Laskar Cinta- Isma AE Mohamad

Novel ini menjadi pilihan apabila ia mula menjadi cakap-cakap yang berlegar di kalangan kelompok Goodread Malaysia. Kemudian dicadangkan pula sebagai Ganding Baca Bulan November 2010 di mana para pembaca dipersilakan menanyakan soalan yang berkaitan dengan novel ini kepada pencalon yang mencadangkannya.

Jika kita teliti makna laskar ia membawa maksud kepada tentera atau soldadu. Pada mulanya saya beranggapan novel ini merupakan kisah cinta seorang askar dengan seorang gadis. Walaupun terlebih dahulu saya membaca review-nya mengatakan bahawa cerita di dalam novel mengangkat tema kaum pelarian Karen di perbatasan Thai-Myanmar.

Ternyata di dalam Laskar Cinta, makna cinta itu digarap dengan lebih luas. Kisah cinta di dalam novel ini lebih kepada cinta kepada negara, cinta untuk merdeka dan cinta yang penuh pengorbanan. Ia memupuk semangat patriotisme yang membakar apabila Kim, seorang remaja kaum Karen berpatah hati kerana keinginannya untuk berhijrah dan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat tidak kesampaian. Kim pada awalnya menentang konsep peperangan dalam menuntut kemerdekaan kaumnya, tetapi menukar pendiriannya untuk memasuki pasukan gerila di hutan dan bertekad untuk bertarung sebagai seorang pejuang pemisah.

Pemergian Kim dan rakan-rakannya ke dalam hutan itu mendatangkan lebih banyak kekesalan dari apa yang diimpikannya. Beberapa orang rakannya tewas, malah kekasihnya Nay, juga gugur. Sepanjang membaca novel ini, saya lebih tertarik dengan watak Vin, sahabat Kim yang begitu tegar menulis dengan sebatang pen yang selalu disisipnya. Saya seolah-olah merasakan Vin adalah watak pengarang ini, Isma AE Mohamed.

Isma menggarap novel ini dengan begitu hemat. Permulaannya dengan cerita Nadine yang kecewa kerana cinta, lalu dipujuk Roxana sahabatnya untuk ke ‘Kaw Thoo Lei’ yang dijanjikan sebagai sebuah taman. Di situ, Nadine menjadi seorang sukarelawan yang membantu kaum Karen yang dikelaskan sebagai pelarian. Di situ, kesemua watak dihimpunkan dan digarap dalam satu kembara. Kamal, seorang askar di sempadanan Thailand dalam diam menaruh perasaan terhadap Nadine sehingga sanggup mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan gadis melayu itu ketika Nadine diculik. Kisah Kamal dan Nadine tergantung dihujungnya apabila Kamal dipenjarakan kerana didakwa atas dasar meninggalkan tugasan.

Laskar Cinta, penuh dengan plot-plot dramatik, saspen dan kadang-kala terselit satira buat kita pembaca di Malaysia. Watak-wataknya pula saling berdokongan atas kapasiti persabahatan, setia kawan dan semangat patriotik. Kisah cinta dan sayang tumpah melata hingga ke penghabisan ceritanya. Namun begitu, iktibar yang dibawakan pengarangnya dapat membangunkan kita untuk membuka mata dengan lebih luas. Seperti saya yang baru sedar kewujudan kaum Karen di negara Myanmar, yang ditindas dan Isma menegaskan tunjang ilmu adalah rimbun kehormatan dan nilai harga diri sebagaimana saya tertarik pada dialog antara Kim dan Ibu Mary.

“Hari itu dia pulang dengan kekecewaan. Dia mengadu kepada Ibu Mary. “Ibu, murah sangatkah budak seperti saya ini?”
“Tidak sayang”.
“Kalau begitu, bagaimana saya dapat jadi berharga seperti Ibu?”.
“Dengan Ilmu”.

Namun begitu, di hujung novel ini tidak menjawab persoalan adakah Kim kembali kepada Islam, setelah perancangan awal Ibu Mary untuk menghantar Kim ke Rom gagal apabila Kim membawa dirinya ke hutan? Malah Kim kembali ke sisi Ibu Mary dan dijaganya semula. Saya melihat kisahnya yang tergantung.

2 Comments (+add yours?)

  1. isma ae
    Dec 15, 2010 @ 01:34:26

    ia memang tergantung,disengajakan. insya-Allah saya akan menyambungnya kisah ini satu hari nanti, bila saya terbaca dalam Metro sekitar bulan september dahulu, ada sebuah laporan yang mengatakan ada sebuah penempatan kaum pelarian Karen di Terengganu secara haram, saya sedang kumpul bahan bukti, mungkin sambungan itu membawa Kim masuk Islam semula.

    Reply

    • budakkilang
      Dec 16, 2010 @ 16:00:55

      Andailah benar, ingin betul saya ketahui kisah Kim itu bagaimana penghujungnya. Semoga saya dapat baca sambungannya dan selamat maju jaya buat tuan:)

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: