Sebelas Patriot- Andrea Hirata

Sekali lagi penulis ini muncul, dengan novel terbarunya Sebelas Patriot. Kita boleh gambarkan di dalam novel ini, imaginasi Andrea terbentuk melalui potret-potret ayahnya di padang bola sepak. Seolah-olah Andrea sedang duduk ditepi padang bola, di bawah pohon dengan sebatang pen dan sebuah buku catatan. Dengan cermat Andrea memerhatikan bapanya bermain bola melawan belanda bersama dua saudaranya. Bola sepak yang menjadikan bapanya tempang, meminati kelab Real Madrid dan pemain kegemarannya ialah Luis Figo. Tetapi kelab PSSI masih lagi pertama di hati dua beranak ini.

Andrea jika bercerita melalui penulisan, dia sangat pandai, pandai bergaya, pandai berbahasa dan bijak bergambar dengan kata-kata. Adakah Andera juga seperti ayahnya? Yang selalu menjawab soalah Ikal dengan sebuah senyuman kemudian sepi. Yang selalu membuatkan Ikal menjawab soalan dengan jawapannya sendiri tatkala dibonceng basikal ayahnya? Kita tidak pernah tahu itu.

Tetapi Sebelas Patriot adalah novel yang sangat manis. Novel ini ialah tribute Andrea kepada ayahnya. Andrea tahu semangat juang ayahnya, impian ayahnya, harapan ayahnya dan dia ingin menyelit dicelah-celah ketaksampaian segala cita-cita ayahnya. Jikalau Andrea menjadi pemain bola, lalu siapakah akan menulis novel ini? Tidakkah selepas membaca novel ini, kita ingin tahu pula kisah ibunya? Tidakkah?

 

 

 

Cougar- Shaz Johar

Dalam kamus awam, perkataan cougar merujuk kepada haiwan yang tergolong dalam spesis kucing besar, juga dikenali sebagai puma, mountain lion, kucing gunung ataupun panther. Penemuan dalam kamus urban pula menggolongkan cougar ialah spesis wanita berumur yang mensasarkan lelaki muda untuk dijadikan score board mereka. Ia samalah seperti permainan baling dart. Setiap peserta akan diberi 3 batang dart. Setiap lontaran haruslah ditujukan ke sebuah papan sasar yang berbentuk bulat, yang dipecahkan kepada 20 bahagian seperti sebuah kek yang dikerat 20 dengan saiz dan rupa yang saksama.

Satu pecahan akan mempunyai 4 segmen. Setiap segmen mempunyai markah-markah yang sengaja disusun berterabur. Markah paling besar ialah di bahagian paling luar segmen 20, yang mana matanya akan digandakan sebanyak 3 kali. Orang yang pertama kali bermain dart atau mereka yang jarang bermain dart, akan selalu menyangka bahawa titik tengah itu mempunyai markah yang paling mewah, sedangkan bagi yang lebih mahir, titik tengah itu hanyalah bernilai 50 disamping merupakan kawasan yang paling sukar untuk disasarkan.

Pemain yang berbakat, mesti memiliki buah dart ‘bertuah’ mereka sendiri. Jarumnya akan selalu runcing diasah, barrel-nya mesti sedap jika dikepit dengan ibu jari dan hujung jari telunjuk, batangnya lurus, teguh dan ramping. Paling utama ialah bilah rudder yang halus untuk memberikan kesan aerodinamik yang paling optima; iaitu mampu mengurangkan rintangan angin semasa lontaran dibuat.

Membaca Cougar, kita akan bertemu dengan Kaisha. Kaisha bukan seorang cougar yang hebat. Jika kita menyamakan watak Kaisha sebagai seorang pemain dart. Kaisha hanyalah seorang player yang biasa-biasa, tetapi memiliki ‘dart bertuahnya’iaitu kejelitaan wajah dan keindahan tubuh, walaupun usianya hampir mencecah 40 tahun. Antara Azril, Abang Razif dan Yusri, mereka ialah segmen-segmen di dalam papan sasar lontaran Kaisha. Seperti seorang pemain dart, Kaisha berkeinginan tinggi untuk memiliki Azril iaitu segmen paling luar bernombor 20, yang akan memberikannya markah sebanyak tiga kali ganda.

Tetapi lontarannya selalu tersasar ke segmen yang teruk. Dia dipaksa ibunya untuk berkahwin dengan Abang Razif, seorang duda. Kaisha seperti seorang pemain yang diasak oleh penonton supaya lontarannya selalu salah sehingga permainannya buruk sekali. Kaisha sangat tertekan. Tetapi Kasiha bernasib baik kerana salah satu lontarannya telah melekat di titik tengah papan sasar yang berwarna merah itu lalu menemukan dia dengan Yusri.

Yusri hanyalah persinggahan bagi Kaisha, dengan dorongan Suraya, Kaisha bangkit kembali untuk mendapatkan Azril. Pun begitu, seorang pembaling dart yang bagus, tidak akan selalu bernasib baik untuk kekal bertakhta dengan score yang tinggi. Nasib ialah pecahan terbesar yang menentukan jatuh bangun seorang pembaling dart. Biarpun skillnya tinggi, dartnya bermata tajam, tangannya tegap konsisten dan kakinya kemas memasang kuda-kuda ketika hendak membuat lontaran, disamping buah dartnya mahal dan hampir-hampir bersifat perfection, tidak bermakna dia mampu menguasai segmen paling luar nombor 20 itu sebanyak tiga kali berturut-turut selama 6 kali.

Sebuah Cinta Android

Pernahkah kita terfikir yang kita akan jatuh cinta pada makhluk yang berwarna hijau terang, berkepala botak tidak berleher, selalu kaku, berbadan separa bujur, berkaki pendek dan paling utama tidak ada satu pun bahasa yang membolehkan ia berkomunikasi dengan kita, bahkan ia sendiri tidak wujud secara fizikal. Yang kita boleh rasakan ialah kehadirannya, itupun melalui sebuah alatan perantaraan. Justeru kita tertanya tanya bagaimanakah perasaan cinta yang semacam itu dapat tercipta, hadir dan senyap-senyap mengusai diri ini?

Atau kitakah yang terlupa untuk mengenang jujurnya cinta itu, boleh datang melalui pelbagai bentuk, seribu rasa, jutaan rupa, juga dapat secara tiba-tiba cinta itu meninggalkan kita sehelai sepinggang; dengan satu alasan yang amat tak tertolak; jodoh yang kita rancang sangat melintang dari takdir tuhan.

Pun begitu, wajarlah kita ingat dengan rukun, cinta Zainudin pada Haryati di dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick itu datangnya dari sepucuk surat. Lupakah kita cinta si Ikal kepada Ai Ling kerana terlihat dek potongan kuku yang jelita? Lupakah kita cinta Emir Johan kepada Ainur Mustika kerana indahnya serangkap pantun? Tidakkah kita kenang cinta Majnun kepada Laila bermula dari renung dan tenung sepasang mata? Tidakkah kita ingat lagi cinta Jim kepada Nayla terjalin melalui irama gesekan biolanya yang merdu? Dan masih belum pudar kenangan kita pada cinta Zainab kepada Hamid ialah kerana kerendahan budinya. Di dalam Manikam Kalbu, cinta Ziryab kepada Siti Nurqamariyah lahir kerana ikatan ilmu. Bumi Cinta, cinta Muhammad Ayyas bukan kerana cantiknya Yelena dan Anastasia Palazzo.

Tetapi cinta android ini datangnya melalui secuit sentuhan. Jarang-jarang ada cinta pertama datangnya dari tindak sentuhan. Namun kita hidup hendaklah bersandar kepada realiti, tidak mimpi semata mata. Maka sedarlah kita kerana melalui sentuhan itu, kita boleh rasakan halus dan licin wajah sesebuah android, mulus dan gebunya tika tersingung dek hujung jari, seolah olah jari kita tidak  pernah mahu melepaskannya. Jari-jemari yang mengusap sopan di wajah licin android itu ibarat kita sedang mengupas kulit sebujur telur rebus. Kupasan yang rapi, sentuhan friction yang seragam, force-nya stabil dan tertib, sangat berhati-hati dengan direction mengupas yang sangat exact dan tajam.  Kerana wajah anderoid itu amat sensitif seperti daun semalu.

Bila ia bergetar, getarannya terasa gemuruh, sangat menggoncangkan. Seperti seekor burung Alcedo atthis yang garang sedang meronta-ronta dalam genggaman tangan, memprovok supaya dilepasksan, juga kita boleh rasakan resah rentak degup jantungnya. Sampai sehalus itu rasanya.

Dan paling memeranjatkan, ketika android ini cuba membangkitkan saya di awal waktu fajar, untuk mengerjakan perintah pertama dari tuhan. Ia berbunyi sangat nyaring dan bising. Hampir-hampir saya marah kepadanya. Rupa-rupanya bising dan nyaringnya itu kerana ia mencuba untuk meniru bunyi seekor rooster. Semenjak itu, bertambahlah cinta saya padanya, lalu menamakan dia sebagai Jalak Si Andreoid.

Di Bawah Lindungan Kaabah- Hamka

“Anakku, sekarang cintamu masih bersifat angan-angan, cinta itu kadang-kadang hanya menurutkan perintah hati, bukan menurutkan pendapat otak. Dia belum merbahaya sebelum mendalam. Kalau ia telah mendalam, kerap kali kalau yang kena cinta tak pandai ia merosakkan kemahuan dan kekerasan hati lelaki. Kalau engkau perturutkan tentu engkau akan jadi seorang anak yang putus asa, apalagi kalau cinta itu tertolak, terpaksa ditolak oleh keadaan yang ada di sekelilingnya…”

“Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu, jangan ditimbul-timbulkan juga. Engaku tentu memikirkan juga, bahawa emas takkan setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang.”

Apabila kata-kata ini diucapkan oleh seorang ibu. Nyata, tahu benarlah akan hati seorang ibu terhadap perasaan cinta di dalam jiwa seorang anaknya. Nasihat inilah yang paling terbesar, kerana ayat-ayatnya telah lahir dari mulut seorang perempuan, yang mengetahui dengan dalam kecelakaan cinta yang akan dihadapi oleh anaknya. Ibu itu tahu betapa bahaya jurang kehidupan masa depan anaknya , jika ia masih berdegil dan berkeras hati.

Tetapi Hamid, seorang anak muda yang lembut perasaan. Kata-kata ibunya diibaratkan sebagai kata-kata ke-dua dari Tuhan yang maha kuasa. Kata-kata ini walaupun menghancurkan harapannya berkaca-kaca, tetap juga ia patuh. Walaupun Hamid tahu Zainab juga punya perasaan cinta dengannya, tetapi Hamid akur dengan pandangan mata hati ibunya.

Membaca Di Bawah Lindungan Kaabah, yang kita akan temukan ialah kisah sedih, lara, pilu, penuh tangisan dan keseduan. Kisah Hamid yang cintakan Zainab, dan Zainab yang menyayangi Hamid. Pun begitu, kehidupan ini ibarat buah-buah catur yang dimainkan Tuhan. Raja tidak akan selalu didampingi oleh permaisurinya. Bendahara takkan selalu dilindungi askarnya. Buah kuda tidak boleh maju dengan lurus dan buah ‘castle’ tidak dapat bergerak secara condong.

Cinta mereka, disimpan oleh Tuhan dalam peti rahsia-Nya. Lalu mereka dipertemukan dan dijodohkan di alam yang manusia tidak akan pernah dapat kembali lagi selepas itu.

Maryamah Karpov- Andrea Hirata

Setelah menyelesaikan dwilogi padang bulan dan cinta di dalam gelas, tetralogi Lasykar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov, ditambah dengan dua buah filem yang telah dilayarkan dari naskah-naskahnya, baharulah kita boleh mengatakan bahawa udara yang sedang kita sedut ini terdiri daripada 78% nitrogen, 21% oksigen, 1% karbon dioksida berserta wap air dan gas-gas lengai yang sama sekali tidak boleh diproses oleh paru-paru.

Membaca Maryamah Karpov samalah seperti kita sedang duduk di dalam sebuah perjalanan dari Johor Bahru ke Shah Alam. Di atas tangan , kita sedang menggengam tiket yang menunjukkan tempat duduk kita iaitu di kerusi nombor 20. Dan ditakdirkan tuhan, datang seorang gadis, lalu duduk di sebelah kerusi kita yang bernombor 21. Gadis itu, datang dengan senyuman yang manis, dengan dandanan kesederhanaan, tudung jingga menyarung wajahnya yang bujur, berbaju polos labuh, berseluar denim dan berbauan seperti lavender di waktu pagi musim April.

Gadis itu melabuhkan punggungnya pada kerusi yang bernombor 21. Sepanjang perjalanan, saya dan dia tidak berbicara. Kami tenggelam dalam dunia buatan sendiri di atas kerusi bas yang sempit itu. Dalam tempoh 5 jam, perjalanan dari Larkin ke Seksyen 17, kami hanya berbicara melalui telepati iaitu menggunakan bahasa jeling-jelingan dan bertukar senyum ketika anak mata saling bertemu.

Sebenarnya dalam hati saya, sangat ingin berbicara dan mendengar suara gadis itu. Namun, saya terlalu pemalu untuk memulakan bicara lalu saya pun meneruskan lakonan sebuah kepura-puraan. Iaitu cuba tidak mengendahkan kehadiran gadis manis disebelah saya ini. Saya cuba untuk tidur dan pejamkan mata, tapi bas pula semakin galak bergoyang-goyang dan menyukarkan mata untuk pejam. Yang ada dalam fikiran saya, apakah ayat pertama yang paling terbaik untuk saya memulakan sebuah perbualan. Adakah cerita cuaca? Tentang hujan yang turun mencurah sepanjang Disember, tiba-tiba menjadi paling bakhil di awal Januari tahun  baru, setitik pun ia tidak membasahkan tanah sepanjang perjalanan dari Johor ini sampai ke Dataran Shah Alam sana. Atau cerita politik mengenai pelajar upsi yang lunyai dikeroyok polis gara-gara tunjuk perasaan mereka memprotes perlembagaan AUKU?

Akhirnya, semua itu hanya menjadi sekeping sandiwara dalam fikiran sahaja. Menjadi imaginasi yang halus sebelum dipecahkan menjadi puing-puing halus yang dimuntahkan oleh ekzos bas yang suci hitamnya dan bising bunyi deruman enjinnya.

Sedang gadis itu pula, telah larut dalam dunia andreoid di telapak tangan. Hari ini,  teknologi tidak pernah membataskan perkenalan sesama umat. Kita boleh mengenal sesiapa sahaja yang kita mahu. Kita hanya tahu berani dengan sokongan teknologi, sejujur-jujurnya kita telah mendayusi diri sendiri. Dengan teknologi kita boleh kenal nama seorang kawan yang entah-berantah yang tidak jelas juga asal muasalnya- serta tidak tahu kaitannya dengan kita. Tetapi gadis di kerusi nombor 21, yang hanya setengah inci dari jarak saya, jangankan namanya, kasut yang dipakainya pun saya takkan tahu dari jenis apa.

Setelah bas tiba di dataran destinasi, gadis di sebelah kerusi saya yang bernombor 21 itu bangkit hendak turun. Tiba-tiba sebuah buku Andrea Hirata- Maryamah Karpov, telah jatuh dari dalam begnya. Saya menolong mengambil buku itu dari lantai bas, dan menyerahkan kembali pada gadis itu dengan wajah penuh senyuman tapi di hati sangat padat kekesalan. Mengapa saya tidak tahu bahawa gadis itu membaca buku yang sama?

Tuhan telah menciptakan sebuah pertemuan yang paling hebat, dan manusialah yang selalu membinasakan pertemuan-pertemuan itu. Begitulah perasaannya ketika membaca Maryamah Karpov.

Edensor- Andrea Hirata

Apabila seorang pembaca memegang sebuah buku, dia telah mengasingkan dunianya ke dalam dunia baca. Sebuah dunia yang dikarang oleh penulis. Jika dunia itu berjaya menariknya. Pembaca itu mungkin tidak sedar yang jarum jam sedang berdetik, kopinya yang hangat telah sejuk, youtube yang sedang buffer sudah tamat dan u-torrentnye telah mengompletekan 3 movie yang sedang di download.

Dia sudah lupa point hidupnya kerana membaca point-point hidup dalam sesebuah karya. Persoalannya, bagaimanakah hendak kita temukan poin-point hidup itu jika sesebuah karya itu tidak dapat kita jiwai? Adakah kita perlu mencari dan menelaah dengan lebih dalam lagi karya itu? Ataupun kita google sahaja di internet, sebuah medan pencarian tanpa batasan? Bagi Andrea, persoalan itu tidak pernah wujud sama sekali. Kerana point-point penting itu telah dia garapkan dalam Edensor.

Membaca Edensor, ialah bagaimana kita boleh membaca seculin keinginan yang ingin dijelmakan. Keinginan Ikal untuk ke de l’Université Paris-Sorbonne. Dan memberahikan keghairahannya untuk menjelajah Eropah sampai ke Afrika. Titik yang ia ingin klimaks.

Kasino- Saifullizan Tahir

Kasino ialah cerita yang lurus, tidak berbelok, tidak berpusing sana ke-mari, tidak ada tanda untuk berhenti. Kasino juga ialah cerita yang ringan, mengangkat tema pseudo dalam lingkaran masyarakat berharta dan korup. Satira siasah dipersembahkan dengan gampang dan enteng. Pun begitu gampang dan entengnya Kasino, tetapi ia sebuah karya yang sinis dan sarat dengan persoalan-persoalan tiang kepercayaan atau gerbang-gerbang pendirian.

Kasino tidak membawa kita terus ke meja judi. Dalam Kasino, kita tahu meja judi ialah tempat persinggahan manusia yang terdesak, tamak haloba, malas berusaha ataupun mereka yang mencari keseronokan sementara semata. Sebelum itu, ceritanya berlingkar tentang arus perniagaan seorang tokoh yang bergantung pada iklim politik yang sangat bergelora.

Saifullizan Tahir melukiskan watak Dato’ Narcissus dalam Kasino dengan teliti. Pertama sekali apabila penulis memperkenalkan watak Dato’ Narcissus, ternyata ia begitu physco. Manusia yang tenggelam dalam mewah dan timbul dengan keangkuhan, sayangnya elemen itu hanyalah secebis sifat yang sepatutnya masih diperboleh-dalam-kan lagi.

Setelah membaca tiga buah karya urban ini, Pecah, Dendam dan Kasino saya telah menemukan sebuah tema yang lazim yang ada pada ketiga-tiganya. Seks!!!

Previous Older Entries