5 Menara- A. Fuadi

5 Menara, karya novelis muda Indonesia, A. Fuadi menceritakan secebis pengalaman hidup mengenai sebuah intipati perjuangan anak muda. Kisahnya bermula apabila seorang anak pintar yang mempunyai cita-citanya sendiri, Alif Fikri terpaksa mengubah masa depan yang dikejarnya demi menunaikan hasrat dan harapan sang ibu, untuk dia menyambung pelajaran di dalam bidang agama.

Pada waktu itu, pada fikiran Alif, juga pada pandangan masyarakat umumnya, sekolah agama hanyalah untuk mereka yang tidak begitu cemerlang di dalam urusan pelajaran. Lantaran itu kebanyakkan pelajar yang memasuki sekolah agama hanyalah sebagai pilihan kedua, iaitu apabila mereka tidak layak untuk memasuki jurusan-jurusan kritikal seperti kejuruteraan, perubatan, ekonomi, sains dan sebagainya.

Sedangkan Alif Fikri dengan keputusan yang cemerlang sebenarnya layak untuk meneruskan pelajaran di dalam bidang yang amat-amat diminatinya iaitu bidang teknikal dan kejuruteraan. Amat berhasrat dapat menyambung pelajaran hingga ke ITB (Institut Teknikal Bandung) bersama rakan baiknya, Randai.

Namun, persepsi ibu Alif adalah sebaliknya, jika selama ini anak yang betul-betul cemerlang itu dihantar untuk meneruskan pelajaran dalam bidang kritikal, dan yang kurang cemerlang pula dihantar ke sekolah agama untuk membangunkan agama pada masa-masa akan datang, maka dia percaya bahawa ulama-ulama yang dihasilkan adalah dari kalangan pelajar gred 2. Yang menjurus ke aliran agama kerana terpaksa!

Maka sang ibu begitu bulat menanamkan tekad, bahawa anak yang pintar ini mahu di’korban‘kannya dengan menghantar ke sekolah agama untuk membangun agama dan bangsa di kemudian hari. Sesuatu pelaburan yang jarang-jarang berlaku di fikiran orang awam.

Alif Fikri begitu memberontak dan memprotes keputusan ibunya itu. Namun ketaatan yang telah ditanamkan selama usianya masih muda, menyebabkan dia terpaksa tunduk dan hormat di atas permintaan ibunya. Maka dari detik itu, bermulalah pengembaraan Alif Fikri ke sekolah agama yang di panggil Pondok Madani dengan separuh hati.

Pondok Madani ialah sebuah persantrean yang begitu tegas dalam hal ehwal disiplin dan cekap dalam ehwal pengurusan serta cemerlang dalam menghasilkan pelajar-pelajar agama kelas satu. Digambarkan di dalam buku ini, Pondok Madani itu sebagai kawasan dan tempat yang enak untuk menuntut ilmu, kawasan yang luas, indah, nyaman permai, tenaga pengajarnya yang hebat dari bertaraf kiai hingga yang bergelar ustaz dengan kegemilangan akademik yang bukan calang-calang. Suasana menuntut ilmu yang ketat dan padat yang tidak semata-mata berteorikan penulisan di atas kertas malah digambarkan dengan kata-kata yang begitu memempersonakan saya, “Belajar agama di Madani adalah seperti oksigen. Ada di mana-mana”[1].

Man jadda wa jadda.

Kekuatan novel ini, secara terus-terang adalah sebagai mana yang banyak diperkatakan dalam ulasan-ulasan yang lain. “man jadda wa jadda”, “Sesiapa yang berusaha pasti akan berhasil”. Di sinilah letaknya kekuatan novel 5 Menara sebagai sebuah novel pembangun jiwa, menyuntik motivasi dan candu yang menyebabkan ketagihan pada usaha yang sentiasa lebih dari orang lain untuk berjaya.

Ketika sampai di Pondok Madani, Alif Fikri dihentak dengan kata-kata sakti ini (begitu juga saya), kata-kata ini menjadi pemangkin kepada semangatnya yang luntur kerana terpaksa ke sini atas permintaan ibunya. Sejak dari itu, Alif Fikri mula terkesan, mengambil yang positif dan semangat untuk menguasai ilmu menjalar dalam setiap degup nafasnya.

Disini juga adalah permulaan pertemuan antara Alif Fikri dan rakan-rakan seperjuangannya. Alif Fikri dan 4 orang rakannya digelar sebagai “Sahibul Menara” iaitu Atang, Baso, Said dan Dulmajid. Watak-watak ini  berkembang baik sampai ke hujung cerita sehingga setiap watak diceritakan dengan terperinci kekuatan mereka, bergabung dalam atmosfera menuntut ilmu yang dahsyat, turun naik diuji dari tahun pertama hingga tahun akhir dan akhirnya masing-masing berjaya dengan menggunakan sepenuhnya bakat-bakat yang dikurniakan di dalam diri mereka. Dilakar juga betapa sifat setia kawan yang dipupuk dalam novel ini dalam kotak kehidupan bergelar pelajar turut mengesani saya sewaktu menghadapi pengalaman yang hampir serupa. Ketika zaman jahiliah menuntut ilmu. Kontra sekali dengan apa yang digambarkan dalam 5 Menara ini. Begitu menginsafkan.

Lanjutan bab demi bab mempamerkan banyak cerita suka duka pengalaman Alif Fikri bersama rakan-rakannya “Sahibul Menara” di dalam lingkungan pagar Pondok Madani. Bermula kesusahan untuk mengadaptasikan suasana pembelajaran yang komprehensif, hanya dibenarkan berbual dan bercakap dalam dua bahasa sahaja iaitu bahasa Arab dan English, manakala bahasa indonesia adalah dilarang sama sekali penggunaannya, namun akhirnya masing-masing menjadi cekap dan lancar berdiskusi dalam ke dua-dua bahasa lantaran persekitaran belajar yang begitu menekan sesuai dengan kata-kata saktinya “man jadda wa jadda”.

Dilanjutkan cerita, dengan kawalan disiplin yang ketat sehingga kumpulan “Sahibul Menara” ini beberapa kali di denda lantaran kecuaian mereka dari sekecil perkara seperti tidak memakai tanda nama, hingga ke besar-besar perkara, kerana keluar tanpa izin  ke Surabaya untuk membeli ‘ais kering’ bagi menjayakan persembahan untuk tahun akhir.

Sekaligus menunjukkan kepada pembaca dalam soal mendidik, disiplin adalah perkara paling utama dan hukuman adalah perlu dijalankan tanpa mengira status walau dimana sahaja.

Ketika sampai pada bab 39, It’s show time, saya betul-betul terkesan. Pada waktu ini penulis menyampaikan peranan dan peristiwa di tahun akhir. Mengingatkan detik-detik persembahan sebagai pelajar tahun akhir yang gemilang. Adalah menjadi suatu kemestian pada setiap pelajar yang pernah menjalani kehidupan asrama, seni persembahan pentas adalah yang paling ulung ketika berada di tahun akhir.

Penulis mengingatkan betapa saya juga pernah mengalami peristiwa yang hampir sama. Cuma ia berbentuk kontra. Penulis menceritakan kumpulannya yang mengagungkan syiar dan kemegahan agama dalam pentas teater bertema “Pengembaraan Ibn Batuttah”.

Sementelah ketika di waktu saya, majlis tahun akhir yang bermula dengan pembukaan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Nur Karim bersama terjemahannya, di akhiri dengan tarian ‘break dance’. Kemudian ditegur Ketua Warden Asrama, dan kami menganggap betapa dia seorang yang tidak befikiran terbuka untuk menyelamai hati riang anak muda yang terpegun dengan langkah tari musik moden ‘B-Boy Step’. Sekarang saya cuba membandingkan kehidupan menuntut ilmu yang pernah saya alami dengan kehidupan indah di Pondok Madani. Jauh benar rasanya.

Dihujung bab, ketika membaca 5 Menara, sewaktu Alif Fikri dan “Sahibul Menara” yang lain, juga warga Pondok Madani yang lain berada di tahun akhir bertempur demi sebuah kejayaan untuk cemerlang di dalam “peperiksaan atas peperiksaan”, tergesip di dalam hati saya,  penulis membayangkan bagaimana suasana pembelajaran itu menjadi lebih ekstrem dan mencabar. Digambarkan seperti petikan di bawah;

“Dewan ini terus berdengung dengan suara ratusan orang yang belajar bagi menghadapi ujian akhir. Semarak dan riuh rendah. Sekilas menyrupai kem perpindahan para ilmuwan. Kemana mata aku edarkan, yang tampak adalah meja yang dipenuhi tumpukan buku, gelas kopi dan baju-bau yang digantung dan anak-anak muda yang sibuk berdiskusi bersama atau khuysuk membaca buku pelajaran. Bagi lebih menyemarakkan suasana, kami juga menempelkan sepanduk pelabagai kata motivasi di dinding dewan. Misalnya ‘Man thalabal ula shairal layali’, ‘buku yang tebal dimulai huruf yang pertama di halaman yang pertama’, dan tentu sahaja ‘man jadda wa jadda’.”[2].

Maka, saya tidak dapat tidak, mengiyakan kata-kata Nisah Haron dalam ulasannya kepada buku ini, bahawa ianya amat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan motivasi kepada para pelajar kerana kandungannya yang menceritakan kesungguhan dalam menuntut ilmu, selain itu patut juga dijadikan rujukan buat para pendidik dan bakal-bakal guru untuk membaca kehebatan kaedah-kaedah para kiai dan ustaz di dalam cerita 5 Menara ini mengenai perjuangan mereka menyampaikan ilmu. Hakikatnya ialah selalu terbuka untuk menjadi pemimpin, dan bersedia dipimpin serta keikhlasan itu adalah kuncinya.

Selain itu, novel ini juga cukup dengan intipati pengajaran yang berkesan samada untuk diambil dalam konteks individual seperti bersikap positif, menghormati orang tua, keikhlasan dan usaha yang tidak mengenal putus asa, manakala dalam konteks komuniti ia mengesankan pengajaran yang patut diambil iktibar seperti semangat setia kawan, patriotisme, menghormati antara satu dengan yang lain dan kerjasama sebagai satu kelompok pasukan.

Jujurnya, jika saya membaca novel ini sewaktu di zaman menuntut ilmu dahulu, maka saya pasti terangsang dengan kata-kata ‘man jadda wa jadda’. Saya betul-betul menyerap api semangatnya.

Molek garden,
2050,
Aug 5, 2010.

Rujukan:

[1] Halaman 42, Kampung di atas Kabut, 5 Menara.
[2] Halaman 456, Kem Konsentrasi, 5 Menara.

1 Comment (+add yours?)

  1. Trackback: Ranah 3 Warna- A. Fuadi « Production Kehidupan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: