Rombongan Meminang

Hujung minggu yang lepas menitipkan pengalaman pertama saya menghantar rombongan meminang bagi pihak sepupu lelaki. Anak bujang Mak Teh yang sulong.Bakal tunangnya itu orang Pendang, Kedah.

Sebanyak empat buah kereta dari pihak kami mengiringi rombongan itu dari Tapah ke Pendang. Perjalanan bermula apabila kami memasuki pekan Pendang, selepas berlegar-legar dari jalan pekan Pendang, kami menyusur masuk jalan ke sebuah taman.Selepas empat lima kali belok kiri dan kanan, kami menempuh pula jalan ke sebuah kampung.

Yalah, bakal tunangnya orang Pendang, Kedah. Jalan kampungnya sedikit berliku-liku. Lebar jalannya hanya muat untuk dilalui oleh sebuah kereta sahaja. Di hati, saya berdoa untuk tidak berselisih dengan mana-mana kenderaan selain motosikal. Kereta pun bergerak dengan dengan kelajuan yang paling perlahan. Begitu-lah saya berhati-hati.

Agaknya setelah sekian lama perjalanan kami mengharungi jalan kampung itu tidak juga sampai-sampai. Atuk pun bersuara.”Hisshh, camno la si Ari buleh jumpo budak ni?”

Advertisements

Karipap-Karipap Cinta

Saya tahu novel ini membawa tema romantik-komedi. Sebelum membeli novel karipap-karipap cinta saya terlebih dahulu sudah mengenali penulisnya Nazri M. Annuar a.k.a vovin melalui penulisan beliau di blognya yang mahsyur. Saya membaca banyak ulasan-ulasan yang menggambarkan novel ini adalah sangat lucu dan mencuit hati, maka saya mula membayangkan cerita-cerita saudara vovin yang kelakar dan santai seperti yang selalu ditulisnya pada ‘panda cinta adventures’. Saya merimaginasi tentang gaya penulisan yang lembut, halus dan begerak dengan perlahan-lahan apabila kita membacanya. Santai walaupun dalam waktu yang paling cemas.

Secara jujur, saya meletakkan harapan yang tinggi jika novel ini mampu membuat saya ketawa terbahak-bahak di dalam hati seperti membaca kartun Kartunis Lambok. Namun saya silap perkiraan, pada saya novel ini adalah humor yang streotaip seperti menonton lawak senario namun begitu novel ini masih juga kelakar kerana saya mampu bergelak he he he ataupun hi hi hi ketika membacanya. Walaupun saya mengharapkan kah kah kah. Gaya penulisan beliau juga agak hambar jika dibandingkan dengan tulisan di dalam blog beliau, terutama di awal babak permulaan.

Karipap-karipap cinta bergerak di atas landasan yang lurus tentang sebuah kisah cinta antara Ali dan Sarah. Watak Ali digambarkan seorang pemuda yang biasa-biasa, berpendapatan sederhana, hidup bujang di kota besar Kuala Lumpur. Ali seorang yang ‘bergerak mengikut arus’ seperti di dalam pekerjaan dan kehidupan Ali; putus cinta, berinternet, lepak di warung bersama kawan-kawan, menyewa di flat kos rendah dan sebagainya. Walaupun Ali seorang yang ‘ hanya bergerak mengikut arus’, namun ‘arus’ itu tidak boleh dianggap selalu tenang dan senang, kadang-kadang ia bergolak juga. Pergolakkannya bermula apabila Ali menaruh minat ke atas Sarah, watak seorang gadis feminin dan heroin yang digambarkan sebagai berilmu kerana berkelulusan Al-Azhar, cantik dan pandai membuat karipap. Ali mula berbohong lalu menjerumuskan dia ke dalam kancah yang lebih cemas tetapi selalu bernasih baik kerana ‘asyik diselamatkan’.

Vovin menggarap karya ini bersulamkan satira-satira sinis dan berlawanan pada pandangan semasa. Lihat betapa dia begitu sarkastik menggunakan istilah Syawarma-Syawarma Cinta, Nazzarah-Nazzarah Cinta, Kittun-Kittun Cinta dan Toyyiba-Toyyiba Cinta di dalam Karipap-Karipap Cinta menggambarkan dunia novel sekarang di Malaysia bahawa konsep novel-novel cinta-islamik lebih mendapat tempat di kalangan pembaca. Vovin juga mengangkat tema Islami di dalam watak Sarah secara ‘opposite’. Sarah seorang lulusan Al-Azhar sepatutnya menjadi seorang ustazah dan kerjanya ialah berdakwah. Namun Sarah lebih berminat berkecimpung dalam bidang komik dan mengembangkan  dakwahnya melalui medium komik. Hal yang sama diperkukuhkan dengan kehadiran sebentar watak Muaz. Sesuatu yang saya bersetuju dengannya kerana bagi saya dakwah itu boleh dilakukan dimana-mana oleh sesiapa jua.

Karya ini juga mengangkat tema politik sebagai latarnya, Vovin begitu menyindir alam politik dan para politikus-nya. Di sini kita dapat lihat Ali yang berkerja dengan Datuk Razali Bunari sebagai seorang bos di dalam syarikat penerbitan Wadah Rakyat cukup dibenci dengan sesungguhnya. Watak Datuk Razali Bunari dimainkan sebagai seorang ketua yang pemarah dan bengis, seorang politikus bertalam dua muka, tamak dengan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politiknya seperti Datuk Razali Bunari merancang untuk menjatuhkan lawannya Datuk Mukhzanuddin. Namun begitu, Vovin turut menyisipkan sedikit harapan terhadap dunia politik semasa dengan berharap di suatu masa ia akan insaf dan berubah seperti keinsafan Datuk Razali Bunari di akhir naskah Karipap-Karipap Cinta.

Walaupun novel ini secara tunjangnya bertemakan cinta, saya lebih suka babak-babak sampingan yang diselitkan oleh Vovin seperti adegan Bart Rasta, Uncle Hong, Uncle Remy dan Asha. Watak-watak ini pada saya adalah akar kelucuan di dalam Karipap-Karipap Cinta berbanding kisah Sarah dan Ali. Watak-watak ini menghidupkan deria-deria yang menggelikan hati apabila ia bertemu dengan kisah Ali. Tema ketuhanan juga turut disentuh oleh vovin di dalam novel ini yang dapat digambarkan seperti berikut:

” Bart Rasta menghampiri hadirin. Kemudian menjauhi mereka. Dia berada di tengah jalan.

“Nah, kalaulah putus cinta itu buat ornag berduka, mengapa acap kali kita memutuskan cinta tuhan terhadap kita? Kenapa kita membiarkan tuhan duka, kerana kita tidak cintainya lagi?”

Hadirin angguk tanda faham apa yang cuba disampaikan oleh Bart Rasta.

“Putus cinta sesama manusia, akan ada penggantinya. Tetapi tuhan hanya ada satu dan kalau dia mengambil keputusan untuk tidak lagi mencintai kita. Tida tuhan kedua untuk kita terima cinta agung…”

Hadirin bertepuk tangan.”

Dengan padangan yang luhur, Vovin seorang yang begitu akrab dan menghargai kawan-kawan realitinya. Lihat betapa beliau mengangkat nama-nama kawannya di dalam Sindiket Soljah secara terus di dalam naskah ini seperti PipiyapongSinaganaga, Tok Rimau, Abdullah Jones dan beberapa nama lainnya serta namanya sendiri (vovin). Nama-nama ini sudah cukup gah di dalam industri blogger yang terkenal dengan konsep ‘menyuntik pop ke dalam seni’ di Malaysia sekaligus menerbitkan tanda terima kasih oleh beliau secara tidak langsung kepada mereka.

Gadis Hulu Muar

Tiga Novel: Abdullah Sidek

Menceritakan kisah percintaan desa antara seorang jejaka bernama Kassim dan seorang dara yang bernama Gayah.

Gaya penulisan Abdullah Sidek dalam menceritakan kisah ini tidaklah banyak menggunakan bahasa-bahasa metafora yang lazimnya menggambarkan keindahan setiap cerita cinta.

Bahasanya mudah dengan lenggok penulisan melayu lama, seperti kisah-kisah cinta yang lain, ia juga lengkap dengan plot-plot rindu, kasih sayang, gurau senda, dengki khianat, selain diselitkan juga banyak plot-plot yang berlatarkan masyarakat melayu lama seperti permainan sepak raga, belajar silat, pesta menuba dan pesta menuai padi.

Latar asasnya masih berkonsepkan perkampungan, Kassim seorang anak muda baya 20-an yang wajib menyara ibu dan adiknya lantaran kematian bapanya. Pada babak-babak awal, hubungan Kassim dan Gayah hanyalah sekadar kawan rapat dan abang kepada adik. Kassim banyak membantu Gayah, anak Pak Tunggal dalam menguruskan kehidupan seharian seperti menoreh dan memesin getah. Waima jika Kassim pergi memancing ikan pun, hasilnya tetap sedikit atau banyak dikongsikan dengan Gayah.

Masa demi masa, usia pun semakin menginjak dewasa, hubungan ini hujungnya menyimpulkan keakraban yang lebih erat terjalin, tanpa sedar Kassim dan Gayah masing-masing memendam perasaan antara satu sama lain dan di sini kita akan lihat lebih banyak adegan-adegan cinta mengembang sesuai dengan tema dan tajuknya.

Seperti orang yang telah lama makan garam, Abdullah Sidek tahu cinta-cinta anak muda selalu diuji dengan gelora nafsu, seperti petikan dibawah.

” Melihat perlakuan Gayah yang demikian, maka iman Kassim yang keras dan teguh itu pun robohlah, maka dengan perlahan-lahan ia menundukkan kepala mencium pipi dan mengucupi mulut Gayah yang kecil molek, yang dihiasi oleh dua baris gigi yang putih berkilat itu. Menerima ciuman yang ditunggu-tunggunya, kedua-dua belah tangan gadis itu perlahan-lahan datang memeluk akan leher kekasihnya. Pelukan itu semakin bertambah kuat manakala kerana ciuman yang bertambah lazat itu berjalan dan meresap ke seluruh sanubarinya.

“Sudahlah Yah.” Demikian bisik Kassim kepada teliga “gadis Hulu Muar” itu.

Tetapi Gayah telah menjawab sambil tersenyum kemalu-maluan. “Lagilah Sim.” Yang demikian terpaksalah Kassim menyempurnakan permintaan itu.”

Namun ini hanyalah plot yang mengajar supaya setiap orang tidak mudah tunduk dengan gelora cinta yang berlandaskan nafsu, apatah lagi jika cinta anak muda yang baru hijau pucuknya. Baru sejam hilang dari mata sudah meroyan rindu. Maka, jika hendakkan bercinta, disuruhnya kita beriman supaya tidak terlanjur akibat dan perbuatan yang merosakkan.

Di akhir bab, cinta Gayah dan Kassim akhirnya membina ikatan yang sah melalui perkahwinan. Dan seteru Kassim yang juga sahabat karibnya, Hussain yang suatu masa telah menyimpan dengki kerana cinta Hussain kepada Gayah tidak dibalas, kerana cinta Gayah hanyalah untuk Kassim seorang tiada dua, menjadi akrab semula. Hussain telah menjadi seorang lebai muda. Ada pun ceritanya ialah Hussain malu kerana pinangannya ditolak Pak Tunggal, Hussain telah keluar dari kampung dan merantau untuk belajar ilmu agama.

Maka disimpulkan juga oleh Abdullah Sidek, kekecewaan, kehampaan dan kedengkian akibat cinta itu sebenarnya adalah hikmah untuk orang yang selalu berfikir seperti Hussain untuk berjaya di kemudian harinya.

Wallahu al’aklam bissawa’.

RM Tiga Belas Ribu

Fairuque yang sejak dari tadi hanya menunggu dari dalam kereta, sekali-sekala mengemaskini maklumat yang diperolehi melalui sms yang dihantar oleh Rijal. Tersenyum-senyum dia melihat rumah kampung berdinding papan bertiang tinggi di depannya. Yang cuma berjarak beberapa rantai. Fairuque memang disuruh tunggu dibawah.

via sms. “Macam mana?”

dibalas “Ok, semua terkawal”- Rijjal.

Fairuque cuma tersengih-sengih membaca teks.

via sms “ramai ke?”

dibalas “pergh..ramai beb”- Rijjal.

Duduknya tidak senang, kadang-kadang Fairuque berpusing ke kiri. Kadang-kadang Farique berpusing ke kanan. Kadang-kadang kerusi pemandu dibaringkan sampai jatuh betul. Tak lama, kerusi pemandu ditegakkan semula.

via sms. “Cincin?”

dibalas “Belum sarung. Tengah bincang lagi.”- Rijjal.

Hatinya berdebar. Telefon bimbit di tangan digenggamnya kuat. Penghawa dingin dalam kereta masih belum mampu menyejukkan hati Fairuque. Peluh mula membasahi dahi, belakang baju, dan celah pelepah lengan. Tiba-tiba satu sms masuk.

“Dia orang mintak tiga.belas.ribu.”-Rijjal.

Terus Fairuque meluru keluar dari kereta. Pintu pun tidak ditutupnya.Tangga batu rumah kampung bertiang tinggi itu dipanjat dengan langkah panjang. Sekejap Fairuque sudah muncul di depan pintu. Lalu diterjahnya masuk ke ruang tamu. Dia tercungap-cungap sekejap. Semua mata yang ada diruang tamu memandang ke arah Fairuque. Rijjal berbaju kemeja dengan songkok tinggi terkejut melihat tindakan Fairuque. Secara tiba-tiba.

Fairuque berdiri tegak.”Boleh nak tiga belas ribu. Saya boleh bagi. Tapi lepas ni raya memang kita tak jumpa” Teging biji mata Fairuque memandang anak mata Pak Rozman ayahnya Nurhaslinda. Suaranya lantang ayam jantan.Semua yang ada tercengang-cengang. Suasana senyap dan sepi. Fairuque masih bermata teging.

Tiba-tiba ada sms masuk. Fairuque buka dan baca.”Aku gurau lah”- Rijal.

Nak balut, ada caranya

“Kau ni balut macam mana? Betul-betullah sikit” Arman tinggikan suaranya menegur cara balut Abe Dolley.
“Tengok ni, kertas habis terlipat-lipat. Tak kemas langsung” lagi bebel Arman.
“Tegangkan dulu kertas tu, kemudian baru lipatkan. Barulah tampal” tak putus-putus cakap Arman sejak dari tadi.

Abe Dolley hanya tersengih-sengih sambil menggaru-garu dahi. Peluh jantan memercik setitik dua, buat kerja dalam gudang yang tertutup dekat sini memang bahang. Lagi-lagi kalau line tengah panas.

“Hishh ! Kau ni Abe, kalau lipat baju macam mana agaknya?” Arman menggeleng-gelengkan kepala.
Abe Dolley tersentap, tangannya berhenti dari melakukan kerja membalut. Gunting yang di tangan Abe Dolley digenggamnya kemas-kemas.

Arman berundur dua tiga langkah bila melihat kelakuan Abe Dolley.
“Takkan pertikaikan pasal lipat baju pun Abe Dolley nak marah” gumam Arman dalam hati. Sempat juga terteguk air liur sendiri dua tiga kali.

Kali ini Abe Dolley betu-betul tegak berdiri di depan Arman. Anak matanya dalam merenung anak mata Arman. Abe Dolley mengerutkan dahi, membuatkan renungan matanya semakin fokus dan jitu. Arman terkelip-kelip. Memang tajam renungan Abe Dolley.
Gunting yang di tangan Abe Dolley masih lagi tergenggam erat.
“Bro, gua balut drum ni memang slow, tapi kalau gua lipat baju, memang menangis la mak mertua gua tengok” kata Abe Dolley perlahan-lahan.

IPTA: Antara Jodoh dan Ilmu

Faiz keluar dari pintu dewan pendaftaran dengan senyuman yang sungguh ceria.

“Bagaimana semua?” Soal Bonda Ros kepada anak sulungnya itu. Bukan kepalang gembira hati Bonda Ros tatkala mendapat khabar yang Faiz berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Dan hari ini, ialah hari yang penuh kebesaran bagi Bonda Ros. Semoga Faiz akan menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya, bisik Bonda Ros di dalam hati sambil tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran.
Faiz hanya mengangguk-anggukkan kepala. Senyuman masih tidak lekang dari wajahnya.

“Semua berjalan lancar bonda, Alhamdulillah” ujar Faiz, matanya memandang tepat ke wajah Bonda Ros. Kedua-dua anak beranak itu tersenyum.
“Syukur, ingat Faiz, datang ke sini belajarlah bersungguh-sungguh, jangan hampakan harapan Bonda, harapan adik-adik. Kami semua bangga dengan Faiz” ingatan dari Bonda Ros kepada anak sulungnya itu. Hati ibu mana yang tidak bangga melihat anak-anaknya berjaya. Walaupun baru sebelah kaki, namun kegembiraan yang terpancar di wajahnya memang tidak dapat disembunyikan lagi.
“Terima kasih Bonda, Faiz akan pegang pesan Bonda” bersungguh-sungguh Faiz berjanji.

Bila tibanya masa ingin berpisah, air mata Bonda Ros perlahan-lahan tumpah di balik bingkai kaca yang dipakainya. Cepat-cepat dikesatnya dengan sapu tangan.
Tak sanggup hati Bonda Ros ingin melepaskan anak sulungnya itu. Namun memikirkan masa depan Faiz, Bonda Ros terpaksa. Dahulu anak itu diasuh dari kecil di depan matanya. Sekarang terpaksa dilepaskan dan berjauhan pula.
Sebelum pulang, mereka berpelukan. Lama sekali.
Faiz perhatikan kereta proton waja itu sehingga hilang dari pandangan matanya. Tiba-tiba senyuman terukir di wajahnya.

“Sekarang aku bergelar mahasiswa, bakal graduan Kejuruteraan Mekanikal Aeronautik dari Universiti Malaya” desir Faiz dalam hatinya. Akhbar yang sejak dari tadi yang dipegangnya dibentangkan semula. Faiz baca muka depannya dengan senyuman lagi.

“Wanita terus kuasai IPTA”

Memikat! Cara Mudah

“Sekarang ini ada cara paling mudah nak dapatkan nombor telefon budak perempuan yang kau minat” kata Kimi tersengih-sengih.

Adi, Roslan dan Komeng menanti penuh sabar dan debar mendegar Kimi meneruskan kata-katanya. Mereka bertiga diajak berkumpul oleh Kimi di belakang bangunan bengkel kemahiran hidup untuk diberitahu tentang rahsia itu. Sanggup mereka ponteng kelas Bahasa Melayu Cikgu Salina. Kalau ditangkap memang nahas. Tapi Kimi cakap rahsia ini memang berbaloi-baloi.

Kimi menoleh kiri dan kanan, setelah dipastikannya tiada sesiapa selain mereka berempat. Kimi berbisik perlahan-lahan. Kimi mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.

“Minyak ni kau sembur sekali sebelum keluar rumah, sebelum sembur baca selawat 31 kali, lepas tu kau pergi dekat budak perempuan tu. Kalau dia terbau, secara automatik dia akan memberikan nombor telefonnya kepada engkau orang” Kimi bersungguh-sungguh menerangkan.

Adi sudah terbayangkan anak makcik kantin sekolah.
Roslan terseyum mengenangkan Susilawati si pengawas perpustakaan.
Komeng belum  ada calon, tapi berminat untuk mencuba juga.