Satu Malaysia

Petang ahad, saya menerima jemputan untuk berbuka puasa di rumah salah seorang rakan sepejabat.Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Makanya saya terima dengan senyuman di hati.Lalu lebih kurang setengah jam sebelum waktu berbuka, saya memulakan perjalanan ke rumahnya. Lagipula, kediaman dia tidaklah begitu jauh dengan tempat tinggal saya. Lebih kurang 15 minit pemanduan jika trafik bergerak lancar. Dan Alhamdulillah, petang itu walaupun hujan renyai-renyai, dan cuaca mendung gelap, aliran trafik yang saya lalui tidaklah tersangkut-sangkut seperti hari-hari kebiasaaan, iaitu seperti hari-hari bekerja.Sebelum itu,saya sempat singgah ke sebuah pasaraya untuk membeli sedikit buah tangan. Tak selesa pula jika sekadar bertandang dengan tangan kosong. Sebenarnya, kawasan kediaman yang dituju ini memang saya sudah maklum, tetapi rumah yang mana saya tidak berapa pasti. Saya berpusing-pusing hampir 5 minit sekitar kawasan kediaman tersebut. Namun masih gagal mencari.Sudahnya, saya parkirkan kereta di bahu jalan.

Saya turun dari dalam kereta, di seberang sana ada bazar ramadahan yang sesak dengan ramai orang.Saya menoleh kiri dan kanan, setelah dipastikan tiada kereta di atas jalan raya, saya berlari-lari anak melintas jalan.Saya melangkah masuk ke dalam bazar, berjalan sambil mata meliar-meliar memandang belakang gerai orang yang berniaga, sambil mengelak-ngelak orang ramai yang berlalu-lalang. Saya mencari-cari pondok public phone sebenarnya.

Di hujung bazar, barulah saya jumpa. Saya angkat gagangnya, lampu paparan skrin menyala. Saya tunggu, ada singnal “Please insert your coin”. Saya bernafas lega. Nasib baik berfungsi. Saya masukkan syiling, sementara menunggu nada untuk membuat panggilan, saya mencari-cari nombor yang ingin di dail dalam telefon bimbit.

“Hello..” ada suara halus dihujung corong, antara dengar dan tidak, mungkin takut menjawab nombor yang tidak dikenali. Padahal hanyalah nombor public.Tambahkan nombor akhir yang belakang, kalau jumlahnya sebelas, memang nombor public. Orang yang cakap.Bunyi hingar-bingar suasana bazar di belakang saya membuat saya menekapkan rapat gagang telefon ke telinga. Jari telunjuk tangan kiri buat menutup lubang telinga yang satu lagi.

“Hello! Ruzman, rumahnya Khairul yang mana?” Saya lontarkan soalan separa menjerit di hujung gagang.”Siapa ni? Haa..? Apa dia?” Saya dengar Ruzman menjawab dari hujung corong , mungkin tidak berapa dengar barangkali. Saya tarik wayar gagang telefon sepanjang yang boleh, sekarang saya berada di sisi kanan pondok telefon.

“Ruzman, rumahnya Khairul yang mana?” Saya ulang pertanyaan yang sama.

“Owh, Ingatkan siapa tadi, kau rupanya” Ruzman mengecam suara saya, tapi soalan saya tidak dijawab.

“Hei, jawablah, syiling aku tak banyak ni” Saya mendesak, memandangkan tadi saya cuma memasukkan syiling 20 sen saja. Itupun selepas saya mencari separuh mati dalam poket seluar yang saya pakai. Saya lihat di paparan skrin telefon awam itu sudah berkelip-kelip amaran “Please insert your coin”.”Kah..kah..kah” Sempat dia ketawa.

“Depan bazar, kau masuk terus belok kiri. Nanti kau nampak kereta aku, naik lif tingkat empat belah hujung sekali” Ruzman bercakap laju. Saya mendengar teliti.

Belum sempat saya ucapkan terima kasih dan bye, panggilan terputus.Tut..tut..tut..tut..Rupanya saya sudah dekat. Dari pondok telefon saya sudah lihat kawasan rumah yang dimaksudkan. Kawasan rumah pangsa empat tingkat. Betul-betul berdiri tegak di depan mata saya. Saya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan tersenyum.

Saya seluk poket kanan, keluarkan sekotak nusantara hijau. Kotak yang masih berbalut plastik lutsinar itu saya ketuk-ketuk untuk memampatkan isinya. Kononnya. Ada beberapa mata yang kehairanan memandang saya. Baru saya tersedar, belum lagi waktu berbuka. Apahal ketuk-ketuk Nusantara ni? Saya simpankan kembali dalam poket seluarSegera saya kembali ke kereta lalu saya memandu mengikut arahan tadi.

Setelah mendapat parkir yang agak jauh, saya terpaksa menapak ke bangunan yang dimaksudkan Ruzman. Setibanya di bawah rumah pangsa itu, saya bergegas menuju ke lif.Saya tekan butang anak panah ke atas dan ia menyala dengan warna merah.

Pintu lif terbuka, saya lihat ada seorang budak perempuan kecil di dalamnya. Saya agak-agak usianya sekitar 10 tahun. Warna kulitnya kuning langsat, rambutnya ikal dan bergerbang ke paras bahu. Di tangannya memegang sebatang raket yang sudah putus talinya. Raket itu juga sudah bengkang-bengkok bingkainya.Saya melangkah masuk dan senyum kepada budak perempuan kecil itu. Lalu dia pun membalas senyuman saya. Pintu lif tertutup. Pencahayaan dalam lif samar-samar, kerana lampunya yang tidak berapa terang.

“Abang nak pergi tingkat bera..” belum budak perempuan kecil itu habiskan soalannya, tangan saya laju menekan butang empat.

“Owh..sama” budak perempuan menyambung ayatnya. Merujuk yang dia juga ingin pergi ke tingkat yang sama.

Saya pandang budak perempuan bertubuh kecil ini, dia tersandar di sudut kanan lif. Ke mana dia hendak pergi waktu hampir-hampir maghrib begini? Saya soalkan dalam hati.

“Adik, nak pergi mana?” Tanya saya.

“Nak pergi rumah kawan ambil satu lagi raket” budak perempuan itu menjawab sambil memandang lantai lif.

“Nak pergi main ke? Kan dah nak maghrib ni? Adik tak puasa ke hari ini?” Soal saya lagi.Budak perempuan itu mencebikkan wajahnya, halus, tapi saya perasan..

“Kita agama Kristian. Tak puasa” katanya semacam gugup.

Saya tergamam. Saya diam hingga pintu lif terbuka di tingkat empat. Kami keluar berpecah. Saya ke kanan dan budak perempuan itu ke kiri.

Mati-mati saya fikirkan anak orang melayu sebab warna kulitnya.

2 Comments (+add yours?)

  1. anazeyy
    Aug 23, 2010 @ 08:15:56

    hehehe.. mcm2 zmn skrg nie kan.. 1 malaysia lah katekan.. warne kulet da xleh nk djadikan petanda untok meneke agama seseorg… ehehe

    Reply

  2. budakkilang
    Aug 23, 2010 @ 09:49:32

    betullah zey..tipah tertipu sungguh..ahaks

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: