Kisah-Kisah Cinta Keluarga

Kisah-kisah ini saya dengarkan dari mulut mereka sendiri.

“Dulu-dulu, masa pulang dari mengaji, atuk kau rajin menjeling wan dari balik tirai langsir. Bila Wan kau balas, lekas-lekas atuk kau tutup tira. Kkeh keh keh..geli hati masa tu” ketawa kecil arwah Tuk Alang yang merupakan nenek saudara sewaktu memotong sayur di dapur. Tuk Alang berpangkat kakak yang sulung kepada wan. Wan saya yang paling bongsu dalam piramid adik beradik.

“Lepas beberapa waktu, dalam kira-kira umur atuk kau 18 tahun, wan kau masa itu lebih kurang 15 tahun, mereka pun dinikahkan. Sebabnya atuk kau diterima sebagai askar.”

“Dia dihantar ke Kepulauan Borneo masa zaman Jepun. Baru kahwin sekejap, dah kena berpisah wan kau tu” cerita arwah Tuk Andak pula sewaktu duduk-duduk di depan TV sambil melipat baju. Tuk Andak merupakan kakak yang ke-ketiga kepada wan saya.

“Dulu masa mak kau kerja di JPA sana, abah kaulah yang rajin bungkuskan makanan untuk dia. Kononnya nak ambil hati mak kau” Saya dengar cakap Tuk Andak sewaktu membuka tudung periuk yang masih berasap. Waktu itu baru balik sekolah agama. Memang perut selalu lapar.

Dalam hati tertanya-tanya. “Dah masak ke belum ni?”

“Atuk kau dulu pernah turun seorang diri ke Johor, betul-betul dia nak selidik kerja abah kau. Abah kau cakap, dia kerja di Pasir Gudang. Atuk kau pun pergi ke sana. Tapi sebetulnya dia kerja di Singapore” Wan membuka cerita sewaktu saya ingin menjamah karipap buat sarapan pagi.

“Dulu orang kampung cakap, mereka tak boleh kahwin atas sebab adat, mereka bersaudara” keras suara Tuk Alang sewaktu bercerita kontroversi pernikahan Cik Ayong.

“Kalau kau degil nak kahwinkan mereka, kau jangan balik ke kampung ni! Dan kau harus didenda” begitu lantang suara orang-orang tua di kampung yang menentang. Sudah diajar, biar mati anak, jangan mati adat. Orang minang adatnya keras, sendinya tegas.

Tuk Alang berdegil. Mahu juga disatukan mereka. Pegang Tuk Alang, selagi agama membenarkan tidak ada yang salah. Ini sudah suratan jodoh dan ketentuan.

“Kahwin juga Cik Ayong kau” Tuk Alang tersenyum. Namun dia telah dihalau orang kampung dan dia tidak dibenarkan kembali sama sekali. Seekor kerbau tetap Tuk Alang tumbangkan sebagai denda yang dikenakan. Dipandangan mata yang lain, sebenarnya Tuk Alang masih lagi hormat kepada adat dan pesaka, juga kepada orang-orang yang lebih tua.

“Cik Mat kau sayangkan Cik Wati anak Wak Mesran hujung kampung sana” begitu Tuk Alang mengomel-ngomel tentang teruna yang boleh dikatakan anak kesayangannya itu.

“Cik Mat kau taklah belajar tinggi mana, kalau nak bandingkan dengan Cik Wati yang belajar sampai ke universiti. Dulu masa mereka bertunang, Cik Mat kau selalu juga jenguk-jenguk dia di sana”

“Satu hari, Cik Wati kau mengadu, katanya diganggu kawan lelaki sekuliah. Cik Wati sudah tunjukkan cincin di jari sebagai bukti. Namun lelaki itu masih tidak mahu percaya. Katanya, cincin itu hanyalah dalih Cik Wati menolak salam perkenalan dari dia.”

“Terus Cik Mat berjumpa lelaki itu. Kata Cik Mat pada lelaki itu, dia ini tunang saya dan saya harap awak tidak lagi menggangu dia. Ceritanya tersebar. Mujur niat Cik Mat difahami oleh lelaki tersebut dan sejak itu, Cik Wati tidak lagi diganggu oleh mana-mana lelaki” wajah Tuk Alang waktu itu meriak bangga dengan senyuman.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: