Boon Siew Honda C-90

Seawal tahun 90-an, abah memiliki sebuah motosikal baru. Maksud baru itu bukanlah yang baru keluar dari kedai (first hand), tetapi hanyalah second-hand, baru itu maksudnya abah baru mejadi pemiliknya yang terkini dan itu juga merupakan motosikal pertama buat abah dan kami sekeluarga.

Sejak dari itu pergerakan abah banyak bergantung kepada motosikal tersebut, sebuah motosikal lama jenama Boon Siew yang berlampu petak segi empat tepat dan berkuasa enjin dua lejang untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, atau sekadar untuk berjalan-jalan di sekitar kampung pada waktu petang.

Kadang-kadang motosikal itu menjadi penghantar kami adik beradik yang pada waktu itu hanya empat orang untuk ke sekolah. Namun ayah tidak pernah membawa kami atau membenarkan kami serentak untuk berhimpit sesak di atas lapik kusyen penumpangnya yang semakin nipis dan sudah tidak anjal lagi itu. Kebiasaannya abah akan menghantar kami secara bergilir-gilir setiap hari. Hari ini saya, esok angah, lusa achik dan tulat adik yang bongsu. Begitulah seterusnya.

Walaupun begitu, motosikal itu lebih banyak jasanya kepada adik yang bongsu. Sayang abah pada adik yang bongsu sering-sering membuatkan saya kehilangan giliran untuk dihantar ke sekolah dengan motosikal.

“Hari ini Along naik bas-lah, adik hari ni tak berapa sihat, biar ayah hantar adik hari ni” kata ayah pada suatu pagi sewaktu saya dan adik-adik ingin bersiap ke sekolah.

Hari itu, entah hari yang keberapa kali saya hilang giliran untuk dihantar. Bukan setakat saya, malah angah dan acik juga sama. Giliran-giliran kami selalu dirampas adik kerana tarafnya yang bongsu. Kasih abah dan emak tumpah lebih kepadanya.

Namun begitu, saya dan angah tidak pernah mengeluh. Sebenarnya, kalau dihantar abah merupakan suatu hari yang istimewa kerana bolehlah bangun sedikit lewat dari kebiasaan berbanding menaiki bas awam kami terpaksa bangun lebih awal sedikit. Kami mengalah kerana itu yang selalu dipesankan oleh emak dan abah.

“Kalian-kan abang dan kakak-kakak, kenalah beralah dengan adik sikit” pesan emak garang, tatkala melihat adik menangis tidak mahu ke sekolah gara-gara tidak dihantar abah walhal hari itu ialah giliran achik. Achik berkeras tidak mahu kendur.

“Asyik-asyik achik yang selalu mengalah” kata achik sambil mencebikkan wajahnya yang bulat. Air mata mula bergenang di kolam matanya.

Saya hanya membiarkan scene itu sambil menyarungkan stoking ke kaki, dan di mulut menggigit epok-epok emak yang panas-panas suam. Angah dan abahlah yang berkerja keras membujuk achik. Akhirnya achik mengalah juga apabila abah berjanji untuk menambah wang saku sekolahnya sebanyak 50 sen pada hari itu. Angah juga mendapat nilai yang sama. Tetapi saya tidak.

Esoknya bila dikejutkan bangun ke sekolah, saya tidak bangun. Saya mengeras di dalam selimut. Kata saya dengan suara paling perlahan pada emak, saya tak sihat badan.

Namun emak memangkas dengan suara lantang.

“Dah, dah..kalau tak bangun kejap lagi mak simbah dengan air” intonasi emak walaupun lembut tapi yang tersiratnya emak mengugut saya. Namun baru sekarang saya sedar bahawa cakap emak pada hari itu hanya sekadar ingin menguji. Kalau saya tak bangun emak takkan sanggup berbuat begitu.

Tetapi, kerana bimbangkan cakap emak, saya bingkas bangun, saya kalah dengan psikologi emak, namun lakonan saya tentang tak sihat badan tetap saya teruskan. Mana tahu emak lembut hati melihat lakonan saya.

Kesudahannya pada hari itu, saya tetap ke sekolah dengan menaiki bas awam. Abah menghantar adik bongsu dengan motosikal, walhal hari itu giliran saya dan saya tak sihat badan!

6 Comments (+add yours?)

  1. yen
    Oct 07, 2010 @ 06:32:08

    oh dulu abah ada honda kapcai jugak…saya buat belasahan belajar naik motor..ada sekali saya accident..jadi motor tu terselit celah2 pokok pisang..masih saya ingat abah kata..”abah tak kisah jadi apa-apa kat kau..kalau jadi apa-apa kat motor tu?” uhh syahdu je dengar.. 🙂

    Reply

    • budakkilang
      Oct 07, 2010 @ 06:56:41

      hehe cik yen.. lasak juga ya masa kecil..syg abah pada motornya lebih ari cik yen..haha..satira yang mengesankan.. so skang da ada lesen moto belum?=p

      Reply

  2. lina
    Oct 10, 2010 @ 14:28:07

    Catatan ini sgt terkesan pada saya. Hanya anak sulung faham apa anak sulung rasa 🙂

    Reply

  3. budakkilang
    Oct 10, 2010 @ 16:10:38

    Ya benar. Dulu kuasa sulung kita kerdil, sekarang sudah besar. 🙂

    Reply

  4. yen
    Oct 15, 2010 @ 09:25:39

    haha dah2 jgn panggil cik lah.panggil yen je 😀
    skang dah ada lesen moto keta dah.tapi belum full lah.hehe

    Reply

Leave a comment