Siapa yang lagi jaguh

Dahulu, saya seorang jaguh. Ya, seorang yang jaguh dalam membuka ikatan getah yang berlilit rumit di bungkusan plastik. Terutama bungkusan-bungkusan plastik air yang ikatannya memang terkenal ketat dan padat. Jika tidak, masakan air itu tidak pernah meleleh tumpah jika bungkusannya ditunggang terbalikkan atau bungkusan air itu bergelembung gemuk dan bulat tidak pernah surut.

Kemahiran ini banyak saya gunakan untuk membantu rakan-rakan membuka ikatan getah bungkusan air yang mereka beli. Terutama pada musim puasa. Paling pantas ikatan getah yang saya pernah buka, dalam masa kurang 5 saat.

Ada pada satu waktu itu, saya melihat seorang kawan sedang betul-betul berusaha membuka ikatan getah bungkusan air yang dibelinya buat berbuka puasa. Beragam-ragam gaya yang dia gunakan, dari gaya mencubit guna hujung kuku sampai ke cara mengigit-gigit getah kuning yang anjal itu. Kadang-kadang getahnya berwarna merah. Namun tetap tidak berhasil.

Melihat kepayahannya, saya tawarkan diri membantu. Saya membukanya kurang dari 15 saat. Rakan-rakan sekeliling yang mengelilingi menghadap juadah berbuka jadi kagum.

Seingat saya, yang paling susah untuk dibuka ikatan lilit getahnya, ialah bungkusan ‘cendol rock’ gerai Man Pailang. Saya gagal sekali. Ikatannya lain macam, tak sama macam ikat mamak nasi kandar ‘Syah Jhewal’, tak sama macam lilit Boy yang jual air bungkus yang macam-macam jenis, harganya seringgit tapi semua rasa manisnya serupa.Esoknya saya tekad pergi ke gerai Man Pailang di bazar ramadhan.

Menyamar jadi pembeli yang akhir, supaya saya dapat lihat cara ikat lilit getah Man Pailang pada bungkusan ‘cendol rock’nya itu. Kalau beli yang awal, Man Pailang akan beri yang sudah diikat, jadi susah mahu melihat teknik ikatannya.

Kemudian di situ saya perhatikan betul-betul cara Man Pailang mengikatnya. Heh! pulangnya ke rumah saya leraikan ikatan Man Pailang tadi dalam masa 25 saat. Rupa-rupanya Man Pailang gunakan dua getah untuk mengikat sebungkus air. Dan ikatan Man Pailanglah yang saya rasakan paling sukar pada waktu itu, namun saya tetap berhasil leraikannya.

Kemahiran ini saya bawa sampai ke rumah.

Pada suatu petang, hampir masuk waktu berbuka puasa, saya sedang terkulat-kulat membuka sebungkus air tembikai yang dibeli adik di bazar ramadhan. Kali ini ikatannya lebih rumit dari ikatan Man Pailang. Saya hanya mampu bergumam di dalam hati, sambil rasa tercabar untuk membuka ikatannya.

“Kau beli kat mana ni?” Soal saya garang pada Achik. Dia yang beli air ni. Achik sekadar memuncungkan bibir.

Saya cuba lagi. Pelbagai cara saya gunakan, dari hujung kuku sampai mengigit-gigit ikatan getah itu. Abah tiba-tiba muncul di ruang dapur melihat tindakan saya sambil mengeleng-gelengkan kepala.

“Kau ini, belajar tinggi-tinggi, tapi buka ikat getah pun payah” kata abah. Saya jadi malu di depan emak dan adik beradik yang lain.

“Bak sini” abah meminta bungkusan yang saya cuba buka. Saya hulurkan kepada abah dengan kepala menunduk. Malu.

Pertama sekali yang saya lihat sewaktu abah mengambil bungkusan plastik air tembikai yang bergelembung padat itu, abah pegang hujungnya. Abah belek-belek ikatan getah yang melilit ketat. Bungkusan plastik air itu abah pusing-pusingkan beberapa pusingan.

Tiba-tiba abah bersuara. “Ani, bagi pisau tu.”

Abah hiris dalam-dalam getah yang padat melilit ikat. Bak kata abah, ‘biar getah putus, tapi plastik tak bocor’.