Syair Lentera Mustika- Nisah Haron

Sumber gambar disini

Dengarkan tuan sedikit ulasan
dari saya ingin sampaikan
mana yang salah mohon maafkan
andai tersumbang silap tafsiran

Ainur Mustika diberi nama
menjadi teras watak utama
di Lentera Mustika ia berkelana
mencari cinta menggali bahagia

Dilukiskan Ainur bersederhana
berjiwa luhur bersukma bahasa
berpantun gurindam paling di suka
tujunya mahu mendarjatkan sastera

Ainur direbut tiga jejaka
tidaklah dia terburu buta
pada tuhan Ainur berdoa
untuk ditunjukkan cinta yang nyata

Pertama cintanya pada Syed Amirul
di Sungai Musi janji tersimpul
kerana darjat asal dan usul
di Selat Melaka cintanya masyghul

Datang Zul Farhan menaruh harapan
agar diberi ruang dan kesempatan
namun Ainur tidak terkesan
Zul Farhan hanya dianggap anak didikan

Di suatu hari Ainur terpikat
pada suara yang berona mufrad
Emir Johanlah yang punya jasad
di dalam diam menyimpul niat

Betapa Ainur berdamba bahagia
bersama Emir Johan sinarnya bermula
biarkan kering Selat Melaka
sikit pun tak layu janji setianya

Baru Ainur hendak merasa cinta
tidak terbayang ujian menimpa
ternyata bahagia pinjaman cuma
yang kekal nyata hanya di syurga

Ibaratlah Ainur Mustika seperti lentera
terang benderang menyuluh segala
malap tak padam tetap menyala
dibawa ke mana indah bercahaya

Molek Garden
Nov 1, 2010

12 Comments (+add yours?)

  1. Pei Pan
    Nov 02, 2010 @ 15:15:59

    Saya suka Lentera Mustika, cerita cinta yang sederhana tapi penuh ilmu dan kritikan sinis. Saya menyukai pantun yang terdapat dalam novel ini – itu tarikan utama LM.

    Reply

  2. Azzah
    Nov 03, 2010 @ 00:10:34

    Sedap karangan pantun saudara. Boleh kumpul buat buku kompilasi pantun2 ulasan buku. Menarik tu.

    Reply

    • budakkilang
      Nov 03, 2010 @ 02:20:50

      Pei Pan: Ya, saya rasakan karya ini kuat dan unik apabila diselitkan dengan pantun dan gurindam selain terkandung fakta-fakta ilmiah yang menjadi sebahagian dari isinya.

      Pn. Azzah: Terima kasih. =) Menarik juga idea tu, tapi pantun saya belum cukup kuat untuk merungkai dan menyampai dengan lebih dalam.

      Reply

  3. Nisah Haron
    Nov 05, 2010 @ 04:34:12

    Salam sdr.
    Syair ini membuat saya tersenyum dan hati pula berbunga bahagia. Terima kasih atas ulasan yang unik ini. Mohon izin untuk saya masukkan petikan syair ini ke blog saya. Untuk versi penuh saya akan minta pembaca terus ke sini. Harapan tersirat di sebalik syair ini tambah menyukarkan saya untuk menulis sekuel novel ini. Namun, ada percambahan idea yang dapat saya manfaatkan.

    Reply

    • budakkilang
      Nov 08, 2010 @ 05:32:37

      Salam Pn. Nisah,

      Terima kasih kerana sudi berkunjung ke mari. Silakan diambil syair yang tidak seberapa ini kerana memang diciptakan untuk rumusan singkat tentang LM. Maaf kalau ada yang terkurang dan tidak enak.

      Reply

  4. Nisah Haron
    Nov 08, 2010 @ 06:29:02

    Salam sdr.
    Sudah saya jadikan entri di blog saya sebentar tadi. Terima kasih.

    Reply

  5. SYAMIL
    Nov 08, 2010 @ 16:03:54

    salam singgah pertama kali,
    manis sungguh syair karangan saudara
    terkesima tika membacanya
    kekalkan seperti ini selalu ya

    Reply

  6. Al Ghazali Sulaiman
    Jan 03, 2011 @ 16:58:24

    Sdr, indah sekali syairnya. Memang selalu menggubah syair, ya?

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: