Liu Xiaobo, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2010

Hari ini, sejarah mencatatkan anugerah Nobel Keamanan telah pun dimenangi oleh seorang banduan dari negara China. Liu Xiaobo merupakan seorang pengarang yang begitu lantang memperjuangkan hak asasi dan demokrasi di negara yang bercorak pemerintahan komunisme tersebut.

Lantaran itu, rejim pemerintahan China telah melabelkan pemberian anugerah tersebut sebagai satu ‘pencabulan’ dan secara terbuka memberi amaran kepada para diplomat yang berada di Oslo bahawa mereka tidak ubah seperti ‘badut’. China juga memberi peringatan yang tegas bahawa ‘mereka’ akan menghadapi masalah yang serius secara langsung dengannya. China mendakwa bahawa Liu adalah penjenayah biasa dan Hadiah Nobel Kemanan tersebut adalah retorik berbaur politik semata-mata. Di sisi lain, para diplomat China telah melancarkan gelombang sengketa dalam hubungan diplomatik, Tang Guoqiang Duta China di Norway, dalam tulisannya yang panjang dipaparkan dalam laman sesawang rasmi keduataan China menerangkan bahawa penganugerahan tersebut merupakan satu kesilapan. “Di China,rakyatnya menikmati kebebasan yang diimpikan, yang telah diamalkan dalam batas perundangan” antara kata-kata Tang yang ditulis dalam tulisan Cina dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Kebanyakkan negara dunia ke-tiga yang dijemput ke acara tersebut tidak menghadirkan diri. Manakala Rusia, Pakistan, Arab Saudi, Eygpt, Afghanistan dan beberapa negara lainnya menolak jemputan tersebut tanpa memberikan alasan, tetapi sumber barat menyatakan negara-negara tersebut jelas bimbang mengenai akibat jangka masa panjang mengenai hubungan diplomatik mereka dengan China jika mereka menghadiri ke majlis yang bertaraf dunia itu.

Sumber barat juga berpendapat, pemerintahan China tidak memberikan apa-apa penghargaan kepada rakyatnya secara khusus dan dunia secara umumnya melainkan berperanan sebagai seorang pembuli. Adakah pendapat ini boleh diterima? Adakah dengan secara sinisnya memberikan Hadiah Nobel Keamanan kepada seorang warga China yang begitu tekal memperjuangkan hak asasi manusia dan sistem demokrasi yang ditunjangi barat adalah cara terbaik mengejek sistem pemerintahan Komunisme China seterusnya mendesak China mengamalkan prinsip pemerintahan secara demokrasi? Adakah Hadiah Nobel Kemanan yang terkenal ini akan merubah China?

Di Oslo, anugerah tersebut disampaikan dengan simboliknya yang mungkin pernah berlaku sekali sahaja dalam tempoh satu abad, di mana anugerah tersebut diletakkan di atas sebuah kerusi kosong yang sepatutnya dihadiri oleh Liu Xiaobo. Penganugerahan tersebut telah diumumkan oleh Presiden Jawatankuasa Hadiah Nobel Norwegian, Thorbjoern Jagland dalam satu kenyataannya.

Liu Xiaobo merupakan seorang graduan dari Universiti Jilin dan menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana di Universiti Beijing. Kerjaya beliau sebagai seorang pengarang, pengkritik sastera dan politik disamping bergiat secara aktif sebagai aktivis kemanusiaan yang menggelarkan dirinya sebagai pejuang demokrasi yang menentang pemerintahan autokrasi secara komunisme yang diamalkan oleh tampuk pemerintahan China. Kelantangan Liu Xiaobo menyebabkan dirinya telah dipenjarakan sebagai ‘Tahanan Politik’ oleh Republik China.

Tinjauan media barat di China mendapati cuma segelintir penyokong Liu Xiaobo mengadakan demonstrasi menuntut beliau diberikan kebebasan dan penghargaan untuk menghadiri dan menerima anugerah tersebut. Polis China juga meningkatkan kawalan di sekitar kawasan perumahan milik Liu Xiaobo yang didiami oleh isterinya yang telah dikenakan tahanan di dalam rumah, juga di kawasan Universiti Beijing sebagai langkah berjaga-jaga. Media massa juga diingatkan untuk tidak memberikan sebarang publisiti mengenai pemberian Anugerah Nobel ini. Dalam tinjauan mereka, media barat cuba menonjolkan provokasi untuk memperlihatkan sistem autokratik rejim pemerintahan China dengan mengadakan sesi temu ramah secara langsung di sekitar Beijing. Di dalam temu ramah tersebut menunjukkan ada di antara rakyat China yang tidak mengenali siapa Liu Xiaobo, dan jika ada yang mengenalinya, mereka lebih memilih untuk diam daripada bercakap kerana menyedari isu tersebut adalah dilarang untuk dikupas didepan umum.

Secara tidak langsung, tindakan ini merupakan satu strategi barat untuk mengembangkan idealogi mereka mengenai sistem pemerintahan demokrasi dan hak asasi manusia yang begitu diagung-agungkan mereka. Matlamatnya adalah sama seperti penganugerahan Hadiah Nobel Kemanan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang pernah diterima oleh Aung San Suu Kyi dan Jose Ramos Horta. Mereka juga merupakah tokoh perjuang demokrasi dan hak asasi yang disekat pergerakannya di tanah air sendiri, sama seperti Liu Xiaobo.

Namun, China yang terkenal dengan ketegasan dan kedegilannya mungkin berasa tidak begitu tercabar dan sekadar mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaungkan amarannya. Dari satu sisi, kita dapat melihat kebimbangan Barat terhadap negara Asia , China terutamanya yang sedang meningkat naik dalam sektor ekonomi dan pembangunannya yang pesat dan semakin memonopoli pasaran perdagangan dunia muktahir ini. Negara barat yang kononnya  bersandar pada tiang demokrasi yang adil,tetapi tuli dan buta. ‘Demokrasi’kah mereka terhadap sokongan dan serangan yang mereka lakukan di Iraq? Dan yang nyata ialah pencabulan Israel terhadap Palestin!

Di Sisi Rinda- I

“Sasterawan-sasterawan terbilang ini menulis untuk remaja! Anda tidak tertarik untuk membacanya?”

Itulah tagline yang dituliskan di kulit belakang naskah ini yang menjentik keterujaan saya untuk menghadami Di Sisi Rinda, menghimpunkan cerpen-cerpen beberapa orang sasterawan dan penulis terkemuka tanah air. Siapakah yang tidak mengenali Rejab F.I, A. Samad Said, Keris Mas dalam dunia sastera tempatan?

Naskah yang telah dicetak tanpa ISBN pada tahun 1987 ini adalah sebuah koleksi bahan bacaan yang ringan dan santai. Sememang cerita-cerita di dalamnya disasarkan kepada golongan remaja dihimpunkan segar dalam 17 buah cerpen yang dihidang sarat dengan pelbagai tema dan jalan cerita yang selari dengan perspektif remaja.

Cerpen pembukaannya ditulis oleh Razak Mamat bertajuk Air menceritakan tentang penghargaan seorang murid terhadap gurunya. Amin, seorang anak kecil yang hidup dalam kemiskinan dilanda kegelisahan apabila ingin turut serta melawat guru besarnya yang sedang sakit di hospital, tetapi Amin tidak mampu untuk membelikan buah tangan yang mahal-mahal untuk gurunya berbanding kawan-kawannya yang lain. Perkara ini membuatkan Amin berasa untuk membatalkan niatnya menziarahi guru besarnya bersama rakan-rakannya. Akhirnya Amin dipujuk oleh bapanya, setelah bapanya berjanji untuk menyediakan ‘buah tangan’ bagi gurunya yang sedang sakit itu.

Bapa amin menyediakan sebotol air kosong dan Amin berasa malu namun tetap menebalkan muka untuk menyerahkan pemberian bapa kepada gurunya itu. Ketika di hospital, gurunya yang sakit begitu ceria dilawati oleh anak-anak muridnya dengan pelbagai buah tangan yang beraneka namun semua itu terasa kurang nilainya bagi dirinya yang sedang sakit. Sampai giliran Amin, guru besar yang sedang sakit itu meminta untuk dituangkan air kosong yang dibawa oleh Amin supaya dapat menhilangkan hausnya. Begitulah pengajaran besar yang disampaikan.

Di sisi Rinda karya A. Samad Said, berlatarkan suasana perang zaman Nippon memperihalkan kisah seorang anak kecil yang yatim piatu lantaran kehilangan keluarganya kerana di bom oleh tentera Jepun. Nen, ditemani seekor kucing bernama Rinda kemudiannya dibela oleh Tok Juma, seorang sahabat datuknya. Cerpen ini memperlihatkan kita tentang kesusahan dan keperitan hidup yang dialami sewaktu zaman perang dan juga bersulamkan mistik mengenai keris Datuk Ripin yang menyelamatkan mereka sewaktu mereka diburu oleh tentera Jepun.

Sharif Putera pula di dalam karyanya yang bertajuk Di Persimpangan menceritakan delima seorang pelajar bernama Mariah. Masalah keluarganya begitu menggangu pembelajaran Mariah, ayahnya yang kurang bertanggungjawab, ibu tirinya yang seorang pemarah dan kakaknya yang terpaksa bekerja sebagai perempuan kelab demi membantu menyara perbelanjaan Mariah begitu menghantui fikiran Mariah sehingga menjejaskan prestasinya yang sebelum ini merupakan seorang pelajar yang cedas, lalu menimbulkan keresahan cikgunya. Cikgunya mendengar setiap masalah yang dialami oleh Mariah dan cuba untuk menghulurkan tangan untuk membantu tetapi ditolak Mariah. Akhirnya Mariah lari meninggalkan persekolahannya dengan menitipkan sekeping nota terima kasih kepada guru yang ingin membantunya.

Tulisan Mohktar A.K dalam tajuk Dompet menyampaikan nilai kejujuran dalam jalan ceritanya yang mudah dan lurus. Kudin seorang pelajar yang miskin menjumpai sebuah dompet ketika dalam perjalanannya ke sekolah. Perbuatan Kudin, dilihat oleh Mansur lalu mengugut Kudin untuk menuduh Kudin sebagai seorang pencuri, ataupun wang di dalam dompet itu dibahagikan sama rata. Kudin yang takut dengan ugutan Mansur bersetuju dengan cadangan tersebut tetapi menukar fikirannya untuk memulangkan kembali dompet tersebut kepada gurunya di sekolah nanti, lalu menimbulkan kemarahan Mansur.

Di sekolah, Kudin dipanggil oleh gurunya, Cikgu Rahman kerana Mansur memfitnah Kudin sebagai pencuri. Apabila dipanggil, Kudin menceritakan hal yang sebenar sebagai Azizah menjadi saksinya. Akhirnya pengetua mengadakan perhimpunan tergempar, dompet yang ditemukan oleh Kudin sebenarnya milik seorang Pegawai Pencegah Penyeludupan yang tecicir. Di perhimpunan tersebut, pemilik dompet mengucapkan terima kasih kepada Kudin dan Kudin diberikan ganjaran. Pengetua memuji sikap jujur Kudin dihadapan para pelajarnya untuk dicontohi dan diikuti.

Di Sisi Rinda juga memaparkan karya yang berorak eksperimental seperti cerpen Dongeng Si Siti Kecil hasil buah tangan Siti Zainon Ismail. Dongeng Si Siti Kecil memaparkan sisi seorang wanita yang kabur wataknya sebagai Emak, ibu kepada Si Siti Kecil. Emak, seorang wanita yang terkurung dalam adat dan tatasusila seorang perempuan melayu dalam sebuah keluarga berketurunan Mamak (Minangkabau barangkali), berperang antara keinginan dirinya dan kehendak keluarganya. Emak, dari usia remaja dikawal pergerakannya oleh ibunya, Nenek Sibai yang garang dan mamak-nya (abang Emak), kemudian Emak dinikahkan dengan seorang lelaki tua bernama Sudin yang hartawan pilihan keluarganya sebelum Emak diceraikan.

Kemudian Emak bertemu cintanya dengan Abah (ayah Si Siti Kecil) sehinggalah Si Siti Kecil dilahirkan. Cinta Abah kepada Emak, Abah tidak zahirkan secara terang kerana perwatakan Abah yang tegas dan selalu serius. Sewaktu mengandungkan Si Siti Kecil, emak terpaksa berusah payah, mengidam dan acap kali kurang sihat keadaannya. Waktu itu jugalah zaman kejatuhan ekonomi dengan harga getah susut dan meruncingkan ekonomi keluarga, setelah Si Siti Kecil dilahirkan segalanya berubah, rezeki keluargabertambah dan menangga naik. Emak lebih disenangi oleh keluarga sebelah Abah terutamanya Nenek Galuh berbanding keluarganya sendiri iaitu Nenek Sibai.

Lalu kasih sayang Nenek Galuh tumpah kepada Si Siti Kecil, dan dongeng Si Siti Kecil itu rupanya adalah kisah perjalanan silam Emak yang didengari Si Siti Kecil semasa usianya menginjak dari mulut Pak Ngah.

Majnun Dan Laila- Keagungan Cinta Abadi

“Kisah cinta Majnun tersebar dengan cepat ke seluruh Jazirah. Tiada seorang pun pemuda yang belum    mendengar kisah cinta Majnun, bahkan mereka kerap mendendangkan bait-bait syair yang diubah Majnun. Mereka turut berduka atas cinta Majnun, apalagi mereka yang pernah merasakan kegagalan cinta. Kesedihan kerana cinta sejati sering membuatkan orang menjadi gila.”

Di dalam dunia ini, kisah cinta Majnun dan Laila antara kisah sang pencinta yang tersangat mahsyur. Sebelum ini, begitu banyak sekali orang yang mengucapkan atau menyamakan cintanya seperti cinta Majnun kepada Laila sedangkan mereka tidak tahu betapa dahsyatnya cinta Majnun dan Laila itu. Maka bacalah dahulu hikayat ini sebelum melafazkan kata-kata yang seperti itu. Setelah itu baru kita tahu akibatnya atau kita tidak akan sanggup mengatakan bahawa cinta kita itu adalah setaraf atau lebih hebat dari cinta Majnun kepada Laila-nya.

Hikayat cinta Majnun dan Laila sebetulnya amat terkenal dan berlegar dalam begitu banyak versi. Naskah ini adalah satu diantaranya. Ada juga yang mengatakan kisah Majnun dan Laila hanyalah sekadar dongengan dan cerita penglipur lara. Tetapi naskah ini mempercayai bahawa cinta Laila dan Majnun adalah sejarah yang benar-benar berlaku sekitar zaman Daulah Umawiyah yang diriwayatkan pada kurun 65H atau 68H.

Bila mana membaca naskah ini, anda akan diketemukan dengan pesona serta keagungan cinta dan  seterusnya kehampaan dan kedukaan yang begitu pedih dan menyakitkan. Begitulah sehingga kesudahannya, Laila yang pergi membawa kekosongan dalam hatinya dan Majnun yang berterusan memuja kekasihnya sampai ke hujung nyawa. Keindahan Laila seperti sinar pada wajahnya akan membuatkan matahari malu untuk muncul, begitulah cantiknya Laila pada mata Majnun. Percintaan yang terhalang, membuatkan Majnun hilang arah tuju, lalu dia meratap dan meluahkan kisah malangnya pada alam, merentas gurun, rimba, gunung dan lembah, terpencil seorang diri di dalam gua dan bersahabat dengan binatang buas, serta melagukan syair-syair cintanya kepada Laila yang dibawa oleh angin ataupun yang didengarkan oleh pengembara yang melintasi kawasannya sehingga syair-syair Manjun kepada Laila menjadi terkenal dan selalu dibaca berulang-ulang oleh ramai orang.

Naskah ini memperihal cinta dengan sesungguhnya, sedalam-dalamnya, sejujur-jujurnya dan seluhur-luhurnya sehingga ada perkara yang diperihalkan memang langsung tidak dapat diterima oleh akal, namun itulah yang mungkin kita dapat tafsirkan  sebagai kedunguan akibat diperbodohkan oleh cinta yang sememangnya boleh terjadi. Tidak akan ada seorang pun selepas ini, setelah dia membaca naskah ini, akan mengaku cintanya adalah seperti cinta Majnun kepada Laila jikalau dia merasai kedahsyatan apa yang menimpa Majnun. “Cinta kami terlalu suci, dan tak terbatas. Bumi tidak akan mampu menjadi mimbar untuk menampung cinta kami.”

Celupan- Isa Kamari

Merupakan himpuan cerpen karya Isa Kamari,  seorang penulis kelahiran Kota Singa. Beliau juga salah seorang penerima anugerah S.E.A Write Award sekitar tahun 2006 dan Anugerah Pingat Budaya Singapura. Dalam naskah Celupan ini, Isa Kamari mencoretkan 16 cerita jiwa resah yang dibentuknya dalam kepelbagaian gaya cerita. Contohnya dalam cerita Celupan yang menjadikan ulat sutera sebagai watak utamanya, menyaksikan pertarungan jiwa antara 2 ekor ulat sutera yang saling bersikap pro-kontra samada untuk meneruskan tradisi ulat sutera yang mengorbankan dirinya untuk dijadikan kain sutera ataupun keberaniannya untuk keluar dari kepompong keselesaan sarangnya untuk menjadi seekor rama-rama.

Di dalam himpunan cerpen ini, Isa Kamari juga turut memperihalkan masalah sosio-budaya yang sedang melanda terutamanya keruntuhan ahklak remaja dalam cerita Wayang. Sebagai seorang penulis mapan, imaginatif beliau dalam menghasilkan karya sememangnya terserlah. Penulisannya tentu sahaja mempunyai penyampaian yang tersirat dan mengajak pembaca berfikir. Misalnya dalam kisah Pengukir, Seladang, Arca, Arkitek dan beberapa tajuk lainnya cuba menyaratkan fikiran kita tentang mesej-mesej yang ingin dibawa. Ketamakan, kehalobaan, keresahan jiwa dan kejayaan mahupun kehancuran berlegar-legar menjadi naratif dalam tajuk-tajuk seperti di atas.

Penggunaan bahasanya yang mudah menjadikan pembaca begitu santai dan akrab untuk menghadami naskah ini. Ada kisah yang meruntun jiwa seperti kisah Kaca, Klinik dan Pekebun yang hanyut membuai perasaan. Tentang kekecewaan ataupun pengharapan. Selain itu, unsur-unsur humor dan satira turut diselitkan dalam beberapa buah cerita seperti kisah Angin dan Pintu. Dalam kisah Angin, Isa Kamari berhumor tentang pandangan manusia yang jelek kerana membuang angin (kentut). Walhal, jika manusia tidak membuang angin, angin itu akan terkumpul di dalam badan, menyekat salur urat dan akhirnya membawa mudarat kepada diri sendiri. Bukankah membuang angin itu sudah tuhan jadikan sebagai suatu fitrah kepada tubuh? Mengapa kita perlu berasa jijik dengannya?

Kisah Pintu juga tidak kurang lucunya. Komedinya melekat pada penghujung cerita. Babak-babak awal mengisahkan realiti kehidupan yang bermula pada awal pagi dengan ‘pintu terbuka’, perjalanan seharian menempuh ‘pintu terbuka’ sehinggalah di suatu masa, kita sendiri perlu ‘menutup pintu’ demi menjaga tatasuila dan kerahsiaan sendiri. Kebenaran dan pengesanan jalan ceritanya membuatkan saya tersenyum sendiri-sendiri.

Ada juga kisah yang dinukilkan Isa Kamari terasa begitu sulit untuk difahami. Seperti kisah Kudrat dan Pertemuan yang seolah-olah membawa 2 latar dalam satu cerita. Secara umumnya, hasil tulisan Isa Kamari dalam naskah Celupan ini ibarat satu hidangan yang mempunyai pelbagai rasa dan rencah, membawa tema dan persoalan tentang kehidupan dan perasaan dengan ringkas tetapi signifikan serta kritis, sesuai dengan pengalamannya dan kematangan beliau sebagai seorang penulis yang telah menerima anugerah S.E.A Write Award.

Antologi Puisi- Tajam Fatamorgana

Membaca puisi adalah satu perkara yang mudah, malah baris-baris katanya dengan senang dapat dihabisi sebegitu segera. Begitulah ketikanya saya membaca Tajam Fatamorgana, sebuah buku antologi puisi karya Roslan Shariff.

Seperti yang diperkatakan oleh pengenalan buku ini di muka belakangnya, “Tajam Fatamorgana merupakan titipan jiwa dan perasaan Roslan Shariff. Bait-bait puisi yang indah dan bernada melankolik mampu meruntun perasaan pembaca. Karya sulong penulis ini mengenetengahkan pelbagai tema yang merangkumi isu-isu semasa, ketuhanan dan kekeluargaan. Puisi-puisi nan syahdu digarap menjadi antologi terindah khas buat pembaca”.

Jujur, membaca puisi itu adalah perkara yang sangat ringkas jika baris-baris katanya hanya sekadar meniti bibir. Membaca puisi atau sajak dengan sedemikian rupa hanyalah tidak akan membawa apa-apa makna ibarat angin lalu. Menyapa tubuh sebentar kemudian pergi. Namun begitu, jika ada sebaris puisi, kemudian kita bedah setiap kata-katanya, maka tersuratlah apa yang selama ini terhijab di dalam puisi seorang penyair. Begitulah apa yang saya ketemukan di dalam sajak-sajak Shariff Roslan.

Pembukaannya sahaja sudah begitu indah, Tajamnya Fatamorgana di dalam rangkap, Aku pasti/ walaupun alamku lain/ bumi kita tetap sama/ Tuhan kita hanyalah Dia, mengajak kita kembali sebagai hamba tuhan dan Agamnya Cinta Ini (Maulidur Rasul SAW) pada baris, Begitu wajah siang ini/ gagah bersama tebar senyum/ diiringi melodi/ marhaban/ selawat/ hadrah/ untuk mu kekasih, mengingatkan cinta kita sebagai pengikut Muhammad yang setia dan jujur.

Seterusnya di dalam sajak Alur Rasa (Penyair Kerdil), Angin Puisi, Gerimis Puisi dan Impian Penyair melontarkan bait-bait radif jiwa penyair yang merendah diri dalam keghairahannya untuk berkarya. Puisilah yang dapat menenangkan jiwa seorang penyair atau menyampaikan rasa seorang penyajak samada ketika sedang kecewa, gembira, geram ataupun marah dengan bahasa yang puitis.

Tajam Fatamorgana kemudian membawa kita menyelusur kepada persoalan insan dan ketuhanan. Sajak-sajak seperti ini akan banyak kita temukan seperti di dalam Kekasih dan Pencinta Berkongsi Malam, Kalimah di Suatu Malam, Bila Naluri Bertanya, Hati dan Qadar Ilahi dan beberapa tajuk lainnya. Sajak-sajak seperti ini banyak sekali meruntunkan jiwa, membacanya dengan berhati-hati akan menimbulkan seribu satu persoalan di dalam sukma. Dosa dan pahala, cinta kita kepada tuhan, pengampunan dari tuhan dan pengharapan tentang rahmat dan nikmat. Namun ia tidak akan sekali-kali memberikan jawapan. Jawapan tentangnya hanya ada di dalam diri kita sendiri. Begitulah  Roslan Shariff mengesankan seperti yang dinukilnya dalam sebuah puisi Di Ruang Kosong (Munajat), berbunyi Ruang kosong/ ruang sepi/ munajat berdiri/ sepi diri ditelan terus sepi/ dan kita semakin menghampiri.

Bila kita berbicara tentang jiwa penyair mungkin radif yang dinukilkan oleh penyajak ulung T. Alias Talib ini lebih ringan untuk kita fahamkan.

Licentia Poetica
(sajak T. Alias Taib)

penyair itu memasuki hutan kata
menyusuri diksi demi diksi
dari puisi ke puisi
sepanjang kembara itu dia memikul
akalnya, imaginasinya dan peribadinya.
di hutan tebal yang dirimbuni kata,
dia melepaskan akalnya
merangkak di atas akar imaginasi
mengumpul makna dan rentak.
di hutan tebal-gelap itu,
kata-kata berguguran di dalam dirinya
kata-kata dari pohon peribadinya.

penyair itu memasuki kamus hidup
mencari makna demi makna
dari lembaran perisitiwa yang dilaluinya.
di dalam kamus itu tiada kata-kata
yang menghalang perburuannya
atau memperkecilkan penemuannya.
pada lembaran tebal kamus hidupnya,
dia melanggar sempadan
yang membataskan kebiasaan
bertutur, berbahasa dan berfikir;
dia melonggarkan gari
yang mengikat kebebasan.

penyair itu memasuki hutan kata
dengan lesen di tangannya

(Sumber: Di sini)

Buku antologi puisi ini cumalah setebal 75 halaman, namun jika dicernakan setiap puisinya, atau dihadamkan setiap baris katanya, puisi-puisi ini akan membuat kita berfikir dan bermenung. Membaca puisi dan sajak haruslah cermat dan hemat. Seorang penyair akan selalu mengajak pembacanya berfikir untuk menangkap sesuatu yang tersirat dan menyelam ke dalam metafora tulisannya. Begitulah menghirisnya Tajam Fatamorgana.

Writer Blocks

Karipap-Karipap Cinta

Saya tahu novel ini membawa tema romantik-komedi. Sebelum membeli novel karipap-karipap cinta saya terlebih dahulu sudah mengenali penulisnya Nazri M. Annuar a.k.a vovin melalui penulisan beliau di blognya yang mahsyur. Saya membaca banyak ulasan-ulasan yang menggambarkan novel ini adalah sangat lucu dan mencuit hati, maka saya mula membayangkan cerita-cerita saudara vovin yang kelakar dan santai seperti yang selalu ditulisnya pada ‘panda cinta adventures’. Saya merimaginasi tentang gaya penulisan yang lembut, halus dan begerak dengan perlahan-lahan apabila kita membacanya. Santai walaupun dalam waktu yang paling cemas.

Secara jujur, saya meletakkan harapan yang tinggi jika novel ini mampu membuat saya ketawa terbahak-bahak di dalam hati seperti membaca kartun Kartunis Lambok. Namun saya silap perkiraan, pada saya novel ini adalah humor yang streotaip seperti menonton lawak senario namun begitu novel ini masih juga kelakar kerana saya mampu bergelak he he he ataupun hi hi hi ketika membacanya. Walaupun saya mengharapkan kah kah kah. Gaya penulisan beliau juga agak hambar jika dibandingkan dengan tulisan di dalam blog beliau, terutama di awal babak permulaan.

Karipap-karipap cinta bergerak di atas landasan yang lurus tentang sebuah kisah cinta antara Ali dan Sarah. Watak Ali digambarkan seorang pemuda yang biasa-biasa, berpendapatan sederhana, hidup bujang di kota besar Kuala Lumpur. Ali seorang yang ‘bergerak mengikut arus’ seperti di dalam pekerjaan dan kehidupan Ali; putus cinta, berinternet, lepak di warung bersama kawan-kawan, menyewa di flat kos rendah dan sebagainya. Walaupun Ali seorang yang ‘ hanya bergerak mengikut arus’, namun ‘arus’ itu tidak boleh dianggap selalu tenang dan senang, kadang-kadang ia bergolak juga. Pergolakkannya bermula apabila Ali menaruh minat ke atas Sarah, watak seorang gadis feminin dan heroin yang digambarkan sebagai berilmu kerana berkelulusan Al-Azhar, cantik dan pandai membuat karipap. Ali mula berbohong lalu menjerumuskan dia ke dalam kancah yang lebih cemas tetapi selalu bernasih baik kerana ‘asyik diselamatkan’.

Vovin menggarap karya ini bersulamkan satira-satira sinis dan berlawanan pada pandangan semasa. Lihat betapa dia begitu sarkastik menggunakan istilah Syawarma-Syawarma Cinta, Nazzarah-Nazzarah Cinta, Kittun-Kittun Cinta dan Toyyiba-Toyyiba Cinta di dalam Karipap-Karipap Cinta menggambarkan dunia novel sekarang di Malaysia bahawa konsep novel-novel cinta-islamik lebih mendapat tempat di kalangan pembaca. Vovin juga mengangkat tema Islami di dalam watak Sarah secara ‘opposite’. Sarah seorang lulusan Al-Azhar sepatutnya menjadi seorang ustazah dan kerjanya ialah berdakwah. Namun Sarah lebih berminat berkecimpung dalam bidang komik dan mengembangkan  dakwahnya melalui medium komik. Hal yang sama diperkukuhkan dengan kehadiran sebentar watak Muaz. Sesuatu yang saya bersetuju dengannya kerana bagi saya dakwah itu boleh dilakukan dimana-mana oleh sesiapa jua.

Karya ini juga mengangkat tema politik sebagai latarnya, Vovin begitu menyindir alam politik dan para politikus-nya. Di sini kita dapat lihat Ali yang berkerja dengan Datuk Razali Bunari sebagai seorang bos di dalam syarikat penerbitan Wadah Rakyat cukup dibenci dengan sesungguhnya. Watak Datuk Razali Bunari dimainkan sebagai seorang ketua yang pemarah dan bengis, seorang politikus bertalam dua muka, tamak dengan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politiknya seperti Datuk Razali Bunari merancang untuk menjatuhkan lawannya Datuk Mukhzanuddin. Namun begitu, Vovin turut menyisipkan sedikit harapan terhadap dunia politik semasa dengan berharap di suatu masa ia akan insaf dan berubah seperti keinsafan Datuk Razali Bunari di akhir naskah Karipap-Karipap Cinta.

Walaupun novel ini secara tunjangnya bertemakan cinta, saya lebih suka babak-babak sampingan yang diselitkan oleh Vovin seperti adegan Bart Rasta, Uncle Hong, Uncle Remy dan Asha. Watak-watak ini pada saya adalah akar kelucuan di dalam Karipap-Karipap Cinta berbanding kisah Sarah dan Ali. Watak-watak ini menghidupkan deria-deria yang menggelikan hati apabila ia bertemu dengan kisah Ali. Tema ketuhanan juga turut disentuh oleh vovin di dalam novel ini yang dapat digambarkan seperti berikut:

” Bart Rasta menghampiri hadirin. Kemudian menjauhi mereka. Dia berada di tengah jalan.

“Nah, kalaulah putus cinta itu buat ornag berduka, mengapa acap kali kita memutuskan cinta tuhan terhadap kita? Kenapa kita membiarkan tuhan duka, kerana kita tidak cintainya lagi?”

Hadirin angguk tanda faham apa yang cuba disampaikan oleh Bart Rasta.

“Putus cinta sesama manusia, akan ada penggantinya. Tetapi tuhan hanya ada satu dan kalau dia mengambil keputusan untuk tidak lagi mencintai kita. Tida tuhan kedua untuk kita terima cinta agung…”

Hadirin bertepuk tangan.”

Dengan padangan yang luhur, Vovin seorang yang begitu akrab dan menghargai kawan-kawan realitinya. Lihat betapa beliau mengangkat nama-nama kawannya di dalam Sindiket Soljah secara terus di dalam naskah ini seperti PipiyapongSinaganaga, Tok Rimau, Abdullah Jones dan beberapa nama lainnya serta namanya sendiri (vovin). Nama-nama ini sudah cukup gah di dalam industri blogger yang terkenal dengan konsep ‘menyuntik pop ke dalam seni’ di Malaysia sekaligus menerbitkan tanda terima kasih oleh beliau secara tidak langsung kepada mereka.

Previous Older Entries Next Newer Entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.