Ilham Di Tepi Tasik- A. Samad Said

Gambaran awal Ilham Di Tepi Tasik sebenarnya diharapkan saya sebagai suatu pembacaan yang santai dan rileks, tapi ternyata istilah santai dan rileks seorang seniman adalah tidak sama seperti istilah santai dan rileks yang selalu diguna pakai oleh orang ramai. Istilah santai dan rileks seorang seniman rupanya adalah terlalu  kompleks untuk difahami oleh orang kebanyakan. Istilah santai dan rileks seorang seniman rupanya lebih banyak menjengah ke dalam dunia menginsafi. Dalam mengenang, lebih banyak mengenang tragedi-sedikitnya senang hati. Dalam berfikir masih  sibuk menafsir, disamping turut mengerah ‘akal seninya’ untuk ‘melihat’ menembusi ‘hijab’ tentang apa yang sebetulnya terjadi.

Di sinilah kita dapat mendengar renungan A. Samad Said dalam waktu rileks dan santainya. Ketika usianya sudah mengusai satu dasawarsa, setelah banyak yang beliau melihat dan baca, naskah ini bagai memanggil beliau untuk menyorot kembali kisah-kisah ria-duka lama dan kini. Naskah ini bercerita tentang kehidupannya dan pengamatannya yang sempat dirakamkan. Walaupun jika kita melihat pada satu perspektif, seolah-olah beliau lebih berimbang dan amat empuk di dalam goyangan buaian sastera, kerana memang beliau ialah ahlinya, tetapi buaian sastera beliau rupanya terhanyun sangat jauh. Ia bukan sahaja meliputi seputar asia, malah mengajak kita sampai ke Rusia, melanggar sempadan sastera Eropah dan berpusing kembara di negara Timur Tengah. Bila ceritanya seputar kenangan dan pengalaman, kita dijemput untuk kembali melihat getir-getir kehidupan dekad 50-an dan 60-an, serta merta disuruh untuk membuat perbandingan.

Buku ini ialah sebuah buku yang sangat berwarna warni-kan seni. Ada kisah tentang pengalaman yang mengajar, agar kita barangkali dapat menjalin sedikit iktibar, ada kritikus seni seputar kanvas sasterawi yang sangat luas tanpa ditanda halangan, ada pertanyaan yang begitu menginsafi dan menasihati, ada kenangan yang melakar bahagia-menggarit derita, juga rupanya ada rahsia sulit yang tersangat berbisik-mendesahkan sekuntum rumit.

Keledang- A. Samad Said

Sejarah adalah sesuatu yang mungkin tidak terpadam. Walau terhapus catitannya dari lembar pembacaan, sisanya masih lagi terakam dalam ruang memori. Keledang adalah penceritaan semula zaman yang meresahkan, merengsakan malah zaman yang merenguskan barangkali. Ya, barangkali. Kita akui sahajalah yang kita tidak pernah hidup dalam zaman perang, melewati kegawatan dan ketakutan serta kebimbangan terhadap apa yang akan berlaku pada esoknya. Hanya segelintir insan  dianugerahi umur yang panjang serta diberkati ingatan yang kukuh tentulah lebih mengerti malah menyelami detik-detik yang telah terjadi seperti itu.

Oleh itu, sebagai apakah kita waris yang terlahir selepas era yang begitu menyesakkan akan bersyukur kerana takdir Ilahi begitu Penyayang melepaskan kita dari mendenai laluan yang berisi tragedi? Bacalah Keledang. Kerana harapan penulisnya begitu merayu supaya kita  belajar menghargai.

Bagaimanakah ketika era yang begitu gamat, seorang suami tiba-tiba hilang dari sisi keluarganya tanpa dapat dijejaki? Sedang isterinya mengandung dan di rumah mereka masih lagi punya dua orang anak? Bagaimankah ketika detik- detik cemas, seorang isteri boleh pergi meninggalkan suaminya, bersama anak mereka, dan menjadikan sang suami hilang erti hidup? Bagaimanakah resa  seorang abang yang begitu khuatirkan adiknya sanggup menempuh perjalanan jauh untuk membawanya kembali ke pangkuan keluarga ketika bunyi tembakan saling sambung menyambung? Bagaimanakah saat seseorang menaruh harapan kepada seseorang yang lain, rupanya ialah sebuah penggantungan yang palsu?

Jika Pramoedya di dalam Keluarga Gerilya-nya begitu kucar jalan ceritanya, demi mengajak kita untuk merasai sebuah era perang, tetapi A. Samad Said di dalam Keledang masih lagi tenang. Ataupun Faisal Tehrani dalam fiksi Kombat 1515 begitu mengghairahkan semangat jihadnya, tetapi Keledang masih damai, menentang secara waras dan berfikir secara luas.  Erti kata perang di dalam Keledang menghidupkan makna cinta, memberi nyawa kepada rindu, menghargai tali kasih sayang dan mengajar menikmati anugerah alam sekhusyuknya.

Dari Salina Ke Langit Petang- A. Samad Said

Dari Salina Ke Langit Petang, begitu buku ini saya tempah secara ‘online’ melaui Saudara Hilmi Samad. Kerana saya mengharap sesuatu yang berharga darinya, maka seperti dijanjikan, buku ini tiba dengan 2 buah buku lainnya iaitu Keledang dan Ilham Di Tepi Tasik- teristimewa dengan tanda tangan penulisnya pada setiap naskah. Tidakkah itu terasa indah? Pertama kalinya koleksi buku simpananan saya yang terlekat tanda tangan sang pengarangnya. Terima Kasih.

Membaca Dari Salina Ke Langit Petang, membawa kita ke simpang mula perjalanan A. Samad Said. Bersatu di dalam tulisannya untuk mengenali dalam dirinya, semasa usia yang hijau dan remaja-di situ kita akan mengetahui seawal bilakah beliau telah melangkahkan kaki dan memegang pena sebagai seorang penulis serta menlenggokkan tintanya sebagai seorang seniman, lalu kini telah memanjat pula tangga gelar Sasterawan Negara.

Saya akui, saya akrab dengan tulisan beliau dan kerap membaca karang-karangan beliau di laman sesawangnya. Sesuatu yang mudah dicapai dan senang dibaca berulang-ulang untuk mendapatkan makna sezarah zat yang lazat.

Bila kita menghayati tulisan beliau di dalam naskah ini, menyelak tertib helaian demi helaian, kita akan dapati seolah-olah Sasterawan Negara ini sedang berbicara dengan kita! Beliau duduk di depan kita, sedang kita pula menekuni setiap patah katanya, kisah pengalaman yang getir-zaman perang dan pejanjahan, sejarah yang ditafsir-kenangan, nasihat yang padu khasiat, Sambil meneguk secawan kopi kemudian bersambung kepada pesan yang berinti kesan-bagaimana penulis harus mempuyai kekuatan karyanya sendiri dan buah akal sebagai bekal-untuk penulis dan bakal penulis nanti.

Seolah-olah saya dapat ‘melihat’ suaranya, tak terdengar janggal dia berbahasa baku, redup matanya dibalik cermin kaca yang dipakai, bibir yang bergerak-gerak tak nampak-dibalik kumis dan janggut putih yang mengurai dan wajah sejuta damai. Jikalah sesungguhnya beliau sedang berkata-berkata di hadapan kita, kita tidak akan mampu mengeluarkan sebutir suara melainkan mendengar tekun setekun-tekunnya. Tetapi sebagai seorang pembaca yang berkhayal liar seperti saya, saya tidak segan untuk berkata “Bapak, saya mahu mandi dulu. Nanti kita sambung” sambil meletakkan buku itu di atas meja kopi atau “Bapak, saya mahu pergi makan dulu” tetapi saya tidak akan tega duduk di meja kedai makan lama-lama sedangkan seorang Seniman menunggu saya untuk dikhatamkan ceritanya.

Dari Salina Ke Langit Petang, lebih kepada travelog seorang Seniman. Travelognya mencari ilham untuk berkarya, travelognya kepada kenangan terhadap penciptaan sebuah seni, travelognya mencungkil rahsia alam untuk menurunkan hujan dari ‘awan-wan terapung’ dan travelognya menjadi pemikir-hati (pemikir dan pemerhati) keanehan manusia untuk memugar cerita. Di sinilah kita akan ketemukan sebuah rahsia besar bagaimana karya-karya malar segar, Salina, naskah Melayu pertama yang lebih 400 halaman itu, Sungai Mengalir Lesu yang nipis tetapi sangat padat dan Langit Petang disusun dan dibina! Bermula dari ‘awan-awan yang terapung’.

Di Sisi Rinda- I

“Sasterawan-sasterawan terbilang ini menulis untuk remaja! Anda tidak tertarik untuk membacanya?”

Itulah tagline yang dituliskan di kulit belakang naskah ini yang menjentik keterujaan saya untuk menghadami Di Sisi Rinda, menghimpunkan cerpen-cerpen beberapa orang sasterawan dan penulis terkemuka tanah air. Siapakah yang tidak mengenali Rejab F.I, A. Samad Said, Keris Mas dalam dunia sastera tempatan?

Naskah yang telah dicetak tanpa ISBN pada tahun 1987 ini adalah sebuah koleksi bahan bacaan yang ringan dan santai. Sememang cerita-cerita di dalamnya disasarkan kepada golongan remaja dihimpunkan segar dalam 17 buah cerpen yang dihidang sarat dengan pelbagai tema dan jalan cerita yang selari dengan perspektif remaja.

Cerpen pembukaannya ditulis oleh Razak Mamat bertajuk Air menceritakan tentang penghargaan seorang murid terhadap gurunya. Amin, seorang anak kecil yang hidup dalam kemiskinan dilanda kegelisahan apabila ingin turut serta melawat guru besarnya yang sedang sakit di hospital, tetapi Amin tidak mampu untuk membelikan buah tangan yang mahal-mahal untuk gurunya berbanding kawan-kawannya yang lain. Perkara ini membuatkan Amin berasa untuk membatalkan niatnya menziarahi guru besarnya bersama rakan-rakannya. Akhirnya Amin dipujuk oleh bapanya, setelah bapanya berjanji untuk menyediakan ‘buah tangan’ bagi gurunya yang sedang sakit itu.

Bapa amin menyediakan sebotol air kosong dan Amin berasa malu namun tetap menebalkan muka untuk menyerahkan pemberian bapa kepada gurunya itu. Ketika di hospital, gurunya yang sakit begitu ceria dilawati oleh anak-anak muridnya dengan pelbagai buah tangan yang beraneka namun semua itu terasa kurang nilainya bagi dirinya yang sedang sakit. Sampai giliran Amin, guru besar yang sedang sakit itu meminta untuk dituangkan air kosong yang dibawa oleh Amin supaya dapat menhilangkan hausnya. Begitulah pengajaran besar yang disampaikan.

Di sisi Rinda karya A. Samad Said, berlatarkan suasana perang zaman Nippon memperihalkan kisah seorang anak kecil yang yatim piatu lantaran kehilangan keluarganya kerana di bom oleh tentera Jepun. Nen, ditemani seekor kucing bernama Rinda kemudiannya dibela oleh Tok Juma, seorang sahabat datuknya. Cerpen ini memperlihatkan kita tentang kesusahan dan keperitan hidup yang dialami sewaktu zaman perang dan juga bersulamkan mistik mengenai keris Datuk Ripin yang menyelamatkan mereka sewaktu mereka diburu oleh tentera Jepun.

Sharif Putera pula di dalam karyanya yang bertajuk Di Persimpangan menceritakan delima seorang pelajar bernama Mariah. Masalah keluarganya begitu menggangu pembelajaran Mariah, ayahnya yang kurang bertanggungjawab, ibu tirinya yang seorang pemarah dan kakaknya yang terpaksa bekerja sebagai perempuan kelab demi membantu menyara perbelanjaan Mariah begitu menghantui fikiran Mariah sehingga menjejaskan prestasinya yang sebelum ini merupakan seorang pelajar yang cedas, lalu menimbulkan keresahan cikgunya. Cikgunya mendengar setiap masalah yang dialami oleh Mariah dan cuba untuk menghulurkan tangan untuk membantu tetapi ditolak Mariah. Akhirnya Mariah lari meninggalkan persekolahannya dengan menitipkan sekeping nota terima kasih kepada guru yang ingin membantunya.

Tulisan Mohktar A.K dalam tajuk Dompet menyampaikan nilai kejujuran dalam jalan ceritanya yang mudah dan lurus. Kudin seorang pelajar yang miskin menjumpai sebuah dompet ketika dalam perjalanannya ke sekolah. Perbuatan Kudin, dilihat oleh Mansur lalu mengugut Kudin untuk menuduh Kudin sebagai seorang pencuri, ataupun wang di dalam dompet itu dibahagikan sama rata. Kudin yang takut dengan ugutan Mansur bersetuju dengan cadangan tersebut tetapi menukar fikirannya untuk memulangkan kembali dompet tersebut kepada gurunya di sekolah nanti, lalu menimbulkan kemarahan Mansur.

Di sekolah, Kudin dipanggil oleh gurunya, Cikgu Rahman kerana Mansur memfitnah Kudin sebagai pencuri. Apabila dipanggil, Kudin menceritakan hal yang sebenar sebagai Azizah menjadi saksinya. Akhirnya pengetua mengadakan perhimpunan tergempar, dompet yang ditemukan oleh Kudin sebenarnya milik seorang Pegawai Pencegah Penyeludupan yang tecicir. Di perhimpunan tersebut, pemilik dompet mengucapkan terima kasih kepada Kudin dan Kudin diberikan ganjaran. Pengetua memuji sikap jujur Kudin dihadapan para pelajarnya untuk dicontohi dan diikuti.

Di Sisi Rinda juga memaparkan karya yang berorak eksperimental seperti cerpen Dongeng Si Siti Kecil hasil buah tangan Siti Zainon Ismail. Dongeng Si Siti Kecil memaparkan sisi seorang wanita yang kabur wataknya sebagai Emak, ibu kepada Si Siti Kecil. Emak, seorang wanita yang terkurung dalam adat dan tatasusila seorang perempuan melayu dalam sebuah keluarga berketurunan Mamak (Minangkabau barangkali), berperang antara keinginan dirinya dan kehendak keluarganya. Emak, dari usia remaja dikawal pergerakannya oleh ibunya, Nenek Sibai yang garang dan mamak-nya (abang Emak), kemudian Emak dinikahkan dengan seorang lelaki tua bernama Sudin yang hartawan pilihan keluarganya sebelum Emak diceraikan.

Kemudian Emak bertemu cintanya dengan Abah (ayah Si Siti Kecil) sehinggalah Si Siti Kecil dilahirkan. Cinta Abah kepada Emak, Abah tidak zahirkan secara terang kerana perwatakan Abah yang tegas dan selalu serius. Sewaktu mengandungkan Si Siti Kecil, emak terpaksa berusah payah, mengidam dan acap kali kurang sihat keadaannya. Waktu itu jugalah zaman kejatuhan ekonomi dengan harga getah susut dan meruncingkan ekonomi keluarga, setelah Si Siti Kecil dilahirkan segalanya berubah, rezeki keluargabertambah dan menangga naik. Emak lebih disenangi oleh keluarga sebelah Abah terutamanya Nenek Galuh berbanding keluarganya sendiri iaitu Nenek Sibai.

Lalu kasih sayang Nenek Galuh tumpah kepada Si Siti Kecil, dan dongeng Si Siti Kecil itu rupanya adalah kisah perjalanan silam Emak yang didengari Si Siti Kecil semasa usianya menginjak dari mulut Pak Ngah.