Lima S

Malam tadi tidurnya awal sekali, jam sepuluh matanya sudah berkelip-kelip menahan rasa mengantuk. Seingat dia buku bertajuk “Terusir” karya Prof. Dr. Hamka tidak terabis bacaannya. Kononnya mahu mengkhatamkan novel pendek tulisan ulama dan penulis terkenal nusantara itu. Tetapi tidak termakbul pula.

Lantaran waktu tidur yang awal dari kebiasaan, maka bangunnya pula juga awal dari kebiasaan. Dari balkoni rumah pangsa yang telah 3 tahun menjadi terataknya, dia berdiri di tebingnya. Menikmati harum angin pagi. Nikmat. Matahari masih bersembunyi disebalik awan. Cuaca pagi itu terlihat mendung seolah-olah hujan akan turun menimpa bumi. Dia hanya mengagak cuaca.

Ajis merenung kalendar yang tergantung di dinding. Hari ini hari Sabtu, cuti seperti kebiasaan. Tetapi pada tarikh itu ada ditanda bulat biru. Segera Ajis hampiri kalender itu. Ah! hari ini hari 5’s untuk rumah. Ajis bergumam dalam hati.

5’s sebenarnya ialah satu prinsip dan piawaian untuk melaksanakan kaedah permbersihan dan pengaturan. Ajis belajar 5’s ini semasa dahulu berada di tadika. Guru tadikanya seorang lulusan dan graduan dari Jepun. Seingat Ajis guru itu dipanggilnya Cik Seri. Cik Seri sebenarnya merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan. Namun kerana kegawatan ekonomi yang berlaku pada masa itu menyebabkan peluang perkerjaan semasa yang ditawarkan amat-amat terhad. Cik Seri pun memohon untuk menjadi guru tadika.

Cik Seri bernasib baik kerana permohonannya diterima. Sejak dari itu dia sudah jatuh cinta dengan kerjaya yang tidak pernah difikir untuk disandangnya. Semasa ekonomi bernasur pulih, Cik Seri mendapat tawaran untuk jawatan teknikal, di sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka di ibu negeri, tetapi tawaran itu ditolak Cik Seri mentah-mentah.

Konsep 5’s ini merujuk Cik Seri secara asasnya adalah konsep menjaga dan mengekalkan kebersihan. Lagi tambah Cik Seri 5’s ini mempunyai 5 langkah yang berulang-ulang. Kesemua langkah-langkah tersebut bermula dari huruf S.

Seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke, begitu kata Cik Seri. Kesemua langkah-langkah ini adalah di dalam bahasa Jepun.

Seiri bermaksud singkir, sebelum melakukan kerja-kerja mengemas, Cik Seri menyuruh untuk mengasingkan barang-barang yang ingin digunakan dengan barang-barang yang tidak ingin digunakan. Setelah diasingkan, barang-barang yang tidak ingin digunakan hendaklah disingkirkan dari kawasan yang ingin dikemaskan. Samada mahu disimpan di dalam stor, atau dibuang sahaja ke dalam tong sampah.

Seiton pula bermaksud susun. Barang-barang yang ingin digunakan, harus disusun dengan teratur dan kemas. Ketika menyusun dan mengatur barang-barang tersebut bergantung kepada tahap kreativiti masing-masing. Kata Cik Seri ia tidak terikat dengan mana-mana kaedah dan aturan. Boleh menyusun mengikut konsep sendiri. Namun susunan yang paling sempurna ialah susunan yang mengikut konsep Ergonomik. Akmal dan kawan-kawan yang sewaktu itu hanya berumur 6 tahun hanya terlopong mendengar kata-kata Cik Seri. Ada pula yang bermain origami membuat sampan kertas dan jet pejuang.

Seiso ialah sapu atau bersihkan. Setelah menyusun barang-barang yang diperlukan, kawasan yang ingin dibersihkan bolehlah disapu, dicuci. Tujuannya untuk memastikan kawasan yang difokuskan benar-benar berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Seiketsu sambung Cik Seri adalah standard. Bermakna, segala susunan barang-barang yang telah disusun tadi tidak boleh diubah. Kalau tempat letak pinggan, sewajibnya hanya pinggan sahaja yang boleh berada di situ. Tidak boleh ada cawan. Kalau rak menyimpan buku, hanya ada buku sahaja di situ tidak boleh ada yang tempat buang habuk rokok. Cik Seri mencekak pinggang sambil menunjuk dan mengayunkan jari telujuknya.

Yang paling akhir ialah shitsuke yang bermaksud sentiasa diamalkan, atau kata lainnya ialah disiplin untuk mengekalkan kebersihan. Setelah penat membuat Seiri, seiton, seiso dan seiketsu, wajib ada shitsuke. Jangan buat hari ini, esok sudah lupa. Hari ini tempat letak baju bersih, esok sudah bercampur baju bersih dan baju kotor. Tidak ada displin. Hari ni tempat letak kasut, esok dicampaknya jadi tempat letak cawan. Jangan begitu. Sekali lagi Cik Seri mencekak pinggang sambil menunjuk dan mengayunkan jari telujuknya. Seolah-olah memberikan amaran.

Ajis, tersenyum tatkala mengingatkan zaman itu. Memang 5’s itu diamalkan sejak zaman tadikanya. Namun setelah menerjah ke sekolah rendah, menengah dan sekarang di univerisiti tidak pula guru atau pensyarah di sini mengingatkan tentang 5’s itu. Memang silibus matapelajaran tidak pernah ada yang piawaian dan displin.

Ajis segera bingkas masuk ke ruang tamu, hari ini Ajis mahu mulakan 5’s dengan ruang tamu, kemudian dapur dan bilik tidur. Ajis meletakkan azam dan sasaran. Ajis menoleh ke bilik tidur. Katil dan selimutnya masih berlum berkemas sejak dia bangun pagi tadi. Dia melihat jam baru pukul tujuh. Pagi pula masih suam-suam kuku. Ajis masuk ke bilik tidur, tutup pintu. Terngiang-ngiang di telinga Ajis kata-kata Cik Seri, “memang disiplin itu wajib dalam 5’s”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: