Kimono Ungu Bersulam Bunga- Rebecca Ilham

(Sumber gambar)

Buku ini menghimpunkan sejumlah cerpen karya-karya cerpenis Rabecca Ilham yang pernah tersiar di persada sastera tanah air, lewat ruang tulis akhbar mahupun makalah-makalah satera tempatan. Apa yang saya kagumi tentang himpunan cerpen ini adalah gaya penulisan sang pengarangnya. Gaya penyampaiannya melalui tulisan itu begitu teliti dan tajam. Huraiannya tentang pergerakan watak-watak dan latar suasana di dalam setiap cerpennya diolah dengan diksi yang wajar lalu menjadikan saya tersangkut pembacaan untuk berfikir sekejap mengenai perbuatan sang watak yang sedang dibaca atau berimaginasi sebentar tentang ruang iklim luar negara yang dibawakannya dalam bentuk prosa.

Rebecca adalah seorang pengarang muda dengan sejarah pendidikan kejuruteraan di sebuah universiti luar negara. Justeru itu kaca mata tulisannya berkembang dengan baik dalam menceritakan iklim-suasana melewati sempadan dan relung nusantara. Beliau adalah seorang pemerhati dalam kembaranya di tanah asing dan kita sebagai pembaca turut sama menghayati nuansa negeri orang dalam karya-karyanya ini.

Penanya bermula dari cerpen Langit Lazuardi yang menyorot kembali tragedi cemas tembak-bunuh di sebuah universiti di negara Uncle Sam, kemudian kita dibawa pula menelusuri negara belah timur yang mekar dengan pohon sakura pada musim bunga di dalam judul utama cerpen ini, Kimono Ungu Bersulam Bunga yang mengangkat tema feminisme dalam rantaian masyarakat matahari terbit itu. setelah itu pengarang meneruskan kembara ceritanya di persinggahan beberapa benua seperti Jalan Jauh ke Ramallah yang membawakan persoalan negara Palestin yang dicabuli Israel dan sekutunya Amerika tanpa dibela dengan jujur oleh PBB. Kisah kekejaman puak Serbia suatu tika dulu dalam Puing Derita Bosnia dan Herzegovina, dan beberapa cerpen lainnya adalah perjalanan seterusnya di dalam kisah 15 cerpen ini. Secara kolektifnya, bahasa mudah yang digunakan oleh Rebecca Ilham mengindahi latar ceritanya dan itu sememangnya tidak mudah untuk disampaikan dengan jelas dan terang tanpa pengamatan atau penguasaan kosa kata yang kukuh untuk diterjemahkan dalam bentuk penulisan.

Kimono Ungu Bersulam Bunga adalah himpunan cerpen yang membawa tema-tema berat bercitrakan antarabangsa, berselitan dengan tema sosio-budaya-agama dan sirah seperti yang dinukilkan dalam Jus Soli Jus Sanguinis atau Fajar Sidik di Sierra Morena, juga tidak dapat lari dari tema cinta yang berhamparan sulaman akedemia sebagaimana yang tercoret dalam Protokol Cinta atau Senja-Senja  Brasalia, barangkali. Hampir keseluruhan cerpen-cerpennya dalam Kimono Ungu Bersulam Cinta ini didokongi watak feminin yang yang kuat. Mungkin kerana Rebecca Ilham itu sendiri seorang wanita maka beliau lebih akrab untuk mengukuhi setiap karyanya bertunjangkan watak yang sama gender.

Namun begitu, saya juga terkesankan sesuatu kehilangan. Terlebih dahulu bukanlah niat saya disini untuk meremeh-remehkan karya penulis yang lebih karib dengan panggilan Beccky ini, cuma saya sekadar berkongsi sesuatu yang saya rasakan kurang. Bahawasanya saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Pn. Najibah dari Goodreads di dalam ulasan beliau tentang buku ini, sewaktu mengahadami  karya-karya Rebecca Ilham di dalam Kimono Ungu Bersulam Bunga, hati saya serasa sedikit tidak terlentur dan terpaut hambar untuk melumat cerita-ceritanya dengan rakus dan perasaan tidak sabar; kurang debar.

Adakah kerana genre yang dibawakan oleh Rebecca tidak selari dengan jiwa saya yang masih muda mentah tentang sastera, atau saya sendiri tidak begitu intelektual dalam meniti jalan ceritanya? Tetapi itu bukanlah satu batu penghadang buat diri saya untuk lebih meranumi karya-karya masa depan Rebecca Ilham. Saya pasti Rebecca Ilham suatu hari nanti akan menjadi seorang cerpenis yang profilik, saya lihat karyanya semakin menganjak matang dan terasa perbezaannya bila dibandingkan antara cerpen pertama tulisan beliau dalam Langit Lazuardi, dan menyelusur satu-satu hingga akhirnya ke Protokol cinta. Semakin subur.

Walaubagaimanapun,  saya memandang Rebecca Ilham dengan imej seorang penulis yang bukan bersahsiah akademik sastera. Maksud saya adalah merujukkan kepada latar pendidikan beliau dalam kesarjanaan jurutera lalu beliau membawa masuk kejuruteraan itu dalam penulisannya lantas menjadikan unsur-unsur itu bergabung dengan erat di dalam tulisan cerpennya. Tidak salah kalau saya katakan Rebecca Ilham, telah mengilhami karyanya dengan men’juruterakan sastera’. Yang cuma perlu ditambah ialah seninya. Pada saya, apabila kejuteraan itu bergabung dengan seni pastilah ianya lebih mutu dan cantik, halus dan unik. Dan itu sangatlah jarang-jarang untuk diketemukan.

Untuk ulasan yang lebih lanjut, silakan kesini, sini, sini dan sini.

4 Comments (+add yours?)

  1. Pei Pan
    Nov 19, 2010 @ 14:20:25

    Saya suka Rebecca cuma bahasa beliau terlalu “kering”. Cerpennya hanya penuh dengan fakta yang pada saya mahu kelihatan seperti intelektual.

    Saya lebih menyenangi Masitah karya Dr. Mawar Shafei.

    Reply

    • budakkilang
      Nov 19, 2010 @ 14:37:47

      Ya, saya juga berpandangan yang sama. Kalau fakta Rebecca itu di’basah’kan dengan sedikit pengunaan diksi klasik saya pasti ia akan lebih segar.

      Ah, saya masih belum mampu untuk berbuat perbandingan karya antara-antara penulis-penulis tanah air. Pembacaan saya masih terbatas dan jauh lagi. Dr. Mawar Shafei tentu saja lebih memikat kerana pengalamannya berbanding Rebecca sebagai seorang penulis muda.

      Walaubagaimana pun, terima kasih atas rekomendasi anda. Membuat saya teruja untuk mengenali ‘Mashitah’. Nama yang pernah menjadi sejarah..:)

      Reply

  2. Rebecca Ilham
    Nov 30, 2010 @ 13:57:01

    Salam.

    Terima kasih atas kesudian mendapatkan, membaca dan mengulas Kimono Ungu.

    Reply

    • budakkilang
      Dec 01, 2010 @ 01:39:40

      Sama-sama Pn. Pengarang. Teruskan berkarya untuk memakmurkan dunia sastera tanah air.

      Terima kasih juga sudi kerana berkunjung ke sini.

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: