Cinta itu ibarat bola.

Tanya seorang kawan, “Kau tahu cinta itu seperti apa?” Kami tiga orang ini tidak menyahut pertanyaannya. Mata kami terpaku pada skrin nipis yang lebar, sedang memuntahkan cahayanya yang terang dari Stamford Bridge sana.

Dia bersandar malas pada kerusi kayu yang tegap sambil menghirup secangkir kopi hitam. “Syruupp” Hirupnya berbunyi perlahan. Kopi hitam itu tidak kelihatan luak sedikit pun.

Acara sepak mula berlangsung. Yang kedengaran cuma sorakan penonton di dalam kaca atau skrin leper itu. Kami di hujung sini sepi. Kami betul-betul menikmati acara perlawanan yang bakal mencatat sejarah ini. Begitu mengikut naratif kami di awal pertemuan ini.

“Nampaknya Fabregas, Van Persie, Bendtner dan Walcott tak main. Sesuai ramalan aku” Nan Cina tersenyum sinis.

“Nampaknya lebih mudah. Ha ha ha.” Ketawa Zul Setan menikam perasaan.

“Belum tentu lagi kawan” Saya sekadar membalas basa-basi tanpa mahu menaruh harapan tinggi.

Minit ke-dua dari masa permulaan, Sagna melencongkan bola ke tengah kawasan kotak penalti, Chamakh melayangkan badannya ke udara, tandukannya tidak kemas menyebabkan bola off target ke sipi kanan tiang gol. Tinggal lagi beberapa inci sahaja. Peluang pertama yang terlepas.

Separuh penonton dalam kedai menghelakan nafas kecewa panjang.

“Cinta itu seperti bola. Kalian percaya?” kawan saya yang seorang ini terus menyambung bicaranya.

Mata kami terus terpaku ke skrin yang nipis dan lebar digantung beberapa kaki tinggi dari lantai. Sekali sekala kami menyuakan cangkir minuman panas ke hujung bibir. Panas sepanas kehangatan perlawanan malam ini.

Kelihatannya pasukan lawan segera bangkit dari serangan yang pertama. Hantaran jauh ke tepi padang membawa bola ke kaki pemain yang berasal dari Ivory Coast, Drogba. Kawalan bolanya kemas. Beberapa pemain pertahanan Arsenal yang usianya masih muda digelecek Drogba. Satu lepas, dua lepas. Bola ditolak perlahan dari kaki pemain pertahanan lawan demi mencari sedikit ruang.

Keadaan di dalam kotak penalti jadi cemas dan kucar-kacir. Drogba menendang bola ke arah gawang. Namun dapat dihalang pantas oleh Song, pemain pertahanan muda Arsenal.

Walaupun begitu, bola melantun pula ke kaki pemain Chelsea Florant Malouda, sepakannya yang terburu-buru menyebabkan bola tersasar jauh ke atas palang.

“Seni cinta seperti bola itu hanya difahami oleh kaki yang berbakat. Lihat bola itu digelek-gelek kemas. Memperdayakan. Menghiburkan” Kawan saya yang seorang ini terus tenggelam dalam falsafahnya yang berat. Kami masih tidak tidak begitu mempedulikan biacaranya. Kami tenggelam dalam acara yang sedang berlangsung.

Minit ke-lapan hingga ke hujung separuh masa pertama serangan bertali arus. Hantaran bola tinggi dipotong Arshavin lalu merembat deras ke arah penjaga gol Chelsea, Peter Cech. Tangkapan yang mudah bagi penjaga gol berbakat itu.

Seterusnya Chesea cuba mencari rentak dan penyudah untuk membolosi pertahanan Arsenal. Tendangan lencong Malouda membawa bola ke arah Michael Essien yang tidak dikawal. Tandukan lajunya tertuju ke penjuru gawang Arsenal dalam jarak delapan kaki. Namun tersasar sedikit. Hampa.

“Seperti bola, ia selalu direbut-rebut. Yang memilikinya akan dikejar bagai nak rak oleh yang lain. Cemburu” kami masih senyap. Menonton dengan tekun.

Analisis-analisis yang keluar berbaris dari kaca tv itu kami baca dengan hemah. Mengutip fakta-fakta dan teori bola agar tekaan kami sekurang-kurangnya menepati ramalan.

Enam minit sebelum selesai separuh masa pertama, Ramires melorongkan bola ke arah Cole yang bebas di sebelah kiri. Cole dengan pantas membuat hantaran silang yang rendah ke arah Drogba yang meluru berhampiran gawang.

Bola yang di lorongkan tertinggal di belakang Drogba namun sempat dikuisnya sebelum melepaskan rembatan deras ke arah pintu gawang. Bola meleret masuk, selesa ke dalam jaring.

Teriakan penyokong ‘The Blues’ bergema. Di Stamford Bridge atau di sini. Nan Cina dan zul Setan bersorakan. Nan Cina melapangkan tapak tangannya ke arah Zul Setan. Zul Setan menemukan tapak tangannya dengan tapak tangan Nan Cina. Simbol Gimme five!

Saya jadi meluat. Perasaan saya hilang sambil meruap wajah dengan tapak tangan. Tercabar!

“Kan aku dah bilang, cinta itu seperti bola, walau kau tendang berapa jauh sekali pun, akhirnya kau kena kutip”. Rakan saya yang seorang ini menyampuk dalam kekecohan suasana.

Saya terus menjerit.

“Mamak, kira sini!!”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: