Menara Jiwa

Sumber gambar disini.

Sinopsis:

MENARA JIWA menggalur cerita tentang perjuangan seorang manusia Melayu yang memulakan gagasan sebuah pakatan. Pakatan yang dinamakan sebagai Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa Melayu diilhamkan daripada pakatan-pakatan besar bangsa dunia dalam memperkasakan bahasa ibunda mereka.

Bagi penubuhannya Dato’ Amar Diraja, bahasa itu jiwa bangsa. Dengan memperkasakan bahasa, jati diri bangsanya takkan mudah luntur. Itulah tunjang kekuatan perjuangan dalam menegakkan menara kedaulatan dan kemerdekaan tanah air. Daripada pakatan inilah lahirnya pakatan-pakatan lain yang akhirnya menumbuhkan Balai Pustaka di Bukit Timbalan pada 1956.

Bukit Timbalan ibarat menara yang menegak jiwa Melayu dengan pasak cinta akan bahasa yang menjadi tunjang jati diri manusia Johor. Pakatan terus diperteguh urat dan nadinya hingga menghidupkan nafas bahasa lalu dewasa dan meneruskan kelanan bahasanya ke ibu kota.

Balai Pustaka yang ditukar namanya menjadi Dewan Bahasa Dan Pustaka melimpahkan pula inti fikir dan auranya ke seluruh tanah air hingga membangkitan roh kemerdekaan negara 1957.

Cerita berselang-seli dalam tiga emosi – kesedihan masa lalu, keriangan alam kanak-kanak dan semangat juang yang membara.

Rumusnya, rentetan perjuangan bahasa sejak 1888 inilah akhirnya melahirkan Institut Bahasa serta Dewan Bahasa dan Pustaka yang terus mapan memperkasa Bahasa Melayu yang pernah gah menjadi lingua franca dunia timur pada abad kegemilangan Melayu terdahulu.

Ulasan:

Pembukaan cerita Menara Jiwa pada pandangan saya sedikit mengaburkan, tiba-tiba dalam suasana sepi terjadi satu keadaan yang huru hara. Pentas dihidupkan dengan suasana cemas yang mengenang tragedi sebuah kapal yang terbakar di Selat Tebrau. Saya sendiri tidak mafhum, apakah suasana cemas ini diangkat dari penceritaan sejarah ataupun sekadar tambahan kerana asal usulnya tidak diungkit dan tidak dimaklumi oleh penonton terlebih dahulu.

Seperti yang diwartakan dalam sinopsisnya, teater Menara Jiwa ini bersulam dalam tiga emosi. Emosi utamanya berkisarkan cerita perjuangan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu oleh watak yang disandarkan sebagai Ungku Rahman Andak dan Mohd Ibrahim Munsyi. Watak-watak ini menyorot kembali kisah-kisah perjuangan awal pembesar-pembesar Johor melawan kuasa-kuasa penjajah. Seriusnya, di dalam penceritaan yang utama ini juga turut mengenangkan sejarah tentang penubuhan Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa Melayu yang diilhamkan oleh Ungku Rahman Andak. Pakatan ini mula mekar dan subur lalu ditukarkan menjadi gagasan Balai Pustaka sebelum ditukarkan namanya menjadi Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) seperti hari ini. Lalu tersingkaplah perjuangan memartabatkan bahasa itu awalnya lahir di negeri Johor sendiri.

Kisah kedua dan ketiga saya rasakan dapat dirangkumkan bersama kerana saya melihat kisah keluarga si Buyung, seorang anak kecil yang masih belum matang dibesarkan oleh neneknya dan seorang kakaknya yang cantik bernama Anna Fatima. Kisah lucu si Buyung bersama rakannya bernama Bulat, banyak menerbitkan ketawa dan perasaan lucu dikalangan penonton. Namun begitu, saya lebih menyukai watak si Bulat yang dilihat lebih humor dan bersahaja jika dibandingkan dengan watak si Buyung yang lawaknya seperti terikat pada skrip dan kadang-kala seperti terlebih-lebih. Walaubagaimana pun, watak si Buyung mendapat tepukan yang lebih gemuruh di akhir pementasan oleh para audiens.

Anna Fatimah, diletakkan sebagai figura seorang gadis Melayu yang remaja jelita, yang tertib dan anggun dalam Menara Jiwa ini. Plot cinta Anna FatimaH menjadi konflik awal yang tercetus akibat percintaannya dengan seorang pemuda Melayu bernama Amir Hamzah dihalang oleh Nenek Anna Fatimah. Nenek Anna Fatimah ingin menjodohkan dia dengan seorang pemuda Inggeris yang bernama Edward Kissington.

Kisah cinta ini saya lihat sebagai satu satira yang sinis, sebagaimana Edward Kissington yang begitu bernafsu ingin menakluk remaja ke-Melayuan Anna Fatimah, begitu jugalah yang berlaku sewaktu zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Watak Edward Kissington pada hemat saya adalah yang terbaik di antaranya, sesuai dengan watak antogonisnya, watak ini dibawa dengan penuh ego, sombongĀ  orang inggeris. Apatah ditambah dengan solekannya yang membuatkan wajahnya dilihat penuh dengan kelicikan dan tipu-daya. Yang menariknya, setiap perbualan Edward Kissington dibuat dalam slanga ‘Mat Saleh bercakap Melayu’ dan ianya ternyata terjadi. Sesuailah ia dipentaskan dalam asas tema bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Johor 2010.

Edward Kissington berjaya menjadi satu watak yang begitu merendah-rendahkan orang Melayu. Intonasi suaranya begitu menyindir orang Melayu sebagai golongan bawahan yang patut mengikut telunjuk orang Inggeris ketika orang Inggeris dilantik untuk berkhidmat di Istana Besar Johor sewaktu zaman penjajahan dahulu.

Selain itu, saya juga terperasankan sesuatu di dalam watak Nenek. Ada konflik dalaman yang bersilang. Pada awalnya Nenek begitu tidak suka penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Perasaan ini digambarkan ketika Nenek membacakan Hikayat Melayu Lama kepada Buyung dan Bulat. Kemudian, Nenek juga yang begitu bersungguh-sungguh ingin menjodohkan Anna Fatimah dengan Edward Kissington.

Secara kumulatifnya, saya melihat pementasan teater ini lebih kepada cerita Edward Kissington, Anna Fatimah dan Amir Hamzah dalam konteks cinta tiga segi, berbanding nilai asalnya yang bertajuk Menara Jiwa, yang sepatutnya merungkai kembali sejarah penubuhan Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa Melayu yang diilhamkan oleh Engku Rahman Andak dan Ibrahim Munsyi di Bukit Timbalan. Namun itu hanya diceritakan secara sedikit.

Selain ruang pementasan yang kecil dan terhad, pentas itu kelihatan padat apabila diisi dengan penari-penari muzikal. Apa yang menariknya ialah teknik pencahayaan ketika pementasan teater ini sentiasa bergabung dengan plot-plot ceritanya. Begitu juga dengan latar muzik yang selalu bergema dan menikam tajam gegendang telinga disebabkan ruangan dewan yang kurang besar.

Latar belakang pentas pula mungkin boleh diubah dengan meletakkan banting bersaiz besar bergambarkan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan berbanding menara yang disusun sebagai piramid.

Advertisements

Kecundang Jua Akhirnya

Tengah hari itu begitu terik. Matahari memancar panas dari atas kepala. Hawa panas mula membahang dalam Stesen Bas Larkin. Orang yang lalu lalang di ruang pejalan kaki, atau yang sedang berdiri berbaris di kaunter tiket mula basah dilencuni oleh peluh badan sendiri.

Abang Li masih bersandar di tiang platform yang tertera tulisan A-17. Pandangan matanya disembunyikan dalam kaca mata hitam jenama RAY SUN yang sedang dipakainya. Matanya tangkas memerhatikan anak-anak buahnya yang sedang bekerja mencari pelanggan di sekitar stesen bas tersebut.

Siapa tak kenal Abang Li, sebut saja namanya semua jadi kecut perut, yang pemberani terus jadi penakut, yang bongkak terus rendah diri melutut. Abang Li ketua geng ulat tiket di Stesen Bas Larkin. Anak buahnya sahaja di situ mencecah hampir 30 orang. Setiap hari ada sahaja yang menjadi mangsa mereka tertipu membeli tiket bas palsu dari anak-anak buah Abang Li.

Kejayaan terbesar yang Abang Li pernah capai ialah memperdayakan 90 orang pembeli tiket. Waktu itu musim Hari Raya, kesemua 90 orang itu terkandas di Stesen Bas Larkin apabila Abang Li janjikan sebanyak 4 buah bas tambahan akan datang untuk membawa mereka pulang ke kampung halaman.

Sayangnya tiket yang mereka beli semuanya palsu, semua jadi tertipu. Satu laporan polis telah dibuat. Namun Abang Li masih bebas beroperasi di kawasan jajahannya. Hingga begitu sekali Abang Li berkuasa. Tak dapat dihalang.

Dari jauh, Abang Li perhatikan seseorang yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Sepertinya dia kenal manusia itu. Lan Racun. Rakan persekutuan Abang Li sejak 5 tahun lepas. Mereka berjumpa tanpa dirancang sewaktu ingin meleraikan satu pergaduhan di pesisir pantai Stulang.

Kelihatannya Lan Racun amat segak pada hari itu pada pandangan Abang Li. Dengan seluar denim hitam lusuh dipadankan dengan kasut kulit Dr. Cardin warna cokelat. T-shirt putih kolar bulat yang plain dipadankan pula dengan jaket kulit berwarna hitam. Setiap langkah Lan Racun kelihatan tegap dan garang. Abang Li cuma tersenyum. Dia kenal betul Lan Racun, kulit hingga ke isi.

Lan Racun melemparkan pandangannya pada senyuman yang diberikan oleh Abang Li lalu Lan Racun membalas senyuman itu kembali. Sedikit. Senyuman yang penuh tersirat pada hari yang sedia panas dan bahang. Keringat tidak putus-putus membintik di dahi, lalu turun mengalir di ruas pipi sebelum jatuh betul ke bumi atau dikesat terlebih duluĀ  oleh tapak tangan.

Lan Racun menghulurkan tangannya dan segera disambut Abang Li. Mereka berjabat erat dan padat.

Salam dileraikan.

“Li, maafkan kawan, kawan terpaksa buat begini” Lan Racun memulakan bicaranya dengan suara halus sambil meletakkan sebelah tangan ke bahu kanan Abang Li. Lan Racun semakin rapat sehingga tiada jarak antara mereka. Wajahnya ditundukkan memandang tanah seolah-olah Lan Racun telah membuat satu kesalahan yang amat besar pada Abang Li.

“Eh, awak cakap apa ni Lan? Kawan tak faham” Abang Li masih terpinga-pinga mencari titik maksud percakapan Lan Racun.

“Maafkanlah kawan Li, kawan tak mampu lagi, kawan minta maaf bagi belah anak isteri awak dan kawan-kawan kita. Walau kita kawan, tapi awak dah banyak buat orang lain susah. Kawan-kawan banyak yang dah mengadu. Mereka dah tak sanggup lagi Li. Mahu tak mahu kawan terpaksa” sambung Lan Racun lagi.

Selesai sahaja ayatnya yang terakhir, sepantas itu Lan Racun mengeluarkan sesuatu dari dalam jaket hitam yang dipakainya.

Abang Li tergamam, tindakan Lan Racun benar-benar diluar dugaannya. Dia tidak sempat mengelak atau mempertahankan dirinya lagi.

Thuuussss!!

Pistol jenis Desert Eagle yang dipasang silencer itu memuntahkan pelurunya dari jenis caliber .50 Action Express dengan saiz 12.7x33mm tepat ke sebelah atas rusuk kiri Abang Li.

Abang Li jadi longlai, nafasnya kencang turun naik. Abang Li tercungap-cungap. Nyawanya betul seperti telur dihujung tanduk. Hanya menanti untuk jatuh dan pecah.

Thuuussss!!

Dua kali tembakan bagi memastikan Abang Li benar-benar sudah tidak bernafas lagi. Matanya tertutup perlahan-lahan dibalik bingkai kaca mata RAY SUN yang dipakainya.

Tangan kanan Lan Racun yang memegang bahu Abang Li tadi menahannya daripada terus jatuh. Perlahan-lahan tubuh Abang Li yang tidak bernyawa itu Lan Racun sandarkan pada tiang platform. Lan Racun mengetap bibir sambil air matanya mengalir deras, Lan Racun cuba menahan tetapi dia tidak mampu.

Perlahan-lahan Lan Racun melangkah pergi meninggalkan tubuh Abang Li yang kaku berdiri bersandar di tiang platform. Pada pandangan orang ramai yang mundar-mandir di situ, Abang Li seperti seorang yang masih bernyawa di sudut tiang itu. Padahal tubuhnya sudah kaku, rohnya sudah pergi meninggalkan jasadnya.

Sebelum betul-betul Lan Racun jauh dari mayat Abang Li, Lan Racun menoleh ke belakang.

“Maafkan aku Li” kata-kata itu sekadar terucap dalam sudut hatinya yang paling dalam sambil air mata mengenangi kolam matanya.

Matahari masih memancar panas dari atas kepala. Hawa panas yang membahang dalam Stesen Bas Larkin itu sama sekali tidak menyedarkan manusia yang sedang berlalu-lalang itu tentang sebatang tubuh yang sudah terbunuh menjadi mayat.