Dipertemukan Syurga!

Pengalaman berkelana selama sepuluh hari ke Busan, Korea, satu harinya saya dipertemukan ‘syurga’. Di kesibukan kotarayanya yang ke-dua besar selepas Soul, rupanya tercepit di celah-celah bangunan satu lembah yang begitu menakjubkan. Memukau, menggiurkan malah mengaromakan bauan berahi. Jujur, pada pandangan orang lain mungkin pertemuan seperti itu hanyalah pertemuan biasa-biasa, basa-basi dan tiada apa yang istimewanya, tetapi tidak bagi saya! Ataupun orang yang mempunyai sepinggan  ‘selera’ yang sama dengan saya.

Saya menelusuri syurga/lembah itu, setapak-demi-setapak, selangkah-demi-selangkah. ‘Syurga yang indah itu’ ataupun ‘lembah yang menawan itu’ adalah sederet bangunan usang dipinggir kota. Biarpun ia terletak bersebelahan dengan jalan besar yang bingit dengan bunyi deruman motokar, saya rasakan di situ adalah lapangan yang paling senyap sekali. Tidak terganggu walau sekelumit pun oleh bunyi ngauman hasil teknologi yang sedang menjalar. Deretannya tidaklah terlalu panjang dan jauh, sampai kita harus melangkah hingga kepenatan. Tetapi jika kita sedang berjalan di dalam syurga adakah kita akan berasa letih? Tentulah tidak, biarpun  ia sejauh saujana mata yang memandang, keindahan dan kecantikan syurga itu akan menewaskan rasa penat dan lelah. Orang yang tidak reti menikmati keindahannya sahaja yang akan keputusan nafas dan mati di situ.

Di dalam ruang kecil setiap bagunan itu, tersimpan kahzanah-khazanah  ‘syurga’ yang cantik dan menawan. Ia berwangikan kasturi, wardah dan kadang-kadang terhidu oleh saya bauan lavender yang enak. Begitu memikat. khazanah-khazanahnya berkilau seperti permata yang disimbah cahaya, kadang-kadang seperti emas yang bergemerlapan, kadang-kadang seperti intan berlian yang bersinar dan kadang-kadang ia seperti mutiara yang bercahaya di dalam gelap. Bidadara dan bidadarinya pula sibuk tersenyum di sisi pintu gerbang ‘syurga’ mereka. Bagaikan menjemput kedatangan saya dan mempersilakan saya untuk bersinggahan sebentar ke dalam ‘mahligai’ mereka yang sekecil bangsal tapi saya melihatnya seluas taman.

Inilah pertemuan yang tidak dirancang, tetapi paling menakjubkan. Sebelum ini saya pernah terbaca sebuah entri tentang ‘syurga’ itu di sini dan sini, dan sekarang barulah saya mengerti, malah saya telahpun merasai! Dan ini sebenarnya hanyalah sebahagian taman dari ‘syurga’ itu.

Semakin Kotor Semakin Subur

Diluar sana, di langit asia tengah yang menaungi banyak negara arab masih lagi bermerah darah dan Negara Nippon tanahnya masih lagi berbasah; dengan air mata.

Di kanan, gempa bumi mencetuskan tragedi tsunami. Air laut yang tenang pada paras pandangan mata, tiba-tiba bertukar menjadi setinggi bangunan melandaikan kota.

Di kiri, sekelip mata perang terjadi. Negara bersekutu eropah tanpa persetujuan menyeluruh Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu ‘mengangkat tangan tanda sokongan’ mendadaknya menyerang Libya. Negara yang pemimpinnya masih berdengkur walaupun sudah diketukkan untuk bangun. Masih  degil mahu tertidur.

Tidakkah kita terperanjat? Mahunya apa Amerika, British dan Perancis sesuka hati menghentam bumi Libya dengan puluhan Tomahawk yang tidak bermata? Entah mengena sasaran atau melencong ke pondok lindungan. Kononnya mahu menjadi jaguh dalam gelanggang orang lain, membela rakyat yang lemah ditindas sang penguasa. Butakah mata mereka di hujung tanah Semenanjung Gaza itu lebih seribu kali rakyatnya ditindas keras oleh Israel?

Pastilah mereka sedang menyusun niat yang tersirat. Pengalaman memerhati Iraq-dulu dan kini, dari situlah kita mengerti.

Tidak kurang, di tanah air sendiri lebih bergoncang dan bergoyang. Lebih dari gempa dan tsunami yang membantai Jepun, dahsyatnya lebih maha dari Tomahawk yang membongkar tanah, nyawa dan kota Tripolli. Tetapi kadang-kadang, rasanya lebih galak ingin bergelak sampai berjurai air mata dari menangis insaf kerananya.

Bocah-bocah politik masih tidak lesu mencipta drama yang baharu sedangkang drama yang lama masih dinanti kesudahan episodnya. Apa cerita? Makanya, penonton segera bosan, plot yang serupa, jalan cerita yang anti-puncak kosong klimaks pastilah sudah diagak.  Jadilah ramai yang berkata, betapa politik itu kotor.

Kita juga yang melihat, semakin ia kotor  semakin ia subur.

Rahsia Masakan Nenda

Saya akui, sebagai seorang jejaka, lelaki ataupun teruna, saya tidak begitu akrab dengan suasana dapur. Menghulurkan tangan dan sekerat tenaga untuk usaha dan kerja-kerja di dapur amat boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Melainkan kerja-kerja yang besar seperti untuk kenduri kendara, maka sewajibnya saya akan menyinsing lengan untuk perkara itu. Tidak untuk urusan kecil-kecilan seperti sarapan pagi, makan tengah hari ataupun malam.

Bukan atas alasan ego atau berat tulang, tetapi merasakan adik-adik saya yang sunti itu perlu lebih cekap dalam urusan di dapur tanpa dibantu oleh tenaga abangnya melainkan kerja-kerja  berat untuk mengalihkan barang atau memikul tong gas yang sudah kehabisan untuk diganti.

Tetapi, baru-baru ini, saya dirayu oleh sang Nenda untuk membantunya menguruskan sedikit kerja di dapur sedangkan dara sunti yang sedang duduk bersimpuh melingkari ruangan tamu itu begitulah ramainya. Saya juga yang dipilihnya.

Kata Nenda, mahu memasak rendang ayam. Ya, selain terkenal dengan masakan lemak cili api, masyarakat negeri sembilan dari tanah salinan Minangkabau ini juga cukup terkenal dengan masakan rendang dan lemangnya.

Lalu saya ditugaskan untuk membasuh ayam, 15 ekor kesemuanya yang telah dikerat potong  selazim saiznya.

Ketika disuruh menaburkan tepung dan kunyit untuk menghapuskan bau hanyir yang melekat pada daging ayam, Nenda berpesan “Baca-lah dulu selawat tiga kali”. Saya tersenyum dan sekadar patuh di dalam hati.

Di akhir bilasan, Nenda berpesan yang sama “Siramkan sambil selawat tiga kali”.

Ketika kuali sudah pun panas dan rempah ingin dimasukkan, lagi sekali pesan Nenda yang sama “Tuang sambil bacakan selawat”, katanya. Selebihnya, tanpa disuruh, saya membacakan selawat sepanjang masa menyediakan rendang itu. Ketika mengacau kuahnya, ketika menambah sabut dan kayu api, ketika meniupkan bara mahupun ketika menggesek-gesek kuah yang telah kering dipinggir belanga besar itu.

Lalu hari itu, sebenarnya sejarah telah tercipta untuk saya. Saya telah diwariskan oleh Nenda tentang resipi istimewa dalam masakannya. Barulah saya tahu mengapa masakan Nenda begitu lazat selama ini. Malah masakannya begitu dirindui, membentuk peribadi dan akhlak. Setiap tindakan dan patah katanya begitu dihormati anak dan cucu. Yang pernah merasai hasil air tangannya. Tidak tersangka sekali.

Buah Sawit

Tengah hari itu, awan mendung memayungi dari sinar panas matahari. Seolah-olah hujan akan turun membasahi dengan sebasah-basahnya. Tetapi cuma gerimis yang tuhan hantarkan. Cukup untuk meredupkan dan memberi hawa segar kepada insan-insan yang kehilangan tenaga kerana pekerjaannya.

Kalam sedang berehat-rehat di atas sofa panjang yang diletakkan di ruang menunggu pejabat. Melepaskan kelelahannya di ruang masa rehat tengah hari.

“Kalam, jom makan!” Suara Zambri entah muncul dari mana mengajaknya ke kantin.

Sekonyong-konyong dua orang pemuda itu menempuh gerimis nipis yang jatuh dari langit, menuju ke tempat di mana tembolok mereka bakal diisi.

Kedua-dua orang pemuda itu mempunyai selera yang hampir sama. Mereka lebih tergiurkan mee rebus yang telah dibalut dengan plastik jernih demi menjaga kebersihannya berbanding nasi kawah dan lauk-pauk yang hampir serupa dihidangkan setiap hari. Ia bagaikan Lisa Surihani yang melambai-lambai dengan senyuman yang paling ikhlas disamping mengenakan pakaian putih yang paling bersih.

Kalam dan Zambri memilih untuk duduk di meja berhampiran sinki basuh tangan, sementelah melihat sekumpulan gadis berpangkat eksekutif duduk tidak jauh dari meja yang mereka pilih itu. Mata Kalam tidak lepas-lepas melirik pada seorang gadis cina yang mengenakan baju kurung melayu. Dalam fikiran Kalam, dia mencipta angan-angan palsunya sendiri. Kalam…Kalam.

Tidak lama kemudian, Nan Cina datang berkongsi meja dengan mereka sambil menatang sepinggan nasi goreng pataya yang juga dibalut dengan plastik jernih demi menjaga kebersihannya. Mereka senyap, tiada sepatah kata yang terbit dari bibir mereka. Masing-masing begitu menikmati juadah tengah hari mereka sehingga suapan yang terakhir.

“Kau pernah makan buah sawit?” meja makan yang tadinya khali diterjah soalan yang tidak disangka-sangka dari Zambri.

Nan Cina membisu. Jemarinya bergerak mengambil tisu putih yang terlipat petak segi empat itu, kemudian dikibaskannya. Bagaikan ia sedang mengibaskan ‘Singature Napkin’ yang diperbuat dari kain kapas berkualiti tinggi yang kebiasaannya disediakan di restoren-restoren serba mewah. Dengan gaya maskulin, tisu itu dituamkan dengan hemah dan perlahan-lahan di sekitar kawasan mulutnya.

“Boleh makan ke buah sawit tu? Bukan buah sawit tu keras? Nak dimasak buat lauk apa?” Kalam memulangkan soalan. Dalam hatinya berawas jika Zambri sekadar mahu melawak atau berniat mengenakannya.

“Bolehlah Kalam” Nan cina menyampuk, mengesahkan cerita Zambri sambil tangannya masih mengelap.

Zambri menyambung, “Buah sawit tu, kita rendamkan dalam air. Tidak usah banyak letakkan airnya. Bila sudah menggelegak kita letakkan gula. Rasanya manis, cuma perlu menyonyot-nyonyot dan menghisap sabutnya. Sedap”.

Kalam meneguk air oren percuma yang masih berbaki di dalam gelas plastik.

Nan Cina menambah, “Kalau nak lebih sedap, letak buah kelapa”.

“Burrrrr..” .

Liu Xiaobo, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2010

Hari ini, sejarah mencatatkan anugerah Nobel Keamanan telah pun dimenangi oleh seorang banduan dari negara China. Liu Xiaobo merupakan seorang pengarang yang begitu lantang memperjuangkan hak asasi dan demokrasi di negara yang bercorak pemerintahan komunisme tersebut.

Lantaran itu, rejim pemerintahan China telah melabelkan pemberian anugerah tersebut sebagai satu ‘pencabulan’ dan secara terbuka memberi amaran kepada para diplomat yang berada di Oslo bahawa mereka tidak ubah seperti ‘badut’. China juga memberi peringatan yang tegas bahawa ‘mereka’ akan menghadapi masalah yang serius secara langsung dengannya. China mendakwa bahawa Liu adalah penjenayah biasa dan Hadiah Nobel Kemanan tersebut adalah retorik berbaur politik semata-mata. Di sisi lain, para diplomat China telah melancarkan gelombang sengketa dalam hubungan diplomatik, Tang Guoqiang Duta China di Norway, dalam tulisannya yang panjang dipaparkan dalam laman sesawang rasmi keduataan China menerangkan bahawa penganugerahan tersebut merupakan satu kesilapan. “Di China,rakyatnya menikmati kebebasan yang diimpikan, yang telah diamalkan dalam batas perundangan” antara kata-kata Tang yang ditulis dalam tulisan Cina dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Kebanyakkan negara dunia ke-tiga yang dijemput ke acara tersebut tidak menghadirkan diri. Manakala Rusia, Pakistan, Arab Saudi, Eygpt, Afghanistan dan beberapa negara lainnya menolak jemputan tersebut tanpa memberikan alasan, tetapi sumber barat menyatakan negara-negara tersebut jelas bimbang mengenai akibat jangka masa panjang mengenai hubungan diplomatik mereka dengan China jika mereka menghadiri ke majlis yang bertaraf dunia itu.

Sumber barat juga berpendapat, pemerintahan China tidak memberikan apa-apa penghargaan kepada rakyatnya secara khusus dan dunia secara umumnya melainkan berperanan sebagai seorang pembuli. Adakah pendapat ini boleh diterima? Adakah dengan secara sinisnya memberikan Hadiah Nobel Keamanan kepada seorang warga China yang begitu tekal memperjuangkan hak asasi manusia dan sistem demokrasi yang ditunjangi barat adalah cara terbaik mengejek sistem pemerintahan Komunisme China seterusnya mendesak China mengamalkan prinsip pemerintahan secara demokrasi? Adakah Hadiah Nobel Kemanan yang terkenal ini akan merubah China?

Di Oslo, anugerah tersebut disampaikan dengan simboliknya yang mungkin pernah berlaku sekali sahaja dalam tempoh satu abad, di mana anugerah tersebut diletakkan di atas sebuah kerusi kosong yang sepatutnya dihadiri oleh Liu Xiaobo. Penganugerahan tersebut telah diumumkan oleh Presiden Jawatankuasa Hadiah Nobel Norwegian, Thorbjoern Jagland dalam satu kenyataannya.

Liu Xiaobo merupakan seorang graduan dari Universiti Jilin dan menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana di Universiti Beijing. Kerjaya beliau sebagai seorang pengarang, pengkritik sastera dan politik disamping bergiat secara aktif sebagai aktivis kemanusiaan yang menggelarkan dirinya sebagai pejuang demokrasi yang menentang pemerintahan autokrasi secara komunisme yang diamalkan oleh tampuk pemerintahan China. Kelantangan Liu Xiaobo menyebabkan dirinya telah dipenjarakan sebagai ‘Tahanan Politik’ oleh Republik China.

Tinjauan media barat di China mendapati cuma segelintir penyokong Liu Xiaobo mengadakan demonstrasi menuntut beliau diberikan kebebasan dan penghargaan untuk menghadiri dan menerima anugerah tersebut. Polis China juga meningkatkan kawalan di sekitar kawasan perumahan milik Liu Xiaobo yang didiami oleh isterinya yang telah dikenakan tahanan di dalam rumah, juga di kawasan Universiti Beijing sebagai langkah berjaga-jaga. Media massa juga diingatkan untuk tidak memberikan sebarang publisiti mengenai pemberian Anugerah Nobel ini. Dalam tinjauan mereka, media barat cuba menonjolkan provokasi untuk memperlihatkan sistem autokratik rejim pemerintahan China dengan mengadakan sesi temu ramah secara langsung di sekitar Beijing. Di dalam temu ramah tersebut menunjukkan ada di antara rakyat China yang tidak mengenali siapa Liu Xiaobo, dan jika ada yang mengenalinya, mereka lebih memilih untuk diam daripada bercakap kerana menyedari isu tersebut adalah dilarang untuk dikupas didepan umum.

Secara tidak langsung, tindakan ini merupakan satu strategi barat untuk mengembangkan idealogi mereka mengenai sistem pemerintahan demokrasi dan hak asasi manusia yang begitu diagung-agungkan mereka. Matlamatnya adalah sama seperti penganugerahan Hadiah Nobel Kemanan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang pernah diterima oleh Aung San Suu Kyi dan Jose Ramos Horta. Mereka juga merupakah tokoh perjuang demokrasi dan hak asasi yang disekat pergerakannya di tanah air sendiri, sama seperti Liu Xiaobo.

Namun, China yang terkenal dengan ketegasan dan kedegilannya mungkin berasa tidak begitu tercabar dan sekadar mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaungkan amarannya. Dari satu sisi, kita dapat melihat kebimbangan Barat terhadap negara Asia , China terutamanya yang sedang meningkat naik dalam sektor ekonomi dan pembangunannya yang pesat dan semakin memonopoli pasaran perdagangan dunia muktahir ini. Negara barat yang kononnya  bersandar pada tiang demokrasi yang adil,tetapi tuli dan buta. ‘Demokrasi’kah mereka terhadap sokongan dan serangan yang mereka lakukan di Iraq? Dan yang nyata ialah pencabulan Israel terhadap Palestin!

Mendengar Pengalaman

Pengalaman adalah guru dalam kehidupan, mengesankan dan mengingatkan malah boleh menjadi sejarah. Kata James Joyce seorang novelis berbangsa Irish “A man’s errors are his portals of discovery.” Begitulah pelajaran yang dapat kita kutip dari pengalaman, orang lain atau diri sendiri.

Saya seorang yang lebih suka mendengar daripada berbicara. Terutamanya dalam perbualan dengan orang dewasa atau yang lebih tua dari saya. Dan petang tadi, saya sempat berbual panjang dengan seorang konktraktor di tempat saya bekerja.

Dia seorang yang jauh lebih berusia dari saya. Perkahwinannya telah melangkau lebih 32 tahun. Perbualan kami bermula dengan kisah awal pekerjaan beliau. Menceritakan pengalamannya di England menuntut ilmu, dunia kerjayanya yang cerah sebagai seorang expertise in welding sebelum menjalankan perniagaan sendiri sebagai seorang kontraktor.

Saya bertanya kepada beliau, apa yang memacunya sehingga dia meninggalkan kerjayanya sebagai seorang pakar pateri yang berpendapatan lumayan setiap bulan? Tanpa disangka, riak mukanya sedikit berubah. Lalu dia menceritakan.

“Saya tidak dapat menafikan, pekerjaan saya pada waktu itu adalah detik kegemilangan buat diri saya. Pendapatan yang lumayan dan selalu dapat  ke luar negara untuk menjalankan kerja. Namun begitu, saya masih ingat lagi, pada Disember 1999 saya ditugaskan untuk ke Kedah atas tugasan yang diberikan pihak syarikat.

Ketika di sana, saya menerima panggilan yang mengatakan ibu saya sedang sakit tenat dan pada masa yang sama mesin yang saya kendalikan tidak dapat berfungsi dengan baik. Pada waktu itu, jiwa saya betul-betul tertekan. Mengenangkan ibu yang terbaring di katil hospital dan pekerjaan yang saya harapkan dapat berjalan dengan lancar supaya saya dapat lekas pulang untuk menziarahi ibu jadi terbantut.

Dengan resa yang kuat, saya tetapkan hati untuk melunaskan kerja saya terlebih dahulu. Namun mesin tetap tidak berfungsi mengikut apa yang telah dirancangkan. Ketika itu, kegeraman dan kekesalanlah yang paling mengusai sanubari saya. Dengan rasa marah, saya menendang mesin lalu saya duduk menangis mengenangkan seorang anak yang tidak dapat menziarahi ibunya yang sedang sakit tenat. Kedukaan apakah yang lebih berat daripada itu yang pernah saya alami? Tidak ada!

Entah bagaimana, ketika saya sedang teresak-esak dengan linangan air mata, tiba-tiba mesin itu  berfungsi seperti sediakala. Seolah-olah mesin itu dapat merasakan kesedihan yang sedang saya alami lalu perasaan kasihannya menjadikannya berfungsi. Tanpa lengah, seperti mendapat tenaga yang baru, bagaikan seorang pengembara yang kehausan di gurun pasir yang terik dan kontang mendapat setitik air, saya lekas-lekas menjalankan kerja saya. Namun di dalam hati, saya masih mengenangkan ibu dan air mata masih lagi tersisa mengalir. Jiwa saya tidak aman.

Usai menyiapkan kerja, saya mendapat panggilan. Panggilan itu merupakan suatu perkhabaran yang membuatkan saya sangat menyesal. Sampai kini. Perkhabaran itu adalah satu berita dukacita yang membuatkan saya sungguh terkilan. Ibu yang saya kasihi sepenuh jiwa dan raga, yang telah mengandungkan saya selama sembilan bulan, menghidupkan saya dengan kasih sayangnya, dia telah pergi buat selama-lamanya dan sebagai seorang anak, saya tidak dapat berada di sisinya saat-saat nafasnya yang terkahir.

Saya terduduk, menangis semahu-mahunya. Jiwa saya berkecamuk dan terselubung pilu meratapi kehilangan seorang insan yang bergelar ibu. Maka dari detik itulah yang mula mengubah kehidupan saya. Saya berkata, apalah guna bergaji mewah jika ibu yang sedang nazak saya tidak dapat ziarah? Apa gunanya? Tidak ada gunanya jika kita campak wang seguni kepada ibu kita, tetapi saat ibu sedang tenat kita tidak bersamanya. Tidak ada gunanya.

Semenjak peristiwa itu, saya berazam dan tekad. Saya tinggalkan kerjaya saya yang sedang gemilang ini untuk berada dekat dengan keluarga. Saya tidak mahu ada kekesalan yang kedua dalam diri saya nanti. Saya percaya rezeki tuhan ada di mana-mana. Kata orang, sedangkan ulat dalam batu pun boleh hidup. Inikan kita pula manusia.”

Tanpa Sedar Kita

Saya terdetik, hari ini negara kita dikejutkan dengan satu tragedi kemalangan yang dahsyat. Beberapa jiwa kehilangan nyawa. Beberapa jiwa lagi sedang parah di atas katil-katil hospital. Entah berapa ramai ahli keluarga yang sedang menumpahkan air mata lantaran peritiwa sedih ini. Tragedi yang ngeri ini merupakan satu sejarah hitam yang terlakar lagi di atas sejarah kemalangan jalan raya di negara kita.  Sungguh menyayat hati.

Dalam waktu yang sama, kita sendiri menjadi heboh, kepoh. Peristiwa tragik yang berlaku jauh dari kita, kalau menurut akal yang sempurna kita sendiri tidak mahu ia terjadi, apalagi jika menimpa ke atas diri sendiri tentulah ia akan terkenang sebagai fobia dan tak sanggup kita hadapi.

Namun begitu, pada hari ini begitu ramai di antara kita yang ingin membongkarnya. Seolah-olah mahu menyaksikan tragedi itu di depan mata kepala sendiri. Makanya dalam zaman yang serba ber-teknologi, perkongsian di alam maya memungkinkan segalanya.

Kedahsyatan kemalangan itu kini terhidang di depan mata. Kita lihat sendiri darah pekat merah yang basah tertumpah. Kita lihat sendiri tubuh yang berkecai terburai. Kita lihat sendiri tubuh badan yang bergelimpangan bertabur di atas jalan. Tanpa ada sekatan. Seolah-olah kita menyaksikan sendiri tragedi itu di depan mata. Fresh dan asli.

Sebenarnya, kita semakin hairan dengan perilaku dan norma yang ada dalam segelintir masyarakat kita. Kita tertanya-tanya, ketika tragedi yang maha petaka itu berlaku, masih ada segelintir kita yang sempat merakamkan video, atau gambar kemudian menyebarkan sesuatu yang kita rasakan tidak patut dikongsikan dengan masyarakat umum. Terlalu umum.

Ketika mangsa-mangsa yang masih bertarung untuk hidup dan mati, mengharapkan pertolongan dan simpati, ada insan yang masih punya ruang untuk merakamkan tragedi. Benar-benar saya tidak faham.

Kalau yang merakam dan mengongsikan itu ialah ahli berita atau seumpamanya, sesungguhnya saya percaya atas tanggungjawabnya dan pekerjaannya. Kalau disiarkankan pun pasti berhemah dan bertapis. Tidak menyiarkan secara telanjang keadaan  mangsa-mangsa yang telah terputus terburai jasadnya. Paling-paling horor pun setelah ditutupi. Itulah kredebiliti media dalam menyiarkan maklumat. Berhemah dan bertapis.

Biarpun begitu, perkongsian siber yang cukup luas tanpa batasan ini, membolehkan sesiapa pun untuk menjadi seorang ‘kamera’man yang bertindak sebagai pelopor untuk menyiarkan sesuatu berita yang fresh dan asli, tanpa etika dan akhlak kewartawanan. Lalu ia dikongsikan bersama orang awam di alam maya.

Kita berfikir sejenak, adakah ini sudah menjadi trend?

Seseungguhnya jika ia berlaku di depan mata kita, kita tidak akan pernah sanggup untuk menatapnya lebih lama seperti yang kita tonton di atas skrin komputer. Berulang-ulang kali. Jikalau jiwa kita kental sekalipun, mungkin kita sedang menghulurkan tenaga membantu. Jikalau jiwa kita lemah pada waktu itu, kita akan terkesima dan tak mungkin dapat betah lebih lama di tempat kejadian. Apalagi merakamkan video dan gambar!

Sejujurnya, saya mengutuk tindakan mereka yang masih sanggup merakam video ngeri ini lalu menyebarkannya tanpa tapisan! Satu tindakan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab! Hasilnya, kita akan tercari-cari gambar dan video yang lebih terbuka dari apa yang telah dikatup media massa. Seolah-olah kita ini masih belum cukup untuk menitipkan simpati dan belas kasihan dengan sumber media yang sedia ada. Kita mencari alternatif yang lebih horor dan ngeri untuk mendatangkan impak terhadap hati kita untuk lebih jadi terkesan, simpati, kasihan dan memberikan pengalaman.

Justeru itu, sesiapa yang sedang berkongsikan pada waktu ini, pada hemat saya removekan-lah yang mana tidak patut. Terutama video mangsa-mangsa kemalangan dan gambar-gambar yang sememangnya tidak sanggup kita tontoni pada aras kewarasan akal. Bukan kerana takut atau loya atau lemah semangat, tetapi atas dasar menghormati kita sesama manusia.

Saya berkongsikan pandangan yang lebih dahulu disampaikan oleh seorang pendakwah dalam entrinya beberapa minggu sebelum kejadian. Moga kita selami selaut iktibar.

Schadenfreude: Menikmati Sebuah Rakaman Penderitaan

Previous Older Entries