Dendam- Affifudin Omar

Naskah ini bergerak terlalu pantas. Seolah-olah apabila kita membacanya ia melaju seperti seperti seekor burung merpati mematuk biji-biji sekoi yang dilemparkan oleh pengunjung di Dataran Bandaraya. Dari sub-topik ke sub topik yang lain, pergerakannya juga seperti burung merpati itu tadi. Ia berjalan terkedek-kedek mengerumuni kawasan yang paling banyak ditaburi bijan-bijan sekoi. Kadang-kadang ia begitu jinak mematuk-matuk sekoi di tangan pengunjung. Tetapi harus kita ingat, sejinak-jinak merpati, walaupun jinaknya sampai boleh mematuk di atas tangan tetapi masih juga liar.

Novel ini bersama plotnya bergerak dengan sangat mudah. Walaupun lingkungan tema dan latarnya sangat besar. Wataknya sangat ramai, tetapi boleh diingati dengan berkesan. Mungkin kerana bahasanya yang ringan maka dengan selamba penulis secara tiba-tiba dapat memusingkan apa jua situasi perenggan ceritanya sebanyak 360 darjah, seperti seorang pelajar kuliah yang memusing-musingkan pensil di tangannya.

Dendam, begitu tajuknya sangat mengerikan. Tetapi penulis menterjemahkan cerita dendam itu secara minimalis. Secara mikro. Kisahnya bermula apabila Khalil Gibran anak seorang petani yang ayahnya menjadi cacat kerana dipukul oleh Sarjan Mejar Samad, secara peribadi menyimpan dendam terhadap polis yang mengganyang ayahnya, kemudian dendam itu berlingkar lebih besar kepada seluruh kesatuan anggota polis dalam negara.

Khalil Gibran menjadi polis untuk membalas perbuatan Sarjan Mejar Samad. Dedam menjadikan watak Khalil Giran buas, ganas, ghairah dan kosong empati. Dari situ plot, watak dan latar berkembang menjadi raksaksa. Tetapi masih dapat dikawal oleh penulis secara rasional. Pembunuhan, penipuan, penzinaan, konglomerat, Singapura, Danok, Myanmar, Perdana Menteri, sepupu Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, YAB, pembunuh upahan, wang berjuta-juta, harta melimpah luah, korupsi peringkat tertinggi, jet peribadi, kondominium mewah mula melatari novel ini. Dendam, tentulah di mana-mana sahaja dengan senang kita boleh ketemukan dalam naskah ini. Ada pada setiap lembar dan perenggan ceritanya. Kita dibawa terlalu jauh oleh penulisnya untuk mengaitkan segala macam latar dan watak  itu dengan Khalil Gibran. Sebegitu mudah dan senang?

Tetapi akhirnya, penutupnya dan kesimpulannya dendam tidak akan membawa manusia ke mana-mana. Ibarat kata Affifudin, manusia yang tidak bertuhan juga boleh merasa insaf. Khalil Gibran dihujung cerita ialah seorang yang insaf, warak dan beristeri dua.

Memabaca Dendam ialah proses yang sangat mudah. Ia tidak seberat Tuan Direktur tulisan Hamka ataupun sekompleks Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (SBDKL) karya Keris Mas. Walaupun mesejnya sama, tetapi wacana penceritaan dalam SBDKL lebih asli dan segar meskipun skop dan latarnya hanya berkitar  antara Pekan Tualang dan Kuala Lumpur berbanding, Dendam yang berlatarkan di banyak tempat, pula tempatnya hebat-hebat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: