Travelog Seorang Da’i

TRAVELOG SEORANG DA’I
Abdul Rahman Mohamed
Telaga Biru
RM 20.00 ,

Seperti yang tercatat di muka kulit depannya, “Kisah benar liku-liku perjalanan seorang pendakwah guna mencari kekuatan sebagai bekal dalam perjuangan.” Karya seorang tokoh agama Singapura bernama Abdul Rahman Mohamed.

Isinya digarap ringkas, ringan dan mengajar. Abdul Rahman Mohamed mengisahkan pengalaman beliau yang penuh ranjau dalam menuntut kebenaran soal hidup. Buku setebal 277 halaman ini bermula dengan menceritakan kepayahan zamannya pada usia kecil.

Kesusahan pada umurnya yang masih hijau, bergantung hidup dengan kudrat seorang ibu setelah ayahnya meninggal dunia menjadikan dia begitu serba kekurangan. Masa kecilnya dihabiskan dengan membantu ibu menjual kuih-muih demi mencari sesuap nasi, sedangkan pada waktu yang sama rakan-rakan yang sebaya menghabiskan masa mereka meneroka alam kanak-kanak yang penuh keghairahan dan ingin tahu. Sang ibu tanpa sengaja jadi begitu tegar dan garang dalam mengajar anak-anak kerana memikul berat amanah yang tak tertanggung. Tanpa yang bergelar suami disisi.

Ketika usianya menjangkau belia remaja, dia terlibat dengan dunia ‘Samseng’ Kota Singa. Pada umur yang sedang meningkat naik dan mudah dirangsang akalnya, dunia itu menjadi ‘kebanggaan’nya yang sebentar. Namun di bawah sedar, fikirannya kosong dan keinginan hatinya tidak dipenuhi. Walaupun dikelilingi ramai kawan, uang lumayan dan terkenal dalam cakap-cakap mulut orang, hatinya memberontak dan membuak-buak untuk mencari jawapan yang lebih pasti.

Lalu dia sedar, hidupnya dan keberaniannya hanyalah palsu. Sehingga dia pernah berkata melalui apa yang dirasakannya pada waktu itu, ‘keberanian pada waktu itu datang apabila kita dalam kelompok yang banyak, bila sendirian kita akan mengecut seperti tikus’. Dari situ dia berfikir untuk berhenti dari dunia yang penuh hitam dan noda, dengan tekad dan iltizam. Sejarahnya mula teralih arah. Detik itu menjadi satu titik permulaan cahaya hidayah yang muncul dalam ruang hatinya.

Abdul Rahman Mohamed mula mencari agama dan tuhan. Walaupun ketika kecilnya dia seorang Islam, namun itu hanya terlekat pada nama dan bukan pada jiwa. Keghairahannya mula menjadikan dia belajar untuk mencintai ilmu. Laparnya selalu dihadamkan dengan membaca kitab-kitab. Dahaganya hanya hilang pabila dapat meneguk puji-pujian ke atas tuhan. Peluangnya terbuka luas apabila dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Indonesia.

Dengan hati yang bersih, tekad dan semangat, diiringi dengan doa ibu yang berkat, beliau berangkat ke Kepulauan Jawa Indonesia demi mengejar kefahaman dalam agama. Di sana beliau belajar dengan tekun dan gigih, berusaha serta sabar. Biarpun pencapaiannya akedemiknya tidak cemerlang dan dia sendiri kurang berpuas hati dengan keputusannya, semangatnya untuk berdakwah tidak pernah padam. Selain itu, kehausan ilmunya lantas menjadikan dia seorang pegembara sekian kalinya di Kota Madinah Al-Munawwarah, tempat agung para ilmuwan dan ulama. Di bawah langit bumi Nabi dia berusaha sehingga tamat pengajiannya.

Kepulangannya ke Singapura, ketika inilah bermula perjalanan sebenar Abdul Rahman Mohamed sebagai seorang da’i. Betapa pada waktu itu halangan dan cabaran yang datang begitu cekal dan ampuh, beliau menceritakan sendiri ketamakan manusia merebut kuasa meskipun di dalam rumah Allah, sifat ukhuwah sesama insan yang bertopeng di luaran sementara isinya ialah kudis dan nanah yang sukar untuk sembuh. Kerana cintanya kepada Tuhan dia bertahan. Kerana ikhlasnya pada perjuagan dia meneruskan. Biarpun difitnah, diasingkan dan disusahkan oleh mereka-mereka yang menjadi seteru dan cemburu, Abdul Rahman Malek meneruskan langkah di denai menuju yang Maha Satu.

Ternyata perngorbanannya dalam usaha dakwah menuntut sesuatu yang lebih, bidang dakwah bukan bidang yang dapat menjana harta dunia tetapi untuk membina istana di syurga. Namun kehidupan atas dunia perlu diteruskan kerana amanah yang terpikul sebagai seorang ketua keluarga demi mencari nafkah untuk isteri-isteri dan anak-anak tercinta.

Semangat Abdul Rahman Mohamed tidak lagi hanya terbatas dalam usaha dakwah dan ilmu, semangat itu berkembang dalam dadanya menjadikan dia seorang pendakwah dan peniaga. Pengalamannya sewaktu mula membina empayar perniagaan dihidangkan dengan hikmah dan berkesan. Ternyata kita dikesani bahawa cabang perniagaan itu suatu bidang yang payah dan bukan mudah. Tetapi kejayaannya pasti asalkan usaha, doa dan tawakkal mennjadi bekalan asas dalam menruruskan perniagaan.  Pelaburannya rugi beberapa kali, tetapi rezeki tuhan selalu datang menyelamatkan.

Dorongan rakan-rakan menyuntik motivasi yang kuat dalam diri supaya bertarung selagi kudrat masih ada walaupun dia hampir tersungkur di lumpur mengalah, justeru itu, Abdul Rahman Malek berjuang demi keredhaan tuhan. Perit, jerih, letih dan susah payahnya adalah peluh-peluh ikhlas yang mengalir dan tumpah. Ia syumul di sisi Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani. Biarpun bergelar seorang niagawan, namun dakwah itu paling tetap diutamakan. Kegiatan dakwahnya tidak pernah berhenti.

Dakwahnya terpencar dari suara nyaring hingga ke hujung pena, dari hujung pena itu maka terhasillah beberapa buku yang menerangkan kefahaman tentang ugama, menjawab kemusykilan masyarakat pada waktu itu dan mencungkil kebenaran hakikat. Perniagaannya berkitar tentang memudahkan ibadat, lantaran itu produk-produknya adalah yang pertama seumpanya seperti sabun untuk menyamak, tandas muslim dan tisu tayammun serta lain-lain lagi.

Fikiran seorang da’i hanyalah untuk agama-Nya dan bagaimana dia dapat memudahkan umat untuk beribadah dalam zaman yang begitu gering ini. Itulah yang tersemat dalam mindanya Abdul Rahman Malek. Jika memberi ceramah, ceramahnya ialah tentang dakwah, jika menulis buku, bukunya ialah tentang dakwah dan jika dia berniaga, produknya ialah guna untuk memudahkan urusan agama.

Di dalam buku ini juga, tema-tema masyarakat yang dilalui sang penulis rata-ratanya adalah seperti yang pernah kita lalui. Sosio budaya yang dibentangkan jujurnya sama dengan kehidupan kita yang semakin terhimpit. Soal teman, pekerjaan, keluarga, cabaran dan kehidupan orang-orang awam di sekitar pengalamannya diselitkan dengan berasas dan nyata hidup bila diceritakan.

Perspektif dalam buku ini sebenarnya memulangkan kembali fitrah kepada kita. Persoalan yang bertanya kepada jiwa dan raga, akal dan hati tentang sejauh mana pula kita berkorban untuk agama. Masa dan tenaga kita berapa  banyak sudah kita lorongkan untuk ke jalan tuhan. Keikhlasan dalam diri adakah tulus atau lakonan?

Sesungguhnya, buku ringkas ini akan mengenyangkan pemikiran kita dengan lebih manis. Sekurang-kurangnya ia sedikit atau banyak ada iktibar yang boleh dijadikan peringatan buat diri sendiri. Pengalaman yang dicoretkan mengajak kita belajar untuk lebih dilentur dalam kehidupan zaman kini. Kenangannya sarat merakamkan perjuangan dan intipati pengorbanan. Belajar menghargai dan menaburkan jasa kepada insan-insan yang tersayang sebelum terlambat amatlah menyebakkan lalu kita jadi lebih mengingat.  Demi masa yang tuhan pernah bersumpah ke atasnya!

Molek Garden
Sept 15, 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: