Bintang Mengerdip- Dharma Wijaya

Pertama, ingin saya rakamkan ucapan terima kasih kepada pemberi buku ini. Kerana sudi ‘menghadiahkan’ naskah ini kepada saya.

Bintang Mengerdip sebuah naskah yang menghimpunkan puisi-puisi pemuisi dan pemuisiwati tanah air, nama-nama mahsyur seperti A. Latif Mohidin, A. Samad Said, Rejab F.I, Kemala, T. Talib Alias, Siti Zainon Ismail dan beberapa orang seniman lainnya. Sejenak, memikirkan kita membaca sebuah naskah puisi sebenarnya kita sedang membaca sebuah naskah yang aneh. Keganjilan akan sentiasa merayap dalam ruang pemikiran, sementara gerakan bibir akan semakin hanyut mengikuti aliran kata-kata sajak yang kita sedang baca. Walhal, kefahaman itu akan datang kemudian.

Sedari manakah minat saya terhadap puisi ini lahir? Saya sendiri tidak begitu pasti. Saya sendiri jadi keliru. Puisi itu sendiri bagaimana? Puisi itu sebenarnya boleh jadi apa-apa atau siapa-siapa, manusia-diri sendiri atau orang lain, haiwan- margastua atau serangga, rintihan- suka dan duka, tempat, pohon, angin ribut, laut, cermin, misteri, lantai, rumah pangsa, dan sejuta macam lagi. Dan yang paling ngeri, tentulah kematian. Tetapi kematian juga di dalam puisi boleh menjadi sesuatu yang indah dan berwarna.

Seorang penulis puisi yang manis pada saya, akan selalu menyampaikan kata-kata puisinya melalui gerakan alam. Semakin akrab penulis mengaitkan alam di dalam puisinya, puisinya akan semakin puitis. Juga dalam penulisan puisi urban, pemilihan kata-kata yang  semakin paradoks serta tidak dikawal penulisnya, puisinya akan semakin ghairah, semakin mendebar dan getar. Ia akan mengganggu emosi seperti asyik terbayangkan gadis cinta pertama.

Penyajak yang saya kira paling dekat dengan saya tentulah A. Samad Said. Kerana A. Samad Said masih lagi memelihara keharmonian dalam puisi-puisinya. Membaca puisi A. Samad Said seolah-olah kata-katanya sedang merayu, mencumbui kemudian merajuk meninggalkan kita meminta dipujuk. Ia seperti kekasih yang selalu manja dan mudah terusik.

Saya juga sukakan sajak A. Latif Mohidin yang pertama saya baca iaitu Sebuah ‘Bas Berwarna Biru’. Berkali-kali baca, masih belum paham. Dan itu merupakan keanehan yang nikmat. Seperti kata A. Samad Said, ‘Segala dihasrat/ tapi tak dapat/ sebenarnya nikmat/ yang paling padat’. Puisi seperti ini jika kita bedah, kita tidak akan menemukan apa-apa di dalamnya, tetapi ingin juga kita bedah lagi sekali, kemudian lagi dan lagi. Sampai akhirnya kita tahu bahawa ia sebenarnya ‘kosong’. Sesuatu  yang telah kita tahu sejak awal.

Atau saya juga menikmati ‘Di Ufuk Empat Puluh’ karya T. Talib Alias. Puisi ini mungkin puisi buat dirinya sempena umur yang ke-empat puluh, atau di-hadiahi kepada sesiapa yang meraikan kata ‘men life begins at fourty’. Kata-kata ‘di ufuk empat puluh aku mulai mengasingkan/ pucuk muda yang lembut/ dari daun tua yang kuning’ begitu sinonim dengan kehidupan.

Sementara sajak Kamala, lebih bernada lembut. Yang saya rasakan Seniman Negara yang ‘masih panas’ ini begitu sekali seorang penyantun. Lihat sahaja namanya, Kemala. Tetapi ini hanyalah ulasan yang rambang kerana memang puisi itu diciptakan agar pembaca dengan sengaja dapat mengkhayalkan mengikut kehendaknya sendiri. Menafsir mengikut kepercayaan yang telah ia dapat melalui puisi itu.

Dharmawijaya sendiri, sajaknya-sajaknya lebih menggoda, meminta kasih, mengharap harapan. Dalam sajak yang bertajuk ‘Di Dalam Gemanya, Pada Waktu-Waktunya’ atau sedikit contoh kita cedok dari ‘Kembali’. Kuntum cempaka di sanggul manjamu/ membawa gelisah mudaku/ yang telah lama/ bertualang ke kota/ kembali tenteram. Nah!

Ranah 3 Warna- A. Fuadi

Saya menutup helaian terakhirnya dengan perlahan. Kemudian saya bersandar lesu. Mendongak ke langit rumah, yang ada cuma atap bata yang berwarna putih dan kipas yang sudah berdebu sedang ligat berpusing (Malasnya mahu membersihkan).  Saya menarik nafas dalam-dalam, lalu saya hembuskan nafas yang panjang. Membaca Ranah 3 Warna, sebenarnya membaca diri kita sendiri. Memandang cermin, memantulkan wajah kita, atau membandingkan bayang-bayang dengan fizikal yang nyata di tengah terik matahari. Naskah ini terlalu bermotivasi. Ya, selepas 5 Menara yang resah di dalamnya menyurat tentang perjuangan ilmu Alif Fikri di Pondok Madani, kini Alif menjalin pula perjuangan hidupnya di Universiti Padjanjaran (UNPAD). Kisah mahasiswa yang sebenarnya panjang, lelah dicabar oleh dugaan persekitaran dan kemampuan diri sendiri.

Andai kita menelaah sebuah buku, sebenarnya apa yang ternampak di dalam lurus-liku jalan cerita, nilai watak dan perwatakan serta gambar latar suasananya cumalah kulitnya sahaja dan ia tidak ubah seperti kita  sedang mengupas kulit itu dengan harapan  isinya nanti kita dapat cicipi, kunyah dan nikmati, juga tentulah kita akan lebih berpuas jika isinya manis, ranum malah berkhasiat pula. Dan kadang-kadang boleh jadi pula  pisau yang digunakan itu terhiris ke jari sendiri. Begitulah Ranah 3 Warna kepada saya. Jika di dalam 5 Menara kita dijodohkan dengan kata-kata sakti “Man jadda wa jadda”, di dalam Ranah 3 Warna rupanya lebih menyergap dengan kata-kata hikmah “Man shabara zhafira” juga “Iza shaqadakal azmu wadaha sabil”. Inilah kekuatan A. Fuadi di dalam karyanya. Kekentalan Alif Fikri untuk melembutkan  perjalanannya yang ternyata keras dan berkerikil . A. Fuadi dengan kata-kata hikmahnya  ibarat seorang penulis yang menemukan sebatang pena hikmat untuk menulis dan  apa yang ia tulis walaupun dengan kadar bahasa yang sederhana tetapi begitu mencabar pembaca untuk bertarung di dalam zon kehidupan mereka sendiri. Menuntut sebuah perbandingan. Antara Alif Fikri dengan kita.

Ranah 3 Warna ialah sebuah kisah yang bagus untuk dijadikan ingatan kepada orang yang beruntung atau masih lagi punya sedikit keuntungan, Ranah 3 Warna juga harus menjadi cerita kepada manusia-manusia yang lemah semangat perjuangannya, Ranah 3 Warna juga mesti menjadi perbandingan yang nyata dalam kehidupan. Kita tidak boleh hanyut terlalu jauh kerana ia tidak akan mengembalikan semula kita ke daratan atau kita tidak boleh tenggelam sampai ke dasar kerana itu boleh mematikan atau memupuskan semangat dan cita-cita.  Apatah lagi jika ia sebuah cita-cita yang murni dan bersih. Yang pasti “Man jadda wa jadda” itu bagaikan sebatang jalan  yang menuju ke sebuah kota impian, dan “Man shabara zhafira” itu ialah kompas yang memandu untuk melewati jalan yang betul-betul benar untuk ke destinasi itu. Dan kita, selalu diajak A. Fuadi untuk memulakan langkah pertama.

Man shabara zhafira.

Lautan Terpilih

Hujan turun rintik-rintik menyentuh permukaan laut. Sementara gelora ombak masih jua tenang. Geloranya tidak terlalu ganas menghempas tepi tebing perahu-perahu nelayan yang rapuh dan tebing bot-bot pengail yang tampaknya lebih kukuh. Deruman enjin bot, menandakan mereka akan berpergian semahunya mereka, bertebaran di muka lautan yang luas. Tetapi pada hari ni, para nelayan yang sangat bergantung pada nasib mata kail atau tarikan jala dan pukat mereka merasai hairan dan bertanya, sedari pagi sehingga kini tiada satu pun hasil tangkapan yang dapat diperolehi. Jala-jala yang diangkat semua basah dengan air laut semata tanpa seekor ikan hatta seekor anak udang pun tidak tersangkut. Ke manakah perginya seisi buana laut?

Kehilangan sesisi buana laut rupanya terlalu misteri, dan rupa-rupanya juga seisi buana laut telah pergi menyelam ke sedikit dasar. Ke tempat yang lebih tenang dan selamat dari mata kail dan pukat. Lampan, tenggiri, cermin, siakap, bawal dan seluruh spesis ikan lainnya sudah sampai di taman karang yang indah, yang agak luas dan terpencil dipelihara alamnya. Dari jauh kelihatan berbondong-bondong kumpulan ikan seperti kembong, cencaru dan selar kuning yang sememangnya sangat berpadu sebagai sebuah pasukan. Di situ, kononnya akan ada satu perhimpunan raksasa yang akan mewarnai sejarah seisi lautan-menuntut kedamaian.

Di perkarangan taman karangan itu, seluruh khalayak ikan terapung-apung, berbaris-baris, berjalur-jalur, dan berlapis-lapis. Jeda mengisi seluruh ruang di dasar taman laut itu, hanya rumpun-rumpun rumpai laut yang tegak melambai-lambai dan melenggok seolah-olah sedang menari. Sesekali, sekor pari yang melekap di dasar pasir melibaskan sayapnya, serta merta debu-debu pasir mengeruhkan sekitarnya sebelum ia kembali jernih.

“Tuan-tuan pasti bertanya, mengapakah tuan-tuan diajak untuk berhimpun ke mari?” suara itu hadir dari seekor ikan merah yang muda. Matanya merah, sisiknya merah dan pejal otot dagingnya kelihatan perkasa. Ikan merah yang sisiknya dikilaukan cahaya matahari yang menembusi sampai ke dasar taman karang itu ternampak sedang ‘berdiri’ segak di atas sebuah batu karang yang sudah berusia ratusan tahun, berwarna warni. Seolah-olah dia tahu di situ adalah kedudukan paling tepat untuk podium penyampaiannya. Paling santun untuk berbicara.

“Mengapa?” tiba-tiba ada jerit suara yang bertanya di kalangan khalayak. Dan kata ‘mengapa’ itu berbisik-bisik di antara hadirin sebelum menjadi gema yang saling bersahutan perlahan. Ikan merah memperkemaskan nafasnya di dalam air, mengibas-kibaskan ekornya yang cantik berkembang dan siripnya yang pendek itu agar dia kelihatan lebih segak terapung dalam posisinya tanpa ada sejarak pergerakan pun. Begitu ikan mengawal dirinya, kelincahannya. Lalu dengan tiba-tiba dia melontarkan suaranya dengan keras, katanya “Kerana, kita perlu bangkit!” Hadirin tergamam, warna merah sisiknya ternampak semakin silau bagaikan semangatnya juga.

“Apakah kita tidak sedar sesungguhnya selama ini, di buana lautan luas ini, kitalah makhluk yang paling tertindas?” tanyanya lagi. Terpaku hadirin disentak begitu. Ikan muda ini terlalu garang, mungkin begitu umum berfikir tentang dirinya.

Seekor tenggiri berdehem, “Benar, tapi kita ini hanyalah ikan-ikan kerdil, manakan mampu hendak mencabar jerung-jerung gergasi itu. Sekumpulan cencaru, tamban atau selar kuning yang bergompol bagai kelompok awan itupun, dengan sekali baham hanya menjadi sisa yang terselit di celah gigi mereka sahaja”. Hadirin tertawa mendengar kata tenggiri yang cuba mewajarkan waras dengan sedikit komedi.

Keadaan menjadi sepi semula.

“Sebenarnya, apa yang kita perlu ialah kemahuan dan sedikit keberanian” seekor kerapu tua tiba-tiba mencelah. Kerapu tua itu begitu kaya pengalaman sepanjang hayatnya. Dia sudah beberapa kali tersangkut di mata kail pemancing tetapi spirit lawannya kuat. Tali tangsi selalu terputus kerana rentapannya. Atau pecutya selalu laju ketika menikmati unjam di tengah tebaran jala. Sebelum jala diraup dia telah pun lepas di batasan jaring, membuatkan dia tidak tersangkut. Juga dia selalu menjadi buruan jerung-jerung ganas yang cuba membahamnya, tetapi dia lebih licik untuk bersembunyi di celahan sempit batu-batu karang yang sememangnya diciptakan sebagai tempat perlindungan untuk waktu yang amat terdesak.

Sambung kerapu tua lagi, “tidakkah kita ingin belajar dari sejarah Libya yang telah bangkit? Atau menyelami peristiwa Kaherah yang meruntuhkan kuasa birokrasi penguasanya? atau Cairo yang dihujani benih-benih perjuangan untuk mencambah semula taman keadaan yang sedia gering?”

“Kita hidup di lautan yang terpilih, namun sayang bagaimanakah kita boleh bernafas tenang dalam air yang kini sebegitu keruh? Sedangkan kita terdaya untuk mengembalikan kejernihan itu.”

Sesekali, sekor pari yang melekap di dasar pasir melibaskan sayapnya, serta merta debu-debu pasir mengeruhkan sekitarnya sebelum ia kembali jernih.