Malam bulan gerhana

“Malam ini rasanya lagi elok, mujarabnya pasti lebih” Wak Raden berkata perlahan-lahan sambil menghirup secangkir Kopi Janda.

“Kenapa pula Wak? Kan kita sudah rancang untuk buat dalam minggu depan. Kenapa tergesa-gesa pula nak buat malam ini?” Soal Man Belon seperti tidak puas hati.

Rahim Jadah yang duduk semeja hanya mendengarkan. Dia membuka tudung saji kecil yang terhidang di atas meja kayu. Di dalamnya terdapat sepiring kuih-muih yang pelbagai.

“Mak Minah, karipap ini sardin ke kentang?” Rahim Jadah menjerit tidak lantang mana, diambilnya satu, digigit dan dikunyah perlahan.

“Karipap kentang tu Jadah” Mak Minah membalas dari hujung sudut kedai. Belum Mak Minah menghabiskan ayatnya, karipap itu sudah habis ditelan Rahim Jadah.

Warung kayu Mak Minah memang selalu menjadi tempat singgah minum dan makan orang kampung. Warungnya memang strategik. Betul-betul terletak di pinggir jalan besar dan berhampiran pula dengan jalan masuk ke kampung. Jika pada waktu pagi, anak-anak muda yang bekerja kilang selalu membeli sarapan sementara menunggu bas kilang.

Jika waktu tengah hari,warung Mak Minah selalu pula disinggah oleh pemandu-pemandu teksi yang beroperasi disepanjang laluan jalan besar. Teksi diparkir berderet-deret di seberang jalan yang menempatkan kawasan menunggu teksi.

Masakan Mak Minah memang sedap. Murah pula lagi. Sebab itu perniagaannya setiap hari galak.

“Mak Minah ni kalau pakai pelaris aku, kedainya boleh jadi lagi laku”. Wak Raden menghabiskan hirupan terakhir Kopi Jandanya.

“Jadi malam ini kamu berdua mesti bersedia, bawa semua kelengkapan, jangan satu pun tertinggal. Jika tidak, sia-sia sahaja” tambah Wak Raden mengingatkan keras kepada Man Belon dan Rahim Jadah.

Mereka menganggukkan kepala tanda mengerti.

“Sudah, aku mahu pulang dulu. Nak siapkan juga barang-barang. Nanti malam jumpa di rumah aku jam 7.30. Oh! Ya, soalan kamu itu Man nanti aku jawab, disini bukan tempat yang sesuai” bingkas Wak Raden bangun dari duduknya. Kerusi kayu panjang itu dilangkah.

“Mak Minah, kira macam biasa ya” Langkah Wak Raden meninggalkan warung Mak Minah.

Mak Minah  menghelakan nafas. Kalau kira macam biasa seperti cakap Wak Raden, maksudnya masuk dalam buku lima lima. Hujung bulan nanti bayar, itu pun jika diingatkan Mak Minah.

Persiapan

Petang itu Man Belon dan Rahim Jadah awal-awal lagi sudah terpacul di depan pintu rumah Wak Raden. Mereka tidak mahu berulangnya tragedi seperti yang telah berlaku dua bulan lepas. Wak Raden memarahi mereka kerana lewat limat minit dari masa yang dijanjikan. Akibatnya hajat mereka terbantut. Wak Raden bilang Raja Sakti Setiawan amat murka dengan mereka. Mereka dipaksa untuk membayar ‘dam’ iaitu tidak boleh memakan daging selama sepuluh hari. Jika tidak Raja Sakti Setiawan tidak akan membantu mereka sekiranya mereka berhajat untuk mendapatkan bantuan Raja Sakti Setiawan di kemudian hari.

Rahim Jadah dan Man Belon menurut sahaja syarat itu sebagai denda yang dikenakan oleh Raja Sakti Setiawan. Mereka mengikat perut dari memakan apa jua jenis daging. Selama sepuluh hari mereka hanya menjamah nasi berlaukkan sayur-sayuran.

“Mari masuk” Wak Raden tiba-tiba muncul di muka pintu mengajak Man Belon dan Rahim Jadah masuk. Lekas-lekas Rahim Jadah membuang rokoknya ke tanah. Man Belon masuk dahulu diikuti Rahim Jadah. Tangga kayu itu dititi perlahan-lahan.

Di ruang tamu rumah Wak Raden dipenuhi dengan asap kemenyan yang wangi. Baunya mencucuk-cucuk hidung. Kain kuning direntang panjang di sepanjang tembok dinding ruang tamu rumah Wak Raden termasuk di bahagian atas siling. Ruang tamu itu cuma dicerahkan dengan cahaya api lilin-lilin yang tersiap pasang di setiap rak-rak kecil yang diletakkan di penjuru ruang tamu.

Pada dinding ruang tamu mula, penuh dengan senjata-senjata tajam yang digantungkan. Keris, badik, kerawang, lembing, tombak pendek, dan beberapa jenis perisai besi dan kayu. Kata Wak Raden, senjata-senjata ini semuanya pemberian Raja Sakti Setiawan. Setiap senjata ada keistimewaannya yang tersendiri. Contohnya Keris Hulu Lang berlok sebelas, besinya adalah adunan tujuh jenis besi. Untuk membuat keris ini, besinya ditempa selama tujuh hari dan tujuh malam. Hulunya pula berlambangkan kepala helang. Pada bahagian mata helang itu ditanamamkan dengan batu delima ungu sebesar sebutir beras. Jika di dalam gelap, batu delima itu mampu memantulkan cahaya. Kegunaan keris ini dapat menawarkan segala macam sakit yang disebabkan oleh perbuatan dengki dan khianat manusia. Caranya adalah dengan menjampi serapahkan dahulu keris ini sebelum hujung matanya dicelupkan sedikit ke dalam air putih. Seterusnya air putih itu akan diberikan kepada pesakit untuk diminum dan dibawa pulang untuk dijadikan penawar.

Jika keris panjang seri putih lain ceritanya. Keris ini berkembar dengan badik api merah. Salah satunya tidak mungkin boleh hilang. Pernah satu hari Wak Raden terjatuhkan keris panjang seri putih sewaktu pulang dari gelanggang silat. Sesampainya di rumah, badik api merah itu bergerak-gerak sendiri di dalam rak kaca. Bila Wak Raden perhatikan kejadian itu, baru Wak Raden perasan yang keris panjang seri putih itu terjatuh entah dimana. Lekas-lekas Wak Raden asapkan badik api merah dan membaca serangkap dua mantera. Kemudian dibiarkan badik api merah itu di atas para. Esoknya apabila Wak Raden bangun dari tidur, dilihatnya Keris Panjang Seri Putih itu sudah berada di sebelah Badik Api Merah yang diletakkan di atas para.

“Buka tingkap itu Man” belum sempat Man Belon menyiapkan duduknya, Wak Raden mengarahkan Man Belon membuka tingkap kayu di ruang tamu itu. Man Belon akur.

“Barang-barangnya ada Jadah?” Tanya Wak Raden memandang muka Rahim Jadah.

“Aaa…ada Wak” jawab Rahim Jadah gugup-gugup. Rahim Jadah mengeluarkan beberapa bungkus barang dari beg plastik yang dibawanya tadi.

Selesai semua bungkusan dikeluarkan, Man Belon membantu Rahim Jadah membuka bungkusan-bungkusan itu. Bungkusan pertama ialah seekor ayam jantan yang telah masak dipanggang, bungkusan ke-dua pula ialah pulut kuning setengah dulang. Bungkusan ketiga pula mengandungi beberapa botol air mineral. Air di dalam botol mineral tersebut adalah campuran air dari tujuh jenis kolah masjid.

Kesemua barangan itu Wak Raden hidangkan dalam setalam dulang.

Selesai Wak Raden mengemaskan barang-barang tersebut, dia bersila kemas di atas pangkin kayu yang dibina tinggi sedikit dari aras lantai. Dihadapannnya ada meja kecil yang diatasnya sudah tersedia semangkuk air, beberapa biji limau nipis, tempat membakar kemenyan, sebilah keris dan beberapa macam barangan lain.

“Baiklah, kita mulakan sekarang. Tapi sebelum itu elok aku terangkan dahulu kenapa tiba-tiba benda ini kita buat sekarang, kalau ikut perancangan sepatutnya minggu depan baru kita mulakan” Wak Raden memulakan bicaranya. Man Belon dan Rahim Jadah yang duduk menghadap Wak Raden hanya senyap.

“Cuba kau lihat bulan diluar sana” Man Belon dan Rahim Jadah memandang ke luar tingkap. Dilihat bulan di awan senja itu berbentuk bulan sabit. Hari ini sudah hampir masuk akhir bulan, sepatutnya bulan harus mengambang penuh. Tapi mengapa bentuknya bulan sabit? Di hati Man Belon dan Rahim Jadah tertanya-tanya.

“Sekarang ini sudah 14 Rejab, kebetulan malam ini adalah malam gerhana bulan. Malam ini Raja Sakti Setiawan akan turun ke bumi. Tepat gerhana bulan itu dititik gerhananya kita akan mulakan. Aku akan berjumpa Raja Sakti Setiawan malam ini. Harap-harap ada rezeki buat kau orang semua nanti” panjang lebar Wak Raden menerangkan.

“Ambil kain kuning ini dan lilitkan di lengan masing-masing”  Wak Raden menyuruh sambil menghulurkan dua helai kain kuning yang dipotong panjang kepada Man Belon dan Rahim Jadah.

Mentera

Wak Raden memegang keris yang tersedia di depannya kemas-kemas, genggamannya padat. Tangan kiri Wak Raden mengambil secubit kemenyan lalu mencampakkan ke dalam tempat bakarnya.   Ruang itu kembali penuh dengan asap. Man Belon rasa ingin terbatuk, tapi ditahannya.

Mulut Wak Raden terkumat kamit menuturkan kata-kata yang tidak difahami oleh Man Belon dan Rahim Jadah. Mungkin itu jampi serapahnya. Fikir kedua-dua mereka yang berusia di awal 30-an.

Keris itu kemudiannya Wak Raden asapkan dengan asap kemenyan. Dua tiga kali diulangkan perkara yang sama. Selepas itu Wak Raden ambil limau nipis yang sudah siap dipotong, limau itu diperahkan airnya ke atas bilah keris tadi.

Sambil memerahkan limau nipis, Wak Raden membacakan mantera dengan suara yang bergetar-getar.

“Ku seru gunung asal dari tanah,
ku seru hujan asal dari air,
ku seru panas asal dari api,
tidak jatuh awan jadi singgahsana,
tidak kering tasik jadi taman,
akar lama tidak patah
daun layu tidak basah

Hei! Indera Raja Sakti Setiawan,
berkat malam bulan gerhana
berkat malam bula Rejab
berkat malam bulan bersabit
berkatlah malam segala berkat
minta sampaikan anak cucu yang berhajat”

Badan Wak Raden tiba-tiba menggigil, peluh mula memercik di dahinya. Mata Wak Raden bersar terbeliak dan mula kemerahan. Man Belon dan Rahim Jadah yang memerhatikan dari tadi sudah mula cemas melihat Wak Raden seperti kerasukan.

Tiba tiba Wak Raden rebah, berdentum bunyinya ketika tubuh Wak Raden berlaga dengan papan pangkin kayu. Rahim Jadah sudah mula bangun ingin menolong Wak Raden. Tapi Man Belon menghalangnya dan menyuruh Rahim Jadah hanya duduk. Rahim Jadah menurutkan kata-kata Man Belon.

Rezeki yang sudah diduga

Selang 3 minit kemudian Wak Raden kembali sedar. Wak Raden bangun dari baringnya dan memperkemaskan silaan. Mukanya masih berkerut-kerut, tangan Wak Raden ditopangkan pada peha sambil mengurut-urut tiga empat helai janggut halus yang tumbuh di dagu.

“Bagaimana Wak? Ada? Apa kata Raja Sakti Setiawan?” Bertalu-talu soalan diterjahkan Man Belon kepada Wak Raden. Mukanya penuh dengan tanda tanya.

Wak Raden menghela nafas panjang.

“Hurm…Malam ini kita malang sikit, Raja Sakti Setiawan tidak dapat turun sebab di bulan hari hujan. Dibagi nombornya tidak lengkap. Dapat dua nombor yang awal.” Wak Raden menjelaskan.

Wajah-wajah kecewa terpampang pada riak muka Rahim Jadah dan Man Belon.

“Ini dua nombor tadi, pandai-pandai kamu pusingkan ikut naluri masing-masing. Kalau ada nasib mungkin boleh kena” sambil Wak Raden menghulurkan kertas kecil yang sudah dituliskan nombor yang dimaksudkan tadi.

“Hai, malang lagi nasib kita. Dapat dua nombor sahaja. Susahlah nak cai macam ni” Man Belon mengeluh tanda susah hati sewaktu dalam perjalanan pulang dari rumah Wak Raden.

“Takpelah, nanti kita usaha lagi” Rahim Jadah cuba menguatkan semangat rakan karibnya itu.

Di rumah Wak Raden, Wak Raden memerhatikan dua orang pemuda tadi berjalan pulang dari tingkap ruang tamu rumahnya. Setelah mereka agak jauh, Wak Raden menutup tingkap tersebut. Perutnya berkeroncong memikirkan ayam panggang dan pulut kuning.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: