains dan sebagainya.

Sedangkan Alif Fikri dengan keputusan yang cemerlang sebenarnya layak untuk meneruskan pelajaran di dalam bidang yang amat-amat diminatinya iaitu bidang teknikal dan kejuruteraan. Amat berhasrat dapat menyambung pelajaran hingga ke ITB (Institut Teknikal Bandung) bersama rakan baiknya, Randai.

Namun, persepsi ibu Alif adalah sebaliknya, jika selama ini anak yang betul-betul cemerlang itu dihantar untuk meneruskan pelajaran dalam bidang kritikal, dan yang kurang cemerlang pula dihantar ke sekolah agama untuk membangunkan agama pada masa-masa akan datang, maka dia percaya bahawa ulama-ulama yang dihasilkan adalah dari kalangan pelajar gred 2. Yang menjurus ke aliran agama kerana terpaksa!

Maka sang ibu begitu bulat menanamkan tekad, bahawa anak yang pintar ini mahu di’korban‘kannya dengan menghantar ke sekolah agama untuk membangun agama dan bangsa di kemudian hari. Sesuatu pelaburan yang jarang-jarang berlaku di fikiran orang awam.

Alif Fikri begitu memberontak dan memprotes keputusan ibunya itu. Namun ketaatan yang telah ditanamkan selama usianya masih muda, menyebabkan dia terpaksa tunduk dan hormat di atas permintaan ibunya. Maka dari detik itu, bermulalah pengembaraan Alif Fikri ke sekolah agama yang di panggil Pondok Madani dengan separuh hati.

Pondok Madani ialah sebuah persantrean yang begitu tegas dalam hal ehwal disiplin dan cekap dalam ehwal pengurusan serta cemerlang dalam menghasilkan pelajar-pelajar agama kelas satu. Digambarkan di dalam buku ini, Pondok Madani itu sebagai kawasan dan tempat yang enak untuk menuntut ilmu, kawasan yang luas, indah, nyaman permai, tenaga pengajarnya yang hebat dari bertaraf kiai hingga yang bergelar ustaz dengan kegemilangan akademik yang bukan calang-calang. Suasana menuntut ilmu yang ketat dan padat yang tidak semata-mata berteorikan penulisan di atas kertas malah digambarkan dengan kata-kata yang begitu memempersonakan saya, “Belajar agama di Madani adalah seperti oksigen. Ada di mana-mana”[1].

Man jadda wa jadda.

Kekuatan novel ini, secara terus-terang adalah sebagai mana yang banyak diperkatakan dalam ulasan-ulasan yang lain. “man jadda wa jadda”, “Sesiapa yang berusaha pasti akan berhasil”. Di sinilah letaknya kekuatan novel 5 Menara sebagai sebuah novel pembangun jiwa, menyuntik motivasi dan candu yang menyebabkan ketagihan pada usaha yang sentiasa lebih dari orang lain untuk berjaya.

Ketika sampai di Pondok Madani, Alif Fikri dihentak dengan kata-kata sakti ini (begitu juga saya), kata-kata ini menjadi pemangkin kepada semangatnya yang luntur kerana terpaksa ke sini atas permintaan ibunya. Sejak dari itu, Alif Fikri mula terkesan, mengambil yang positif dan semangat untuk menguasai ilmu menjalar dalam setiap degup nafasnya.

Disini juga adalah permulaan pertemuan antara Alif Fikri dan rakan-rakan seperjuangannya. Alif Fikri dan 4 orang rakannya digelar sebagai “Sahibul Menara” iaitu Atang, Baso, Said dan Dulmajid. Watak-watak ini  berkembang baik sampai ke hujung cerita sehingga setiap watak diceritakan dengan terperinci kekuatan mereka, bergabung dalam atmosfera menuntut ilmu yang dahsyat, turun naik diuji dari tahun pertama hingga tahun akhir dan akhirnya masing-masing berjaya dengan menggunakan sepenuhnya bakat-bakat yang dikurniakan di dalam diri mereka. Dilakar juga betapa sifat setia kawan yang dipupuk dalam novel ini dalam kotak kehidupan bergelar pelajar turut mengesani saya sewaktu menghadapi pengalaman yang hampir serupa. Ketika zaman jahiliah menuntut ilmu. Kontra sekali dengan apa yang digambarkan dalam 5 Menara ini. Begitu menginsafkan.

Lanjutan bab demi bab mempamerkan banyak cerita suka duka pengalaman Alif Fikri bersama rakan-rakannya “Sahibul Menara” di dalam lingkungan pagar Pondok Madani. Bermula kesusahan untuk mengadaptasikan suasana pembelajaran yang komprehensif, hanya dibenarkan berbual dan bercakap dalam dua bahasa sahaja iaitu bahasa Arab dan English, manakala bahasa indonesia adalah dilarang sama sekali penggunaannya, namun akhirnya masing-masing menjadi cekap dan lancar berdiskusi dalam ke dua-dua bahasa lantaran persekitaran belajar yang begitu menekan sesuai dengan kata-kata saktinya “man jadda wa jadda”.

Dilanjutkan cerita, dengan kawalan disiplin yang ketat sehingga kumpulan “Sahibul Menara” ini beberapa kali di denda lantaran kecuaian mereka dari sekecil perkara seperti tidak memakai tanda nama, hingga ke besar-besar perkara, kerana keluar tanpa izin  ke Surabaya untuk membeli ‘ais kering’ bagi menjayakan persembahan untuk tahun akhir.

Sekaligus menunjukkan kepada pembaca dalam soal mendidik, disiplin adalah perkara paling utama dan hukuman adalah perlu dijalankan tanpa mengira status walau dimana sahaja.

Ketika sampai pada bab 39, It’s show time, saya betul-betul terkesan. Pada waktu ini penulis menyampaikan peranan dan peristiwa di tahun akhir. Mengingatkan detik-detik persembahan sebagai pelajar tahun akhir yang gemilang. Adalah menjadi suatu kemestian pada setiap pelajar yang pernah menjalani kehidupan asrama, seni persembahan pentas adalah yang paling ulung ketika berada di tahun akhir.

Penulis mengingatkan betapa saya juga pernah mengalami peristiwa yang hampir sama. Cuma ia berbentuk kontra. Penulis menceritakan kumpulannya yang mengagungkan syiar dan kemegahan agama dalam pentas teater bertema “Pengembaraan Ibn Batuttah”.

Sementelah ketika di waktu saya, majlis tahun akhir yang bermula dengan pembukaan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Nur Karim bersama terjemahannya, di akhiri dengan tarian ‘break dance’. Kemudian ditegur Ketua Warden Asrama, dan kami menganggap betapa dia seorang yang tidak befikiran terbuka untuk menyelamai hati riang anak muda yang terpegun dengan langkah tari musik moden ‘B-Boy Step’. Sekarang saya cuba membandingkan kehidupan menuntut ilmu yang pernah saya alami dengan kehidupan indah di Pondok Madani. Jauh benar rasanya.

Dihujung bab, ketika membaca 5 Menara, sewaktu Alif Fikri dan “Sahibul Menara” yang lain, juga warga Pondok Madani yang lain berada di tahun akhir bertempur demi sebuah kejayaan untuk cemerlang di dalam “peperiksaan atas peperiksaan”, tergesip di dalam hati saya,  penulis membayangkan bagaimana suasana pembelajaran itu menjadi lebih ekstrem dan mencabar. Digambarkan seperti petikan di bawah;

“Dewan ini terus berdengung dengan suara ratusan orang yang belajar bagi menghadapi ujian akhir. Semarak dan riuh rendah. Sekilas menyrupai kem perpindahan para ilmuwan. Kemana mata aku edarkan, yang tampak adalah meja yang dipenuhi tumpukan buku, gelas kopi dan baju-bau yang digantung dan anak-anak muda yang sibuk berdiskusi bersama atau khuysuk membaca buku pelajaran. Bagi lebih menyemarakkan suasana, kami juga menempelkan sepanduk pelabagai kata motivasi di dinding dewan. Misalnya ‘Man thalabal ula shairal layali’, ‘buku yang tebal dimulai huruf yang pertama di halaman yang pertama’, dan tentu sahaja ‘man jadda wa jadda’.”[2].

Maka, saya tidak dapat tidak, mengiyakan kata-kata Nisah Haron dalam ulasannya kepada buku ini, bahawa ianya amat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan motivasi kepada para pelajar kerana kandungannya yang menceritakan kesungguhan dalam menuntut ilmu, selain itu patut juga dijadikan rujukan buat para pendidik dan bakal-bakal guru untuk membaca kehebatan kaedah-kaedah para kiai dan ustaz di dalam cerita 5 Menara ini mengenai perjuangan mereka menyampaikan ilmu. Hakikatnya ialah selalu terbuka untuk menjadi pemimpin, dan bersedia dipimpin serta keikhlasan itu adalah kuncinya.

Selain itu, novel ini juga cukup dengan intipati pengajaran yang berkesan samada untuk diambil dalam konteks individual seperti bersikap positif, menghormati orang tua, keikhlasan dan usaha yang tidak mengenal putus asa, manakala dalam konteks komuniti ia mengesankan pengajaran yang patut diambil iktibar seperti semangat setia kawan, patriotisme, menghormati antara satu dengan yang lain dan kerjasama sebagai satu kelompok pasukan.

Jujurnya, jika saya membaca novel ini sewaktu di zaman menuntut ilmu dahulu, maka saya pasti terangsang dengan kata-kata ‘man jadda wa jadda’. Saya betul-betul menyerap api semangatnya.

Molek garden,
2050,
Aug 5, 2010.

Rujukan:

[1] Halaman 42, Kampung di atas Kabut, 5 Menara.
[2] Halaman 456, Kem Konsentrasi, 5 Menara.

Gadis Hulu Muar

Tiga Novel: Abdullah Sidek

Menceritakan kisah percintaan desa antara seorang jejaka bernama Kassim dan seorang dara yang bernama Gayah.

Gaya penulisan Abdullah Sidek dalam menceritakan kisah ini tidaklah banyak menggunakan bahasa-bahasa metafora yang lazimnya menggambarkan keindahan setiap cerita cinta.

Bahasanya mudah dengan lenggok penulisan melayu lama, seperti kisah-kisah cinta yang lain, ia juga lengkap dengan plot-plot rindu, kasih sayang, gurau senda, dengki khianat, selain diselitkan juga banyak plot-plot yang berlatarkan masyarakat melayu lama seperti permainan sepak raga, belajar silat, pesta menuba dan pesta menuai padi.

Latar asasnya masih berkonsepkan perkampungan, Kassim seorang anak muda baya 20-an yang wajib menyara ibu dan adiknya lantaran kematian bapanya. Pada babak-babak awal, hubungan Kassim dan Gayah hanyalah sekadar kawan rapat dan abang kepada adik. Kassim banyak membantu Gayah, anak Pak Tunggal dalam menguruskan kehidupan seharian seperti menoreh dan memesin getah. Waima jika Kassim pergi memancing ikan pun, hasilnya tetap sedikit atau banyak dikongsikan dengan Gayah.

Masa demi masa, usia pun semakin menginjak dewasa, hubungan ini hujungnya menyimpulkan keakraban yang lebih erat terjalin, tanpa sedar Kassim dan Gayah masing-masing memendam perasaan antara satu sama lain dan di sini kita akan lihat lebih banyak adegan-adegan cinta mengembang sesuai dengan tema dan tajuknya.

Seperti orang yang telah lama makan garam, Abdullah Sidek tahu cinta-cinta anak muda selalu diuji dengan gelora nafsu, seperti petikan dibawah.

” Melihat perlakuan Gayah yang demikian, maka iman Kassim yang keras dan teguh itu pun robohlah, maka dengan perlahan-lahan ia menundukkan kepala mencium pipi dan mengucupi mulut Gayah yang kecil molek, yang dihiasi oleh dua baris gigi yang putih berkilat itu. Menerima ciuman yang ditunggu-tunggunya, kedua-dua belah tangan gadis itu perlahan-lahan datang memeluk akan leher kekasihnya. Pelukan itu semakin bertambah kuat manakala kerana ciuman yang bertambah lazat itu berjalan dan meresap ke seluruh sanubarinya.

“Sudahlah Yah.” Demikian bisik Kassim kepada teliga “gadis Hulu Muar” itu.

Tetapi Gayah telah menjawab sambil tersenyum kemalu-maluan. “Lagilah Sim.” Yang demikian terpaksalah Kassim menyempurnakan permintaan itu.”

Namun ini hanyalah plot yang mengajar supaya setiap orang tidak mudah tunduk dengan gelora cinta yang berlandaskan nafsu, apatah lagi jika cinta anak muda yang baru hijau pucuknya. Baru sejam hilang dari mata sudah meroyan rindu. Maka, jika hendakkan bercinta, disuruhnya kita beriman supaya tidak terlanjur akibat dan perbuatan yang merosakkan.

Di akhir bab, cinta Gayah dan Kassim akhirnya membina ikatan yang sah melalui perkahwinan. Dan seteru Kassim yang juga sahabat karibnya, Hussain yang suatu masa telah menyimpan dengki kerana cinta Hussain kepada Gayah tidak dibalas, kerana cinta Gayah hanyalah untuk Kassim seorang tiada dua, menjadi akrab semula. Hussain telah menjadi seorang lebai muda. Ada pun ceritanya ialah Hussain malu kerana pinangannya ditolak Pak Tunggal, Hussain telah keluar dari kampung dan merantau untuk belajar ilmu agama.

Maka disimpulkan juga oleh Abdullah Sidek, kekecewaan, kehampaan dan kedengkian akibat cinta itu sebenarnya adalah hikmah untuk orang yang selalu berfikir seperti Hussain untuk berjaya di kemudian harinya.

Wallahu al’aklam bissawa’.

Nota yang tidak dirakam

“Ah, payah” Prof. E-1 mengeluh berat. Lalu badannya dihempaskan ke dinding kusyen kerusi pejabat yang lembut. Kerana momentum yang diberi,  spring yang dipasang di bawah sofa alas punggung itu menyebabkan lantunan ke belakang sedikit. Sifat keanjalan spring yang melantun, kemudian berpatah balik. Namun, kerusi itu masih statik di lokasi asalnya.

Itulah salah satu dari sifat binaan besi melalui ‘sifat mekanikal’nya. Besi ini diberi ‘Modulus Elastik’ ataupun ‘Elasticity‘ yang tinggi. Biasanya lebih daripada 288,000 E. Supaya dalam memberi ada balasnya.

Prof. E-1 bersandar, wajahnya menghadap skrin komputernya yang nipis. Cecair-cecair yang terkandung dalam paparan skrin komputer memuntahkan berjuta-juta pixel cahaya. Prof. E-1 merenung dalam. Jauh mencari akal barangkali.

“Bagaimana ya?” Soalan Prof. E-1 yang cuma bersuara di buku hati. Pensil di tangan dipusing-pusingnya perlahan. Satu dua pusingan kemudian berhenti. Pensil itu tidak jatuh, malah melekat kemas di jari. Kaedah itu lama sudah dipraktikkan Prof. E-1  dalam hari-hari kehidupannya. Sementelah di universiti, dia belajar berfikir dari situ dan cara befikirnya memang begitu.

Yang kita mahukan ialah fleksibiliti, namun sifat besi itu sendiri keras. Yang mana ialah menjadi kesesuaian dalam satu pilihan rekabentuk ialah fleksible (mudah lentur), tahan lama dan kuat. Bagaimana mahu mengongsikan ketiga-tiga sifat komponen ini dalam satu bahan yang sama? Komposisinya harus setara. Prof. E-1 merenung jauh lebih dalam. Kedua-dua tangannya sudah diangkat lalu diletakkan ke belakang kepala.

Prof. E-1 bangun dari kerusi empuknya. Dia berjalan menuju ke arah perpustakaan mininya di hujung sudut kanan ofis. Rak almari yang diperbuat dari kayu jenis oak dicat dengan warna coklat asli, divarnish kilat, dengan sedikit corak-corak kerawang pada bingkai bucunya, menonjolkan citarasa tradisional bangsanya.

Kini Prof. E-1 berdiri di depan rak kayu setinggi 1.5 meter itu. Di dalam perut rak itu penuh dengan buku-buku. Di sinilah Prof. E-1 himpunkan ke semua koleksi peribadi buku-bukunya, sama ada cerita kerja, bahan bacaan berat atau ringan. Semuanya di sini. Jari Prof. E-1 menyentuh sebuah buku pada susunan hujung paling kiri.

Matanya melirik pada tajuk buku yang dicetak di bahagian ruas buku. Jarinya lari dari satu buku ke satu buku yang lain. Mencari buku yang dirasakannya sesuai, belum lagi terjumpa. Akhirnya jarinya berhenti di sebuah buku.

Pada bahagian ruasnya tercetak kata-kata ‘Product Engineering Design‘.

Tiga jam kemudian.

Prof. E-1 melakar-lakar di atas beberapa helaian kertas putih. Tetapi lakarannya bukan berbentuk imejan yang halus dan cantik. Lakarannya penuh dengan nombor-nombor dan sedikit abjad-abjad. Berterabur dan berselerak. Sekarang dia sedang berusaha mencari fleksibiliti pada sifat besi. Sesuai sifatnya yang ada pada besi spring, tetapi tidak perlu sebanyak itu. Mungkin 30 peratus sahaja sudah memadai. Dia harus mencipta yang baharu.

Prof. E-1 drafkan nama awal bahan mentahnya sebagai besi gred 82A-LX175N. Komposisi kimia besi gred 82A-LX175N ini terdiri daripada 0.79% karbon, 0.15% silikon, 0.03% mangan, 0.03% Phosforus dan 0.03% Silikon. Ini yang dirasakannya paling sesuai.

Sifat karbon itu sendiri adalah sifat asli besi yang mengandungi kesempurnaan dalam industri tempaan, membenarkan perubahan sifat selain yang kita kenal sememangnya kuat. Silikon pula hanya sebagai bahan penambah ataupun ‘added material‘ untuk membenarkan sifat karbon di’oksidasi’iaitu menyingkirkan oksigen daripada leburan besi sewaktu proses peleburan. Silikon juga dapat bertindak sebagai agen penguat dengan mempertingkatkan ‘Kekuatan Alah’ besi semaksima 8 Mpa.

Campuran Mangan adalah perlu, untuk memastikan kombinasinya dengan elemen Sulfur membentuk Mangansulfide (MnS). Tanpa Mangan, Sulfur mungkin bertindak dengan Ferum lalu menghasilkan ion Sulfide (FeS) yang mana ia dapat menambahkan struktur rapuh, mengurangkan ketahanan dan kekuatan besi untuk digunapakai dalam tempoh yang lama.

Selainnya, Phosphorus bertindak sebagai elemen yang dapat meningkatkan kekuatan besi secara tidak langsung dan sekaligus proses pem’phosphorus’an semula dapat menambahkan keupayaan kebolehmesinan dalam struktur besi.

Sulfur ialah bahan yang selalunya dipertimbang untuk ditambah sebagai elemen di dalam besi, kebiasaannya ia dihadkan pada kadar bawah 0.02% kerana elemen ‘ketidaklarutan ion’nya selalu disebut sebagai ‘aloi bebas tempaan’.

Setelah memilih bahan mentah yang dirasakannya sesuai. Prof. E-1 mula mengira-ngira ‘kekuatan tegang’nya pula.

Prof. E-1 memasukkan rumus yang dirasakannya perlu. Asasnya ialah kekuatan daya dalam unit Newton per unit keratan luas. Dengan sekian luas dan unit daya yang diberi secara teori. Pengiraan Prof. E-1 menjadi agak mudah.

Ditafsirkan dalam graf, ‘kekuatan tegangan’ ini dinamakan sebagai daya yang paling maksima yang dapat dikenakan ke atas struktur besi dan menahannya sebelum ia sampai ke titik musnah. Di sini ia juga digambarkan sebagai kekuatan yang sebenar-benarnya. Sifat besi, jika tidak kuat bukanlah ia besi, melainkan ia besi karat yang paling tidak berguna. Hanya tunggu dikitar bumi.

Dalam masa yang sama juga Prof. E-1 perlu mempertimbangkan ‘faktor hilang’ (loss factor). Faktor hilang ini perlu dimasukkan dalam pengiraan teori supaya dapat disimulasikan pada keadaan sebenar. Hakikatnya tiada benda yang sempurna di bumi ini. Tidak ada yang 100% sempurna.

Prof. E-1 tersenyum halus. Nyata kiraan teori dan analsisnya berkesan. Sekurang-kurangnya besi penemuan baru ini kekuatannya hampir sama dengan aloi Titanium 00-15 SNX. Cuma ia tidaklah begitu ringan jika dibandingkan ‘antara epal dengan epal’.

Prof E-1, anak muda berusia 28 tahun, tidak sia-sia dia menerima gelaran Professor termuda yang pertama di rantau Asia Pasifik. Dia antara contoh produk keluaran negara Tanah Tinggi yang terbaik yang ada setelah 76 tahun merdeka.

Tapi sayang, negara itu telah ditinggalkannya 15 tahun lepas. Sejarahnya bermula sewaktu dia dihantar ke luar negara untuk menyambung pelajaran. Selepas 5 tahun, negara itu mula bergolak. Percakaran politik antara parti pemerintah dan pembangkang mula bertambah serius dan bertukar menjadi keganasan lantaran sikap fanatik antara kedua-dua penyokong. Peristiwa ini mengakibatkan tajaan biasiswanya ditahan. Sejak dari itu, hatinya telah tawar, tawar untuk pulang ke negara asalnya yag bernama Tanah Tinggi itu.

Demontrasi jalanan mula membiak seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Melata di mana-mana lokasi. Kebanyakkannya dianjur oleh puak pembangkang bagi menunjukkan rasa tidak puas hati pihak mereka kepada pemerintah kerana menggunakan sentimen agama demi survival politik mereka.

Dari demontrasi jalanan yang aman, ia bertukar menjadi rusuhan. Penyokong-penyokong antara kedua-dua belah parti merusuh. Pasukan polis, FRU dan Ambulan sekadar menjadi pemerhati. Rakyat boleh merusuh di atas mana-mana jalan, di belakang mana-mana lorong bangunan, di sebesar-besar padang atau stadium, tetapi harus dikekalkan dalam jarak 5 km daripada Dewan Perlembagaan. Kerana di Dewan Perlembagaan itu para politikus-politikus negara sedang serius betul membentangkan dasar-dasar dalaman serta luaran negara sekaligus penting untuk masa depan negara Tanah Tinggi itu sendiri.

Lantaran itu, pelabur-pelabur mula menarik balik modal pelaburan mereka di dalam pembangunan yang telah dirancang di Tanah Tinggi. Kesannya, ekonomi negara Tanah Tinggi merudum. Inflasi melambung tidak terkawal. Kebanyakkan para-para politikus dari kelompok pemerintah yang korupsi, sudah melarikan diri ke luar negara tanpa dapat dikesan, setelah menyedut kekayaan atas angin selama mereka berkuasa.

Yang tinggal pula, ialah politikus-politikus yang suci hati, kini mereka terpaksa membersihkan najis-najis yang ditinggalkan oleh rakan seangkatan mereka. Namun rakyat bukan seadil-adil hakim. Mereka menghukum secara pukal, tidak kira siapa!

Prof. E-1 merenung buku “Product Engineering Design” karya Joseph Claude Sinel. Joseph Claude Sinel memetik kata-kata Leonardo da vinci.

“Rekaan adalah membentuk yang dilihatnya lebih dari merasai, membentuk adalah rekaan yang paling dirasai lebih dari melihatnya.”

Nyata Tanah Tinggi adalah lebih dari segalanya. Lebih dari apa yang pernah dilihat dan dirasainya.

Previous Older Entries