Manikam Kalbu- Faisal Tehrani


“Dengar sini Dang, baju Melayu teluk belanga itu ada ciri khasnya. Lehernya bertebuk bulan-bulan, disulam pula dengan tikam belut, atau sulam jari lipan, sulam tulang pari. Kancingnya pula ada satu. Dinamai orang buah baju tunggal-tunggalan, atau buah bulat menelur burung, atau buah bertangkai menudung petai … dan buah permata berbagai cincin.”
Halaman 113, Manikam Kalbu, Faisal Tehrani.

Usai membaca perenggan ini, saya terus membuka almari. Mencari baju melayu teluk belanga yang lama. Yang dulu saya pernah tempah dengan seorang tukang jahit. Setelah dapat terus saya lipatkan bahagian lehernya. Mencari apa yang dikatakan dengan jahit tikam belut, sulam lipan atau sulam tulang pari.

Lalu saya bandingkan dengan baju melayu teluk belanga yang saya beli sudah siap. Memang berbeza.

Di bahagian leher baju melayu teluk belanga yang tempah kelihatannya lebih tebal dan keras berbanding baju melayu yang sudah di beli siap. Jahitannya pun sama, yang satu berselirat-selirat namun jahit benangnya seragam dan yang satu itu kemas dan normal. Mungkin yang berselirat itu dinamakan tikam belut. Seperti yang diceritakan, bahagian leher baju melayu teluk belanga yang asli kelihatan sedikit tebal dan keras kerana telah disembat dengan kain perca terlebih dahulu. Sebelum dilipat dan dijahitkan.

Membaca Manikam Kalbu jujurnya mengajak kita mengerti keindahan seni busana Melayu. Secara teras, cerita asas Manikam Kalbu bersulam antara kisah dua watak, Ziryab dan Manikam Kalbu.

Ziryab diceritakan secara realiti mengenai kesungguhan seorang anak muda lelaki yang tekun untuk mendalami ilmu busana dan fesyen pakaian. Sesuatu yang jarang-jarang kita dengar kerana kebanyakkan anak lelaki masa kini lebih tertumpu di bidang-bidang teknikal dan pertukangan. Manakala Manikam Kalbu diceritakan secara flash back menyusuri sejarah Melayu lama sewaktu zaman kegemilangan Sultan Melaka. Manikam Kalbu asalnya hanyalah seorang anak dayang yang diangkat menjadi jurubusana istana Melaka pada waktu itu.

Kisah Manikam Kalbu dan Ziryab diceritakan berselang seli menjadikan novel ini seronok dibaca apatah lagi hikayat Manikam Kalbu itu disampaikan oleh seekor kucing yang bernama Manira bagi membentuk suasana santai dan humor ketika membacanya.

Novel ini sarat dengan kata-kata klasik yang jarang kita dengar namun boleh dirujuk di bahagian glosari di muka surat akhir bagi menambahkan pemahaman kita.

Selain itu, Manikam Kalbu juga secara kolektifnya menyedarkan kita betapa etika pemakaian itu melambangkan keperibadian, ketinggian akhlak dan personaliti si pemakai. Novel ini juga mengorek rahsia yang tersimpan dalam busana Melayu dan diterjemahkan seni busana Melayu dalam bentuk falsafah orang melayu dan agama Islam.

Membaca Manikam Kalbu akan menyedarkan kita bahawa pakaian warisan kita seperti baju melayu teluk belanga, baju melayu cekak musang dan baju kurung tidaklah semata-mata direka tanpa sebarang asbab. Membaca Manikam Kalbu membawa kita meyingkap kembali sejarah dan menmbah pengetahuan kita tentang apa yang terisat di sebalik reka cipta busana melayu.

Mengapa baju ini dinamakan teluk belanga, mengapa dikatakan cekak musang, mengapa teluk belanga butangnya satu dan cekak musang butangnya kadang-kadang 3 atau 5, mengapa bahagaian leher itu dipesak atau dikekek serta pelbagai lagi.

Jika kita menceritakan tentang nilai dan pengajaran, maka banyak sekali akan kita kutip secara tersirat ataupun tersurat. Antaranya ialah seni keindahan busana Melayu itu sendiri yang banyak diterangkan dalam bab demi babnya.

Kemudian, dalam novel Manikam Kalbu menunjukkan juga kepada kita tentang kedaulautan seorang sultan dan wajib menghormatinya sebagai seorang pemerintah, seperti diceritakan ketika Tun Matin sahabatnya Manikam Kalbu dibawa untuk menghadap sultan, seperti di dalam perenggan dibawah;

” Di hadapan baginda tuanku, Tun Matin terketar ketakutan.

“Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik masih muda Tuanku, janganlah diapa-apakan patik. Adapun kesalahan patik ini janganlah dihukum, patik tidak akan buat lagi, Tuanku. Patik mengaku.. patik mengaku…”

Sultan Mahmud Syah dan pembesar-pembesar istana yang lain tercengang.”
Halaman 121, Manikam Kalbu, Faisal Tehrani.

Tetapi hari ini, kuasa sultan semakin dicabar oleh pihak-pihak tertentu atas nama kebebasan dan perlembagaan.

Selain itu, Manikam Kalbu turut menerapkan tentang kebebasan itu sangat-sangatlah bernilai bagi sesiapa jua selagi bergelar manusia.

“Manikam Kalbu tunduk seketika. Ada air mata segera bergenangan, akan menitis bagai manikam putus pengarang.

“Ampun Tuanku, sembah patik pacal ini takut sekali berbunyi cabul. Ampun Tuanku, patik mohon … jika Tuanku tidak berkeberatan … merdekakanlah pacal dan dan ibu pacal dari perhambaan supaya kami bebas merdeka..”
Halaman 133, Manikam Kalbu, Faisal Tehrani.

Novel ini juga tidak dapat lari dari tema cinta dan percintaan, tidak dapat tidak unsur-unsur cinta dan percintaan itu tetap diselitkan oleh pengarangnya namun tidaklah sampai meleret-leret atau melebih-lebih. Kisah cinta dalam Manikam Kalbu dilihat lebih berat kerana cinta Ziryab kepada cikgunya sendiri, Cikgu Natasya. Seorang cikgu muda yang diciptakan penuh dengan kecantikan dan gaya oleh Faisal TEhrani. Ataupun cinta Ziryab kepada guru busananya Siti Nurqomariyah seorang wanita minang yang digambarkan sebagai gadis gadang nan indak (gadis matang tidak bersuami).

Tema cinta dan percintaan ini akhirnya digambarkan sebagai tidak berjaya lantaran perbezaan umur antara watak Ziryab dan Manikam Kalbu yang masih muda belia dengan Cikgu Natasya dan Siti Nurqamariyah yang lebih matang dan berusia selain mereka adalah guru kepada Ziryab dan Manikam Kalbu.

Nilai-nilai lain yang terkandung ialah mengajar kita supaya tidak lancang untuk mengejek asal keturunan orang lain seperti Dang Nurhalijah yang mengejek keturunan Manikam Kalbu sebagai seorang hamba. Akhirnya Dang Nurhalijah terkenan tulah penyakit gatal-gatal dan dipulihkan setelah mandi dan membasuh badannya dari air basuhan kaki Manikam Kalbu.

Sejujurnya, novel ini terlalu sulit untuk disimpulkan kerana hemah dan bijaksananya kepengarangan Faisal Tehrani dalam menyusun kata dan cerita, sejarah dan fakta, adat dan budaya, falsfah dan bahasa, seni dan misteri, dalam bentuk yang ringan dan bersahaja.

Dalam ringkasnya moleklah kalau tuan dan puan itu membaca sendiri kisahnya Manikam Kalbu ini.

2 Comments (+add yours?)

  1. Pei Pan
    Oct 29, 2010 @ 03:20:28

    Bercakap tentang Manikam Kalbu yang mengutarakan tentang busana Melayu, saya hanya fikir apa yang kita pakai itulah cerminan diri kita walaupun tidak secara keseluruhannya.

    Reply

    • budakkilang
      Oct 29, 2010 @ 13:37:12

      ya..apa yang kita pakai adalah cerminan diri kita dan itu tidak saya tolak sama sekali. Namun saya lebih menghadam Manikam Kalbu dalam aspek seninya dan falsafahnya tentang busana Melayu. =)

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: