Karipap-Karipap Cinta

Saya tahu novel ini membawa tema romantik-komedi. Sebelum membeli novel karipap-karipap cinta saya terlebih dahulu sudah mengenali penulisnya Nazri M. Annuar a.k.a vovin melalui penulisan beliau di blognya yang mahsyur. Saya membaca banyak ulasan-ulasan yang menggambarkan novel ini adalah sangat lucu dan mencuit hati, maka saya mula membayangkan cerita-cerita saudara vovin yang kelakar dan santai seperti yang selalu ditulisnya pada ‘panda cinta adventures’. Saya merimaginasi tentang gaya penulisan yang lembut, halus dan begerak dengan perlahan-lahan apabila kita membacanya. Santai walaupun dalam waktu yang paling cemas.

Secara jujur, saya meletakkan harapan yang tinggi jika novel ini mampu membuat saya ketawa terbahak-bahak di dalam hati seperti membaca kartun Kartunis Lambok. Namun saya silap perkiraan, pada saya novel ini adalah humor yang streotaip seperti menonton lawak senario namun begitu novel ini masih juga kelakar kerana saya mampu bergelak he he he ataupun hi hi hi ketika membacanya. Walaupun saya mengharapkan kah kah kah. Gaya penulisan beliau juga agak hambar jika dibandingkan dengan tulisan di dalam blog beliau, terutama di awal babak permulaan.

Karipap-karipap cinta bergerak di atas landasan yang lurus tentang sebuah kisah cinta antara Ali dan Sarah. Watak Ali digambarkan seorang pemuda yang biasa-biasa, berpendapatan sederhana, hidup bujang di kota besar Kuala Lumpur. Ali seorang yang ‘bergerak mengikut arus’ seperti di dalam pekerjaan dan kehidupan Ali; putus cinta, berinternet, lepak di warung bersama kawan-kawan, menyewa di flat kos rendah dan sebagainya. Walaupun Ali seorang yang ‘ hanya bergerak mengikut arus’, namun ‘arus’ itu tidak boleh dianggap selalu tenang dan senang, kadang-kadang ia bergolak juga. Pergolakkannya bermula apabila Ali menaruh minat ke atas Sarah, watak seorang gadis feminin dan heroin yang digambarkan sebagai berilmu kerana berkelulusan Al-Azhar, cantik dan pandai membuat karipap. Ali mula berbohong lalu menjerumuskan dia ke dalam kancah yang lebih cemas tetapi selalu bernasih baik kerana ‘asyik diselamatkan’.

Vovin menggarap karya ini bersulamkan satira-satira sinis dan berlawanan pada pandangan semasa. Lihat betapa dia begitu sarkastik menggunakan istilah Syawarma-Syawarma Cinta, Nazzarah-Nazzarah Cinta, Kittun-Kittun Cinta dan Toyyiba-Toyyiba Cinta di dalam Karipap-Karipap Cinta menggambarkan dunia novel sekarang di Malaysia bahawa konsep novel-novel cinta-islamik lebih mendapat tempat di kalangan pembaca. Vovin juga mengangkat tema Islami di dalam watak Sarah secara ‘opposite’. Sarah seorang lulusan Al-Azhar sepatutnya menjadi seorang ustazah dan kerjanya ialah berdakwah. Namun Sarah lebih berminat berkecimpung dalam bidang komik dan mengembangkan  dakwahnya melalui medium komik. Hal yang sama diperkukuhkan dengan kehadiran sebentar watak Muaz. Sesuatu yang saya bersetuju dengannya kerana bagi saya dakwah itu boleh dilakukan dimana-mana oleh sesiapa jua.

Karya ini juga mengangkat tema politik sebagai latarnya, Vovin begitu menyindir alam politik dan para politikus-nya. Di sini kita dapat lihat Ali yang berkerja dengan Datuk Razali Bunari sebagai seorang bos di dalam syarikat penerbitan Wadah Rakyat cukup dibenci dengan sesungguhnya. Watak Datuk Razali Bunari dimainkan sebagai seorang ketua yang pemarah dan bengis, seorang politikus bertalam dua muka, tamak dengan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politiknya seperti Datuk Razali Bunari merancang untuk menjatuhkan lawannya Datuk Mukhzanuddin. Namun begitu, Vovin turut menyisipkan sedikit harapan terhadap dunia politik semasa dengan berharap di suatu masa ia akan insaf dan berubah seperti keinsafan Datuk Razali Bunari di akhir naskah Karipap-Karipap Cinta.

Walaupun novel ini secara tunjangnya bertemakan cinta, saya lebih suka babak-babak sampingan yang diselitkan oleh Vovin seperti adegan Bart Rasta, Uncle Hong, Uncle Remy dan Asha. Watak-watak ini pada saya adalah akar kelucuan di dalam Karipap-Karipap Cinta berbanding kisah Sarah dan Ali. Watak-watak ini menghidupkan deria-deria yang menggelikan hati apabila ia bertemu dengan kisah Ali. Tema ketuhanan juga turut disentuh oleh vovin di dalam novel ini yang dapat digambarkan seperti berikut:

” Bart Rasta menghampiri hadirin. Kemudian menjauhi mereka. Dia berada di tengah jalan.

“Nah, kalaulah putus cinta itu buat ornag berduka, mengapa acap kali kita memutuskan cinta tuhan terhadap kita? Kenapa kita membiarkan tuhan duka, kerana kita tidak cintainya lagi?”

Hadirin angguk tanda faham apa yang cuba disampaikan oleh Bart Rasta.

“Putus cinta sesama manusia, akan ada penggantinya. Tetapi tuhan hanya ada satu dan kalau dia mengambil keputusan untuk tidak lagi mencintai kita. Tida tuhan kedua untuk kita terima cinta agung…”

Hadirin bertepuk tangan.”

Dengan padangan yang luhur, Vovin seorang yang begitu akrab dan menghargai kawan-kawan realitinya. Lihat betapa beliau mengangkat nama-nama kawannya di dalam Sindiket Soljah secara terus di dalam naskah ini seperti PipiyapongSinaganaga, Tok Rimau, Abdullah Jones dan beberapa nama lainnya serta namanya sendiri (vovin). Nama-nama ini sudah cukup gah di dalam industri blogger yang terkenal dengan konsep ‘menyuntik pop ke dalam seni’ di Malaysia sekaligus menerbitkan tanda terima kasih oleh beliau secara tidak langsung kepada mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: