Rahsia Masakan Nenda

Saya akui, sebagai seorang jejaka, lelaki ataupun teruna, saya tidak begitu akrab dengan suasana dapur. Menghulurkan tangan dan sekerat tenaga untuk usaha dan kerja-kerja di dapur amat boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Melainkan kerja-kerja yang besar seperti untuk kenduri kendara, maka sewajibnya saya akan menyinsing lengan untuk perkara itu. Tidak untuk urusan kecil-kecilan seperti sarapan pagi, makan tengah hari ataupun malam.

Bukan atas alasan ego atau berat tulang, tetapi merasakan adik-adik saya yang sunti itu perlu lebih cekap dalam urusan di dapur tanpa dibantu oleh tenaga abangnya melainkan kerja-kerja  berat untuk mengalihkan barang atau memikul tong gas yang sudah kehabisan untuk diganti.

Tetapi, baru-baru ini, saya dirayu oleh sang Nenda untuk membantunya menguruskan sedikit kerja di dapur sedangkan dara sunti yang sedang duduk bersimpuh melingkari ruangan tamu itu begitulah ramainya. Saya juga yang dipilihnya.

Kata Nenda, mahu memasak rendang ayam. Ya, selain terkenal dengan masakan lemak cili api, masyarakat negeri sembilan dari tanah salinan Minangkabau ini juga cukup terkenal dengan masakan rendang dan lemangnya.

Lalu saya ditugaskan untuk membasuh ayam, 15 ekor kesemuanya yang telah dikerat potong  selazim saiznya.

Ketika disuruh menaburkan tepung dan kunyit untuk menghapuskan bau hanyir yang melekat pada daging ayam, Nenda berpesan “Baca-lah dulu selawat tiga kali”. Saya tersenyum dan sekadar patuh di dalam hati.

Di akhir bilasan, Nenda berpesan yang sama “Siramkan sambil selawat tiga kali”.

Ketika kuali sudah pun panas dan rempah ingin dimasukkan, lagi sekali pesan Nenda yang sama “Tuang sambil bacakan selawat”, katanya. Selebihnya, tanpa disuruh, saya membacakan selawat sepanjang masa menyediakan rendang itu. Ketika mengacau kuahnya, ketika menambah sabut dan kayu api, ketika meniupkan bara mahupun ketika menggesek-gesek kuah yang telah kering dipinggir belanga besar itu.

Lalu hari itu, sebenarnya sejarah telah tercipta untuk saya. Saya telah diwariskan oleh Nenda tentang resipi istimewa dalam masakannya. Barulah saya tahu mengapa masakan Nenda begitu lazat selama ini. Malah masakannya begitu dirindui, membentuk peribadi dan akhlak. Setiap tindakan dan patah katanya begitu dihormati anak dan cucu. Yang pernah merasai hasil air tangannya. Tidak tersangka sekali.

Tok Long

Tok Long adalah seorang yang suka beseloroh dan berdekah ketawanya. Namun begitu, jika kita merenung wajahnya secara terus kita akan melihat seorang manusia yang raut mukanya penuh dengan pengalaman, kulitnya yang putih dan wajah yang bercahaya kerana wudhu’ dan amalan yang tetrib terjaga tentunya; adalah sepadan dengan gelarannya sebagai seorang bekas imam dan pendidik agama. Kita akan memandang wajah itu dengan jernih dan syahdu. Jika tersenyum, senyumnya adalah misteri yang tidak tahu hujung pangkalnya. Jika bersuara, kata-katanya bersulam pelbagai; sinis, tajam, ilmu, pandangan, pesan dan seumpamanya.

Keningnya yang berbulu halus tetapi lebat, runcing dan matanya yang mencekung sedikit ke dalam menunjukkan Tok Long seorang yang tegas, sememangnya sebagai seorang bekas askar ketegasan dan kelantangan merupakan ajaran yang asas. Garang tentulah masa mudanya adalah wajar. Tok Long juga adalah seorang penyindir yang halus.

Ketika sedang menjamu selera di dalam sebuah majlis yang seadanya, Tok Long begitu memuji-muji keenakkan masakannya. “Sodap betul daging kambing ni, ompuk-ompuk tak liat” puji Tok Long.

Maksu tersenyum, mendengar masakannya dipuji orang tua itu. Segera dia menawarkan diri “Tok Long nak tambah laei ko? Kalau nak, seyh ambikkan”.
“Pandai botul yang masak ni, sodap” Tok Long berbasa basi.
“Nak ke Tok Long?”
Tok long tersenyum sinis, katanya “Kalau den kato sodap, maksud eyh hondak laei la tuh”

Bingkas Maksu bangun, laju.

….

“Den minta diri dulu-lah yo, nak beransur ke majlis lain pulak” Tok Long bangun mendorong kerusinya ke belakang, sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Isyhh, Copek bonar nak beransur”
“Yolah, kek tiado hal, tiado la den nak beransur. Orang dah monjemput, hendak tidak konolah datang.” Senyum Tok Long.
“Macam kito menimbangla, kok amik kapas seguni, garam seguni. Tilik-tiliklah yang mano berat. Betul ko tidak?” Tok Long bertanyakan hadirin.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman- Anwar Ridhwan

Pak Hassan, seorang tua berkelana bersama cinta isterinya, Selamah. Namun Selemah lekas dipanggil tuhan membiarkan Pak Hassan meniti hidupnya bersama dua orang cahaya mata untuk dijadikan pengubat rindunya kepada Selamah. Seorang dara sunti yang perawan, Senah dan seorang teruna yang kurang akalnya, Mat Junuh. Dari hari ke hari, rindunya kepada Selamah tidak pernah surut. Pusara Selamah dikunjungi Pak Hassan saban waktu. Kadang-kadang Pak Hassan merintih menceritakan derita hidupnya semenjak Selamah meninggalkan dia. Kadang-kadang Pak Hassan hanya sepi dan sayu melihat nisan pusara isterinya. Kadang-kadang Pak Hassan hanya akan singgah untuk melapangkan kuburan isterinya dari dirumpuni lalang lalang liar. Kadang-kadang Pak Hassan hanya akan melihat kuburan isterinya dari jauh, membacakan Al-Fatihah sejurus sebelum pulang.

Ketika zaman Jepun menjajah Tanah Malaya, Pak Hassan-lah yang menghiburkan malam desa dengan cerita-cerita hikayatnya. Cerita Si Gembang atau Teluk Bidung Kota Lama berlagu lancar dari mulut Pak Hassan memikat pendengar kecil, tua dan muda, lelaki atau wanita, teruna dan dara menopang dagu mendengarkan cerita Pak Hasan sepenuh tekun sampai ada yang menghafalnya dengan mafhum.

Lama dahulu, hijrah Pak Hassan ke desa kecil itu disenangi penduduk desa bagaikan memeluk kedatangan seorang sahabat lama yang karib. Imam Mahali yang mesra dan dermawan selaku kepala desa menawarkan sebidang tanah untuk dibuat rumah sebagai perteduhan Pak Hassan anak beranak, dan sepetak sawah buat penyambung rezeki. Lalu bergotong-royonglah penduduk desa membinakan rumah Pak Hassan dan sepetak sawahnya. Ramli, jiran yang budiman selalu menghulurkan tangannya yang ringan membantu isi rumah Pak Hassan. Begitulah suasana desa dan semangat memberi-menerima yang menyulam dan menekat benang perhubungan antara penduduk-penduduk di kampung kecil itu.

Kehidupan Pak Hassan selalu dirundung mendung malang yang tidak terduga. Perawannya, Senah diperkosa oleh Mansoor yang durjana. Lalu Senah membawa dirinya meninggalkan Pak Hassan dan Mat Junuh hingga tidak pulang. Kemudian itu, Mat Junuh pula lari meninggalkan Pak Hassan kerana ingin mencari kakaknya. Senah itu sudah bagai ibu bagi Mat Junuh yang juling dan pendek akal walaupun usianya besar, tapi perwatakannya masih seperti anak-anak dan pergaulannya pula hanya dengan kanak-kanak kecil desa seperti Aziz anak Ramli dan Salleh.

Semenjak kehilangan kedua-dua orang anak kesayangannya, seniman tua itu mulai terkontang kanting hidupnya. Pak Hassan semakin akrab dengan cerita hikayatnya. Sampaikan watak watak dalam ceritanya seperti Tuan Puteri Manik Urai, Kuncam Perang Gelombang Perang Alun Tujuh Gelombang Tujuh, Megat Gembang ditukarkannya menjadi Tuan Puteri Selamah, Raja Senah Alun Tujuh Gelombang Tujuh dan Megat Junuh. Begitu berahi rindunya dia.

Hari-hari terkahir seorang seniman, dihabisi dengan panggilan ajal. Malah hari-hari terakhir setiap manusia adalah menerima jemputan ajalnya. Pak Hassan mati berputih mata kerana mencari kepercayaan pada kisah dongeng sepohon beringin yang songsang di mana dibawahnya duduk seorang tua menyirat jala tali terap. “Aku akan tebarkan jala ini ke atas dunia. Aku mendapat segala-galanya yang baik dan buruk. Yang baik aku letakkan di sebelah kanan. Yang buruk aku asingkan di sebelah kiri”.

Mendengar Pengalaman

Pengalaman adalah guru dalam kehidupan, mengesankan dan mengingatkan malah boleh menjadi sejarah. Kata James Joyce seorang novelis berbangsa Irish “A man’s errors are his portals of discovery.” Begitulah pelajaran yang dapat kita kutip dari pengalaman, orang lain atau diri sendiri.

Saya seorang yang lebih suka mendengar daripada berbicara. Terutamanya dalam perbualan dengan orang dewasa atau yang lebih tua dari saya. Dan petang tadi, saya sempat berbual panjang dengan seorang konktraktor di tempat saya bekerja.

Dia seorang yang jauh lebih berusia dari saya. Perkahwinannya telah melangkau lebih 32 tahun. Perbualan kami bermula dengan kisah awal pekerjaan beliau. Menceritakan pengalamannya di England menuntut ilmu, dunia kerjayanya yang cerah sebagai seorang expertise in welding sebelum menjalankan perniagaan sendiri sebagai seorang kontraktor.

Saya bertanya kepada beliau, apa yang memacunya sehingga dia meninggalkan kerjayanya sebagai seorang pakar pateri yang berpendapatan lumayan setiap bulan? Tanpa disangka, riak mukanya sedikit berubah. Lalu dia menceritakan.

“Saya tidak dapat menafikan, pekerjaan saya pada waktu itu adalah detik kegemilangan buat diri saya. Pendapatan yang lumayan dan selalu dapat  ke luar negara untuk menjalankan kerja. Namun begitu, saya masih ingat lagi, pada Disember 1999 saya ditugaskan untuk ke Kedah atas tugasan yang diberikan pihak syarikat.

Ketika di sana, saya menerima panggilan yang mengatakan ibu saya sedang sakit tenat dan pada masa yang sama mesin yang saya kendalikan tidak dapat berfungsi dengan baik. Pada waktu itu, jiwa saya betul-betul tertekan. Mengenangkan ibu yang terbaring di katil hospital dan pekerjaan yang saya harapkan dapat berjalan dengan lancar supaya saya dapat lekas pulang untuk menziarahi ibu jadi terbantut.

Dengan resa yang kuat, saya tetapkan hati untuk melunaskan kerja saya terlebih dahulu. Namun mesin tetap tidak berfungsi mengikut apa yang telah dirancangkan. Ketika itu, kegeraman dan kekesalanlah yang paling mengusai sanubari saya. Dengan rasa marah, saya menendang mesin lalu saya duduk menangis mengenangkan seorang anak yang tidak dapat menziarahi ibunya yang sedang sakit tenat. Kedukaan apakah yang lebih berat daripada itu yang pernah saya alami? Tidak ada!

Entah bagaimana, ketika saya sedang teresak-esak dengan linangan air mata, tiba-tiba mesin itu  berfungsi seperti sediakala. Seolah-olah mesin itu dapat merasakan kesedihan yang sedang saya alami lalu perasaan kasihannya menjadikannya berfungsi. Tanpa lengah, seperti mendapat tenaga yang baru, bagaikan seorang pengembara yang kehausan di gurun pasir yang terik dan kontang mendapat setitik air, saya lekas-lekas menjalankan kerja saya. Namun di dalam hati, saya masih mengenangkan ibu dan air mata masih lagi tersisa mengalir. Jiwa saya tidak aman.

Usai menyiapkan kerja, saya mendapat panggilan. Panggilan itu merupakan suatu perkhabaran yang membuatkan saya sangat menyesal. Sampai kini. Perkhabaran itu adalah satu berita dukacita yang membuatkan saya sungguh terkilan. Ibu yang saya kasihi sepenuh jiwa dan raga, yang telah mengandungkan saya selama sembilan bulan, menghidupkan saya dengan kasih sayangnya, dia telah pergi buat selama-lamanya dan sebagai seorang anak, saya tidak dapat berada di sisinya saat-saat nafasnya yang terkahir.

Saya terduduk, menangis semahu-mahunya. Jiwa saya berkecamuk dan terselubung pilu meratapi kehilangan seorang insan yang bergelar ibu. Maka dari detik itulah yang mula mengubah kehidupan saya. Saya berkata, apalah guna bergaji mewah jika ibu yang sedang nazak saya tidak dapat ziarah? Apa gunanya? Tidak ada gunanya jika kita campak wang seguni kepada ibu kita, tetapi saat ibu sedang tenat kita tidak bersamanya. Tidak ada gunanya.

Semenjak peristiwa itu, saya berazam dan tekad. Saya tinggalkan kerjaya saya yang sedang gemilang ini untuk berada dekat dengan keluarga. Saya tidak mahu ada kekesalan yang kedua dalam diri saya nanti. Saya percaya rezeki tuhan ada di mana-mana. Kata orang, sedangkan ulat dalam batu pun boleh hidup. Inikan kita pula manusia.”

Rombongan Meminang

Hujung minggu yang lepas menitipkan pengalaman pertama saya menghantar rombongan meminang bagi pihak sepupu lelaki. Anak bujang Mak Teh yang sulong.Bakal tunangnya itu orang Pendang, Kedah.

Sebanyak empat buah kereta dari pihak kami mengiringi rombongan itu dari Tapah ke Pendang. Perjalanan bermula apabila kami memasuki pekan Pendang, selepas berlegar-legar dari jalan pekan Pendang, kami menyusur masuk jalan ke sebuah taman.Selepas empat lima kali belok kiri dan kanan, kami menempuh pula jalan ke sebuah kampung.

Yalah, bakal tunangnya orang Pendang, Kedah. Jalan kampungnya sedikit berliku-liku. Lebar jalannya hanya muat untuk dilalui oleh sebuah kereta sahaja. Di hati, saya berdoa untuk tidak berselisih dengan mana-mana kenderaan selain motosikal. Kereta pun bergerak dengan dengan kelajuan yang paling perlahan. Begitu-lah saya berhati-hati.

Agaknya setelah sekian lama perjalanan kami mengharungi jalan kampung itu tidak juga sampai-sampai. Atuk pun bersuara.”Hisshh, camno la si Ari buleh jumpo budak ni?”

Siapa yang lagi jaguh

Dahulu, saya seorang jaguh. Ya, seorang yang jaguh dalam membuka ikatan getah yang berlilit rumit di bungkusan plastik. Terutama bungkusan-bungkusan plastik air yang ikatannya memang terkenal ketat dan padat. Jika tidak, masakan air itu tidak pernah meleleh tumpah jika bungkusannya ditunggang terbalikkan atau bungkusan air itu bergelembung gemuk dan bulat tidak pernah surut.

Kemahiran ini banyak saya gunakan untuk membantu rakan-rakan membuka ikatan getah bungkusan air yang mereka beli. Terutama pada musim puasa. Paling pantas ikatan getah yang saya pernah buka, dalam masa kurang 5 saat.

Ada pada satu waktu itu, saya melihat seorang kawan sedang betul-betul berusaha membuka ikatan getah bungkusan air yang dibelinya buat berbuka puasa. Beragam-ragam gaya yang dia gunakan, dari gaya mencubit guna hujung kuku sampai ke cara mengigit-gigit getah kuning yang anjal itu. Kadang-kadang getahnya berwarna merah. Namun tetap tidak berhasil.

Melihat kepayahannya, saya tawarkan diri membantu. Saya membukanya kurang dari 15 saat. Rakan-rakan sekeliling yang mengelilingi menghadap juadah berbuka jadi kagum.

Seingat saya, yang paling susah untuk dibuka ikatan lilit getahnya, ialah bungkusan ‘cendol rock’ gerai Man Pailang. Saya gagal sekali. Ikatannya lain macam, tak sama macam ikat mamak nasi kandar ‘Syah Jhewal’, tak sama macam lilit Boy yang jual air bungkus yang macam-macam jenis, harganya seringgit tapi semua rasa manisnya serupa.Esoknya saya tekad pergi ke gerai Man Pailang di bazar ramadhan.

Menyamar jadi pembeli yang akhir, supaya saya dapat lihat cara ikat lilit getah Man Pailang pada bungkusan ‘cendol rock’nya itu. Kalau beli yang awal, Man Pailang akan beri yang sudah diikat, jadi susah mahu melihat teknik ikatannya.

Kemudian di situ saya perhatikan betul-betul cara Man Pailang mengikatnya. Heh! pulangnya ke rumah saya leraikan ikatan Man Pailang tadi dalam masa 25 saat. Rupa-rupanya Man Pailang gunakan dua getah untuk mengikat sebungkus air. Dan ikatan Man Pailanglah yang saya rasakan paling sukar pada waktu itu, namun saya tetap berhasil leraikannya.

Kemahiran ini saya bawa sampai ke rumah.

Pada suatu petang, hampir masuk waktu berbuka puasa, saya sedang terkulat-kulat membuka sebungkus air tembikai yang dibeli adik di bazar ramadhan. Kali ini ikatannya lebih rumit dari ikatan Man Pailang. Saya hanya mampu bergumam di dalam hati, sambil rasa tercabar untuk membuka ikatannya.

“Kau beli kat mana ni?” Soal saya garang pada Achik. Dia yang beli air ni. Achik sekadar memuncungkan bibir.

Saya cuba lagi. Pelbagai cara saya gunakan, dari hujung kuku sampai mengigit-gigit ikatan getah itu. Abah tiba-tiba muncul di ruang dapur melihat tindakan saya sambil mengeleng-gelengkan kepala.

“Kau ini, belajar tinggi-tinggi, tapi buka ikat getah pun payah” kata abah. Saya jadi malu di depan emak dan adik beradik yang lain.

“Bak sini” abah meminta bungkusan yang saya cuba buka. Saya hulurkan kepada abah dengan kepala menunduk. Malu.

Pertama sekali yang saya lihat sewaktu abah mengambil bungkusan plastik air tembikai yang bergelembung padat itu, abah pegang hujungnya. Abah belek-belek ikatan getah yang melilit ketat. Bungkusan plastik air itu abah pusing-pusingkan beberapa pusingan.

Tiba-tiba abah bersuara. “Ani, bagi pisau tu.”

Abah hiris dalam-dalam getah yang padat melilit ikat. Bak kata abah, ‘biar getah putus, tapi plastik tak bocor’.