Maryamah Karpov- Andrea Hirata

Setelah menyelesaikan dwilogi padang bulan dan cinta di dalam gelas, tetralogi Lasykar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov, ditambah dengan dua buah filem yang telah dilayarkan dari naskah-naskahnya, baharulah kita boleh mengatakan bahawa udara yang sedang kita sedut ini terdiri daripada 78% nitrogen, 21% oksigen, 1% karbon dioksida berserta wap air dan gas-gas lengai yang sama sekali tidak boleh diproses oleh paru-paru.

Membaca Maryamah Karpov samalah seperti kita sedang duduk di dalam sebuah perjalanan dari Johor Bahru ke Shah Alam. Di atas tangan , kita sedang menggengam tiket yang menunjukkan tempat duduk kita iaitu di kerusi nombor 20. Dan ditakdirkan tuhan, datang seorang gadis, lalu duduk di sebelah kerusi kita yang bernombor 21. Gadis itu, datang dengan senyuman yang manis, dengan dandanan kesederhanaan, tudung jingga menyarung wajahnya yang bujur, berbaju polos labuh, berseluar denim dan berbauan seperti lavender di waktu pagi musim April.

Gadis itu melabuhkan punggungnya pada kerusi yang bernombor 21. Sepanjang perjalanan, saya dan dia tidak berbicara. Kami tenggelam dalam dunia buatan sendiri di atas kerusi bas yang sempit itu. Dalam tempoh 5 jam, perjalanan dari Larkin ke Seksyen 17, kami hanya berbicara melalui telepati iaitu menggunakan bahasa jeling-jelingan dan bertukar senyum ketika anak mata saling bertemu.

Sebenarnya dalam hati saya, sangat ingin berbicara dan mendengar suara gadis itu. Namun, saya terlalu pemalu untuk memulakan bicara lalu saya pun meneruskan lakonan sebuah kepura-puraan. Iaitu cuba tidak mengendahkan kehadiran gadis manis disebelah saya ini. Saya cuba untuk tidur dan pejamkan mata, tapi bas pula semakin galak bergoyang-goyang dan menyukarkan mata untuk pejam. Yang ada dalam fikiran saya, apakah ayat pertama yang paling terbaik untuk saya memulakan sebuah perbualan. Adakah cerita cuaca? Tentang hujan yang turun mencurah sepanjang Disember, tiba-tiba menjadi paling bakhil di awal Januari tahun  baru, setitik pun ia tidak membasahkan tanah sepanjang perjalanan dari Johor ini sampai ke Dataran Shah Alam sana. Atau cerita politik mengenai pelajar upsi yang lunyai dikeroyok polis gara-gara tunjuk perasaan mereka memprotes perlembagaan AUKU?

Akhirnya, semua itu hanya menjadi sekeping sandiwara dalam fikiran sahaja. Menjadi imaginasi yang halus sebelum dipecahkan menjadi puing-puing halus yang dimuntahkan oleh ekzos bas yang suci hitamnya dan bising bunyi deruman enjinnya.

Sedang gadis itu pula, telah larut dalam dunia andreoid di telapak tangan. Hari ini,  teknologi tidak pernah membataskan perkenalan sesama umat. Kita boleh mengenal sesiapa sahaja yang kita mahu. Kita hanya tahu berani dengan sokongan teknologi, sejujur-jujurnya kita telah mendayusi diri sendiri. Dengan teknologi kita boleh kenal nama seorang kawan yang entah-berantah yang tidak jelas juga asal muasalnya- serta tidak tahu kaitannya dengan kita. Tetapi gadis di kerusi nombor 21, yang hanya setengah inci dari jarak saya, jangankan namanya, kasut yang dipakainya pun saya takkan tahu dari jenis apa.

Setelah bas tiba di dataran destinasi, gadis di sebelah kerusi saya yang bernombor 21 itu bangkit hendak turun. Tiba-tiba sebuah buku Andrea Hirata- Maryamah Karpov, telah jatuh dari dalam begnya. Saya menolong mengambil buku itu dari lantai bas, dan menyerahkan kembali pada gadis itu dengan wajah penuh senyuman tapi di hati sangat padat kekesalan. Mengapa saya tidak tahu bahawa gadis itu membaca buku yang sama?

Tuhan telah menciptakan sebuah pertemuan yang paling hebat, dan manusialah yang selalu membinasakan pertemuan-pertemuan itu. Begitulah perasaannya ketika membaca Maryamah Karpov.

4 Comments (+add yours?)

  1. fnd
    Jan 03, 2012 @ 21:26:34

    Steady. Kau tahu tak aku penggemar blog ini?

    Reply

  2. budakkilang
    Jan 05, 2012 @ 00:03:59

    Steady la Fnd. Terima kasih atas sokongan.

    Reply

  3. gorgom22
    Jan 10, 2012 @ 11:20:56

    hehehe..
    sama le perasaan dlm bas tu. sering tak pernah keluar cetusan idea bagaimana hendak bermula bicara. lidah kelu tak terkata, nak kata malu pun ada juga. dah la cun gila. akhirnya bila dah sampai, menyesal tak terkira.

    Reply

  4. budakkilang
    Jan 11, 2012 @ 23:15:13

    Gorgom…gorgom….
    cuba lain kali….

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: